Wednesday, December 12, 2018

Hari Lahir 2018

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ku tarikan jemari ini untuk mencoret apa yang ku lalui sejak kebelakangan ini. Tak mahu lagi menulis setelah segalanya berlalu dan ketika ia menjadi kenangan. Biar ku tulis sewaktu aku mengalaminya. Namun bermula malam ini, ingin ku imbas kembali beberapa tarikh yang menjadi memori hidup ini yang juga akanku abadikan dalam arca kenangan. Segalanya bermula pada tarikh keramat pengukur usiaku, 16 Oktober 2018. Seperti tahun-tahun telah terlewati, pastinya aku akan ke pejabat dengan pakaian yang aku suka menjelangnya hari lahirku. Bagi aku, tarikh ini merupakan suatu tarikh yang amat bermakna. Bezanya, tahun ini sama seperti tahun lepas. Tiada cuti, tiada seseorang mengambil cuti untuk meraikan hari lahirku, tiada makan malam atau tengahari istimewa bersama yang teristimewa, tiada ucapan istimewa dari seseorang yang aku cintai, tiada juga hadiah dari seseorang yang aku sayangi. Yang ada hanyalah ucap doa keramat daripada kawan-kawan pejabat, kawan-kawan yang mengingatiku, hadiah daripada kawan, hadiah daripada dia yang pernah aku cintai yang dihantar ke pejabat dan paling menggembirakan aku, lebih seratus ucapan selamat menerusi facebook. Ianya cukup membuatkan aku bahagia di hari lahirku tahun ini. Sememangnya, setiap kali hari lahirku, aku akan simpan semua kerja-kerja yang memeningkan kepala dalam laci, bawah meja atau kat mana saja. Sebab aku tak mahu kepalaku kusut dengan kerja-kerja yang rumit. Aku ingin menikmati kegembiraan dengan menerima dan membalas kiriman whatsapp, facebook, pesanan ringkas dan panggilan. Hanya kerja-kerja ringan dan mudah saja aku perbuat sambil-sambil melayan kiriman-kiriman yang dihantar. Dalam aku leka mengucapkan terima kasih di setiap ucapan Facebook, telefon di meja berdering. Aku menyambutnya. Jelas kedengaran suara Jacqueline memulakan bicara. "Teja, you terima tak email yang I forward?" Tanyanya. Aku mendengus perlahan. Sibuk je. Jangan ganggu hari bahagia aku boleh tak? Kataku dalam hati. "Email apa?" Aku menjawab malas. "Email dari monorel, Mr. Nice Guy," Buat sementara, biarlah aku gelarkan pengirim email tersebut Mr. Nice Guy. Sampai masanya, sebaris nama itu akanku ukirkan di sini. "Dia nak apa?" Dalam hati, tolonglah matikan talian ni cepat. Malas aku nak bincang pasal kerja ni. Mood hati berbunga riang hari ni. Tolong jangan bunuh kebahagiaan aku. Sebut monorel, lagi aku malas. Hmmm... Tapi muncul jugak eh setelah sekian lama aku mencari. "Dia nak buat simulasi kecemasan. Dia jemput kita tapi I rasa you la yang paling sesuai untuk pergi." Kacau jelah monorel ni, sibuk je. Time kita cari tak muncul-muncul, time kita sibuk ni, tiba-tiba muncul pulak. "Bila?" Tanya saya malas. Dalam hati mengharapkan talian putus. "26 Oktober," Alah, lambat lagi. Nantilah aku tengok email kau. Esok-esoklah. Hari ni aku malas nak layan kerja ni. "Nanti you balas email tu. Anything you contact Mr. Nice Guy tu," Kata Jacqueline sebelum menamatkan perbualan. "OK," Berdouble malas jawapanku. Lantak kaulah monorel. Tak urgent kan? Esok jelah aku baca email kau tu. Kalau perlu call, aku call. Kalau tak, biar jelah kat situ. Gembira bertandang semula setelah talian dimatikan. Memang taklah aku baca email hari tu jugak. Birthday aku kot. Bye byelah kau. Jangan esok aku lupa nak tengok sudah.

Monday, December 10, 2018

Apakah Musim Bunga Datang Lagi?

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua. Sudah hamper dua tahun blog ini tidak terisi coretan suka-dukaku. Kerana di sini aku coretkan kisah-kisahku yang benar-benar peribadi terutamanya soal cinta dan kerinduan. Mungkin ada para pembaca yang sudah melupakan blog ini kerana menyangkakan aku telah tiada atau blog ini sudah diabaikan. Tidak sebenarnya. Aku masih di sini. Kadang-kadang, aku bertandang ke Istana Badarsila ini sebagai pembaca yang mengenangkan kembali kisah silamku. Dan rasanya, mulai hari ini, Istana Badarsila akan diserikan semula dengan kisah-kisah baruku. Mungkin musim bunga kembali menjengah hatiku. Aku masih belum pasti akan perasaan ini, hati ini dan takdir ini. Nyatanya, warna-warna indah mula menceriakan hari-hariku. Tapi, ianya masih terlalu awal untuk aku maknakan semua ini.

Thursday, August 25, 2016

Mencintai Awak

Awak, Hingga ke hari ini, saya masih mencintai awak. Mencintai awak dari hati yang dalam. Saya tak tahu kenapa Allah bagi rasa ini buat saya. Rasa yang dalam, terlahir dari hati. Saya sayang awak.

Tuesday, August 23, 2016

Aku Yang Lemah

Ya Allah, Segala yang bernyawa ini milikMu. Sesungguhnya, aku tidak tahu apa yang telah Kau suratkan buatku. Ya Allah, Aku terlalu menderita Ya Allah, menderita dengan ujianMu padaku. Namun aku tahu, mustahil bagiMu menganiayaku, makhluk ciptaanMu, kerana Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ya Allah, Derita ini jalan yang harusku tempuh menuju bahagiaMu. Lantaran itu Ya Allah, Singkatkanlah jalan derita ini. Percepatkanlah dan permudahkanlah aku untuk tiba ke destinasi bahagia yang Engkau janjikan buatku. Insya-Allah, Amin...

Wednesday, May 4, 2016

Hati Perempuan

Saya baru selesai membaca sebuah blog menceritakan kemanisan hidup berumahtangga dan saat-saat gembira menerima kehadiran satu nyawa dalam rahimnya. Masya-Allah, alangkah indahnya perasaan seorang perempuan apabila ditakdirkan untuk hidup bersama lelaki yang dicintainya dan tambah manis dengan kehadiran zuriat dalam rahimnya. Hati saya terusik. Ya Allah, apa ada detik-detik ini buatku? Ya Allah, berpeluangkah saya mengandungkan zuriat lelaki yang amat saya cintai? PertolonganMu ada di mana-mana dan aku akan terus mengharapkan pertolonganMu, Tuhan sebaik-baik penolong.

Wednesday, February 24, 2016

Apa Kerana Fitnah?

Awak, Apakah semua yang berlaku ini kerana fitnah? Apa benar cerita yang saya dengar ada orang yang memfitnah saya ke hulu ke hilir dengan bekas boy friend saya dan dia memberi cincin kepada saya hingga awak menjauh dari saya? Kalau awak mendengar cerita tentang saya kenapa tak berhadapan dengan saya? Kenapa awak mendiamkan diri dan menghukum saya? Tak apalah, saya tak marah awak. Mungkin kalau saya di tempat awakpun, entah apa-apa tindakan yang saya ambil. Bagi saya, yang lepas tu lepas. Saya harap suatu hari nanti awak jelaskan pada saya kenapa semua ni berlaku. Sampai sekarangpun, saya tak tahu puncanya. Saya sayang awak, dan kemaafan saya sentiasa akan mengalir untuk awak umpama sungai yang tak pernah lelah mengalir selagi diizinkan Allah dan selagi perbuatan tu boleh dimaafkan. Semoga kemaafan awakpun begitu juga tatkala saya melakukan kesilapan. Awak, Saya harap kita boleh hidup bahagia macam dulu. Sayang awak sebanyak bintang di langit.

Monday, February 22, 2016

Rindu Di Waktu Senja

Tatkala senja beransur melabuh tirainya, terdengar alun merdu Al-quran mungkin bacaan bilal dari masjid berhampiran. Hati sekonyong-konyong menjadi sayu. Teringat akan kebesaran Allah yang menyayangi hambaNya. Meskipun aku yang berdosa, masih lagi ditunaikan kemahuanku. Lantas, teringat akan si dia. Ya Allah, dekatkanlah aku dengannya, lelaki yang ku sayang. Aku ingin menjadi yang halal baginya. Jemari terus menyentuh aksara di layar telefon bimbit. 'Waktu-waktu macam ni, saya selalu rindu kat awak. Rasa sayu sangat. Rasa nak nangis' Tanpa mengharapkan balasan, aku terus menghantar ayat yang telahku susun dan ku taip. Ting! 'Peluklah kucing awak' Balasnya tanpa ku duga. Masya-Allah, Kau sedang menunjukkan kasih sayangMu pada aku yang hina. Sebak dalam gembira. 'Ngada awak ni. Nanti awak marah sebab samakan awak dengan kucing. Hehehe' Balasku dengan penuh kasih sayang. 'Tak apa. Cakap dengan kucing tu sekali' Balasnya lagi. Masya-Allah. Apakah dia juga sedang merindukan aku? 'Nanti awak kata, saya sayang kucing lebih dari awak' Dugaku. Diam... Tiada jawapan. Tak apa, sudahku telah. Usai Solat Isyak, satu whatsapp masuk: 'Tak apa.' Dari awak. Whatsapp baru masuk. Mungkin line dia tak berapa elok sebab masa kiriman, lima minit setelah mesej terakhirku. Aku senyum. Terima kasih, Allah kerana menggembirakan aku. Andai Kau izin aku gembira dan bahagia, janganlah Kau lepaskan aku tanpa tuntunanMu. Tambatlah hatiku padaMu Tuhan agar aku sentiasa merasa nikmat kala berbicara denganMu. Biar aku sentiasa memikirkan untuk bersyukur dengan pemberianMu. Awak, saya sayang awak. Semoga suatu hari nanti, saya akan terima panggilan daripada awak seperti dulu.