Tuesday, November 2, 2010

Panggilan Yang Menyedihkan

Ketika aku bersendirian dalam kesedihan, satu SMS ku terima. Mungkin itu dari rakanku. Sangkaanku meleset sama sekali. MF! Apa yang dia nak? SMSnya ku baca. Dia melahirkan perasaannya. Katanya, dia tak boleh terima apa yang berlaku. Jiwanya rasa tersiksa. Aku membalas SMS tersebut memberitahu yang aku juga begitu. Aku tanya, di mana dia? Di rumah "DIA". Aku faham siapa yang dimaksudkan. Sekali lagi SMS ku terima kali ni, dia mengatakan yang dia sering terbayangkan aku dan masih berharap agar Allah makbulkan impian kami. Ya Allah! sampai begitukah dia? Sangkaku, hanya aku yang tersiksa atas apa yang berlaku. Rupanya... Dia juga begitu? Ketika aku sedang menulis SMS untuk dikirimkan padanya, telefonku berdering. Ya Allah, diakah? Aku menyambut lemah.

"Hello," Kedengaran suaranya lemah.
"Hello," Tangisan yang tadinya reda, lebat kembali.
"Ayang, abang tak boleh macam ni," Ada tangisan di celah-celah kata-kata itu.
"Abang, ayang pun tak boleh terima semua ni. Kita sabar ya, bang. Kita minta tolong Allah. Ayang pun buntu," Ku lontarkan kata-kata dalam esak tangis.
"Ayang, jangan nangis ya, ayang. Istighfar banyak-banyak, berdoa banyak-banyak," Katanya menahan tangis.
"Abang, kenapa call ayang? Kan bahaya?" Aku tidak mahu berlaku sebarang kekecohan.
"Abang tak boleh tahan," Setelah saling berpesan antara satu sama lain, kami pun menamatkan perbualan.

Ya Allah, aku bingung dengan apa yang berlaku. Tunjukkanlah Tuhan, apakah aku harus pergi jauh dari hidupnya atau tetap di sini, mengharap agar dia milikku. Tuhan, hanya Kau yang tahu apa yang sepatutnya aku lakukan. Pimpinlah Tuhan, pimpinlah tanganku ke jalan yang Engkau redhai. Aku takut, takut kalau apa yang aku lakukan membuatkan Engkau murka padaku. Aku tak mahu terpinggir dari kasih sayangMu, Tuhan. Tolonglah daku wahai Allah Yang Maha Penyayang.

Tidak Dapat Dihubungi

Tatkala mengaktifkan talian telefon bimbit malam tadi, lapan mesej berebut-rebut masuk ke peti masukku. Aku membaca SMS tersebut satu demi satu. Terdapat satu SMS yang memberitahu bahawa beberapa pemanggil menghubungi dan salah satu daripadanya Su. Aku lantas menghubungi Su.

Setelah bertanya khabar akan keadaan diriku, Su memberithu:

"Dia call aku tadi," "DIA" aku tahu siapa yang dimaksudkan oleh Su.
"Dia cakap apa?" Tanyaku mula sedih.
"Dia cari kau,"
"Untuk apa?" Tanyaku lemah.
"Dia cakap, cia call kau tak dapat," Jelas Su.
"Pukul berapa dia call kau?" Tanyaku ingin tahu.
"Lapan lebih,"
"Dia gembira Su?" Tanyaku lagi.
"Sedih, Teja. Aku pun tak kenal suara dia. Selalunya kalau dia call mesti aku kenal suara dia. Dia cakap:
"Hello,"
"Hello," Sambut Su.
"Su apakhabar?"
"Siapa ni?"
"MFlah,"
"Oh, MF, selamat pengantin baru," Kata Su dia diam. Ucapan terima kasihpun tidak keluar dari bibirnya. Sejenak kemudian, dia membuka cerita lain.
"Su, cuba teka saya kat mana,"
"Kat Serdanglah kot, kan dah kahwin,"
"Saya kat tempat latihan. Training," Su terkejut. Baru tiga hari kahwin dah pergi latihan? Biar betul! "Saya demam," Sambungnya lagi.
"Kenapa tak duduk rumah je kalau demam?" Tanya Su hairan.
"Biarlah, demampun pergi jelah latihan,"
"Su, mana kawan awak? Dia kat mana? Saya call dia, tak dapat,"
"Entahlah, MF, saya call pun tak dapat. Saya SMS dia pun tak sampai. Balas SMS pun tak,"
"Su, selalulah call dia. Tanya khabar dia,"
Aku rasa kesian dengan dia, Teja,"
"Betulkah dia sedih Su?" Tanyaku simpati.
"Betul Teja,"
"Tapi kenapa?" Tanyaku bodoh.
"Aku rasa... Dia masih sayangkan kau,"
"Su, aku pun sayangkan dia, sampai saat ni. Tapi... Walaupun aku dulu yang hadir dalam hidup dia, sekarang ni, aku tak ada hak pada dia. "DIA" lebih berhak pada MF daripada aku walaupun dia ambil MF dari aku. Aku sayangkan dia tapi aku tak nak jadi perosak rumahtangga orang," Aku mula menangis.
"Aku faham, Teja. Dugaan ni memang berat. Aku tak tahulah apa jadi pada aku kalau aku di tempat kau. Tuhan tu Maha Tahu, dia bagi dugaan ni pada kau sebab Dia tahu boleh tanggung. Memang pedih, Teja. Kau banyakkan sabar ya, Teja. Buat solat Hajat dan Solat Istikharah banyak-banyak. Minta petunjuk apa yang perlu kau buat sekarang. Aku faham perasaan kau. Aku pun tak tahu kenapa dia orang sanggup buat macam ni,"
"Kalau kau Su, kau nak kahwin dengan lelaki yang kau tahu masih ada kekasih?" Aku sengaja menduga Su.
"Tak naklah. Aku kan perempuan. Aku tahu hati perempuan. Tapi aku tak tahulah kenapa dia orang buat macam ni. Dia orang pun perempuan, takkan tak faham perempuan. Kau sabar banyak-banyak ya Teja," Su menenangkan hatiku yang lara.
"Su, mesti dia orang rasa puas kan, Su? Mesti "perempuan" tu rasa gembira kerana akhirnya, dia menang, dia dapat tewaskan aku. Dan aku, aku kalah, Su. Aku kalah," Tangisan tidak dapat dibendung lagi.
"Teja, Allah kan suka orang yang sabar. Mesti lepas ni Allah bagi kau kebahagiaan mungkin lebih bahagia dari dia orang. Tak apa Teja. Biar kau kalah sekarang. Tapi aku rasa kau pasti akan menang. Kau tunggulah nanti. Allah takkan menzalimi hambaNya. Cuma kita tak tahu kemenangan yang macam mana yang Tuhan nak bagi pada kau. Kau sabar ya, Teja. Jaga diri baik-baik. Jangan rosakkan diri kau sendiri," Su, seorang rakan yang cukup tahu selok-belok hubungan antara aku dan MF. Selama tiga tahun bersamanya, Sulah tempat aku menceritakan kegembiraan dan kesedihan aku. Aku beruntung kerana mendapat kawan sebaik kau, Su. Terima kasih, Su.

Lebih kurang pukul 11.00 malam ketika aku bersiap mahu tidur, Shah pula menghubungiku. Shah mahu mengajak aku bercuti bersama rakan-rakannya di Bukit Freser hujung minggu ni. Maaf Shah, bukan aku tak sudi, tapi aku dah janji dengan kawanku di Timur tanahair. Aku ingin ke sana hujung minggu ni. Dalam perbualan tersebut, Shah juga tidak lupa menyelitkan kata-kata nasihatnya terhadapku. Shah lelaki, tapi cukup sensitif dalam hal macam ni.

"Teja, hari tu, aku telefon kau, kau tengah nangis. Lepas aku bercakap dengan kau, aku fikir, kesian kat kau. Kau sedih,"
"Tak apalah, Shah. Nak buat macam mana?"
"Teja, kau jangan sedih lagi. Ingat, bukan dia sorang yang boleh bahagiakan kau. Ada lelaki lain yang boleh bahagiakan kau dan kau akan lebih bahagia daripada tu,"
"Memanglah, Shah. Aku tak nafikan kemungkinan tu tapi dia cinta pertama aku. Susah aku nak lupakan dia,"
"Teja, kau jangan harapkan dia lagi, dia dah kahwin. Memanglah dia sayangkan kau tapi dia hak orang,"
"Taklah Shah, aku pun tak nak jadi perosak rumahtangga orang tapi kalau Allah dah tulis jodoh aku dengan dia, pasti Allah akan buka jalannya. Cuma... Aku harap, aku takkan jadi perampas. Biarlah orang nak ambil hak aku. Kalau boleh, aku tak nak ambil hak orang," Aku menjelaskan pada Shah.
"Baguslah macam tu. Kau jangan sedih lagi, ya, Teja. Fikri kan ada. Entah-entah, dia tak jodoh kau?" Shah cuba mengalihkan perhatianku kepada seorang jejaka yang ku kenali 11 bulan lalu.
"Dia kawan aku jelah," Ujarku.
"Tapi aku rasa... Dia sukakan kau. Betul-betul sukakan kau,"
"Ah, dahlah, aku peninglah. Itu pun belum tahu lagi. Belum tahu keluarga dia macam mana. Aku tak nak menaruh harapan pada siapa-siapa. Sedangkan keluarga orang yang senasib dengan aku pun boleh "reject" aku, ini pula orang normal," Aku berasa rendah diri.
"Alah Teja, tak mustahil, kalau dah itu jodoh kau. Mana tahu kan kalau Tuhan nak bagi, selama ni pun kau dah banyak bersedih. Tuhan tu takkan menzalimi hamba Dia lah. Mana tahu kalau Tuhan dah tulis dia untuk kau,"

Shah, Shah, suka bagi semangat pada aku. Tapi Okay lagilah berbanding dengan Helmi. Siap tolong berangankan untuk aku macam mana kalau aku jadi permaisuri di salah sebuah negeri di Malaysia ni. Masa tu, aku yang menangispun boleh ketawa dengar angan-angan dia untuk aku. Melampau betul angan-angan tu. Kot ya pun biarlah berpijak di bumi nyata. Helmi, Helmi. Aku rasa bersyukur kerana ada rakan-rakan seperti mereka yang sentiasa cuba untuk menghilangkan kesedihanku dengan pelbagai cara. Dulu, Su pernah bagi tahu aku:

"Aku rasa, Shah tu memang sayang sangat kat kau," Ujar Su tiba-tiba.
"Sayang? Kenapa pula?" Tanyaku terkejut.
"Maksud aku, sayang sebagai sahabat. Sebab, dia selalu puji kau dan dia selalu bela kau kalau orang cakap apa-apa tentang kau," Su ikhlas dengan pendapatnya.
"Mungkin juga. Shah tu, walaupun kadang-kadang "moody" tak bertempat, tapi dalam soal kawan, dia memang baik,"

Terima kasih sahabat-sahabatku yang amat memahami. Sesungguhnya, aku bersyukur kerana memiliki sahabat seperti kalian.

Kepada pengunjung yang sudi membaca blogku, maafkan aku kerana mengirimkan entri yang panjang seperti ni. Aku sekadar ingin meluahkan rasa hati yang sedang berdukacita. Jika kalian tidak mahu membaca atau bosan dengan kisahku, tinggalkan blog ini. Kerana di sini tiada apa yang istimewa, hanya jalinan kisah dan rintihan suara hati seorang perempuan yang sering diuji dengan pelbagai dugaan hidup oleh PenciptaNya.

Monday, November 1, 2010

Takdir Allah...

Sabtu, 30 Oktober, 2010

Subhanallah! Innanillahi wainna ilaihi rajiun

Betapa pedihnya hakikat ini. Betapa pilunya jiwa ini. Hati meronta, perasaan merusuh, kalbu menangis menerima ketentuan Allah. Namun iman yang sedikit ini cuba mententeramkan hati yang lara.

Hari ini, hari perkahwinan kekasih yang amat ku cintai. MF, mengapa nasib kita begini. Kedatanganmu untuk kali kedua bagi memperbetul kesilapan dulu tidak kesampaian. Dengan paksaan dan dirancang, akhirnya ibumu berjaya memisahkan kita. Namun hati kita? Hati kita sama-sama meronta enggan meleraikan ikatan yang terbina. MF, betapa aku mencintaimu. Betapa aku menderita kehilanganmu. Tapi Allah menentukan perpisahan sekali lagi buat kita.

Pukul 3.00 lebih pagi, MF menghubungiku. Dia tidak dapat tidur mengenangkan apa yang akan berlaku beberapa jam lagi. Aku yang telah jauh meninggalkan Kuala Lumpur kerana tidak sanggup berhadapan dengan apa yang bakal terjadi cuba menahan sebak di dada dan melayaninya sebaik mungkin.

6.28 pagi, MF menghubungiku lagi. Dia menyatakan kesedihannya dan ketakutannya akan kehilangan aku. Tapi... Apakan daya. Semuanya telah dirancang.

"Semua orang dah bangun ke?" Tanyaku ingin tahu kerana tidak kedengaran riuh-rendah di sebelah sana.
"Tak ada pun. Macam tak ada apa-apa,"
"Takkan orang tak bangun lagi?" Tanyaku inginkan kepastian.
"Tak." Jawabnya ringkas.
"Adik-beradik abang semua dah balik?"
"Tak pun," Tak? Kenapa begitu? Ragu di hati ku simpan jauh di sudut.
"Ayang, kalau abang kahwin dengan ayang, mesti awal-awal lagi abang dah cuti kan?"
"Ya ke?" Tanyaku menduga.
"Mestilah. Nak kahwin dengan orang kita suka, mestilah tak sabar," Kesian dia. Minggu ni, dia bekerja sepanjang minggu seperti biasa seolah-olah tiada apa yang akan berlaku. Dia balik ke kampung malam tadi. Pelikkan? Pengantin sepatutnya cuti seminggu sebelum hari perkahwinan tapi dia tidak. Bukan itu saja, pukul berapa nak bertolak ke majlis akad, persiapan dah sedia atau belum, barang-barang hantaran, cincin, semua dia tak tahu. Kad pun tidak diedarkan sepenuhnya. Khamis lalu ada sedikit kad diberikan kepada kenalan. Itupun, hanya kenalan terdekat. Rakan-rakan satu tempat kerjanya mengesahkan hal itu. Ada beberapa orang "customer" bertanyakan dirinya yang nampak semakin kurus dan tak terurus. Dia tidak seceria bakal pengantin yang lain. Ada juga rakan yang menghubunginya lewat telefon malam tadi bertanya mengapa suaranya kedengaran sedih sedangkan esok mahu melangsungkan perkahwinan. Ramai yang pelik kenapa dia tidak mengambil cuti awal? Kenapa dia kelihatan sedih dan tidak bermaya? Kenapa dia tidak gembira sedangkan hari pernikahan semakin dekat? Namun, rahsia hati antara aku dan dia hanya kami yang tahu. Hanya seorang dua saja yang tahu akan hal sebenar. Ramai juga yang pelik mengapa dia tidak berkahwin denganku? Seperti kata rakanku Su yang juga rakan sekerjanya:

"Aku tak percayalah, dia nak kahwin. Nak jadi suami orang,"
"Kau tak percaya, Su? Aku lagi tak percaya. Habis tu, kalau dia nak kahwin dengan aku pun kau tak percayalah?" Aku menduga.
"Kalau dengan kau tu aku percayalah. Itulah yang aku harapkan. Kau orang dua-dua baik. Dan aku tahu dia sayang sangat kat kau. Kau pun memang sayang gila kat dia," Ujar Su.
"Su, kau rasa... Betulkah dia sayangkan aku?" Tanyaku ragu.
"Teja, kalau dia tak betul-betul sayangkan kau, takkan dia sanggup buat semua tu untuk kau. Takkan dia sanggup susah-susah sebab kau? Takkan dia sanggup berhabis duit untuk kau? Tengoklah keadaan diri dia tu, bukan aku je yang cakap, tapi "customer" pun perasan dia tak macam selalu," " Aku diam memikirkan kata-kata Su.

Cincin di jari manis ku pegang. Saat-saat dia mahu dinikahkan, dia bersusah-payah membelikan cincin emas buatku sebagai hadiah hari lahirku. Sepatutnya, dia membeli cincin untuk bakal isterinya. Lantas aku teringat suatu memori:

"Abang bagi ayang duitlah, ayang beli tilam yang ayang nak tu, ya? Berapa harga tilam tu?" Cadangnya minggu lepas.
"Tak payahlah, abang. Mahallah," Aku kurang senang.
"Berapa?" Tanyanya.
"Tak nak, mahal," Aku enggan memberitahu harga tilam tersebut.
"Ayang, abang tanya berapa? Bukan nak ke tak nak," Suaranya dikeraskan, memberi amaran agar jangan bangkitkan kemarahannya. Memang cara inilah yang sering digunakan bila aku berdegil. Dia arif dengan sikapku yang degil dan untuk membuatku menurut katanya, suara sengaja dikeraskan kerana aku tak boleh bila dia memarahiku.
"Dulu masa promosi raya RM399.00. Tak tahulah sekarang," Jawabku perlahan.
"Sekarang mungkin RM400.00 lebih. Nanti abang bagi duit ayang pergi beli," Dia mengagak.
"Abang, abang tak payahlah susah-susah untuk ayang. Ayang sayang kat abang bukan sebab ayang nak duit atau barang. Yang penting, abang pun sayang kat ayang. Tilam spring tu, nanti ayang ada duit ayang belilah. Ayang tak nak susahkan abang,"
"Tapi, badan ayang tu selalu sakit. Abang tak boleh kalau ayang sakit, ayang faham tak? Jangan buat abang risau boleh tak? Jangan degillah ayang, abang tak suka,"
"Abang, tilam spring tu ayang yang nak. kalau nak beli tilam murah tu, ayang boleh belilah tapi ayang nak kumpul duit dulu nak beli yang OK. Abang kan nak kahwin, nak pakai duit. Tak payahlah," Aku sebak.
"Pakai duit untuk apa? Abang tak tahu langsung fasal tu. Abang tak kisahlah kalau abang susah sebab ayang. Abang ada duit, bukan tak ada duit. Ayang kan tahu, abang akan bagi apa je yang ayang nak,"
"Ya, tahu. Sebab tulah ayang tak nak susahkan abang. Ayang tak nak ambil kesempatan pada abang. Ayang tak nak salahgunakan kebaikan abang. Abang ni bahayalah..."
"Bahaya kenapa?" Tanyanya pelik.
"Yalah, semuanya nak bagi. Kalau ayang ni jahat, dah lama dah ayang kikis duit abang. Ayang boleh hidup senang-lenang,"
"Kalau ayang macam tu, dah lama dah abang tinggalkan ayang. Abang takkan cari ayang balik. Abang tahulah, macam mana perempuan yang kikis ke tak kikis. Ayang tahu tak? Abang ni sebenarnya kedekut dengan perempuan. Abang bukan senang-senang nak bagi perempuan macam-macam apa lagi yang mahal-mahal. Tapi bila dengan ayang, abang rela berhabis walaupun ayang tak minta," Kenapa aku tak minta ya? Mungkin mama selalu pesan, kalau nak kawan dengan lelaki kena ikhlas, jangan main-mainkan perasaan orang. Jangan minta itu dan ini nanti buruk padahnya. Jangan suka habiskan duit lelaki nanti hidup tak berkat. Jangan jadi perempuan yang tak boleh dibuat isteri. Wan kawanku pernah berkata:

"Ish, apalah kau ni, kalau aku jadi kau, memang habislah dia aku kerjakan. Kalau bapa kau tu bapak aku pun memang mewahlah hidup aku,"

Ada juga rakan-rakan yang mengatakan aku beruntung kerana dapat MF walaupun nampak garang, sombong dan serius, tapi tak kedekut dengan aku. Macam-macam dibelikan untuk aku. Dari minyak wangi berjenama mahal, emas, hinggalah getah ikat rambut dan kerongsang dibelikan untukku. Itu tak termasuk "top up", teddy bear besar berbulu panjang, makanan kesihatan dan belanja makan. Di mana-manapun kami makan termasuk kedai mamak, warung tepi jalan hinggalah ke Secret Recipe. Bila dia tahu aku tidak cukup duit, duit belanja pasti dihulurkan. Lagi satu, dia suka buat "surprise". Macam-macam kejutan dilakukan untuk menggembirakan aku. Orang kata, orang berbudi, kita berbahasa. Untuk itu, ada masa-masanya, aku pula yang akan belanja dia di tempat-tempat yang istimewa, belikan dia barang-barang yang dia suka, masakkan dia makanan dan macam-macam lagi. Walaupun gajiku tidaklah sebesar mana, untuk dia, aku rela berjimat dan menyimpan untuk belikan barang sebagai hadiah. Memanglah, hadiah tu murah pun tak apa janji ikhlas. Tapi, kalau kita je yang asyik terima barang-barang mahal, apa salahnya kita cuba memberi barang yang setanding dengan apa yang diberikan pada kita. Bukan selalupun. Kalau nak dikira, dia lebih banyak berhabis untuk aku berbanding aku.

Pernah pada hari lahirnya aku tidak cukup duit untuk membeli kek kerana wang yang ada sudahku gunakan untuk membeli hadiah dan belanja makan jadi, aku membuat agar-agar yang cantik sebagai ganti kek buatnya. Dia ketawa bila tahu aku tak ada duit nak beli kek.

"Ayang tak payah susah-susah untuk abang, abang tahu ayang tak banyak duit. Abang tak minta ayang balas apa yang abang bagi," Aku sebak.
"Tapi, ayang pun nak buat yang terbaik untuk abang. Kalau ayang ni gaji besar, mesti boleh buat apa yang abang buat pada ayang kan, bang?" Air mata mula bergenang.
"Ayang, ayang tahu tak kenapa abang sayangkan ayang?" Katanya dengan lembut.
"Tak," Aku geleng.
"Sebab, ayanglah perempuan yang paling baik yang pernah abang jumpa. Ayang sayangkan abang betul-betul, abang dapat rasakan yang ayang sayang sangat pada abang. Ayang tetap sabar dengan sikap abang walaupun abang selalu marah dan kasar dengan ayang. Auang tetap sayangkan abang. Tak pernah berubah walaupun selalu jadi mangsa panas baran abang. Ayang ada ciri-ciri wanita yang abang idamkan,"
"Betulkah abang?"
"Betul, sayang. Abang tahu ayang tak percaya sebab abang ni selalu main-main. Tapi itulah kenyataannya,"

Kalau dulu... Aku memang tak percaya dengan kata-katanya sebab aku sering dimarahi dan aku selalu jadi tempat dia melepaskan tekanan perasaannya. Tapi... Sejak kehadirannya kembali, aku yakin dengan kata-kata itu kerana dia bukan saja berkata-kata tapi membuktikannya dengan perbuatan. Kata Su, semasa kami berpisah dulu, dia sering bercerita tentang aku, tentang kebaikanku, tentang keluargaku dan apa saja tentang aku. Kadang-kadang sering bertanyakan tentang aku.

"Ayang, abang betul-betul sayangkan ayang. Abang rasa seronok bila bersama ayang. Selama ni, abang tak pernah rasa orang sayangkan abang dan bagi perhatian pada abang walaupun keluarga abang sendiri. Tapi ayang bagi abang kasih sayang dan perhatian yang abang idamkan selama ni. Ayang manjakan abang dan ayang manja dengan abang. Keluarga ayang pun baik dengan abang. mak ayah dan adik-beradik abang pun tak layan abang macam keluarga ayang layan abang. Sekarang, abang dah tak kisah kalau susahpun dengan ayang. Janji ayang ada dengan abang. Janji kita dapat sama-sama susah dan senang. Bila kita berpisah, baru abang sedar yang kahwin dengan orang normal tak semestinya abang akan bahagia. Abang memang tak boleh lupakan ayang. Abang suka bila ayang layan abang dengan lemah-lembut. Abang suka dengar ayang bercakap sebab ayang bercakap pun lembut je, sedap telinga mendengarnya dan ayang ada gaya ayang yang tersendiri. Ayang ada daya penarik yang membuatkan orang suka nak dekat dengan ayang. Sebab tu abang tak suka bila ayang bercakap dengan lelaki lain sebab cara ayang cakap pun dah boleh buat orang nak mengenali ayang, itu belum lagi layanan ayang,"
"Abang ni merepeklah. Mula nak melalotlah tu. Ayang layan orang semua sama jelah lelaki perempuan, semuanya ayang cakap baik-baik. Kalau dah orang berbual dengan kita, mestilah kita kena layan baik-baik, bukannya ayang nak tarik perhatian orang,"
"Ya, abang tahu, tapi semulajadi diri ayang tu yang buatkan orang boleh tertarik dengan ayang. Faham tak?" Aku tergelak melihatkan cemburunya. MF ni seorang yang kuat cemburu. Tapi aku senang begitu. Itu tandanya, dia sayangkan aku.

Setelah itu, MF menghubungiku lagi. Entah berapa kalipun aku tak ingat. Kami sama-sama menangis dan masih berharap agar Allah mengubah takdirNya. Namun... Allah tetap dengan ketentuanNya.

9.00 lebih pagi, MF menghubungiku lagi dan inilah panggilan terakhirnya sebelum dia bergelar suami kepada seorang perempuan bukan pilihannya, pilihan ibunya. Sekali lagi kami menangis dan saling berpesan antara satu sama lain.

"Abang, abang ingat ya, nanti bila ayang tak ada, abang kena kuat, jaga diri baik-baik, jangan bagi orang ambil kesempatan pada abang. Tak ada siapa yang boleh selamatkan diri kita melainkan kita sendiri," Pesanku dalam esak tangis.
"Abang akan ingat semua pesan ayang. Ayang pun jaga diri baik-baik ya. Jangan rosakkan diri ayang kerana abang. Abang tak boleh dengar ayang sakit atau susah, ingat tu. Nanti semua kerja abang tak menjadi. Abang tak boleh fokus. Abang sayangkan ayang. Kalau ada jodoh, pasti kita akan bersatu. Abang kalau boleh tak nak ada mana-mana lelakipun yang miliki ayang, yang sentuh ayang. Sebab abang cintakan ayang. Abang serius dengan ayang bukan main-main. Ayang untuk abang,"
"Abang, ayang pun macam tu juga. Tapi kalau takdir Allah begitu, siapalah kita untuk melawan takdirNya. Kalau diikutkan hati, ayangpun tak nak abang kahwin. Tak nak abang tinggalkan ayang tapi... Ayang buntu, tak tahu apa yang mesti ayang buat. Kalau ayang ajak abang lari, macam mana dengan mak abang? Keluarga abang? Ayang masih fikirkan dia orang walaupun dia orang tak pernah fikir fasal ayang atau fasal abang, kehendak abang,"
"Ayang baik, sebab tu abang sayang ayang. Sebab tulah, abang tak boleh lupakan ayang dan sebab tu jugalah abang datang semula pada ayang," Kedengaran ibunya memanggil. Mungkin menyuruhnya bersiap untuk upacara akad nikah. Dengan berat hati, setelah mengucapkan kata-kata akhir, kami mematikan talian.

Dan... Sehingga hari ini, aku belum menerima sebarang berita daripadanya. Biarlah, aku tidak berkecil hati kalau dia tidak menghubungiku walaupun aku sentiasa menantikan panggilannya. Untuk mengelakkan aku ternanti-nanti, telefon ku matikan sehingga perasaan sedikit reda. Betulkah dia tidak akan melupakanku meskipun telah beristeri seperti katanya:

"Abang akan tetap ingat ayang dan cintakan ayang sampai bila-bila,"
"Tapi cinta abang pada ayang mesti hilang sedikit demi sedikit bila dah ada isteri nanti,"
"Tapi dia tak sama macam ayang. Dia keras orangnya, cepat naik angin, panas baran dan kata-katanyapun tak lembut macam ayang. Abang lebih suka cara ayang. Takkan abang boleh lupakan ayang?"
"Abang, memang kalau boleh ayang nak abang sentiasa cintakan ayang. Tapi, bila abang dah kahwin, dia lebih berhak untuk abang cintai. Siapalah ayang pada masa tu. Ayang takkan salahkan abang walaupun abang bahagia bersama dia. Ayang tak ada hak abang walaupun ayang dulu yang datang dalam hidup abang. Walaupun dia yang ambil abang dari ayang tapi lepas ni, dia lebih berhak pada abang. Ayang pun takkan ganggu abang lepas ni. Ayang takkan porak-perandakan rumahtangga abang. Ayang tak nak jadi perampas atau peruntuh rumahtangga orang walaupun ayang sayang sangat kat abang,"

Bisanya belati ini, hingga kini masih terasa. Tuhan, jauhkan hati ini dari segala sifat mazmumah dan hiasilah hati lemah ini dengan sifat-sifat mahmudah. Tuhan, elakkanlah hati ini dari mendoakan yang bukan-bukan. Tuhan, aku pasrah dengan segala ketentuanMu.

Berbahagialah makcik sekeluarga kerana akhirnya, makcik berjaya memisahkan saya dengan anak makcik dan menjodohkan anak makcik dengan menantu pilihan makcik.

Bergembiralah "dia" (isteri MF) kerana berjaya memiliki MF dengan sokongan ibu dan seluruh keluarganya.

Rianglah rakan-rakan MF yang mengharapkan MF berkahwin dengan orang normal kerana MF telahpun memenuhi harapan kalian.

Berpuas hatilah kalian di atas kemenangan kalian.
Bergembiralah kalian di atas kekalahanku dalam pertaruhan ini.
Bersukarialah kalian atas kehancuran cinta kami.

Ku kutip sisa harapan yang berderai. Ku himpun serpihan cinta yang berkecai. Ku persembahkan padaMu Tuhan yang Maha Luas PengetahuanNya. Biarku peluk segala cintaMu untuk mengubat lara hati ini. Kalau ini ketentuanMu kau redhakanlah hati ini untuk menerimanya. Tuhan, Kau berikanlah kebahagiaan dan ketenangan kepadaku sebagai hadiah kepada kekecewaan ini.

MF,
Kalau jodoh kita kuat, pasti masa itu akan tiba dengan segala rasa kesyukuran dan kegembiraan. Tapi andainya inilah takdir Allah, kenanglah daku dalam setiap doamu.