Wednesday, May 2, 2012

Sebodoh-bodoh Perempuan Bisa Menundukkan Sepandai-pandai Lelaki

Betul ke "sebodoh-bodoh perempuan bisa menundukkan sepandai-pandai lelaki?" Tapi kenapa aku yang sering kecewa dan kecundang? Kenapa aku tak berdaya memiliki hati dan cinta yang tulus dari seorang lelaki? Kenapa? Apakah aku sememangnya diciptakan dengan tiada jodoh? Sebagai seorang wanita dan manusia, aku perlukan cinta yang tulus. Wahai lelaki yang pernah mengintai kamar hatiku! Ketahuilah engkau, bahawa aku tulus mencintaimu, aku rela menyerahkan seluruh cinta dan hidupku untukmu. Cintaku bukan untuk bersuka-suka datang dan pergi tapi untuk sebuah ikatan yang sah, yang diredhai Allah. Wahai lelaki! Jangan sekali-kali engkau datang padaku dan memperdaya aku dengan kata-kata cintamu kerana apabila sekali aku melafazkan cinta, sayang dan rindu, maka itu benar lahirnya dari hatiku yang luhur. Aku tidak pernah terniat untuk menduakanmu apa lagi mengkhianati cintamu. Ungkapan cintaku hanya aku lafazkan setelah aku nekad untuk menerima segala kelemahan dan kekuatanmu, kekurangan dan kelemahanmu, keburukan dan kebaikanmu. Wahai lelaki! Jangan sekali-kali engkau mempermainkan daku kerana cintaku adalah cinta yang murni, yang mekar seluruh jiwaku, yang penuh dengan keindahan, bukan keruh dan menyakitkan. Wahai lelaki! Janganlah engkau menyakiti hatiku dengan cintamu yang tiada tulusnya kerana perpisahan itu terlalu menyiksakanku. Jangan sekali-kali engkau datang padaku sekiranya hatimu tidak tetap buatku. Usah jadikan aku ini persinggahan sementara engkau menemui gadis yang kau cari. Tolonglah wahai lelaki, aku merayu padamu. Jika engkau tidak benar-benar mencintaiku, janganlah engkau datang padaku. Jauhilah aku, hindarilah daku. Cukuplah dua kali kecundang, aku tidak mahu lagi lara dalam cinta yang tidak kesampaian ini.

No comments: