Sunday, January 16, 2011

Bukan Tidak Mencinta

MF,

Maafkan aku andai keputusanku ini membuatmu terluka. Sesungguhnya, aku lebih menderita tatkala kau meninggalkan aku. Dan sesungguhnya aku terlalu sengsara apabila kau menyatakan kesanggupanmu untuk menikahi dia kerana ibumu.

MF,
Andai jalan ini yang kau pilih, maka tunaikanlah tanggungjawabmu seadanya sebagaimana kau sanggup menerima dia sebagai isterimu. Jadikan cinta kita sebagai sejarah yang terindah untuk ditelusuri di celah-celah masa yang luang. Aku tidak sanggup merampasmu daripada dia, isterimu yang sah. Meskipun hakikatnya dia merampasmu dariku tatkala cintaku hangat membara. Aku tak rela menjadi perosak rumahtangga orang walaupun rumahtangga itu dibina atas kehancuran cintaku.

MF,
Percayalah, aku juga tersiksa saat membuat keputusan ini. Namun aku akur akan perjalanan takdir. Jiwaku lara ingin meninggalkanmu yang tersiksa dengan kehidupanmu kini. Tapi apakan daya, itu lebih baik daripada aku memporak-perandakan rumahtanggamu. Dan aku juga perlu belajar menghargai sekeping hati yang mengharap padaku, yang belum pernah mengecewakanku. Aku pun tak pasti... Tapi aku harus bangkit dengan hidup baru. Percayalah, keputusan ini ku ambil bukan kerana dia, tapi kerana dirimu yang bergelar suami orang.

MF,
Percayalah, ku lakukan ini bukan kerana aku tidak mencinta. Tapi cintaku adalah cinta yang berlandaskan takdir Allah. Sebenarnya kau yang memilih jalan ini, bukan aku. Jadi jangan salahkan aku atas apa yang berlaku. Engkau tidak tegar mempertahankanku saat kau mengatakan cintamu hanya milikku. Apalah ertinya cinta jika tiada keberanian? Akhirnya... Aku tersiksa dan kau juga tersiksa. Aku tersiksa kerana keputusan yang kau buat, keluargamu, perempuan itu dan keluarganya. Kerana inginkan kehendak masing-masing menjadi rialiti, aku harus menjadi korban akan cita-cita kalian. Dan engkau? Engkau hanya menurut tanpa cuba untuk bertahan. Dan kini... Kau kata kau tersiksa. Tersiksa kerana terjerat dalam keputusan yang engkau sendiri memilihnya. Kini... Kau ingin pertahankan cinta kita yang telahpun musnah. Musnah di tanganmu sendiri. Segalanya sudah tak berguna. "Nasi sudah menjadi bubur" dan untuk aku merampas kembali masa yang terlewati dan menegakkan semula cinta yang telah punah... Tidak! Tidak mungkin kiranya aku perlu melumuri tangan ini dengan merah darah yang tak terlihat. Mana mungkin aku menyakiti hati kaum sejenisku biarpun dia telah menghancurkan hatiku. Pesan ibu, jangan rampas kekasih atau suami orang, kelak... Orang akan rampas kebahagiaan kita. Pesanan keramat itu tersemat kukuh di hati ini. Semoga Allah teguhkan hatiku mengikut pesanan tersebut.

MF,
Mengapa sampainya hatimu mengatakan aku lupa pada janji? Sedangkan aku bermati-matian mempertahankan janji meskipun engkau menyakiti hatiku. Bukankah telah aku nyatakan, setelah engkau meninggalkanku, jangan diharap apa-apa lagi daripadaku. Aku juga telah menegaskan bahawa aku tidak berjanji apa-apa. Aku tidak akan menunggumu lagi kecuali Allah mentakdirkan engkau untukku. Mengapa bicaramu seolah-olah menyalahkan aku apabila ada insan lain berusaha untuk memilikiku? Sedangkan engkau telah mempersiakan peluang yang ku beri. Bukan sekali, Mf. Tapi tiga kali. Adilkah untuk aku memberi peluang sekali lagi sedangkan tiga peluang telah engkau sia-siakan dan engkau juga suami orang? Engkau tidak pulang ke rumah atas alasan kerana cintamu terhadapku. Sedangkan aku menyuruh kau pulang dan bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Apa yang kau katakan padaku? Kau kata aku menghalaumu. Aku tak faham. Sungguh tak faham.

MF,
Sesungguhnya, cinta kita telahpun bersemadi di pusara kasih. Janganlah dikejar lagi cintaku kerana mungkin cintaku bukan lagi buatmu. Tetapi... Seandainya Allah menyuratkan yang kita bersatu, maka saat aku sah menjadi milikmu, aku akan hidupkan kembali cintaku yang terpaksa aku matikan kerana kehendakNya. Detik itu... Akan aku hangatkan kembali kasih sehangat sinar sang suria yang kini terpaksa aku selindungkan dibalik mendung awan kesedihanku. Kala itu, akanku nyalakan kembali api sayangku biar marak membakar rimba sengsara yang kini terpaksa ku padamkan kerana hujan yang lebat menyiramnya. Hari itu, akanku merahkan kembali belai mesra semerah darah yang tiap saat mengalir ke segenap saraf nadiku yang kini terpaksaku jernihkan sejernih air di kali. Masa itu, akanku wangikan kembali bunga-bunga rindu semekar bebunga di musim bunga. Biar harumnya tertebar serata alam menjadi penawar rindu dendam yang terpendam sekian lama yang kini terpaksaku hapuskan harumnya kerana bah besar melanda taman hatiku.

Salam sayang dan rindu,
Daripadaku yang terlalu mencintaimu.

No comments: