Friday, July 10, 2009

Ke Mana Ilhamku? (Puisi Kedua Akhir)

Puas ku menung

Puasku fikir

Ilham yang suatu ketika dulu mencurah

Hilang indahnya.

Coretanku terasa canggung

Kenapa?

Aku resah

Bukankah puisi dan puitis itu jiwaku?

Mengapa ilhamku pudar?

Apakah mata pena ini telah tumpul sehingga tidak berdaya menitip kata?

Atau mungkin kertas ini tidak cukup putihnya sehingga tidak terlihat aksaranya?

Sempitkah ruang untuk ku tarikan jemari di papan kekunci?

Atau layarnya kehilangan cahaya untuk memapar bait-bait kata?

Mungkin…

Mindaku sarat sehingga berat melahir ilham?

Atau jiwaku tidak sebugar dulu?

Hilangkah sudah tajam mata fikirku?

Atau…

Hatiku gundah hingga kucar segala ayat yang ku baris?

Apa sudah jadi dengan diriku?

18 Jun, 2008

Ke Mana Ilhamku?

:) sudah sebulan lebih tidak ku jenguk blog kesayanganku ini. Entahlah... Aku tiba-tiba jadi malas untuk menulis.. Jika dulu aku sering menyusun patah kata menjadi bait-bait indah yang membentuk puisi, kini tidak lagi. Mengapa? Aku juga sering bertanya sendiri. Ke mana hilangnya ilhamku? Siapa yang telah merentapnya pergi? Ah! Aku pening memikirkannya.

Thursday, May 21, 2009

Yaya, Si Gemuk Yang Bijak

Hari itu, aku seperti kebiasaannya tinggal di rumah seorang diri bersama beberapa ekor kucing peliharaan keluargaku, setelah mama dan abah ke pejabat dan adik-adik ke sekolah. Yaya, kucingku berwarna kelabu kacukan dari jenis American Forest dan... Aku lupa, mungkin Parsi atau Siam duduk di ruang tamu. Yaya berbadan besar dan gemuk, berbulu tebal, manja dan tidak banyak mengiau. Kalau mengiau pun, terlalu perlahan. Kadang-kadang, hanya mulutnya saja bergerak sedang suara tidak kedengaran. Yaya amat jinak dengan manusia tetapi terlalu garang dengan binatang meskipun dengan anaknya sendiri. Dia amat benci melihat kucing lain masuk ke dalam pagar rumah. Kalau kucing peliharaanku yang lain dekat padanya, tentu saja kucing itu akan digomolnya.

Aku amat menyayangi Yaya. Dia seakan mengerti yang tuannya seorang ini tidak nampak. Aku pernah terpijaknya hingga beberapa tompok bulunya gugur ketika bergegas ingin menjawab panggilan dari telefon rumah. Yaya tidak marah, jauh sekali mencakar atau menggigitku. Dia sekadar mengiau perlahan (mungkin kesakitan) dan berensut ke tepi. Oh ya, aku lupa. Yaya ni seekor kucing yang malas. Aku suka memeluk dan menciumnya. Ada masanya, adik-adikku menegurku dan bertanya:

"Kau tahu tak Yaya tu besar dan berat?"
"Kenapa?"
"Kau tak takut dia cakar kau?"
"Taklah,"
"Ish, peluk-peluk macam tu... Takut aku. Tangan dia dahlah besar, sekali dia tampar,"

Yaya hanya mengiau manja dan menyandarkan badan besarnya kepadaku. Aku senang begitu. Adik-adikku pernah mahu dicakarnya kerana mereka suka mengusiknya. Mungkin kerana itulah mereka takut.

Berbalik kepada cerita tadi, aku duduk di dalam bilik melakukan kerjaku sendirian tanpa menutup pintu. Yaya menghampiriku lalu mengiau manja dan perlahan. Aku tahu, itu tandanya dia ingin makan. Yaya benar-benar memahami keadaanku. Apabila meminta makanan denganku, dia pasti datang dekat padaku dan mengiau perlahan. Tapi, apabila meminta makanan dengan orang lain, dia hanya duduk di hadapan pinggan friskisnya. Aku pun, ke ruang tamu, tempat di mana makanannya disimpan. Aku mencari bakul simpanan friskis. Namun tidak ketemu. Mungkin ada orang telah mengalihkan bakul tersebut ke tempat lain. Aku berasa amat kasihan kepada Yaya yang lapar. Jika aku tidak menemui bakul tersebut, Yaya perlu menunggu hingga mama pulang makan tengahari pukul 1.00 nanti. Sedangkan, waktu itu masih awal. Aku berusaha mencari dan Yaya mengikutku ke mana saja aku pergi. Setelah lama mencari, aku pun berputus asa. Aku memberitahu Yaya:

"Tak jumpalah, Yaya. Maaf ya, Along tak nampak. Tak tahulah mana dia orang simpan makanan Yaya,"

Yaya yang seakan faham butir bicaraku, menggeserkan badannya kepadaku dan mengiau manja perlahan. Sementara aku mengusap kepala dan badannya. Tiba-tiba, Yaya meninggalkanku. Mungkin dia bosan kerana tidak dapat apa yang diinginkan. Aku menghampiri sofa lalu berbaring di situ. Selang beberapa ketika. Yaya mengiau. Kali ini, dia tidak datang dekat denganku. Namun, aku masih mampu mendengar suaranya yang perlahan. Aku terasa malas untuk bangun mendapatkannya.

"Yaya, mari sini," Dia tetap di situ dan terus mengiau. "Kenapa Yaya? Lapar ke? Along tak jumpalah makanan Yaya. Tunggulah mama balik," Kalau kucing lain sudah tentu aku akan berikan biskut. Tapi, Yaya tidak suka makan biskut.

Yaya terus mengiau. Aku bingkas dari pembaringan lantas, mendapatkan Yaya. Dia tetap mengiau. Yaya mengiau sambil menghadap sebuah kotak. Pasti ada sesuatu di atas kotak tersebut kerana Yaya tidak mahu berganjak dari situ meskipun aku mendekatinya. Aku meraba kotak tersebut. Ya, ada sebuah bakul. Dan... Itulah bakul makanannya. Yaya berhenti mengiau setelah aku mengambil makanannya dari bakul tersebut. Aku rasa amat terharu dengan kebijaksanaan Yaya. "Kau memang kucing yang bijak Yaya," Kataku sambil memeluk dan menciumnya. Kemudian, Yaya makan dengan seleranya makanan yang aku letakkan di dalam pinggannya.

Wednesday, April 15, 2009

Apa Sebenarnya?

Peristiwa Januari lalu... Masih belum cukupkah untuk mengajar DIA erti cinta dan penghargaan? Benarkah DIA menyayangiku sehinggakan bila diberi pilihan antara dua DIA memilihku? Jika benar... Mengapa sikapnya seakan dingin kini berbanding saat DIA merayu agar aku tidak pergi darinya dan memohon maaf atas segala kesilapannya menduakanku? Mengapa kini kata-kata manis dan suara lembut itu tidak lagi dihidangkan untuk santapan telingaku? Mana sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan dulu? Kenapa? Kenapa jadi begini? Bukankah aku telah berikan kebebasan untuk DIA memilih dan pilihannya aku, kemudian... Masih lagi menyakiti hatiku? Apakah DIA masih belum sedar akan ketulusan aku menerima dirinya, walau siapapun DIA? Walau apapun sikapnya? Apapun... Aku mengharapkan keadaan ini hanya bersifat sementara. Ya Allah! Jauhkanlah peristiwa Januari lalu berulang lagi.

Tidak ada idea untuk bercakap denganku? Ke mana hilangnya idea yang banyak sewaktu memujukku. Waktu memujuk, bercakap berjam-jam. Kalau aku telefonpun... Tidak pernah marah, malah gembira. Ya Allah! Perbaikilah hubungan kami, Tuhan. Aku berdoa agar DIA benar-benar insaf dan berubah. Aku berdoa agar aku terus sabar dan menyayanginya. Aku juga berdoa agar aku dan DIA akan hidup dalam kebahagiaan dan ketenangan yang abadi.

Wednesday, February 25, 2009

Menara Kuala Lumpur Kebanggaan Malaysia

Menara tinggi kebanggaan bangsaku. Aku bersama "dia" ke menara Kuala Lumpur Ahad lalu untuk menghantar borang penyertaan tourthon 2009. Perjalanan dengan menaiki monorel tidaklah begitu jauh. Kami turun di Stesen Raja Chulan dan berjalan kaki ke menara Kuala Lumpur. Sebenarnya, kami tidak pernah sampai ke menara ini dengan berjalan kaki. Bagi aku pula, inilah kali pertama ke sana.

Setibanya kami di pagar utama, kami diberi pamplet berkenaan Menara Kuala Lumpur dan dibawa naik ke kawasan menara menggunakan van yang disediakan. Bebunga bangga mekar di hati apabila ramai pelancung asing di dalam van memuji pemandangan sekitar menara.

Kami terkejut apabila diberitahu penjaga kaunter pendaftaran bahawa OKU penglihatan tidak dibenarkan menyertai larian tersebut meskipun terdapat kategori OKU dalam larian itu. Kami berasa hampa. Dengan rasa tidak puas hati, aku ulang bertanya. Akhirnya, penjaga tersebut membenarkan dia mendaftar kerana dia tidak perlukan pengiring semasa larian. Alhamdulillah. Kami mahu menaiki menara tapi, memandangkan dia mempunyai program pada sebelah petang, hasrat itu kami batalkan.

Wednesday, February 18, 2009

Inikah Cinta?

Cinta itu indah
Namun menyakitkan
Cinta itu manis
Meskipun terkadang ianya pahit
Cinta itu membahagiakan
Walaupun terselit duka
Cinta itu menggembirakan
Sungguhpun memeritkan.


Cinta itu... Satu rasa yang cukup misteri. Panggillah cendekiawan paling ulung sekalipun, misterinya masih tiada yang mampu merungkainya.

(Maha Suci Allah yang meniupkan rasa ini dalam setiap hati hambaNya)

Manusia Bernama Lelaki

Lelaki, terlalu sukar untukku fahami. Terkadang... Aku terfikir, mengapa terlalu sukar untuk memahaminya? Lebih-lebih lagi dia yang amat ku sayangi. Hmmmm... Entahlah, jiwaku kacau dikala ini. Apakah kata-kata yang menusuk telingaku semalam benar atau suatu gurauan? Tapi mengapa gurauannya selalu kasar meskipun dia tahu aku tidak menyukainya. Mengapa kata-kata yang dikatakan gurauan itu sering kali mengguris hati ini walaupun dia tahu hati ini amat luka tatkala mendengarnya? Sayangkah dia padaku jika sering menyakiti hati ini?

Semalam... Kata-katanya amat mencabar kesabaranku. Apakah kesilapan pertamanya langsung tidak berbekas insaf di hatinya? Apakah kemaafan yang ku hulurkan langsung tidak bermakna padanya? Curang, suatu kesilapan yang bukan mudah untuk dilupakan. Belumpun sebulan berlalu, lidahnya sudah tajam menghiris perasaanku. Aku diperlakukan seolah-olah tidak berharga. Aku merasakan marwahku dipersenda-sendakan. Aku diperlakukan seperti "hidung tak mancung pipi tersorong-sorong" sedangkan, aku telah memberi kebebasan untuk dia memilih antara aku dan "perempuan itu", dan dia memilih aku dan mahu mempertahankan hubungan ini serta memperbaiki kelemahan dirinya. Tapi semalam... Kata-katanya seolah-olah aku yang memaksa dia memilihku. Suatu kenyataan yang melampau. Berguraukah itu? Kalau bergurau... Kenapa mesti berkata hal yang demikian. Usia sepertinya... Tidak dapatkah menilai apa yang boleh dibuat main dan tidak?