Pagi tadi, sebelum ke pejabat, aku menelefon seorang teman. Aku mahu mengambil barang yang dikirim oleh teman lain kepadanya kerana teman tersebut tidak sempat bertemu denganku semalam. Aku berjanji dengan teman tersebut untuk bertemunya di hadapan sebuah bank, berdekatan dengan pejabatnya. Setibanya aku di tempat yang dijanjikan, seorang lelaki menyapaku, bertanyakan namaku. Mungkin mahukan kepastian. Ya, aku kenal lelaki itu. Suami temanku. Dia memberitahuku yang isterinya tidak sempat menungguku kerana bimbang lewat masuk pejabat. Aku faham.
Apa yang inginku ceritakan di sini bukanlah tentang barang kiriman teman itu mahupun tentang teman yang tidak menungguku. Tetapi, aku tersentuh dengan pasangan ini. Aku bertanya kepada suaminya:
"Awak hantar dia pergi kerja ke?"
"Ya," Jawabnya bersahaja.
"Hari-hari?" Tanyaku lagi.
"Ya, hari-hari," Balasnya selamba.
Dalam diam, rasa kekagumanku menyelinap ke lubuk hati. Bagi orang normal, hantar isteri ke pejabat itu biasa dengan menaiki kereta atau motor. Tapi... Pasangan ini dua-dua tak dapat melihat cuma si suami rabun dan isteri pula langsung tidak dapat melihat. Si suami bekerja di sebuah kedai dan akan masuk pukul 10.00. Tapi... Demi cintanya terhadap isteri, dia rela mengorbankan tidurnya bagi memastikan si isteri selamat tiba di pejabat. Dia menghantar isterinya dengan berjalan kaki. Meskipun jarak rumah dengan pejabat tidaklah sejauh mana (10-15 minit perjalanan) namun, kerana kasihnya pada isteri, hal itu telah menjadi rutin hariannya.
Begitulah saktinya kuasa cinta. Semoga mereka berdua terus bahagia selamanya. Entahlah, nanti... Pasanganku pula macam mana ya? Demikianlah ajaibnya cinta. Biar susah pada zahir, jika hidup dalam berkasih sayang, pasti segalanya akan indah. Tapi, andainya zahir kelihatan senang, jika tanpa kasih sayang, dunia akan kelam, suram. Tanpa sinar, tanpa seri.
MF, andai cintamu benar-benar utuh buatku, pasti kita telahpun bersatu. Pasti segala yang kita hadapi kini tak berlaku. Aku rela susah bersamamu kerana kita tidak dapat melihat asalkan kau sentiasa di sampingku. Tapi... Kau memilih untuk meninggalkanku meskipun tanpa rela. Maka terpisahlah kita. Dan aku pasrah, pasrah akan ketentuan Ilahi. Semoga ada kebahagiaan buatku di hari muka. Insya-Allah... Amin.
Monday, January 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment