Tuesday, October 26, 2010

Bukit Istana, Kenangan Terindah

4 September, 2010, ku ajak MF untuk sama-sama berbuka puasa di majlis berbuka puasa anjuran rakan seterusnya, kami berterawih dan qiammulail. Paginya, aku kembali ke tempat penginapanku. MF menghubungiku, ajak bertemu. Aku enggan kerana tidak mahu dilihat rakan-rakan. Bukan niat mahu menyembunyikan hubungan kami daripada pengetahuan mereka tapi, hubungan yang belum pasti ini rasanya biarlah ada kepastiannya terlebih dahulu.

"Awak, jomlah, kita jumpa kejap,"
"Tak naklah," Malam tadipun dia ajak aku bersiar-siar di sekitar tempat penginapanku tapi ku tolak dengan alasan mahu tidur.
"Kenapa tak nak? Jumpa kejap pun jadilah,"
"Taknaklah, nak tidur." Dalihku.
"Kalau nak ikutkan, saya lagi mengantuk. Tapi saya tak nak tidur. Saya nak jumpa awak,"
"Awak pergilah tidur,"
"Tak nak. Nak jumpa awak," Dia berkeras.
"Nak buat apa?"
"Kita pergi sarapan?"
"Kan hujan ni,"
"Mana ada. Hujan dah berhenti," Ku telan liur. Dalih yang tidak mengena. Ish!
"Tak naklah,"
"Jomlah. Kita pergi Bukit Istana? Awak kan nak pergi jalan-jalan kat sana kan? Kan awak tak pernah pergi sana," Aku diam sejenak. Bukit Istana? Nak pergilah. Dah lama aku nak ke sana.
"Betul ke awak nak temankan saya ke sana?" Tanyaku ragu-ragu. Kan baru balik qiammulail, tak penat ke? Desis hatiku.
"Betullah. Awak siap, pukul 8.00 saya sampai," Rupanya dia masih di surau tempat qiammulail tadi.
"Okay," Aku bersetuju.

Pukul 8.00, telefonku berdering. Dia sudah sampai. Baki hujan yang turun sesekali menitis ke tubuh namun kami terus berjalan ke Bukit Istana. Macam-macam kami bualkan. Kami sama-sama mengimbas kembali kenangan sewaktu bersama dulu. Sesekali kami tertawa riang dan sesekali dia mencubit pipiku tatkala aku berterus-terang tentang kenakalanku padanya dahulu. Kami tertawa bahagia.

Tiba di suatu tempat berlumpur, tiba-tiba dia mengangkat dan menggalasku di belakang. Aku meronta-ronta mahu diturunkan. Namun dia tetap memegangku dengan kemas dan terus berjalan. Dia memberi amaran agar aku tidak meronta bimbang aku akan jatuh. Duduk di atas belakang dia ni pun dah cukup buat aku takut. Macam manalah aku tak bising? Setelah puas minta diturunkan barulah dia menurunkan aku itupun setelah jalan kembali elok. Alamak! Kerongsang di tudungku sudah jatuh. Tak tahulah jatuh kat mana. Nasib baiklah kerongsang di bahagian leher tak jatuh.

Akhirnya, kami pulang dengan hati yang gembira. MF, jauh di sudut hati ini, aku masih mencintaimu. Tapi... Aku perlu berhati-hati agar diri ini tidak dipermainkan.

Jalan Mana Harusku Pilih???

Tuhan,
Kau tunjukkanlah padaku, jalan mana harusku pilih. Kiri atau kanan? Aku buntu dikala ini, terlalu buntu. Tuhan, tolonglah! Aku cintakan dia, aku takut kehilangannya sekali lagi. Tapi... Aku juga takut andainya apa yang ku pilih di luar keredhaanMu. Tolonglah, Tuhan! Bantulah aku. Keluarkan aku dari kekeliruan ini.

Tuesday, October 5, 2010

Luka Lagi

Tuhan, mungkin ini dugannMu buatku untuk menguji sejauh mana kesabaranku. Ya Allah, hati ini serasa ditusuk belati tajam tatkala mendengar perkhabaran itu semalam. Subhanallah, bisanya luka ini.

Tuesday, September 28, 2010

Hanya Tuhan Yang Tahu

Kasihku padanya, cintaku padanya, hanya Tuhan yang tahu. Tuhan, sesungguhnya, Engkau Maha Luas Pengetahuannya, maka, tentunya Engkau tahu betapa indahnya cintaku padanya. Tuhan, pastinya kau tahu, betapa pedihnya perasaanku dikala ini. Tapi aku hambaMu yang lemah ini, tiada daya untuk melawan ketentuanMu. Lalu aku pasrah. Cuma... Jauh di sudut hati, aku masih mengharapkan agar titipan kalamMu seiring dengan perancangan kami.

Tuhan,
Peliharalah kasih sayang kami dalam payungan cintaMu yang Maha Indah.
Tuhan,
Aku terlalu mencintainya. Untuk itu, aku mohon izinMu untuk disatukan cintaku dan cintanya moga terhindarlah hendaknya segala kemungkaran.

Jemput Ke Pejabat

6.45 pagi, satu SMS ku terima dari dia, MF. Ucapan selamat pagi. Tidak cukup dengan itu, dia call aku. Ku dengar macam bunyi kenderaan. Mesti dia nak datang jemput aku. Bilaku tanya dia di mana, dia terus matikan talian. Ya, dia memang tahu yang aku amat peka pada bunyi. Mungkin dia nak buat surprise, tak nak aku tahu yang dia akan datang untuk jemputku ke pejabat.

Benar seperti jangkaanku. Dia datang dan menghantar aku ke pejabat. Aku beli sarapan pagi di gerai makcik kegemaranku. Mihun goreng sambal sotong untukku dan nasi lemak sambal sotong untuknya. Kesian dia, sambal tak banyak. Yalah, dia tak tahan pedas, aku tak mintalah sambal lebih. Kami bersarapan bersama di pejabatku.

Thursday, September 23, 2010

Kehadiran Kembali (2 Ogos, 2010)

Malam itu... Aku keseorangan di rumah. Sendirian menonton TV, aku duduk di sofa. Jam menunjukkan pukul 10.00 lebih.

Aku tak mudah untuk mencintai
Aku tak mudah mengakuku cinta
Aku tak mudah mengatakan aku jatuh cinta

Tiba-tiba telefon bimbit Celcom ku berbunyi. Aku tergamam. Oh, betulkah apa yang aku dengar? Bukankah sudah sekian lama telefon itu tidak berdering? Tapi siapa? Siapa yang telefon tu? Dengan malas, aku mencapai telefon, menekan butang angkat dan menekapkannya di telinga.

"Hello," Kedengaran satu suara yang tidak asing buatku. Suara yang dulu saban hariku dengar. Suara yang suatu ketika dulu saban hari ku nantikan. Tak! Tak mungkin! Masakan dia yang menghubungiku. Aku terkaku di situ. Berdiri tegak. Sudah 10 bulan tidak ku dengar suara itu. Mustahil dia!!!
"Hello," Ulangnya lagi.
"Hello," Terketar-ketar bibirku menyahut panggilan tersebut.
"Hello, boleh saya bercakap dengan Teja?" Ya, benar! Aku kenal akan pemilik suara itu. Lelaki yang pernah ku gantungkan harapankupadanya. Lelaki yang amat ku cintai sejak kali pertama ku temui. Kenapa dia call aku?
"Hello, Teja ada?" Aku diam. Teja? Ada ke tak? Nak jawab apa?
"Siapa tu?" Aku pura-pura tidak kenal.
"Dah tak ingat dengan suara ni?" Dia menanyakan soalan seterusnya.
"Teja tak ada. Dia dah mati," Aku menjawab tegas.
"Habis yang bercakap ni siapa?"
"Entah. Awak ni siapa?" Aku mengambil giliran menyoal.
"Saya MF," Ya, Tuhan! Betullah dia. Aku sebak.
"Jangan tipu saya! MF, kekasih lama saya dah hampir setahun mati. Dia dah tak ada. Siapa awak? Pandai-pandai je guna nombor dia," Esakan kecil mula kedengaran.
"Tak apalah, kalau awak anggap dia dah mati. Memang dia dah tak ada pun. Yang ada... MF yang baru. Ini MF lain,"
"Awak nak apa?" Ku keraskan suara bertanya.
"Saya nak minta maaf atas semua kesilapan saya yang pernah saya lakukan," Suaranya sebak.
"Huh, maaf! Senang lafaz maaf eh? Awak dah sakitkan hati saya, kecewakan saya, hancurkan harapan saya, tiba-tiba datang minta maaf. Hei, mana awak selama 10 bulan lalu? Mana awak masa saya amat memerlukan awak?"
"Teja, saya tahu saya salah. Saya datang ni, saya nak jadi kawan awak, nak kawan dengan awak dan nak tolong awak. Saya nak sentiasa ada bila awak susah," Suaranya perlahan.
"Tak payah! Ramai lagi kawan saya yang nak tolong saya. Apa, awak ingat, saya buta, saya tak boleh hidup tanpa awak? Maaflah!"
"Teja, saya tahu saya salah. Awak cakaplah apapun, saya ikhlas mahu membantu,"

Malam itu... Kami bercakap, bertekak, bergaduh dan menangis selama enam jam. Pukul 4.00 lebih pagi baru perbualan kami tamat.

Friday, August 27, 2010

Jangan Nangis Lagi

Telahku tahan hati agar jangan sedih,
Namun air mata tetap mengalir.

Sudahlah, Teja, jangan nangis lagi. Ubati luka hatimu, moga bahagia yang kau impikan mendakapmu di hari muka.

Bahagiakah aku jika insan yang amatku cinta ditakdirkan bukan milikku?

Insya-Allah, Teja, jika hati kita tulus mencintainya, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.

Namun... Aku masih menaruh harapan agar dia menjadi milikku.

Insya-Allah Teja, mungkin ini dugaan Allah untuk mengujimu. Dan jika engkau sabar, siapa tahu kalau Allah perkenankan hajatmu?