Wednesday, January 12, 2011

Burung-burung Berterbangan

Ada satu keindahan yang saban hari aku kecapi ketika ke pejabat. Sekurang-kurangnya, ia mampu membuatkan aku tersenyum walaupun sejenak. Apa dia? Burung-burung berterbangan.

Setiap pagi, apabila aku tiba di hadapan bangunan pejabat, pastinya aku akan terlihat warna-warna putih tersusun panjang dan banyak. Tatkala aku hampir dengannya, pasti ia akan berterbangan tinggi di angkasa. Kerana penglihatanku tidak sebaik mana, jadi aku tak pasti apakah yang burung-burung tersebut buat di hadapan bangunan pejabatku. Tapi memang lazimnya begitu. Fenomena tersebut amat mendamaikan. Alangkah indahnya jika aku dapat melihat fenomena tersebut dengan jelas. Menyaksikan burung-burung tersebut mengibarkan sayapnya dan berterbangan dalam kelompoknya. Mendengar kibaran sayapnya saja sudah mampu membuatku rasa tenang, apatah lagi jika melihatnya. Tak apalah, inikan ketentuan Tuhan. Maka aku redha dengan suratanNya.

Tapi... Sejak kebelakangan ni, burung-burung tersebut tak sebanyak dulu. Mungkin kerana banyak pembinaan sedang dilakukan di sekitar kawasan ini membuatkan mereka mencari tempat lain untuk berkumpul. Atau... Mungkin sekarang bukan musimnya. Harap-harap, mereka akan datang lagi beramai-ramai seperti dulu ke sini, menghiasi hari-hariku yang suram.

Tuesday, January 11, 2011

Yang Mana Dulu?

Banyaknya kerja yang perlu diselesaikan. Yang mana nak mula dulu ya? Pening betullah.

Monday, January 10, 2011

Pasangan Romantik

Pagi tadi, sebelum ke pejabat, aku menelefon seorang teman. Aku mahu mengambil barang yang dikirim oleh teman lain kepadanya kerana teman tersebut tidak sempat bertemu denganku semalam. Aku berjanji dengan teman tersebut untuk bertemunya di hadapan sebuah bank, berdekatan dengan pejabatnya. Setibanya aku di tempat yang dijanjikan, seorang lelaki menyapaku, bertanyakan namaku. Mungkin mahukan kepastian. Ya, aku kenal lelaki itu. Suami temanku. Dia memberitahuku yang isterinya tidak sempat menungguku kerana bimbang lewat masuk pejabat. Aku faham.

Apa yang inginku ceritakan di sini bukanlah tentang barang kiriman teman itu mahupun tentang teman yang tidak menungguku. Tetapi, aku tersentuh dengan pasangan ini. Aku bertanya kepada suaminya:

"Awak hantar dia pergi kerja ke?"
"Ya," Jawabnya bersahaja.
"Hari-hari?" Tanyaku lagi.
"Ya, hari-hari," Balasnya selamba.

Dalam diam, rasa kekagumanku menyelinap ke lubuk hati. Bagi orang normal, hantar isteri ke pejabat itu biasa dengan menaiki kereta atau motor. Tapi... Pasangan ini dua-dua tak dapat melihat cuma si suami rabun dan isteri pula langsung tidak dapat melihat. Si suami bekerja di sebuah kedai dan akan masuk pukul 10.00. Tapi... Demi cintanya terhadap isteri, dia rela mengorbankan tidurnya bagi memastikan si isteri selamat tiba di pejabat. Dia menghantar isterinya dengan berjalan kaki. Meskipun jarak rumah dengan pejabat tidaklah sejauh mana (10-15 minit perjalanan) namun, kerana kasihnya pada isteri, hal itu telah menjadi rutin hariannya.

Begitulah saktinya kuasa cinta. Semoga mereka berdua terus bahagia selamanya. Entahlah, nanti... Pasanganku pula macam mana ya? Demikianlah ajaibnya cinta. Biar susah pada zahir, jika hidup dalam berkasih sayang, pasti segalanya akan indah. Tapi, andainya zahir kelihatan senang, jika tanpa kasih sayang, dunia akan kelam, suram. Tanpa sinar, tanpa seri.

MF, andai cintamu benar-benar utuh buatku, pasti kita telahpun bersatu. Pasti segala yang kita hadapi kini tak berlaku. Aku rela susah bersamamu kerana kita tidak dapat melihat asalkan kau sentiasa di sampingku. Tapi... Kau memilih untuk meninggalkanku meskipun tanpa rela. Maka terpisahlah kita. Dan aku pasrah, pasrah akan ketentuan Ilahi. Semoga ada kebahagiaan buatku di hari muka. Insya-Allah... Amin.

Tuesday, January 4, 2011

Bosan!

Bosan betullah. Cek komen tak ada satu komen pun. hehehe agaknya blog ni memang sepi tanpa pembaca. Ataupun... Kandungan blog ni yang tak menarik. Tak apalah, ini kan diari harianku. Kalau tak ada orang baca nak buat macam mana. Coretkan saja isi hatiku di sini. Tapi kadang-kadang tu nak juga baca komen. Ada pendapat, teguran dan nasihat daripada pembaca kan best? Tak apalah. Tulis jelah.

Pedih

Ternyata, hidup ini tak semudah yang diharapkan. Dalam hidup, perkara yang paling pedih adalah menerima sebuah hakikat yang pahit. Namun siapalah aku untuk melawan takdirNya. Sabarlah hati. Moga ada kebahagiaan di hari muka.

Amin...

Genap Setahun

Hari ini... Genap setahun perkenalan aku dan KF. Aku tidak berharap apa-apa padanya. Cukuplah sekali aku kecundang. Aku tidak mahu kecundang lagi. Meskipun KF mahu hubungan ini berjalan dalam ikatan yang lebih intim, tapi aku tidak mahu menjanjikan apa-apa dan aku tidak mahu berharap. Biarlah sekadar kawan seandainya dia benar tulus terhadapku, pastinya dia tahu cara terbaik untuk membuktikan rasa hatinya. Dan aku tetap sabar menanti detik itu. Detik seorang lelaki membuktikan ketulusan cintanya terhadap seorang perempuan yang akan mencintai seorang lelaki itu sebagai seorang suami, pemilik cinta yang mutlak.

Monday, January 3, 2011

Selamat Datang 2011

Selamat datang 2011.

Datanglah, datanglah dengan sinar yang baru. Balutlah segala kelukaan hati ini. Ubatlah segala kekecewaanku. Bebaskan aku daripada derita ini. Pergilah lara. Jangan datang lagi. Berilah aku peluang untuk mengecapi bahagia.

Selamat tinggal 2010. Bawalah bersama kelukaan ini. Lepaskanlah ia di laut lepas, belantara rima, pergunungan yang jauh, di langit biru atau di mana saja yang kau rasakan patut. Diamlah kedukaan di sana. Usahlah kau pulang. Cukuplah selama ini kau menghuni jiwaku. Diamlah kau di sana. Di sana... Ada ruang buatmu dan aku akan kenang kau dari jauh sebagai pengajaran dan pengalaman hidup yang tak ternilai.

Terima kasih 2010. Terima kasih atas segalanya.