Wednesday, May 2, 2012

Sebodoh-bodoh Perempuan Bisa Menundukkan Sepandai-pandai Lelaki

Betul ke "sebodoh-bodoh perempuan bisa menundukkan sepandai-pandai lelaki?" Tapi kenapa aku yang sering kecewa dan kecundang? Kenapa aku tak berdaya memiliki hati dan cinta yang tulus dari seorang lelaki? Kenapa? Apakah aku sememangnya diciptakan dengan tiada jodoh? Sebagai seorang wanita dan manusia, aku perlukan cinta yang tulus. Wahai lelaki yang pernah mengintai kamar hatiku! Ketahuilah engkau, bahawa aku tulus mencintaimu, aku rela menyerahkan seluruh cinta dan hidupku untukmu. Cintaku bukan untuk bersuka-suka datang dan pergi tapi untuk sebuah ikatan yang sah, yang diredhai Allah. Wahai lelaki! Jangan sekali-kali engkau datang padaku dan memperdaya aku dengan kata-kata cintamu kerana apabila sekali aku melafazkan cinta, sayang dan rindu, maka itu benar lahirnya dari hatiku yang luhur. Aku tidak pernah terniat untuk menduakanmu apa lagi mengkhianati cintamu. Ungkapan cintaku hanya aku lafazkan setelah aku nekad untuk menerima segala kelemahan dan kekuatanmu, kekurangan dan kelemahanmu, keburukan dan kebaikanmu. Wahai lelaki! Jangan sekali-kali engkau mempermainkan daku kerana cintaku adalah cinta yang murni, yang mekar seluruh jiwaku, yang penuh dengan keindahan, bukan keruh dan menyakitkan. Wahai lelaki! Janganlah engkau menyakiti hatiku dengan cintamu yang tiada tulusnya kerana perpisahan itu terlalu menyiksakanku. Jangan sekali-kali engkau datang padaku sekiranya hatimu tidak tetap buatku. Usah jadikan aku ini persinggahan sementara engkau menemui gadis yang kau cari. Tolonglah wahai lelaki, aku merayu padamu. Jika engkau tidak benar-benar mencintaiku, janganlah engkau datang padaku. Jauhilah aku, hindarilah daku. Cukuplah dua kali kecundang, aku tidak mahu lagi lara dalam cinta yang tidak kesampaian ini.

Thursday, April 19, 2012

Salahkah Aku???

Dia, yang aku kenali dua tahun lalu sudah mula dekat di hatiku. Malah, dia salah seorang yang menjadi penguat tatkala aku kecundang dalam cinta tiga tahun lalu. Kami tidak pernah bersua muka. Hanya telefon yang menghubungkan kami. Tapi perasaan tetap perasaan. Meskipun tanpa wajah, rasa tetap hadir, menusuk halus ke sanubari.

1 April lalu, aku mengutarakan tentang dia yang enggan memberi gambarnya padaku, tentang keengganannya untuk bertemu denganku. Aku tak tahu kenapa begitu? Adakah dia benar-benar sibuk atau itu hanya alasan untuk mengelak daripada menemuiku. Setelah aku menghantar mesej terakhir, dia terus mendiamkan diri hingga hari ini. Hampir dua minggu aku membiarkannya. Minggu lepas, aku menghubunginya. telefon tak bersambut, mesej tak berjawab. Kenapa? Apa masalahnya? Salahkah aku mengutarakan persoalan di atas. Kalau dia benar-benar serius dalam hubungan kami, pastinya dia akan sedaya-upaya untuk datang bertemuku. Lebih membingungkan, dia turut menghalang hasratku ke tempatnya untuk bertemu dengannya.

Semalam, aku menghubunginya menggunakan telefon pejabat. Dia jawab. Suaranya seakan malas melayanku. Mungkin dia terangkat. Katanya, malam baru boleh bercakap. Tapi sampai sekarang dia tak jawab panggilanku dan mesejku juga tidak berbalas.

Kenapa E? Kenapa? Besar sangatkah dosa saya pada awak? Atau awak dah ada orang lain? Kalau awak dah tak perlukan saya, cakap terus-terang, cakap dengan baik sepertimana baiknya awak ketika mahu menjalinkan hubungan seperti dulu. Awak selalu minta saya setia, tapi sekarang awak buat saya macam ni. Besar sangatkah salah saya? Saya serius dengan awak, saya tak main-main. Sebab tulah saya nak segala-galanya berjalan dengan cara yang sepatutnya. Saya hanya mahu bertemu dengan awak, mahu pastikan yang awak betul-betul boleh terima saya. Bukan nak suruh awak kahwin dengan saya sekarang.

Awak tak tahu macam mana hati saya. Awak tak tahu saya betul-betul ikhlas dan serius dengan awak. Tak ada satupun saya sembunyikan daripada awak. Semuanya saya ceritakan pada awak. Tentang saya, tentang keluarga saya, tentang kekurangan saya dan kehidupan saya. Awak tak boleh baca ke keikhlasan saya? Jika tidak masakan saya beritahu semua kekurangan saya meskipun saya tahu yang saya berisiko tinggi untuk ditinggalkan.

Kenapa sekarang? Kenapa setelah saya terima kehadiran awak dalam hidup saya baru awak buat macam ni kat saya? Awak tak kesiankan saya ke?

Adakah sejarah hitam itu kembali berulang dalam hidupku? Kenapa? Kenapa setiap lelaki yang aku temui buat aku macam ni? Mereka tak tahukah, apabila Teja melafazkan kata cinta, pastinya Teja bersedia untuk susah-senang bersama? Tak dapatkah mereka rasakan betapa ikhlasnya hatiku terhadap mereka? Atau... Aku yang bodoh, lemah, menyerahkan cintaku kepada orang yang silap? Bodohkah aku ini? Kenapa aku sering dikecewakan?

Friday, March 30, 2012

Takziah Atas Pemergian Allahyarham

Takziah ku ucapkan kepada DIA atas kepulangan bapanya ke Rahmatullah. Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat, insya-Allah.

Aku tahu, mungkin di ketika ini, dia memerlukan seseorang untuk merubat kesedihannya. Tapi bukan aku yang layak berada di sisinya kini. Biarlah orang yang berhak yang mengambil tempat itu. Kalau DIA kata orang itu tidak memahaminya, aku tetap tidak boleh berbuat apa-apa kerana salahnya nanti menjurus kepadaku. Bukan aku tidak kesian, ku lakukan ini untuk kebaikan semua pihak. Bukan bermakna aku tidak menghubunginya mengucap takziah aku tidak kisahkan tentang dia. Tapi mungkin inilah cara terbaik buat kami. Biarlah aku mendoakan dari jauh. Biarlah takziah ini ku utus di angin lalu. Bukan kerana aku tidak profesional, tapi aku takut kalau sekali aku menghubunginya, dia akan merayuku seperti dulu. Aku tidak mahu menjadi perosak rumahtangga orang. Aku tidak mahu dibelenggu dengan masalah yang tiada kesudahan. Bukan aku mungkir janji. Tetapi dia yang terlebih dahulu memungkiri janjinya terhadapku. Bukan cintaku tidak setia atau teguh, tapi apabila dia sah menjadi suami kepada perempuan lain, maka demi cinta suciku, aku lepaskan dia pergi kerana dia yang memilih jalannya sendiri. Apabila saksi mengesahkan lafaz ijabnya bersama perempuan itu, aku harus membunuh cintaku terhadapnya dan ku jadikan sebagai kenangan, demi kebahagiaan dia dan kebahagiaanku. Aku tidak mahu lama meratapi pintu yang telah tertutup keranaku tahu ada berjuta pintu yang terbuka buatku. Aku akur dengan ketentuan Allah. Bukankah takdir Allah itu yang terbaik buatku? Aku telah berusaha sedayaku untuk bersamanya namun takdir tidak menyebelahi. Apa maknanya tu? Maknanya Allah tahu aku bukan yang terbaik buat dia.

Buat dia,
Bersabarlah dalam menempuh onak duri yang menguji.

Zaman Klasik :)

"Selamat pagi adindaku," Begitu bunyi mesej yang menceriakan pagiku.
"Selamat pagi kekanda. Macam zaman Sultan Melakalah pulak," Demikian jawapanku.

Tuesday, January 3, 2012

Coretan 2012

Ku dengar bunyi ketukan di pintu. Ada tetamu rupanya,

"Masuklah," Aku mempersilakan

Dia masuk dengan membawa bingkisan di tangannya. Aku kaget melihat tetamu yang tidak diundang itu masuk. Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya. Dia menyapaku dengan ramah.

"Siapa tuan hamba?" Aku bertanya dalam curiga.

"Aku utusan yang diutus ke sini untuk menyampaikan bingkisan ini," Dia lantas menghulurkan bingkisan di tangannya kepadaku. Bingkisan yang berbalut kertas cantik berlatarkan warna keemasan ku buka. Dia hanya melihatku sambil tersenyum. Matanya tidak lepas dari memerhatikan setiap gerak-geriku. Dengan cermat, aku membuka bingkisan yang diberi. Kertas sudah siap dibuka. Kotak baldu biru sederhana besar kelihatan. Di atasnya tertera "2012". Aku memerhati kotak itu penuh minat. "Oh, ini ke utusan yang membawa tahun demi tahun yang diceritakan orang itu?" Selama ni... Aku tidak pernah bertemu dengannya kerana dia sering datang sewaktu aku tiada di istanaku.

"Bukalah," Kata si utusan. Aku lantas membuka kotak itu. Isi di dalamnya sungguh indah, berwarna-warni dan semerbak harum baunya. Segala berterbangan ke angkasa. Aku memerhatikan isinya:

Satu jambangan cinta yang digubah indah, serumpun kasih rindu membara, Sebatil kejayaan, sebungkal kemenangan, seguni kegembiraan, sekuntum ketenangan, sepemeluk kebahagian, sedahan keriangan, sekepoi penghargaan untuk ku nikmati anugerah dari Ilahi yang dijanjikan buatku.

Segenggam keberanian, satu bejana kekuatan, satu kelosong kecekalan, satu botol ketabahan, seruas semangat, setempayan tenaga sebagai bekal untuk aku mengharungi 2012, agar aku dapat bangkit dan berdiri semula setelah jatuh.

Dan...
Seutas kesusahan, sehasta kesedihan, segantang kemarahan, secupak ketakutan, sekati kesengsaraan, sekendi kekalahan untuk mengajar aku tentang hidup, tentang pengorbanan untuk aku menjadi lebih dewasa, juga sebagai ingatan bahawa aku adalah insan yang lemah. Kepada Allah jualah tempat aku meminta dan berserah. Segala kesulitan bukan untuk menzalimiku tetapi kerana cintaNya. Dia tidak mahu aku jauh daripadaNya.

"Terima kasih, wahai utusan," Aku merenungnya dengan perasaan gembira dan gentar yang berbaur.
"Apa... Tuah hamba tidak gembira dengan bingkisan ini?" Tanyanya. Mata kuyunya lembut membelai wajahku.
"Ya, hamba gembira," Jawabku lambat.
"Tuan hamba takut?" Tanyanya lagi dengan suara yang perlahan.
"Ya... Ya...," Dia lantas senyum.
"Manusia memang begitu. Bergembira dengan rahmatNya tapi takut akan ujianNya. Jangan risau, tuan hamba akan berjaya menghadapi 2012 ini dengan baik. Hamba tahu, 2011 yang pergi telah banyak memberi ujian dan cabaran kepada tuan hamba. Lihat, tuan hamba masih lagi tenang dan kuat menghadapinya hingga ke saat ini. Pastinya 2012 ini akan tuan hamba hadapi dengan jayanya juga kecuali mati yang menjemput tuan hamba kepadaNya yang sentiasa menanti hamba-hambaNya bertemu denganNya. Insya-Allah, segalanya akan berjalan dengan lancar,"
"Insya-Allah. Doakan hamba ye,"
"Ya, Insya-Allah," Si utusan bersiap-siap untuk pergi.
"Tuan hamba ingin pergi?" Tanyaku seakan tidak mahu melepaskannya pergi.
"Ya, masanya telah tiba. Hamba telahpun tunaikan tanggungjawab hamba menyampaikan bingkisan ini kepada tuan hamba. Selesailah sudah tugas hamba,"
"Bermalamlah di sini. Hari sudah menjelang larut malam. Esok saja berangkat,"
"Tidak boleh. Hamba harus pergi sekarang,"
"Tuan hamba mahu bermalam di jalanan?"
"Tidak mengapa. Tidak menjadi masalah bagi hamba kerana hamba harus pulang segera. Boleh... Hamba minta untaian 2011 untuk dibawa pulang? Tuan hamba sudah siap menganyamnya dengan pelbagai peristiwa bukan?" Tanyanya sopan.
"Boleh. Sebentar," Aku ke belakang membuka almari. Untaian 2011 ku keluarkan. Ku lipatnya kemas. Ku kembali kepada si utusan.
"Ini untaiannya,"
"Cantik sekali. Pastinya 2012 lebih cantik, bukan?" Duganya.
"Insya-Allah," Si utusan membuka lipatan dan meneliti warna-warna anyaman. Satu benang hitam dianyam besar kelihatan pada hujung 2011.
"Lihat, tuan hamba berjaya menganyam hitam ini menjadi cantik meskipun dalam kesusahan." Dia mengunjukkan bahagian hitam tersebut.
"Ya, alhamdulillah. Tapi terlalu sukar. Hambapun tak pasti bagaimana ia boleh menjadi begitu meskipun hitam,"
"Kerana Allah menyayangi tuan hamba. Tuan hamba adalah insan terpilih untuk diuji begitu. Ingat, ada insan lain yang lebih malang daripada tuan hamba. Usah bersedih. Jangan dikenang barang yang lepas. Ambillah 2012 dengan penuh keazaman."
"Terima kasih, wahai utusan. Pesan tuan hamba akan selalu hamba ingat," Aku mengiringi si utusan ke ambang pintu. Dalam pekat malam, dia yang lengkap bepakaian pahlawan Melayu melangkah pergi dengan langkah gagahnya. Sesekali dia menoleh ke arahku. Aku melambaikan tangan padanya. Dia membalas mesra lambaianku.

Aku menutup pintu. Bingkisan tadi ku dekati dan ku amati. Tepat jam 12.00 pagi, satu lorong pelbagai warna terbentang di hadapanku.

"Masanya telah tiba! Melangkahlah!" Kedengaran satu suara menyuruh. Aku teragak-agak.
"Melangkahlah Teja! Jangan berlengah lagi. Kembaralah kamu di dalam terowong 2012 kerana di sana ada segalanya."

Aku melangkah dan pintu terowong tertutup.

"Selamat jalan, Teja!" Suara itu memberi ucap selamat.
"Terima kasih, suara," Aku menjawabnya terketar-ketar.

Dan kini... Aku di sini, di dalam terowong yang berwarna-warni seorang diri, menempuh 2012 yang penuh misteri.