Sunday, December 29, 2019
Ungkapan Maaf Itu Penawar
Sebagai seorang perempuan yang dibesarkan dalam suasana panas dan ego, aku sangat dahagakan kasih sayang serta perhatian.
Itulah yang aku harapkan terhadap seorang lelaki yang bakal menjadi suami.
Lebih-lebih lagi aku yang ditakdirkan untuk melalui perkongsian kasih dan jika diizinkan, akan berkongsi suami.
Saat orang yang dicintai tiada di depan mata dan diketahui sedang bersama dengan yang di sana, hati menjadi hiba. Jika tiada sebarang khabar, pasti duka melanda kerana mungkin aku telah dilupakan dengan hangat belai manja yang di sana.
Perasaanku redup sepanjang hari ibarat awan melitup bumi. Hati mula terasa jauh. Rajuk mula bertandang. Apakan daya, dia bukan milikku.
Begitulah yang aku rasakan sepanjang hari Rabu lalu.
Tapiii...
Demi menerima text permohonan maaf kerana tidak melayanku hari itu ditambah dengan kata-kata lembut, hati yang rajuk sekonyong-konyong terubat. Maaf itu ibarat penawar yang merawat segala kepedihan sepanjang hari yang ku tanggung.
Jika boleh aku gambarkan, saat membaca text abang meminta maaf kerana sibuk melayan yang di sana sehingga mengabaikan aku, ianya seperti hatiku yang membeku seperti ais Kutub Utara terus mencair seperti disinari hangat mentari Gurun Sahara.
Aku menangis kesayuan dan terharu. Dalam sibuk dan penat abang melayan yang di sana, abang masih lagi fikirkan perasaanku, hatiku.
Hati yang rajuk rasa terubat. Moodku terus bertukar ceria setelah menghabiskan tangis kesayuanku.
Dan aku semakin bersemangat untuk berusaha menjadi yang terbaik buatnya meskipun aku tahu bukan mudah.
Terima kasih abang kerana membuatkan sayang rasa dihargai.
Sayang bukan mahu abang tunduk kepada sayang. Sayang hanya mahu merasai kasih sayang abang biarpun dari kejauhan. Permohonan maaf itu sebenarnya menambahkan rasa hormat sayang pada abang.
Begitulah ajaibnya perkataan maaf dan sikap lemah-lembut itu. Ianya membuatkan semakin bertambah kasih sayang sayang untuk abang.
Friday, December 27, 2019
Apa Yang Aku Rasa
Biar aku lakarkan di sini tentang apa yang aku rasa, tentang perasaan di sebalik dada, tentang hati yang bergetar.
Ya Allah,
Terima kasih Allah kerana dengan izinMu aku mula merasakan hangat panahan asmara ini. Aku mohon Ya Allah agar rasa ini subur sentiasa hingga ke Jannah.
Ya Allah,
Kasih sayang ini mengalir untuk dia.
Lalu rama-rama cinta berterbangan melata menebarkan keindahan yang berwarna-warni.
Rindu pun segera menjengah mengusik hati dalam getaran.
Wednesday, December 25, 2019
Sabar Itu Pedih
Ya Allah,
Andai ini jalan yang Kau takdirkan buatku, maka Kau berikan aku kekuatan serta kesabaran.
Ya Allah,
Sabar itu pedih, terlalu sakit. Maka datangkan kepadaku segala keindahan dari sabar ini.
Ya Allah,
Andai sabar ini yang terbaik,
Jauhkan aku daripada dianiaya,
Jauhkan aku dari dizalimi,
Jauhkan aku dari diambil kesempatan,
Jauhkan aku dari dipersia,
Jauhkan aku dari dikhianati,
Jauhkan aku dari perbuatan yang tidak adil.
Ya Allah,
Aku berpegang pada janjimu bahawa sabar itu indah akhirnya.
Maka aku serahkan hati yang hiba ini, untuk Kau rawat.
Aku serahkan perasaan yang lara ini untuk Kau ubati.
Wednesday, December 11, 2019
Konsep...
Orang ni, bila kita tak cakap, dia tak faham. Tapi bila kita cakap, marah.
Tak apa. Kita tengok konsep yang diperkenalkan, kalau kita jaga hati dia, dia akan jaga hati kita lebih lagi.
Kita tengoklah sejauh mana berkesannya konsep ni. Sekadar cakap kosong atau itu yang akan dibuat.
Thursday, December 5, 2019
Satu Cinta Dan Satu Hati
Aku hanya ada satu cinta dan satu hati. Dan yang satu itu telahku berikan kepada seseorang yang istimewa.
Mungkin ini ujian Allah untuk menduga seteguh mana cinta ini.
Ada yang mengaku telah lama menyimpan perasaan. Tapi kenapa baru sekarang mahu diluahkan? Setelah aku tidak lagi mempunyai ruang di hati. Setelah wilayah hati ini ditakluk oleh dia yang istimewa.
Setelah sejauh ini kami lalui hubungan ini, setelah dia buktikan betapa bersungguhnya dia terhadap hubungan ini, sehinggakan saat-saat genting rela dia hadapi, mana mungkin aku berpaling. Dan setiap hari, kasih sayang ini terasa semakin indah walau pun terkadang taufan melanda.
Aku tidak mahu menyakiti hati sesiapa apatah lagi mempermainkan perasaan orang sepertimana aku tidak mahu dipermainkan. Maka kalian jagalah hati kalian. Kita sekadar kawan. Dan tak boleh lebih dari itu. Kerana itu, bila ditanya, aku tanpa berselindung memberitahu yang aku sudah mempunyai seseorang.
Aku minta maaf, aku tidak bisa memenuhi kehendak semua orang. Dalam hal ini, aku harus memilih dan pilihan telahku buat.
Kita, tetap kawan sampai bila-bila melainkan takdir mengubahnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)