Wednesday, January 26, 2011

Hari-hari Yang Terlewati

Hari-hari yang terlewati kini suram. Sesuram langit di musim tengkujuh. Biarlah, biarlah aku di sini. Tanpa dia, tanpa cintanya. Sesungguhnya aku letih dengan apa yang berlaku. Sudah lama dia tidak menghubungiku. Mungkin dia nekad meninggalkanku atau mungkin menghormati keputusanku. Atau juga marah padaku. Mungkin juga merajuk dengan apa yang ku perkatakan. Bukan tidak mahu memujuk tapi aku bimbang keadaan menjadi semakin keruh. Biarlah apapun alasannya, aku tidak mahu tahu. Cukuplah segala luka yang kau guriskan di hati ini. Bukan aku membenci tapi... Kita harus berpijak pada bumi nyata. Kita harus akur dengan takdir Ilahi. Kejamkah aku? Kejamkah aku atas tindakanku ini? Bukan aku tidak mahu berada di sisinya tatkala dia sengsara tetapi hatiku lebih sengsara. Bukan tidak mahu mengharung susah-senang bersama tapi dia milik orang. Dia harus pergi pada yang hak. Meskipun hatiku menjerit tidak rela ianya terjadi, namun aku harus pasrah pada ketentuanNya. Siapa aku yang mahu melawan kehendakNya? Mengaku Islam tapi tidak redha dengan hakikatnya, wajarkah? Tidak! Aku tidak mahu menjadi hambaNya yang alpa. Entah berapa nikmat dan rahmat yang Dia berikan padaku. Takkanlah sedikit ujian yang didatangkan untuk menguji garis keimanan di hati, aku mengjadi ingkar? Nauzubillahi min zalik. Aku tidak rela menjadi kebencianNya. Biarlah aku tersiksa kerana kehilangan cinta makhluk tapi aku gerun akan kehilangan cinta Khalik.

Rindu yang masih basah sesekali mendesakku menghubunginya. Ah! Biarlah! Biarlah ku pendam rindu ini. Semoga ada bahagia yang menanti di hadapan. Bukankah sesudah derita itu bahagia? Itu kata Ustaz, pensyarah semasa aku di IPT dulu. Kata-kata itu diluahkan saat aku meminta pandangannya tentang masalah yang melandaku dua bulan lalu.

MF,
Bukan aku tak mencinta, bukan aku tak merindu. Kiranya ini dikira satu pengorbanan, biarlah aku melakukannya. Bukan keranamu apatah lagi kerana perempuan itu! Tapi kerana Allah. Jika diikutkan hati, pastiku rampas kembali kau dari dia keranaku tahu cintamu masih milikku. Kalau diikutkan perasaan, inginku hancurkan harapan perempuan itu yang tinggi menggunung untuk bahagia bersamamu. Biar dia rasa bagaimana sakitnya hati apabila insan yang dicinta disambar orang. Inginku hancurkan mahligai yang telah dibina, biar dia rasa bagaimana sengsaranya tatkala diamuk kedukaan. Biar! Biar dia jatuh tersungkur menyembah bumi atas kekalahannya yang kononnya dia sempurna segalanya jadi dialah yang harus kau pilih menjadi surimu akhirnya kalah jua denganku yang kekurangan ini. Biar dia saksikan kemenanganku pada saat itu yang tak perlu bersusah-payah berusaha sepertinya untuk memiliki hati dan cintamu. Biar dia tahu yang aku tidak perlu bersusah-payah meraih sokongan ibu dan keluargamu untuk menjadi permaisuri di singgahsana hatimu. Biar dia tahu yang aku tidak perlu memaksa dengan pelbagai cara untuk kau menikahiku seperti kau menikahinya. Biar dia tahu yang aku tidak perlu melakukan pelbagai helah untuk memiliki jasad dan jiwamu. Biarku ajar perempuan yang begitu lancang menyuruh kau melupakan aku kerana kononnya bersamanya kau akan mengecapi kesenangan. Biar dia sedar akan hakikat hidup bahawa kesempurnaan zahir tidak semestinya hebat! Biar dia sedar, langit itu tinggi, bukan rendah yang boleh digapai dengan tangan. Biar dia berputih mata melihatkan kemenanganku. Biar ibumu jua sedar bahawa perempuan cacat ini terus bertakhta di hati anaknya. Biar ibumu tahu langit itu tinggi atau rendah! Biar ibumu tahu bahawa aku yang kekurangan ini mampu membahagiakan anaknya dan seterusnya dirinya sendiri. Tapi kerana Allah yang menghendaki semua ini berlaku, aku harus redha. Redha menerima hakikat ini. Siapalah aku mahu membalas segala apa yang orang lakukan padaku? Aku juga makhluk seperti mereka. Lantas padaNya ku serahkan segalanya. Ku kutip serpihan cinta makhluk yang musnah. Ku himpunkan kembali cinta itu. Dalam deraian air mata, ku cantum semula. Di sebalik cinta Ilahi, ku cuba ukirkan cinta itu, biar ia kembali indah, kembali menyerlah dan kembali berseri tatkala tiba masanya. Akanku hadiahkan pada seorang lelaki yang akan dihantar kepadaku oleh Tuhanku kelak. Insya-Allah.

No comments: