Sunday, May 10, 2015

Masih Cintakah Aku?

Salam semua, Dah lama saya tak update. Yelah, sibuk sikit kebelakangan ni. Blogpun dah berhabuk. Tak nak buang masa. Terus nak buat luahan. Beberapa hari yang lalu, dia ke luar negara atas urusan. Meskipun hubungan ini sudah lama berakhir, tapi masih ada sebak di hati untuk melepaskan dia pergi. Secara zahirnya, kami tiada apa-apa hubungan dan akupun tak tahu status dirinya sekarang. Tapi, sesekali ada juga kami bertemu dan makan bersama. Dia masih lagi seperti dia yang aku kenal dulu. Aku tak mengharapkan apa-apa, bimbang kecewa lagi. Namun perasaan ni, masih lagi terasa sedih tatkala ingin berpisah seperti dulu setelah bertemu. Masih lagi sebak bila mahu melepaskan dia pergi jauh. Tuhan, akupun tak faham dengan perasaan sendiri.

Wednesday, September 10, 2014

Masihkah?

Kalau lapan bulan lalu aku post tentang dia yang sama-sama menghadiri latihan Gunung Kinabalu, sekarang lain pulak ceritanya. Selama lapan bulan ni pelbagai peristiwa berlaku antara aku dan dia. Sebelum puasa hari tu, dia cedera disebabkan suatu pertandingan. Dan ini bermakna dia tidak akan mengikuti ekspedisi ini. Terima kasih, Tuhan, mungkin Kau tahu aku tidak kuat untuk berhadapan dengannya. Jiwaku sakit. Hatiku pedih. Apa yang menyakitkan tu, rasa malas nak cerita hari ni. Memandangkan latihan baru bermula dua minggu selepas hari raya dan kemudiannya cuti merdeka, dua kali latihan aku jalani dengan tenang dan ceria. Bukan bersyukur kerana dia cedera tidak sekali. Siapa nak orang yang pernah kita sayang sakitkan? Tapi sikap dia dan perempuan-perempuan gedik yang menyebabkan aku rasa lega bila dia tak ikut ekspedisi ni. Tapi hari ni, hati aku berkocak lagi. Khabarnya, latihan kami di Nuang, FRIM dan Brincang akan disertainya. Apa lagilah yang dia nak? Tak cukup lagikah mahu menyakiti hatiku? Tolonglah, kalau nak mengorat atau menggedikpun, janganlah buat di hadapan aku. Tak perlulah tunjukkan pada aku. Sekali lagi Tuhan, aku mohon perlindunganMu dari dia. Amin...

Thursday, January 9, 2014

Puncak Kinabalu, Impian Yang Menyakitkan

Impian yang menyakitkan? Bukan pendakian yang menyakitkan tapi semuanya tentang pendakian yang bakal ku tempuhi andainya terpilih. Tuhan! Apa lagi rencanaMu buatku? Aku tidak tahu. Lalu aku pasrahkan segalanya padaMu. Kenapa hidup aku tidak lepas dari dia??? Jika kami dipertemukan kerana latihan pendakian untuk Gunung Tahan, puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia dan akhirnya terpisah, kini kami dipertemukan sekali lagi dalam latihan menakluk Puncak Kinabalu, puncak tertinggi di Malaysia. Dari bisik-bisik khabar angin yang ku dengar, dia tidak akan menyertai ekspedisi kali ini atas komitmen lain pada tarikh pendakian kelak. Baru sekali dua aku menarik nafas lega, jantung seakan terhenti tatkala kawan yang sama-sama menghadiri taklimat pendakian mengkhabarkan bahawa dia ada dalam taklimat tersebut. Lebih menyakitkan, latihan pertama yang ku hadiri turut membariskan dia sebagai peserta. Tambah melukakan, pada akhir sesi latihan, dia beratur selang seorang di belakangku iaitu di belakang perempuan yang khabarnya baru dikenali dan semakin intim yang juga merupakan kawanku yang tidak begitu rapat. Cemburukah aku? Tidak! Kisah aku dan dia telah lama berakhir. Tapi, sebagai pencinta yang mencinta setulusnya dari dasar hati yang dalam, perasaanku terusik yang menjalar rasa ngilu pedih ke segenap jiwa. Dah elok aku bersama geng aku beratur di hadapan, boleh pula dia datang beratur berdekatan aku. Dahlah tu, siap dengan perempuan tu lagi. Tak tahulah kalau kebetulan mereka beratur berdekatan. Kenapa dia tidak mencari tempat lain saja untuk beratur? Akupun tergamam masa tu. Sepatutnya, aku terus berpindah tempat ke belakang biar mereka tahu aku tidak suka keadaan itu. Tidak puas lagikah dia menyakiti hatiku dulu? Tidakkah berbekas rasa bersalah dan sesal di hatinya atas apa yang berlaku? Tolonglah! Aku merayu, jangan lagi kau sakiti hatiku. Ya, hak engkau untuk berpasangan dengan siapapun yang kau suka, tapi tidakkah kau faham bagaimana rasanya cinta pertama? Atau mungkin kerana dia tidak pernah mencintai aku setulusnya namun dia tidak dapat merasakan cinta itu? Kalau nak mengayat atau apa sajalah, silalah duduk jauh daripadaku. Jangan tunjukkan pada aku yang kau sedang ingin memikat dan aku telah lama lenyap dari hatimu. Aku mohon pengertianmu kerana latihan ini masih jauh perjalanannya. Takkanlah hampir setahun ini hampir setiap minggu aku perlu merasa sebal dan ngilu? Selama kami berpisah, tidak pernah ada satu aktivitipun yang kami sertai serentak. Tapi tak tahulah kenapa kali ini boleh jadi macam ni. Apa pulaklah yang akan berlaku minggu ni?

Wednesday, October 2, 2013

Kuatkah Aku?

Selama ni, aku merasakan bahawa luka lama telah sembuh dan aku telah pulih sepenuhnya dari luka itu. Lantaran itu, aku merasakan bahawa aku cukup kuat untuk berhadapan dengannya. Mungkin Tuhan sengaja ingin menguji kekuatan aku. Petang semalam, aku rasa mengantuk sangat. Lalu aku ke lobi, bersembang dengan penyambut tamu. Kebetulan, ada ramai orang sedang berurusan di lobi. Suasananya agak bising. Sedang aku bersembang dengan Yaya, tiba-tiba... "Saya nak jumpa Puan Johara," Kedengaran satu suara yang tidak dapatku tangkap siapa pemiliknya. "Nama siapa?" Tanya Sabri, penyambut tamu seorang lagi. "F," Menurut cerita Yaya, jawapan itu perlahan saja. Tapi aku langsung tidak mendengarnya. Malah soalan Sabripun aku tak dengar. Percakapan Yaya menjadi perhatianku seratus peratus. Yaya pula seakan terkejut dan terus kelam-kabut menghubungi Puan Johara. Aku pelik, kenapa budak ni kelam-kabut semacam ni? Bukankah Sabri yang entertain mamat tadi? Kenapa dia pulak yang panggil Puan Johara? Aku terus duduk dan berbual di kaunter penyambut tamu. Tiba-tiba... "F Bin Sipulan!" Panggil Puan Jahida kuat yang kebetulan ada di lobi setelah Puan Johara bertanya siapakah yang ingin bertemunya. "Ya, saya," Pam!!! Bagai kilat memanah diri, demi mendengarkan nama dan suara itu, jantungku seakan menendang dada ingin keluar dari jasadku. Aku terduduk dan tertunduk. Sabar, Teja, sabar. Kau kena buat macam biasa. Buat tak ada apa-apa. Aku terus berlagak selamba meneruskan perbualan. Tiba waktu Asar, aku meminta diri untuk solat. Selepas itu aku diberitahu oleh Yaya yang dia sudah tahu siapakah gerangan yang ingin bertemu Puan Johara, sebab tulah dia kelam-kabut bimbang berlaku apa-apa. Dan kata Yaya, dia tertanya-tanya sendiri, apakah yang bakal berlaku sebentar lagi. Puan Jahida pula memberitahu bahawa dia sengaja memanggil nama F dengan kuat untuk memberi isyarat kepadaku akan kehadirannya. Kalau bertemu secara tidak sengaja dan bukan secara langsung aku sudah begitu, bagaimana harus aku berhadapan dengannya seandainya terpaksa berbuat demikian? Sudahlah diri, jangan biarkan hati terluka lagi. Dia milik orang dan dia adalah masa silammu.

Thursday, September 19, 2013

Doaku Di Suatu Hari

Selama aku bersamanya, aku sering berdoa agar Allah bukakan seluas-luasnya pintu hati dia buatku. Benarlah kata orang, cinta itu buta. Apapum yang dia lakukan, aku tetap ingin bersamanya. Pernah juga aku bertanya kepada diriku, adakah aku benar-benar bahagia bersamanya? Hatiku mengatakan ya. tapi akal warasku mengatakan sebaliknya. Selama hampir tiga tahun bersamanya, entah berapa kali dia menyepikan diri daripadaku. SMS tak balas, call pun tak berjawab. Aku rasa tersiksa diperlakukan begitu. Jika dia mahu memutuskan perhubungan ini, apa salahnya jika dia beritahuku atau setidak-tidaknya, hantarlah mesej jika tidak sanggup berhadapan denganku. Siapa yang pernah rasa benda ni, mesti korang tahu sakitnya bila orang yang kita sayang menjauhkan diri. Kitapun terfikir-fikir jika kita tunggu, tak pasti dia masih bersama kita atau tidak. Jika kita terima cinta lain, adakah kita curang? Bagaimana kalau dia datang menagih cinta setia kita? Peningkan? Suatu hari, doaku panjatkan amat berbeza dari hari-hari sebelumnya. Masa tu, aku tengah berjalan mahu pulang ke rumah. Hatiku dilanda sedih yang amat. Lalu akupun berdoa di dalam hati: Ya Allah, Jika beginilah siksa yang terpaksa aku tanggung untuk bersamanya, tidak tertanggung pedihnya olehku. Maka, Engkau putuskanlah hubungan kami jika itu yang terbaik buatku. Jika itu akan membuatkan hidupku lebih aman. Lepas tu, aku bertanya pada diriku, benarkah itu yang aku inginkan? Benarkah permintaanku itu? Suara hatiku berbisik, ya, kerana aku tak sanggup lagi dipermainkan begini. Lalu aku membiarkan doa itu tanpa menariknya kembali. Mungkin Allah mendengarku yang sekali itu. Maka, Allah putuskan aku denganNya kerana Dia adalah Tuhan yang sebijak-bijak perancang.

Tuesday, April 9, 2013

Belajar Tinggi-tinggi, Tapi...

Teja: Abang, Ayang dapat interview SPA. (girang aku memberitahu) MF: Interview je. Kerjanya tak dapat-dapat juga. Teja: Ala... Bang, belum ada rezeki, nak buat macam mana? (Aku masih senyum meskipun mood mula terusik) MF: Susahlah macam ni. Ayang dahlah tak nampak, kerjapun tak berapa elok. Drivepun tak boleh. Habis macam mana? Teja: Kenapa abang cakap macam tu? Apa yang macam mananya? MF: Ayang kan tahu, mak abang kan tak nak kat Ayang. Kawan-kawan abangpun suruh abang cari yang lebih dari abang (nampak). Kalau Ayang tu kerja bagus, gaji besar, adalah benda yang boleh abang banggakan. Abang boleh cakap, walaupun bini aku tak nampak, tapi bini aku tu pegawai. Gaji ribu-ribu. Ni gajipun kecik. Nama je ada ijazah. Teja: Abang ni kenapa? Siapa yang nak sara siapa ni? Apa masalahnya kalau ayang gaji kecikpun, abang yang nak tanggung ayangkan? Mak ayah ayang tak pernah bang, tak sekalipun persoalkan, abang belajar sampai mana, kenapa abang tak ada ijazah, kerja apa, gaji besar ke kecik? Kenapa mak abang pula perlu persoalkan semua tu. Abang terimalah ayang dengan ikhlas. Cuba abang sayang ayang betul-betul. Tak perlulah ada syarat. MF: Ayang cakap senanglah, abang yang nak berdepan dengan dia orang. Ayang ni tak fahamlah, yang. Cubalah ayang faham abang. Teja: Kita hadapi sama-samalah. Bukannya ayang tak usaha, tapi Allah masih belum bagi rezeki Dia kat ayang. Macam-macam ayang cuba, bang. Abangpun kenalah faham ayang. Rezeki tu kan Tuhan yang tentukan. Bukan kita. Balasku dalam tangis yang ditahan-tahan. Nampak sangat orang tak nak kat aku. Aku je yang terhegeh-hegeh. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kenapalah hal-hal dunia tu yang jadi ukuran? Kenapa aku lemah sangat masa tu? Mungkin, dunia dah terbalik kot, perempuan kena gaji besar dan lebih mahal dari lelaki.

Tuesday, April 2, 2013

Tak Secantik Dia

Beberapa tahun lalu, aku ni seorang yang kurus sangat. Kawan-kawan kata, aku ni papan lapis. Bukan sebab aku tak makan. Tapi badan ni yang tak nak naik walaupun sikit. Suatu hari... MF: Ayang, ayang ni kurus sangatlah. Macam cicak kobeng. Kalau dah orang yang kita sayang cakap, mestilah hati ni cepat je terusik. Teja: Abang cakap apa ni? MF: Ayang tu kurus sangat, tak cantik. Tak macam Iti, cantik, badan sedap, montok. Dia bandingkan aku dengan perempuan lain? Kalau bandingkan dengan perempuan yang selalu dapat pujian tak apalah juga. Teja: Mana abang tahu dia cantik? MF: Dia cakap, ada orang cakap. Dia tu pandai bergaya, cantik, manja sebab tu ramai peminat. Yelah, masa tu, aku tak berapa pandai bergaya. Teja: Orang yang cantik, tak akan cakap dia cantik. Ada ke ayang cakap kalau orang puji ayang? Cakap bolehlah, abangpun bukan nampak dia jelas sangat. Kalau dia tipupun abang tak tahu. Perempuan ni, kalau ramai peminat, ada dua sebab. Satu, dia memang cantik. Dua, gedik mengada-ngada. MF: Tak baik ayang, cakap dia macam tu. Dia bela perempuan tu? Siapa girl friend dia ni? Teja: Ayang tak kata dia. Ayang cakap, sebab-sebab perempuan ramai peminat. Ni kenyataan. Ayang tak tahulah dia dalam kategori yang mana satu. Tapi, kalau dah melayan semua lelaki tu... Abang fikirlah sendiri. MF: Nasib badanlah. Dapat awek kurus kering, macam cicak kobeng. Apa nak buat, terima jelah. Dah terlanjur cakap. Tuhan je yang tahu perasaan aku ketika tu. Tangisan ku cuba tahan dari pecah. Teja: Abang, kalau abang ada pilihan lain, abang cakap je terus-terang dengan ayang. Tak payah fikir fasal terlanjur cakap atau tak. Yang penting abang tak tipu ayang. Ayang takkan marah, takkan dendam dengan abang. Kalau abang tak nak ayang, ayang boleh pergi. Kenapa dengan dia ni? Apa yang dia fikir, fasal isu badan pun jadi masalah ni? MF: Ayang ni kalau peluk nanti rasa tulang je. Tapi kalau ayang peluk abang bestlah, ayang. Teja: Abang nak badan ayang macam mana? MF: Macam model. Teja: Maaflah, bang. Ayang tak cantik macam Iti. Tak ada semua tu. Kalau nak cantik wajah, abang carilah orang lain. Kalau nak macam model, carilah model, tak perlulah cari Iti yang belum tentu cantiknya tu. Setakat tuan punya badan yang cakap, ayang pun boleh cakap. Sungguh! Aku rasa sedih dan rendah diri. Kenapa soal ni yang timbul? Kan ada banyak benda lagi yang boleh jadi isu. Lepas tu bila aku tak layan dia: MF: Ayang janganlah macam ni. Tak cantik, badan tak sedappun tak apa. Ayang kan baik, dengar cakap abang. Tu yang abang sayang ayang tu. Dia ingat aku ni budak-budak ke apa? Tadi cakap lain. Sekarang cakap lain. Tak fahamlah. MF: Abang gurau-gurau je tadi. Gurau-gurau? Macam tu ke cara nak bergurau? Nak eratkan kasih sayang? Sakit mental ke dia ni? Takpun psiko. Tadi cara dia cakap, kata-kata dia, cukup buat aku tersinggung. Bukan ke kalau kita betul-betul sayang kat orang tu, sikitpun kita tak nak buat dia sedih? Tak nak buat dia terasa hati? Kenapa cara dia sayang aku tak macam aku sayang dia? Kalau sekali, mungkin salah gurau. Tapi benda ni berulang-ulang. Sampai aku jadi rendah diri. Aku tertekan mengenangkan diri yang tak cantik. Buruk sangat ke aku ni? Hodoh sangat ke aku ni? Ye, mungkin aku tak sepadan dengan dia yang kononnya hensem dan tegap tu. Tak apalah, Allah tak pandang wajah yang cantik, tapi Allah lihat hati yang indah. Note: Tapi baiknya dia, dia selalu belikan aku vitamin supaya aku berisi sikit. Pernah satu hari bila dia cakap hal ni aku cakap: Teja: Cuba abang jangan sakitkan hati ayang. Jangan buat apa yang boleh buat ayang sedih. Cuba abang buat perangai elok sikit. Mungkin ayang kurus ni pun sebab makan hati kerana abang. Abang selalu sakitkan hati ayang. Tak baiknya aku cakap macam tu kan?