Thursday, May 21, 2009

Yaya, Si Gemuk Yang Bijak

Hari itu, aku seperti kebiasaannya tinggal di rumah seorang diri bersama beberapa ekor kucing peliharaan keluargaku, setelah mama dan abah ke pejabat dan adik-adik ke sekolah. Yaya, kucingku berwarna kelabu kacukan dari jenis American Forest dan... Aku lupa, mungkin Parsi atau Siam duduk di ruang tamu. Yaya berbadan besar dan gemuk, berbulu tebal, manja dan tidak banyak mengiau. Kalau mengiau pun, terlalu perlahan. Kadang-kadang, hanya mulutnya saja bergerak sedang suara tidak kedengaran. Yaya amat jinak dengan manusia tetapi terlalu garang dengan binatang meskipun dengan anaknya sendiri. Dia amat benci melihat kucing lain masuk ke dalam pagar rumah. Kalau kucing peliharaanku yang lain dekat padanya, tentu saja kucing itu akan digomolnya.

Aku amat menyayangi Yaya. Dia seakan mengerti yang tuannya seorang ini tidak nampak. Aku pernah terpijaknya hingga beberapa tompok bulunya gugur ketika bergegas ingin menjawab panggilan dari telefon rumah. Yaya tidak marah, jauh sekali mencakar atau menggigitku. Dia sekadar mengiau perlahan (mungkin kesakitan) dan berensut ke tepi. Oh ya, aku lupa. Yaya ni seekor kucing yang malas. Aku suka memeluk dan menciumnya. Ada masanya, adik-adikku menegurku dan bertanya:

"Kau tahu tak Yaya tu besar dan berat?"
"Kenapa?"
"Kau tak takut dia cakar kau?"
"Taklah,"
"Ish, peluk-peluk macam tu... Takut aku. Tangan dia dahlah besar, sekali dia tampar,"

Yaya hanya mengiau manja dan menyandarkan badan besarnya kepadaku. Aku senang begitu. Adik-adikku pernah mahu dicakarnya kerana mereka suka mengusiknya. Mungkin kerana itulah mereka takut.

Berbalik kepada cerita tadi, aku duduk di dalam bilik melakukan kerjaku sendirian tanpa menutup pintu. Yaya menghampiriku lalu mengiau manja dan perlahan. Aku tahu, itu tandanya dia ingin makan. Yaya benar-benar memahami keadaanku. Apabila meminta makanan denganku, dia pasti datang dekat padaku dan mengiau perlahan. Tapi, apabila meminta makanan dengan orang lain, dia hanya duduk di hadapan pinggan friskisnya. Aku pun, ke ruang tamu, tempat di mana makanannya disimpan. Aku mencari bakul simpanan friskis. Namun tidak ketemu. Mungkin ada orang telah mengalihkan bakul tersebut ke tempat lain. Aku berasa amat kasihan kepada Yaya yang lapar. Jika aku tidak menemui bakul tersebut, Yaya perlu menunggu hingga mama pulang makan tengahari pukul 1.00 nanti. Sedangkan, waktu itu masih awal. Aku berusaha mencari dan Yaya mengikutku ke mana saja aku pergi. Setelah lama mencari, aku pun berputus asa. Aku memberitahu Yaya:

"Tak jumpalah, Yaya. Maaf ya, Along tak nampak. Tak tahulah mana dia orang simpan makanan Yaya,"

Yaya yang seakan faham butir bicaraku, menggeserkan badannya kepadaku dan mengiau manja perlahan. Sementara aku mengusap kepala dan badannya. Tiba-tiba, Yaya meninggalkanku. Mungkin dia bosan kerana tidak dapat apa yang diinginkan. Aku menghampiri sofa lalu berbaring di situ. Selang beberapa ketika. Yaya mengiau. Kali ini, dia tidak datang dekat denganku. Namun, aku masih mampu mendengar suaranya yang perlahan. Aku terasa malas untuk bangun mendapatkannya.

"Yaya, mari sini," Dia tetap di situ dan terus mengiau. "Kenapa Yaya? Lapar ke? Along tak jumpalah makanan Yaya. Tunggulah mama balik," Kalau kucing lain sudah tentu aku akan berikan biskut. Tapi, Yaya tidak suka makan biskut.

Yaya terus mengiau. Aku bingkas dari pembaringan lantas, mendapatkan Yaya. Dia tetap mengiau. Yaya mengiau sambil menghadap sebuah kotak. Pasti ada sesuatu di atas kotak tersebut kerana Yaya tidak mahu berganjak dari situ meskipun aku mendekatinya. Aku meraba kotak tersebut. Ya, ada sebuah bakul. Dan... Itulah bakul makanannya. Yaya berhenti mengiau setelah aku mengambil makanannya dari bakul tersebut. Aku rasa amat terharu dengan kebijaksanaan Yaya. "Kau memang kucing yang bijak Yaya," Kataku sambil memeluk dan menciumnya. Kemudian, Yaya makan dengan seleranya makanan yang aku letakkan di dalam pinggannya.