Thursday, April 19, 2012

Salahkah Aku???

Dia, yang aku kenali dua tahun lalu sudah mula dekat di hatiku. Malah, dia salah seorang yang menjadi penguat tatkala aku kecundang dalam cinta tiga tahun lalu. Kami tidak pernah bersua muka. Hanya telefon yang menghubungkan kami. Tapi perasaan tetap perasaan. Meskipun tanpa wajah, rasa tetap hadir, menusuk halus ke sanubari.

1 April lalu, aku mengutarakan tentang dia yang enggan memberi gambarnya padaku, tentang keengganannya untuk bertemu denganku. Aku tak tahu kenapa begitu? Adakah dia benar-benar sibuk atau itu hanya alasan untuk mengelak daripada menemuiku. Setelah aku menghantar mesej terakhir, dia terus mendiamkan diri hingga hari ini. Hampir dua minggu aku membiarkannya. Minggu lepas, aku menghubunginya. telefon tak bersambut, mesej tak berjawab. Kenapa? Apa masalahnya? Salahkah aku mengutarakan persoalan di atas. Kalau dia benar-benar serius dalam hubungan kami, pastinya dia akan sedaya-upaya untuk datang bertemuku. Lebih membingungkan, dia turut menghalang hasratku ke tempatnya untuk bertemu dengannya.

Semalam, aku menghubunginya menggunakan telefon pejabat. Dia jawab. Suaranya seakan malas melayanku. Mungkin dia terangkat. Katanya, malam baru boleh bercakap. Tapi sampai sekarang dia tak jawab panggilanku dan mesejku juga tidak berbalas.

Kenapa E? Kenapa? Besar sangatkah dosa saya pada awak? Atau awak dah ada orang lain? Kalau awak dah tak perlukan saya, cakap terus-terang, cakap dengan baik sepertimana baiknya awak ketika mahu menjalinkan hubungan seperti dulu. Awak selalu minta saya setia, tapi sekarang awak buat saya macam ni. Besar sangatkah salah saya? Saya serius dengan awak, saya tak main-main. Sebab tulah saya nak segala-galanya berjalan dengan cara yang sepatutnya. Saya hanya mahu bertemu dengan awak, mahu pastikan yang awak betul-betul boleh terima saya. Bukan nak suruh awak kahwin dengan saya sekarang.

Awak tak tahu macam mana hati saya. Awak tak tahu saya betul-betul ikhlas dan serius dengan awak. Tak ada satupun saya sembunyikan daripada awak. Semuanya saya ceritakan pada awak. Tentang saya, tentang keluarga saya, tentang kekurangan saya dan kehidupan saya. Awak tak boleh baca ke keikhlasan saya? Jika tidak masakan saya beritahu semua kekurangan saya meskipun saya tahu yang saya berisiko tinggi untuk ditinggalkan.

Kenapa sekarang? Kenapa setelah saya terima kehadiran awak dalam hidup saya baru awak buat macam ni kat saya? Awak tak kesiankan saya ke?

Adakah sejarah hitam itu kembali berulang dalam hidupku? Kenapa? Kenapa setiap lelaki yang aku temui buat aku macam ni? Mereka tak tahukah, apabila Teja melafazkan kata cinta, pastinya Teja bersedia untuk susah-senang bersama? Tak dapatkah mereka rasakan betapa ikhlasnya hatiku terhadap mereka? Atau... Aku yang bodoh, lemah, menyerahkan cintaku kepada orang yang silap? Bodohkah aku ini? Kenapa aku sering dikecewakan?