Tuesday, September 28, 2010

Jemput Ke Pejabat

6.45 pagi, satu SMS ku terima dari dia, MF. Ucapan selamat pagi. Tidak cukup dengan itu, dia call aku. Ku dengar macam bunyi kenderaan. Mesti dia nak datang jemput aku. Bilaku tanya dia di mana, dia terus matikan talian. Ya, dia memang tahu yang aku amat peka pada bunyi. Mungkin dia nak buat surprise, tak nak aku tahu yang dia akan datang untuk jemputku ke pejabat.

Benar seperti jangkaanku. Dia datang dan menghantar aku ke pejabat. Aku beli sarapan pagi di gerai makcik kegemaranku. Mihun goreng sambal sotong untukku dan nasi lemak sambal sotong untuknya. Kesian dia, sambal tak banyak. Yalah, dia tak tahan pedas, aku tak mintalah sambal lebih. Kami bersarapan bersama di pejabatku.

Thursday, September 23, 2010

Kehadiran Kembali (2 Ogos, 2010)

Malam itu... Aku keseorangan di rumah. Sendirian menonton TV, aku duduk di sofa. Jam menunjukkan pukul 10.00 lebih.

Aku tak mudah untuk mencintai
Aku tak mudah mengakuku cinta
Aku tak mudah mengatakan aku jatuh cinta

Tiba-tiba telefon bimbit Celcom ku berbunyi. Aku tergamam. Oh, betulkah apa yang aku dengar? Bukankah sudah sekian lama telefon itu tidak berdering? Tapi siapa? Siapa yang telefon tu? Dengan malas, aku mencapai telefon, menekan butang angkat dan menekapkannya di telinga.

"Hello," Kedengaran satu suara yang tidak asing buatku. Suara yang dulu saban hariku dengar. Suara yang suatu ketika dulu saban hari ku nantikan. Tak! Tak mungkin! Masakan dia yang menghubungiku. Aku terkaku di situ. Berdiri tegak. Sudah 10 bulan tidak ku dengar suara itu. Mustahil dia!!!
"Hello," Ulangnya lagi.
"Hello," Terketar-ketar bibirku menyahut panggilan tersebut.
"Hello, boleh saya bercakap dengan Teja?" Ya, benar! Aku kenal akan pemilik suara itu. Lelaki yang pernah ku gantungkan harapankupadanya. Lelaki yang amat ku cintai sejak kali pertama ku temui. Kenapa dia call aku?
"Hello, Teja ada?" Aku diam. Teja? Ada ke tak? Nak jawab apa?
"Siapa tu?" Aku pura-pura tidak kenal.
"Dah tak ingat dengan suara ni?" Dia menanyakan soalan seterusnya.
"Teja tak ada. Dia dah mati," Aku menjawab tegas.
"Habis yang bercakap ni siapa?"
"Entah. Awak ni siapa?" Aku mengambil giliran menyoal.
"Saya MF," Ya, Tuhan! Betullah dia. Aku sebak.
"Jangan tipu saya! MF, kekasih lama saya dah hampir setahun mati. Dia dah tak ada. Siapa awak? Pandai-pandai je guna nombor dia," Esakan kecil mula kedengaran.
"Tak apalah, kalau awak anggap dia dah mati. Memang dia dah tak ada pun. Yang ada... MF yang baru. Ini MF lain,"
"Awak nak apa?" Ku keraskan suara bertanya.
"Saya nak minta maaf atas semua kesilapan saya yang pernah saya lakukan," Suaranya sebak.
"Huh, maaf! Senang lafaz maaf eh? Awak dah sakitkan hati saya, kecewakan saya, hancurkan harapan saya, tiba-tiba datang minta maaf. Hei, mana awak selama 10 bulan lalu? Mana awak masa saya amat memerlukan awak?"
"Teja, saya tahu saya salah. Saya datang ni, saya nak jadi kawan awak, nak kawan dengan awak dan nak tolong awak. Saya nak sentiasa ada bila awak susah," Suaranya perlahan.
"Tak payah! Ramai lagi kawan saya yang nak tolong saya. Apa, awak ingat, saya buta, saya tak boleh hidup tanpa awak? Maaflah!"
"Teja, saya tahu saya salah. Awak cakaplah apapun, saya ikhlas mahu membantu,"

Malam itu... Kami bercakap, bertekak, bergaduh dan menangis selama enam jam. Pukul 4.00 lebih pagi baru perbualan kami tamat.

Friday, August 27, 2010

Jangan Nangis Lagi

Telahku tahan hati agar jangan sedih,
Namun air mata tetap mengalir.

Sudahlah, Teja, jangan nangis lagi. Ubati luka hatimu, moga bahagia yang kau impikan mendakapmu di hari muka.

Bahagiakah aku jika insan yang amatku cinta ditakdirkan bukan milikku?

Insya-Allah, Teja, jika hati kita tulus mencintainya, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.

Namun... Aku masih menaruh harapan agar dia menjadi milikku.

Insya-Allah Teja, mungkin ini dugaan Allah untuk mengujimu. Dan jika engkau sabar, siapa tahu kalau Allah perkenankan hajatmu?

Tuesday, August 17, 2010

Kenapa, Cikgu???!!!

Cikgu, cikgu kata orang sabar pasti menang! Tapi kenapa saya kalah juga cikgu??? Saya dah banyak bersabar dalam soal cinta! Tapi kenapa saya kalah? Kenapa cikgu? Kenapa saya tetap kalah? Kenapa saya tak menang? Kenapa cikgu??? Cikgu, cikgu, cikgu jawablah? Kenapa cikgu? Kenapa saya kalah? Tiga tahun cikgu saya sabar? Tapi kenapa? Kenapa saya masih kalah? Kenapa? Kenapa saya masih tak mampu miliki cinta sejati? Kenapa saya masih kecundang dalam memenangi hati orang yang saya cintai? Kenapa cikgu? Kenapa? Kenapa? Jawablah, cikgu! Jawablah!

Monday, July 19, 2010

Glaukoma Penyebab Kurangnya Upaya Penglihatan

Seperti yang pernahku janjikan, di siniku titipkan info tentang Glaukoma untuk dibuat perbandingan dengan Trakoma di mana, kedua-dua penyakit ini adalah berbeza. Aku mulakan dengan Glaukoma:

Glaukoma adalah sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Kesemua jenis Glaukoma adalah disebabkan gangguan atau dihalang oleh bendalir yang diedarkan ke dalam mata. Pusat atau sempada penglihatan akan rosak atau hilang keseluruhannya apabila tekanan meningkat dan merosakkan saraf optik. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta.

GLAUKOMA AKUT
Glaukoma Akut menyerang secara tiba-tiba, mengurangkan daya penglihatan, menyebabkan mata merah serta kesakitan di dalam dan sekitar bola mata. Glaukoma Akut memerlukan rawatan kecemasan. Rawatan awal boleh menyelamatkan penglihatan mereka yang mengidap Glaukoma.

GLAUKOMA KRONIK
Glaukoma Kronik melarat secara perlahan-lahan tanpa rasa sakit. Ia melarat secara perlahan-lahan tanpa rasa sakit atau kabur penglihatan. Penghidap Glaukoma tidak menyedari yang mereka mempunyai masalah Glaukoma Kronik sehingga keadaan menjadi terlalu lewat untuk mendapatkan rawatan.

TANDA-TANDA GLAUKOMA KRONIK
Di antara tanda-tanda Glaukoma Kronik adalah ruang penglihatan yang semakin sempit. Penglihatan menjadi kabur dan rabun. Kesukaran menyesuaikan penglihatan dalam keadaan gelap (rabun ayam). Kerap menukar cermin mata kerana penglihatan masih tidak terang.

Dipetik daripada:
www.spe-ed.net/blind.php

Thursday, June 3, 2010

try

percubaan:

http://www.google.com.my

Friday, May 14, 2010

Maafkan Along, Abah

Tatkala duduk di sejadah Maghrib semalam, aku teringat akan sebuah buku yang diberi oleh abah beberapa bulan dahulu. Ya, abah beria-ia menyuruhku membaca buku tersebut. Ya Allah, semenjakku bawa buku itu ke sini, tidak pernah sekalipun aku membacanya. Berdosanya aku membiarkan buku itu. Berdosanya aku mengabaikan suruhan abah.

Petang itu, aku duduk di kerusi ruang tamu. Abah yang entah dari mana mengambil tempat di sisiku.

"Nah, ambil buku ni, baca. Bawalah balik rumah kau," Abah mengambil sebuah buku dari meja ruang tamu berhadapan kami.
"Macam mana nak baca? Tak nampak," Aku memegang buku tebal yang dihulur abah kepadaku.
"Suruhlah kawan kau baca. Kawan kau kan ada yang boleh baca," Abah mengambil kembali buku dari tanganku.
"Yalah," Aku senyum. Abah membelek-belek buku tersebut. Tiba di suatu muka surat, abah berhenti dan terus membacakan cerita tersebut kepadaku. Beberapa buah kisah tentang orang-orang yang memperoleh hidayah dibacakan abah kepadaku petang itu. Aku tekun mendengar. Ceritanya menarik dan mampu memberi keinsafan kepada sesiapa saja yang menghayatinya.
"Nah, ambillah," Abah memberikan kembali buku tersebut kepadaku.
"Abah bagi along bawa balik KL ke?" Tanyaku tidak percaya.
"Yalah," Jawab abah ringkas.
"Abah dah habis baca?" Tanyaku ingin tahu.
"Belum, baru baca sikit,"
"Habis tu, abah tak nak baca?" Tanyaku lagi.
"Ambillah, abah boleh beli yang lain." Jawab abah lembut.
"Terima kasih, bah," Buku itu ku gengam erat sambil tersenyum. Aku dapat rasakan betapa abah ingin aku menjadi perempuan baik, yang suci hati dan jiwanya. Lalu, abah menggunakan cara ini untuk aku teladani kisah-kisah orang beriman yang mendapat petunjuk Allah. Semoga hasrat abah dimakbulkan Tuhan. Aku juga ingin mencintai dan dicintai Yang Maha Esa.

Setelah ku lipat telekung yang tersarung di tubuh, aku cepat-cepat membuka kotak plastik tempat di mana aku menyimpan barang-barangku. Eh, takkan tak ada, rasanya dalam kotak nilah aku simpan buku tu. Aku mengangkat beberapa barang. Ketika aku hampir berputus-asa, tanganku tersentuh sebuah buku tebal yang terletak di bahagian bawah kotak. Tanpa berlengah, aku menarik keluar buku tersebut. Hanya tulisan keemasan yang dapat aku lihat. Aku membelek-belek buku tersebut. Harap-harap, inilah bukunya. Aku berjalan pantas mendapatkan rakan serumahku di biliknya.

"Ida, ni buku apa?" Tanyaku sambil menghulurkan buku di tangan kepadanya. Ida mengambil buku tersebut sambil membacanya.
"Mereka Yang Mendapat Hidayah Dan Petunjuk," Ida membelek helaian buku tersebut.
"Boleh tolong bacakan aku? Sehari satu tajukpun tak apalah," Pintaku.
"Boleh. Bestlah buku ni! Aku suka baca cerita pendek-pendek macam ni." Kata Ida sambil tangan masih membelek buku kepunyaanku.

Ida akhirnya membacakan kisah pertama dalam buku tersebut, "Kisah Taubat Nabi Adam
AS". Kisahnya banyak memberi teladan kepada orang yang membacanya. Insya-Allah, aku akan cuba meluangkan masa untuk membaca buku tersebut hari demi hari. (Mereka Yang Mendapat Hidayah Dan Petunjuk oleh Muhamad Abdul Wahab). Cubalah kalian dapatkan buku ni dan hayatilah kisah-kisah di dalamnya.