Friday, April 5, 2024

Bantulah Daku Ya Allah

Ya Allah, 
Sesungguhnya aku sedang susah. Aku ingin membeli keperluan hariraya tapi, suamiku tiada masa untukku. Orang lain ada urusan mereka masing-masing, ada kawan yang aku minta tolong dua tiga kali, mungkin dah rasa jemu sebab aku selalu minta tolong dengan dia. Minta tolong dengan orang lain, nanti mereka tanya, suami mana? Kenapa tak pergi dengan suami? Takkanlah aku nak bercerita yang suami tak ada masa. Aku tak nak menimbulkan persepsi buruk orang terhadap suami sendiri. 


Ya Allah, 
Sesungguhnya aku perlukan suamiku. Perlukan masanya untukku, perlukan perhatiannya kepadaku. 


Ya Allah, 
Aku tiada tempat untuk mengadu. Tiada tempat untuk memohon pertolongan. Hanya kepadaMu Ya Allah, hanya kepadaMu aku mengadu dan berharap. 

Ya Allah, 
Sebagai isteri, aku ingin merasai hidup mempunyai pasangan seperti orang lain walaupun terpaksa berkongsi. 

Ya Allah, 
Aku mohon belas ehsanMu kepadaku. 

Wednesday, March 27, 2024

Penantian Yang Belum Berakhir

Ya Allah, 
Aku juga seperti isteri-isteri yang lain, yang mengharapkan kehadiran suami di sisi. Apatah isteri kedua tidak layak dilayani selayaknya sebagai isteri? 

Ya Allah, 
Demi cinta yang Engkau berikan, aku rela mengalah. Oleh itu, Kau berikan hakku sebagai seorang isteri. Aku tak pernah berniat untuk merampas apa lagi untuk menganiaya sesama wanita. Bila takdirMu melakarkan kisahku begini, aku redha. Biar suami tidak selalu di sisi namun, aku mohon Kau lindungi hakku sebagai isteri. 

Tuesday, March 19, 2024

Puasa Yang Sepi

Hari ni, hari kelapan kita di Malaysia berpuasa. Dan setiap hari itulah aku menunggu suami kesayanganku pulang. Hanya Tuhan yang tahu betapa aku rindu. Betapa aku perlukan suami menemaniku di saat berbuka puasa dan bersahur. Kalau bersahur tu mungkin terlalu tinggi impianku, maka kalau dapat berbuka bersama pun, sejuta rahmat buatku. Setiap hari, tanpa gagal aku menangis sendirian di rumah. Menunggu suami yang tak kunjung pulang. 

Ya Allah, kenapa setiap kali aku cuba untuk bersabar dengan apa yang dia lakukan, aku pasti diuji. Aku dah berusaha untuk bersabar. Berusaha untuk tidak marah-marah. Tapi perilaku suami tak kunjung berubah. 

Setiap hari aku berharap agar petang hari tu suami balik. Dan harapanku akan musnah dan hancur di saat aku menerima pesanan yang mengatakan dia nak balik. Text tu bermaksud, dia nak balik ke rumah isteri sana. Bukan ke rumahku.

Aku tahu, aku banyak kekurangan jika dibandingkan dengan yang sana. Tapi sebagai seorang isteri, aku juga perlukan suami di sisi walupun bukan setiap hari. Mengertilah abang, bila seseorang wanita itu diijabkabul, walaupun dia biasa hidup sendirian, dia takkan boleh hidup sendiri bila telah bergelar isteri. Kalau abang boleh mengerti kemahuan isteri sana, sayang mohon sedikit pengertian abang untuk sayang. Sayang rindu abang, sayang sedih. Besar sangat ke salah sayang, sampai abang hukum sayang macam ni? Dua tiga hari tak jumpa abang pun sayang dah rindu. Inikan pulak dua tiga minggu. 

Monday, February 26, 2024

Dalam Kesusahan

Ya Allah, 
Aku dalam kesusahan. Aku sangat memerlukan pertolongan. Sebenarnya aku malu nak minta bantuan orang. Orang mesti tanya, suami mana? Aku memang malu nak minta tolong orang walaupun adik-beradik. Orang mesti kata, dia dah ada suami, suami dialah yang patutnya tolong. Tapi kehidupanku setelah berkahwin tak jauh berubah. Semua benda aku masih kena buat sendiri, semua benda aku masih kena fikir sendiri. Sedangkan ada waktunya aku sangat memerlukan bantuan. Sangat memerlukan pertolongan. 

Macam sekarang, ada sikit je barang lagi nak beli untuk rumah baru. Aku sangt perlukan kenderaan untuk selesaikan semua ni. Untuk minta tolong suami, rasanya susah. Aku malas kalau nak kena gaduh-gaduh. Rasa sedih kalau suami tak nak tolong. Dan kalau tolong pun dengan marah-marah macam dia tolong aku pergi PKNS hari tu, aku sangat terluka. Rasa sedih sangat. Apakah bukan hakku untuk dibantu suami? Bukankah dalam perkahwinan tu suami-isteri perlu saling membantu? Kalau lambat rumah ni siap, makin lamalah aku kena tanggung bayaran bulanan yang tinggi. Kadang-kadang aku rasa, aku tak punya siapa-siapa saat aku susah macam ni. Kepada siapa lagi aku nak minta tolong? Aku dah tanya semua orang yang aku boleh. Tapi semuanya tengah ada masalah.

Tanya acik, katanya kereta dia rosak. 
Tanya Hakim, asalnya nak pergi semalam tapi geer kereta pulak rosak. Lepas tu aku ajak pergi minggu depan, sampai sekarang tak balas message. 
Minta tolong kawan, mula-mula kata boleh, lepas suami dia kerja house call. Tiba-tiba semalam suami dia cakap nak pergi Mid-Valley pulak lepas kerja. Boleh tak bayang macam mana sedihnya aku? Tapi nak buat macam mana? Dah namanya suami dia, mestilah dia kena taat.
Tanya kawan sorang lagi, anak dia yang selalu drive pulak accident. 


Ya Allah, aku ni macam mana? Siapa yang akan tolong? Ya Allah, aku yakin, pertolonganMu akan datang. Aku dah tak ada siapa-siapa Ya Allah. Aku hanya mengharapkan pertolonganMu. 


Sunday, November 19, 2023

Bukan Niatku Begitu

Jumaat hari tu, suamiku ada di rumah. Aku happy sangat. Tapi, aku tak cuti. Aku berkerja seperti biasa. Dengan hati berbunga-bunga, aku balik. Rasa seronok sangat nak jumpa suami. Dalam perjalanan, hujan turun dengan lebat. Kilat, guruh sabung-menyabung membuatkan aku takut nak berjalan balik. Nak suruh suami ambik, dia pun naik moto. Sama je la kan. Aku berteduh di surau LRT. Bila kilat hilang dan guruh tidak kedengaran, aku melangkah pulang walaupun hujan masih turun. Aku berjalan membawa beg tangan, beg yang aku pegang, bawa payung dan guna tongkat. Biarpun susah, aku tempuh jugak demi menghabiskan waktu bersama suami sebelum dia pulang ke sana.

Sesampainya aku di rumah, suami sedang solat Maghrib. Habis solat, dia bersiap-siap. 

“Abang dah nak balik ke?” Tanyaku. Rasa sedih, aku simpankan dalam hati. 
“Begitulah nampaknya,” Jawabnya bersahaja. 
“Tunggu sayang solat kejap boleh?” Soalanku seterusnya. 
“OK,”. Dalam hati, Tuhan je tahu betapa sedihnya aku. Susah-payah aku sebentar tadi, sia-sia ke? 

Lepas solat, dia pun pakailah baju hujan. Kami bersalaman dan dia pulang. 

Allah je tahu betapa sedihnya aku. Aku terduduk di atas katil. Aku menangis sesenggukan sendiri. Rasa diri ini tidak berharga. Aku tak minta lama pun. Cukuplah duduk-duduk sekejap. Bagilah aku lepas rindu dulu. Lepas tu, nak balik, baliklah.

Aku hantar message: 
“Sayang redah hujan, ingatkan dpt sembang-sembang dengan abang,” Aku bukanlah bermaksud nak suruh dia balik lambat atau nak dedahkan dia pada bahaya. Aku sekadar ingin dia tahu, betapa berharganya masaku bersamanya. Betapa aku rela bersusah-payah demi untuk bertemu dengannya. Tak lebih dari tu. Kalau dia balas, “Lain kali kita sembang-sembang ye, sayang.” Cukup dah bagi aku. Tapi… 
“ Itu kemahuan awak kan…sedangkan awak x sedar pun bahawa abg akan berhujan balik, kelicinan jalan, terdedh dgn kecelakaan jalan raya sbb hujan yg berterusan. Itu semua diketepikan sbb xdpt penuhi apa yg dimahukan dan keselamatan bg d abaikan…terima kasih ats kata2 tu..” Ya Allah, kenapa dia balas macam ni? Betapa terkejutnya aku dengan balasan message ni. Kenapa ye sampai ke situ dia fikir? Kenapa dia selalu berfikiran negatif pada aku? Adakah dia pun berfikiran isteri kedua ni jahat? Sampai banyak kata-kataku sering disalahertikan. Lepas tu, adalah ni beberapa hari tak balas message aku. Ya Allah, sampai bila nak macam ni? Berapa lama lagi aku nak hadap benda ni berulang kali? Kan elok kalau dia bagi jawapan positif, “Tak apalah sayang abang balik dulu. Nanti kita sembang ye,” dah cukup buat hati aku terubat. Kenapa suami yang sangat aku cintai ni suka buat aku sedih, suka buat aku terluka dan suka buat aku menangis? Aku tak boleh baca fikiran orang. Aku tak boleh cakap atau tulis sesuatu macam yang orang nak. Ke aku je yang selama ni yang sayang kat dia sungguh-sungguh? Tak boleh ke kita gaduh sekejap je? Biasalah kalau terasa hati tu. Tak perlulah gaduh lama-lama. Tak perlulah fikir yang bukan-bukan bila pasangan cakap sesuatu tu. 

Sunday, November 12, 2023

Aku Sendiri Di Sini

Aku tak tahu kenapa aku sedih malam ni. Rasa sedih sangat-sangat. Tapi tak tahu nak cakap dengan siapa. Cakap dengan suami… nanti aku akan dimarahi. Cakap dengan kawan… aku tak nak dia orang bersangka buruk pada suamiku. Bagi tahu keluarga… aku tak nak susahkan hati dia orang dan paling aku tak nak dia orang bersangka buruk pada suami. 

Minggu ni, cuti tiga hari. Aku tak ke mana pun. Duduk je kat rumah dengan kucing-kucing kesayangan aku. Suami… balik kampung dengan isteri pertama. Aku tak kisah pun dia orang balik kampung. Mak mertua pun tak tahu akan kewujudan aku dalam hidup anaknya. Jauh sekali mengetahui yang aku adalah isteri sah kepada anaknya. Tapi aku sedih bila ingat suami berkira nak balik kampung aku. Katanya, kalau balik kampung aku, mesti dua malam. Apa nak cakap kat isteri sana? Takkanlah aku nak ajar semua tu. Nanti kata aku jahat pulak. Tapi, kalau dah beristeri dua, pandai-pandailah. Bukan sorang isteri je yang perlu dia jaga. Isteri kedua pun, tanggungjawabnya sama je. Tak ada beza dengan isteri pertama. Aku rasa, selama setahun ni, banyak hak aku, aku bagi percuma je dekat yang sana. Giliran bermalam jauh sekali. Balik rumah aku pun seminggu sekali je, kadang-kadang je dua kali seminggu.  itu pun dua tiga jam je. Tak bermalam pun. Adil ke namanya tu? Aku bukan tak boleh faham keadaan suami. Tapi aku pun perlukan pengertian suami. Kalau aku dah korbankan apa yang sepatutnya jadi milik aku, pandai-pandailah ambil hati. Bercakaplah dengan baik, dengan kasih sayang bila dalam text, dalam telefon dan bila bertemu. Pasal balik kampung, bukannya tak boleh aku balik sorang. Tapi, aku tak sanggup bila keluarga tanya, mana suami? Jiran-jiran bercakap, dah kahwin tapi balik sorang. Saudara-mara lagi bertanya. Sepertimana dia jaga hati isteri sana dengan keluarga belah sana, macam tulah jugak aku minta, jagalah hati keluargaku terutamanya ibu bapaku. Kalau ye pun tak nak jaga hati aku. Bukannya hari-hari pun kena jaga hati keluarga aku macam mana dia jaga hati keluarga belah sana. Aku cuma minta sesekali. Sesekali, bukan setiap hari, bukan setiap bulan. Aku rindu, rindu pada nenek, rindu pada mama dan abah. Kalau dapat balik satu malam setiap rumah tu pun dah cukup buat aku happy. Tangisan ni tak mahu berhenti sebab aku rasa nak sangat balik kampung dengan suami. 

Sunday, July 23, 2023

Akukah Yang Bermasalah?

Menjadi isteri kedua, bukanlah semudah yang dituduh oleh sebahagian besar orang. Orang selalu cakap, isteri pertama teraniaya. Tapi, dia orang tak tahu, bagaimana isteri kedua diperlakukan. Aku kalau boleh dah tak nak gaduh-gaduh. Nak hidup aman bahagia. Tapi, bila rasa diri tak berharga di hadapan suami sendiri aku rasa sedih sangat. Rasa down. Dua minggu lepas, setelah lama bergaduh, aku minta maaf walaupun hati ni rasa terluka sebab semua kesalahan diletakkan pada aku. OK, tak apalah. Aku mengalah. Aku mengaku je semua aku salah. 

Minggu lepas, aku rasa bahagia sangat. Walaupun, sistem giliran masih belum dibuat. Kalau kita berkahwin, semestinya kita nak suami tu sentiasa ada depan mata. Tapi aku faham. Masanya belum tiba buatku. Dapat jumpa suami beberapa jam seminggu pun jadilah. Dapat jumpa dua kali seminggu biar pun tak lama dah cukup buat aku happy. 

Minggu ni, walaupun aku tak cakap dan aku tak tanya, setiap kali aku balik kerja, aku mengharapkan suami ada di rumah sebab pejabat dia dekat dengan rumah aku. So, dia akan sampai dulu kat rumah. Hari Ahad malam tu, aku dah masak daging goreng kicap. Nak makan dengan suami. Kalau masak lepas balik kerja hari Isnin nanti tak ada masa pulak nak duduk-duduk dan sembang-sembang dengan suami. Aku dapat mesej kata dia nak balik. Aku sedih. Tapi tak apalah. Esokkan ada. Aku pujuk hati sendiri. Hari Selasa, pun sama jugak. Dia mesej aku cakap nak balik. Aku sedih lagi. Daging goreng kicap yang aku masak masih banyak. Tak apalah. Hari Khamis dan Jumaat kan ada. Rabu tu cuti maulidir rasul, confirm dia tak balik. Hari Khamis, masa aku teks dia aku nak balik kerja, dia cakap, dia kat hospital Serdang, melawat staff dia kena strok. OK, hari Jumaat je lagi yang jadi harapan aku. Masa aku nak pergi kerja hari Jumaat, aku tanya dia masuk ofis ke tak. Dia cakap work from home. Maknanya, dia takkan baliklah rumah aku hari ni sekaligus minggu ni. Boleh tak bayangkan macam mana hancurnya hati aku? Kenapa aku yang selalu dikorbankan? Tak ada ke rasa kasih sayang, rasa rindu nak jumpa aku? Macam aku selalu rindukan dia? Dah tu, tak ada pun rasa bersalah. Minta maaf jauh sekali. Bila aku cakap aku penat, boleh tanya pulak penat kenapa. Sebenarnya aku penat nak bergaduh. Hari tu dia cakap aku yang salah. Yelah. Mungkin sebab masa tu aku luahkan semua apa yang aku rasa dekat whatsapp. So, kali ni, aku jugak ke yang salah? Bila dia tak balik rumah aku, aku terasa hati, maka, aku jugak ke yang salah? Bukan aku yang paksa dia kahwin dengan aku. Keputusan ni diambil bersama. Tapi kenapa aku selalu jadi mangsa? Kalau aku bersuara, kata aku salah. Tapi, aku takkan buat salah kalau dia tak mulakan. Aku tak ada nak bising-bising kalau dia tahu tanggungjawab dia. Takkanlah asyik nak gaduh je baru nak balik? Janganlah buat sesuka hati walaupun aku ni isteri kedua. Aku pun perlukan suami aku. Kalau asyik biarkan aku sorang-sorang, baik tak payah kahwin macam ni. Belum ada giliran dah buat aku macam ni. Esok kalau ada giliran, boleh ke patuh? Nak cakap tak boleh. So kita diam jelah. Ingat isteri sana je ke ada hati perasaan? Ingat isteri kedua ni patung? Tak ada rasa apa-apa?