Ku dengar bunyi ketukan di pintu. Ada tetamu rupanya,
"Masuklah," Aku mempersilakan
Dia masuk dengan membawa bingkisan di tangannya. Aku kaget melihat tetamu yang tidak diundang itu masuk. Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya. Dia menyapaku dengan ramah.
"Siapa tuan hamba?" Aku bertanya dalam curiga.
"Aku utusan yang diutus ke sini untuk menyampaikan bingkisan ini," Dia lantas menghulurkan bingkisan di tangannya kepadaku. Bingkisan yang berbalut kertas cantik berlatarkan warna keemasan ku buka. Dia hanya melihatku sambil tersenyum. Matanya tidak lepas dari memerhatikan setiap gerak-geriku. Dengan cermat, aku membuka bingkisan yang diberi. Kertas sudah siap dibuka. Kotak baldu biru sederhana besar kelihatan. Di atasnya tertera "2012". Aku memerhati kotak itu penuh minat. "Oh, ini ke utusan yang membawa tahun demi tahun yang diceritakan orang itu?" Selama ni... Aku tidak pernah bertemu dengannya kerana dia sering datang sewaktu aku tiada di istanaku.
"Bukalah," Kata si utusan. Aku lantas membuka kotak itu. Isi di dalamnya sungguh indah, berwarna-warni dan semerbak harum baunya. Segala berterbangan ke angkasa. Aku memerhatikan isinya:
Satu jambangan cinta yang digubah indah, serumpun kasih rindu membara, Sebatil kejayaan, sebungkal kemenangan, seguni kegembiraan, sekuntum ketenangan, sepemeluk kebahagian, sedahan keriangan, sekepoi penghargaan untuk ku nikmati anugerah dari Ilahi yang dijanjikan buatku.
Segenggam keberanian, satu bejana kekuatan, satu kelosong kecekalan, satu botol ketabahan, seruas semangat, setempayan tenaga sebagai bekal untuk aku mengharungi 2012, agar aku dapat bangkit dan berdiri semula setelah jatuh.
Dan...
Seutas kesusahan, sehasta kesedihan, segantang kemarahan, secupak ketakutan, sekati kesengsaraan, sekendi kekalahan untuk mengajar aku tentang hidup, tentang pengorbanan untuk aku menjadi lebih dewasa, juga sebagai ingatan bahawa aku adalah insan yang lemah. Kepada Allah jualah tempat aku meminta dan berserah. Segala kesulitan bukan untuk menzalimiku tetapi kerana cintaNya. Dia tidak mahu aku jauh daripadaNya.
"Terima kasih, wahai utusan," Aku merenungnya dengan perasaan gembira dan gentar yang berbaur.
"Apa... Tuah hamba tidak gembira dengan bingkisan ini?" Tanyanya. Mata kuyunya lembut membelai wajahku.
"Ya, hamba gembira," Jawabku lambat.
"Tuan hamba takut?" Tanyanya lagi dengan suara yang perlahan.
"Ya... Ya...," Dia lantas senyum.
"Manusia memang begitu. Bergembira dengan rahmatNya tapi takut akan ujianNya. Jangan risau, tuan hamba akan berjaya menghadapi 2012 ini dengan baik. Hamba tahu, 2011 yang pergi telah banyak memberi ujian dan cabaran kepada tuan hamba. Lihat, tuan hamba masih lagi tenang dan kuat menghadapinya hingga ke saat ini. Pastinya 2012 ini akan tuan hamba hadapi dengan jayanya juga kecuali mati yang menjemput tuan hamba kepadaNya yang sentiasa menanti hamba-hambaNya bertemu denganNya. Insya-Allah, segalanya akan berjalan dengan lancar,"
"Insya-Allah. Doakan hamba ye,"
"Ya, Insya-Allah," Si utusan bersiap-siap untuk pergi.
"Tuan hamba ingin pergi?" Tanyaku seakan tidak mahu melepaskannya pergi.
"Ya, masanya telah tiba. Hamba telahpun tunaikan tanggungjawab hamba menyampaikan bingkisan ini kepada tuan hamba. Selesailah sudah tugas hamba,"
"Bermalamlah di sini. Hari sudah menjelang larut malam. Esok saja berangkat,"
"Tidak boleh. Hamba harus pergi sekarang,"
"Tuan hamba mahu bermalam di jalanan?"
"Tidak mengapa. Tidak menjadi masalah bagi hamba kerana hamba harus pulang segera. Boleh... Hamba minta untaian 2011 untuk dibawa pulang? Tuan hamba sudah siap menganyamnya dengan pelbagai peristiwa bukan?" Tanyanya sopan.
"Boleh. Sebentar," Aku ke belakang membuka almari. Untaian 2011 ku keluarkan. Ku lipatnya kemas. Ku kembali kepada si utusan.
"Ini untaiannya,"
"Cantik sekali. Pastinya 2012 lebih cantik, bukan?" Duganya.
"Insya-Allah," Si utusan membuka lipatan dan meneliti warna-warna anyaman. Satu benang hitam dianyam besar kelihatan pada hujung 2011.
"Lihat, tuan hamba berjaya menganyam hitam ini menjadi cantik meskipun dalam kesusahan." Dia mengunjukkan bahagian hitam tersebut.
"Ya, alhamdulillah. Tapi terlalu sukar. Hambapun tak pasti bagaimana ia boleh menjadi begitu meskipun hitam,"
"Kerana Allah menyayangi tuan hamba. Tuan hamba adalah insan terpilih untuk diuji begitu. Ingat, ada insan lain yang lebih malang daripada tuan hamba. Usah bersedih. Jangan dikenang barang yang lepas. Ambillah 2012 dengan penuh keazaman."
"Terima kasih, wahai utusan. Pesan tuan hamba akan selalu hamba ingat," Aku mengiringi si utusan ke ambang pintu. Dalam pekat malam, dia yang lengkap bepakaian pahlawan Melayu melangkah pergi dengan langkah gagahnya. Sesekali dia menoleh ke arahku. Aku melambaikan tangan padanya. Dia membalas mesra lambaianku.
Aku menutup pintu. Bingkisan tadi ku dekati dan ku amati. Tepat jam 12.00 pagi, satu lorong pelbagai warna terbentang di hadapanku.
"Masanya telah tiba! Melangkahlah!" Kedengaran satu suara menyuruh. Aku teragak-agak.
"Melangkahlah Teja! Jangan berlengah lagi. Kembaralah kamu di dalam terowong 2012 kerana di sana ada segalanya."
Aku melangkah dan pintu terowong tertutup.
"Selamat jalan, Teja!" Suara itu memberi ucap selamat.
"Terima kasih, suara," Aku menjawabnya terketar-ketar.
Dan kini... Aku di sini, di dalam terowong yang berwarna-warni seorang diri, menempuh 2012 yang penuh misteri.
Tuesday, January 3, 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)