Saturday, December 15, 2018
Semuanya Tak Menyempat - Kronologi Pertemuan Aku Dan Dia
17 Oktober, 2018:
Pagi itu, aku masuk ke pejabat seperti biasa Berbekalkan sisa kegembiraan hari lahirku semalamnya. Seperti tahun-tahun sudah, seratus lebih ucapan selamat hari lahir ku terima menerusi Facebook. Jumlah ucapan meningkat tahun ini. Dan aku masih seperti tahun-tahun sudah, membalas setiap ucapan tersebut dengan komen ucapan terima kasih.
Saat aku leka menulis komen untuk ucapan tersebut, telefon di mejaku berdering.
"Hello, Teja," Suara Jacqueline di hujung talian.
"Hello," Jawab saya dalam cuba menutup suara malas melayannya. Dalam hati, apalah dia ni nak pagi-pagi ni?
"Awak dah call Mr. Nice Guy?" Tanyanya.
Saya tiada pilihan melainkan bercakap benar. "Belum,"
"You ada baca tak email balasan dia?" Tanyanya lagi.
"Pun belum," Hati berkata lagi, apalah yang penting sangat dengan Mr. Nice Guy tu?
"Nanti you tengok eh? Event dia tak lama lagi,"
Alamak, tak lama lagi? Saya terkejut. "Bila?"
"26th,"
"26 Oktober?" Tanyaku menghela nafas lega. Tapi ada jugak rasa marah kat Jacqueline ni.
"Ya, Oktober," Balasnya.
"Laaa... Ingatkan esok. 26 tu lambat lagilah, Dr.Jac. 9 hari lagi. Hari ni baru 17," Apalah yang dia ni kelam-kabut sangat? Aku ni bukan penganjur. Buat apalah aku nak kelam-kabut? Hadir jelah event tu. Kalau aku penganjur ialah. Aku ni dahlah tengah sibuk pasal program Sabah. Yang tak berapa kritikal ni pun nak bagi aku sibuk jugak. Hish.
"Nantilah saya email dia," Harapan dalam hati agar talian segera dimatikan.
"You call pun lagi baik. Dia dah call saya cakap pasal ni,"
"OK," Suaraku mendatar menyebut OK. Yang Mr. Nice Guy tu pulak, apalah duk kalut sangat? Buat jelah. Nanti aku datanglah follow event dia. Semua orang tak menyempat. Bebel saya sendirian setelah talian dimatikan.
Aku terus mencari Outlook Express untuk membaca email yang dimaksudkan. Satu persatu email yang belum dibaca ku teliti. Satu nama menarik perhatian kerana inilah mamat kalut yang dimaksudkan Jacqueline. Yang Jac ni pun satu hal. Kau dah balas, dahlah. Yang kalut nak suruh aku contactlah, balaslah, bacalah buat apa? Just cakap jelah dengan orang tu, kita ada representative.
Email tu adalah email balasan dari Mr. Nice Guy kepada email Jacqueline. Nanti kalau ada masa, aku copy kan email tu di entri ni. Hmmm... Memang mamat ni berani sungguh, siap bagi nombor phone peribadi. Bagus! Kau pun memang orang yang dikehendaki, dah lama kami mencari, akhirnya, datang serah diri. Siap bagi nombor phone handset lagi. Memang sangatlah bagusnya!
Setelah membalas email berkenaan, aku terus mencapai gagang telefon yang terletak di atas meja komputerku lalu mendial nombor yang diberi. Macam manalah orangnya ya? Sombong kot. Asyik nak mengelak je meeting dengan kita. Mesti tak nak dipersalahkan atas insiden-insiden yang pernah berlaku di stesen.
Deringan tak sampai beberapa kali, talian bersambut. Kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian menyambut salamku. Bagi memastikan dialah orang yang ingin dihubungi, aku bertanyakan namanya. Ya betul. Dialah Mr. Nice Guy.
Aku memperkenalkan diri serta memaklumkan bahawa akulah representative yang dimaksudkan Jacqueline. Katanya, dia baru mahu menghubungiku. Panggilanku terlebih dahulu masuk ke telefonnya. Lambat!
Kami berbincang tentang eventnya dan dia minta untuk bertemu denganku bagi menerangkan lebih lanjut akan event tersebut. Aku bersetuju dan berjanji akan mengirim whatsapp kepadanya untuk menetapkan masa dan hari pertemuan.
Dalam perbualan tu, aku ada juga sebut tentang insiden di stesen. Katanya, pass is pass. Amboi, sesedap mulut dia je pass is pass. Tak ada yang lepas, tak ada sekarang en. Yang lepas tuu, jadikanlah pengajaran. Tak apalah. kau hubungi aku pun atas sebab lain. So, aku simpan dulu isu ni.
Perbincangan berakhir dengan baik di mana kedua-dua belah pihak mencapai persetujuan tentang beberapa perkara.
Tidak lama setelah bercakap menerusi telefon, aku menghantar whatsapp kepadanya menetapkan temujanji pada 23 Oktober jam 10.00 pagi.
'OK, see you then," Jawabnya seperti orang-orang lain yang berurusan denganku. Aku tidak membalasnya. Dia dah kata OK, OK la. Tak perlu nak balas dah. Dia ni orang sibuk kot. So, cakap yang penting je.
Lagipun takut dikatakan saja nak cari topik berbual. Hish, idok le teman. Kita jumpalah 23rd nanti ya Mr. Nice Guy.
Apa Kena Dengan Hati?
Hari ini, serasa bagai ada yang tak kena dengan hati.
Apa kena dengan hati?
Adakah kau sakit?
Atau... berdukakah engkau?
Biarpun jasad di dalam bilik mesyuarat, fikiran menerawang entah ke mana.
Mulut bersoal jawab dan menyatakan hujah, namun hati... Berkeliaran entah ke mana.
Kenapa sebaris nama itu sering mengusik hati?
Sebaris nama yang dulu biasa-biasa saja di mindaku. Pelik pun ada jugak. Tidak pernahku dengar nama itu.
Sejak akhir-akhir ini, sebaris nama itu indah di hati dan disebut.
Kenapa suara itu sering terngiang di telinga?
Bergema di setiap pelusuk jiwa.
Suara yang dulu ku rasakan sama seperti suara-suara lain pernah ku dengar,
Tapi kini lunak berkata-kata biarpun tuannya tiada di depanku.
Kenapa kata-katanya sering menjadi azimat?
Biarpun tidakku tahu jujur hatinya.
Semoga nama itu tidak tajam menusuk perasaan suatu hari nanti.
Semoga suara itu tidak menghiris hati ini di hari muka.
Semoga kata-katanya bukan belati mencipta luka jiwaku kelak.
Ya Allah,
Aku tak faham dengan perasaanku. Apa kena dengan aku? Apa kena dengan hati?
Apakah musim bunga itu kembali berkembang?
Ya Allah, aku takut kiranya tsunami melanda lagi.
Tapi rasa yang pernahku rasa dulu, seakan mula mahu meresap ke hati.
Aku takut. Mungkin takut kerana masa silamku dan takut kerana status.
Apapun, aku berjalan mengikut takdirMu.
Wednesday, December 12, 2018
Hari Lahir 2018
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ku tarikan jemari ini untuk mencoret apa yang ku lalui sejak kebelakangan ini. Tak mahu lagi menulis setelah segalanya berlalu dan ketika ia menjadi kenangan. Biar ku tulis sewaktu aku mengalaminya.
Namun bermula malam ini, ingin ku imbas kembali beberapa tarikh yang menjadi memori hidup ini yang juga akanku abadikan dalam arca kenangan.
Segalanya bermula pada tarikh keramat pengukur usiaku, 16 Oktober 2018.
Seperti tahun-tahun telah terlewati, pastinya aku akan ke pejabat dengan pakaian yang aku suka menjelangnya hari lahirku. Bagi aku, tarikh ini merupakan suatu tarikh yang amat bermakna. Bezanya, tahun ini sama seperti tahun lepas. Tiada cuti, tiada seseorang mengambil cuti untuk meraikan hari lahirku, tiada makan malam atau tengahari istimewa bersama yang teristimewa, tiada ucapan istimewa dari seseorang yang aku cintai, tiada juga hadiah dari seseorang yang aku sayangi.
Yang ada hanyalah ucap doa keramat daripada kawan-kawan pejabat, kawan-kawan yang mengingatiku, hadiah daripada kawan, hadiah daripada dia yang pernah aku cintai yang dihantar ke pejabat dan paling menggembirakan aku, lebih seratus ucapan selamat menerusi facebook. Ianya cukup membuatkan aku bahagia di hari lahirku tahun ini. Sememangnya, setiap kali hari lahirku, aku akan simpan semua kerja-kerja yang memeningkan kepala dalam laci, bawah meja atau kat mana saja. Sebab aku tak mahu kepalaku kusut dengan kerja-kerja yang rumit. Aku ingin menikmati kegembiraan dengan menerima dan membalas kiriman whatsapp, facebook, pesanan ringkas dan panggilan. Hanya kerja-kerja ringan dan mudah saja aku perbuat sambil-sambil melayan kiriman-kiriman yang dihantar.
Dalam aku leka mengucapkan terima kasih di setiap ucapan Facebook, telefon di meja berdering. Aku menyambutnya. Jelas kedengaran suara Jacqueline memulakan bicara.
"Teja, you terima tak email yang I forward?" Tanyanya.
Aku mendengus perlahan. Sibuk je. Jangan ganggu hari bahagia aku boleh tak? Kataku dalam hati.
"Email apa?" Aku menjawab malas.
"Email dari monorel, Mr. Nice Guy," Buat sementara, biarlah aku gelarkan pengirim email tersebut Mr. Nice Guy. Sampai masanya, sebaris nama itu akanku ukirkan di sini.
"Dia nak apa?" Dalam hati, tolonglah matikan talian ni cepat. Malas aku nak bincang pasal kerja ni. Mood hati berbunga riang hari ni. Tolong jangan bunuh kebahagiaan aku. Sebut monorel, lagi aku malas. Hmmm... Tapi muncul jugak eh setelah sekian lama aku mencari.
"Dia nak buat simulasi kecemasan. Dia jemput kita tapi I rasa you la yang paling sesuai untuk pergi." Kacau jelah monorel ni, sibuk je. Time kita cari tak muncul-muncul, time kita sibuk ni, tiba-tiba muncul pulak.
"Bila?" Tanya saya malas. Dalam hati mengharapkan talian putus.
"26 Oktober,"
Alah, lambat lagi. Nantilah aku tengok email kau. Esok-esoklah. Hari ni aku malas nak layan kerja ni.
"Nanti you balas email tu. Anything you contact Mr. Nice Guy tu," Kata Jacqueline sebelum menamatkan perbualan.
"OK," Berdouble malas jawapanku.
Lantak kaulah monorel. Tak urgent kan? Esok jelah aku baca email kau tu. Kalau perlu call, aku call. Kalau tak, biar jelah kat situ.
Gembira bertandang semula setelah talian dimatikan. Memang taklah aku baca email hari tu jugak. Birthday aku kot. Bye byelah kau. Jangan esok aku lupa nak tengok sudah.
Monday, December 10, 2018
Apakah Musim Bunga Datang Lagi?
Assalammualaikum dan salam sejahtera semua.
Sudah hamper dua tahun blog ini tidak terisi coretan suka-dukaku. Kerana di sini aku coretkan kisah-kisahku yang benar-benar peribadi terutamanya soal cinta dan kerinduan.
Mungkin ada para pembaca yang sudah melupakan blog ini kerana menyangkakan aku telah tiada atau blog ini sudah diabaikan. Tidak sebenarnya. Aku masih di sini. Kadang-kadang, aku bertandang ke Istana Badarsila ini sebagai pembaca yang mengenangkan kembali kisah silamku.
Dan rasanya, mulai hari ini, Istana Badarsila akan diserikan semula dengan kisah-kisah baruku. Mungkin musim bunga kembali menjengah hatiku. Aku masih belum pasti akan perasaan ini, hati ini dan takdir ini.
Nyatanya, warna-warna indah mula menceriakan hari-hariku. Tapi, ianya masih terlalu awal untuk aku maknakan semua ini.
Thursday, August 25, 2016
Mencintai Awak
Awak,
Hingga ke hari ini, saya masih mencintai awak. Mencintai awak dari hati yang dalam. Saya tak tahu kenapa Allah bagi rasa ini buat saya. Rasa yang dalam, terlahir dari hati.
Saya sayang awak.
Tuesday, August 23, 2016
Aku Yang Lemah
Ya Allah,
Segala yang bernyawa ini milikMu.
Sesungguhnya, aku tidak tahu apa yang telah Kau suratkan buatku.
Ya Allah,
Aku terlalu menderita Ya Allah, menderita dengan ujianMu padaku.
Namun aku tahu, mustahil bagiMu menganiayaku, makhluk ciptaanMu,
kerana Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Ya Allah,
Derita ini jalan yang harusku tempuh menuju bahagiaMu.
Lantaran itu Ya Allah,
Singkatkanlah jalan derita ini.
Percepatkanlah dan permudahkanlah aku untuk tiba ke destinasi bahagia yang Engkau janjikan buatku.
Insya-Allah, Amin...
Wednesday, May 4, 2016
Hati Perempuan
Saya baru selesai membaca sebuah blog menceritakan kemanisan hidup berumahtangga dan saat-saat gembira menerima kehadiran satu nyawa dalam rahimnya.
Masya-Allah, alangkah indahnya perasaan seorang perempuan apabila ditakdirkan untuk hidup bersama lelaki yang dicintainya dan tambah manis dengan kehadiran zuriat dalam rahimnya. Hati saya terusik. Ya Allah, apa ada detik-detik ini buatku?
Ya Allah, berpeluangkah saya mengandungkan zuriat lelaki yang amat saya cintai?
PertolonganMu ada di mana-mana dan aku akan terus mengharapkan pertolonganMu, Tuhan sebaik-baik penolong.
Subscribe to:
Posts (Atom)