Friday, February 5, 2016

Buat Awak Yang Saya Sayang

Assalammualaikum awak... Biarlah saya coretkan semua isi hati saya buat awak di sini walaupun saya tahu awak takkan baca blog ni sebab awak tak pernah tahupun kewujudan blog ni. Waktu-waktu sekarang ni, saya rasa awak takkan baca coretan saya meskipun saya hantar pada awak. Jadi, blog ini sebagai ganti untuk saya melahirkan rasa yang terpendam. Semoga sampai satu saat, awak akan baca blog ni dan masa tu awak akan tahu isi hati saya yang sebenar-benarnya terhadap awak. Awak, Biarpun jarak usia kita jauh berbeza, biar siapapun awak, biar apapun sejarah lampau awak, saya terima awak dengan hati yang tulus tanpa ragu dan curiga. Awak, Sayang saya pada awak, bukanlah sekadar teman dikala bosan menjengah, tidak juga untuk menumpang senang awak. Sayang saya pada awak, adalah dari rasa cinta yang amat dalam. Bila dalam konflik begini, baru saya sedar betapa saya cintakan awak. Betapa saya rindukan awak. Awak, Cinta saya pada awak, bukan main-main. Sejak saya mengambil keputusan untuk menerima awak dalam hidup saya meskipun masa tu masih ada sisa cinta saya pada dia, saya terima awak dengan ikhlas dan niat saya, untuk jadikan awak suami saya dunia dan akhirat. Awak, Sayang saya pada awak, bukan sekadar suka-suka. Tapi saya nak kita sama-sama cuba untuk dekatkan diri kita dengan pencipta. Masa yang ada ini, saya nak awak cuba cukupkan solat awak, belajar Al-quran dan apa-apa berkaitan agama. Saya bukan baik sangat awak. Tapi sekurang-kurangnya, kita buat yang wajib. Sebab apa? Sebab saya sayangkan awak dan saya nak Allah juga sayang pada awak. Awak, Maafkan saya kerana kurang tunjukkan rasa cinta saya pada awak sebelum ni. Semuanya salah saya kerana terlalu dihantui sejarah silam dan ternyata, ianya merosakkan. Saya mohon pada Allah agar saya diberi peluang untuk tunjukkan rasa sayang saya pada awak dan hubungan ini kekal ke Jannah. Sebenarnya saya takut, takut untuk tunjukkan sayang saya pada awak. Takut kalau awak juga sama seperti dia yang memperlakukan saya sewenang-wenangnya bila mengetahui saya amat cintakan dia. Ternyata, saya salah. Dan kini, saya menerima akibatnya. Awak, Cubalah awak pejamkan mata awak dan carilah saya dalam hati awak. Masih adakah saya di situ? Masih adakah sisa cinta awak buat saya, perempuan yang pernah awak cinta?

Pedih...

Baiklah, dah lama tak update blog ni. Sebab apa? Entah... Malas. Sebenarnya, ada kisah yang tak pernah aku ceritakan di sini kerana asyik bercerita tentang dia si cinta pertama. Entahlah... Terlalu lama hidup dengan kenangan semalam, hingga masa-masa bahagia tidakku rakamkan di sini. Dan kini, mendung berarak lagi, harapnya tidaklah sampai badai seperti cinta pertamaku dulu. Ya Allah, jauhkanlah. Mohon doakan buatku wahai para pembaca yang budiman.

Sunday, May 10, 2015

Masih Cintakah Aku?

Salam semua, Dah lama saya tak update. Yelah, sibuk sikit kebelakangan ni. Blogpun dah berhabuk. Tak nak buang masa. Terus nak buat luahan. Beberapa hari yang lalu, dia ke luar negara atas urusan. Meskipun hubungan ini sudah lama berakhir, tapi masih ada sebak di hati untuk melepaskan dia pergi. Secara zahirnya, kami tiada apa-apa hubungan dan akupun tak tahu status dirinya sekarang. Tapi, sesekali ada juga kami bertemu dan makan bersama. Dia masih lagi seperti dia yang aku kenal dulu. Aku tak mengharapkan apa-apa, bimbang kecewa lagi. Namun perasaan ni, masih lagi terasa sedih tatkala ingin berpisah seperti dulu setelah bertemu. Masih lagi sebak bila mahu melepaskan dia pergi jauh. Tuhan, akupun tak faham dengan perasaan sendiri.

Wednesday, September 10, 2014

Masihkah?

Kalau lapan bulan lalu aku post tentang dia yang sama-sama menghadiri latihan Gunung Kinabalu, sekarang lain pulak ceritanya. Selama lapan bulan ni pelbagai peristiwa berlaku antara aku dan dia. Sebelum puasa hari tu, dia cedera disebabkan suatu pertandingan. Dan ini bermakna dia tidak akan mengikuti ekspedisi ini. Terima kasih, Tuhan, mungkin Kau tahu aku tidak kuat untuk berhadapan dengannya. Jiwaku sakit. Hatiku pedih. Apa yang menyakitkan tu, rasa malas nak cerita hari ni. Memandangkan latihan baru bermula dua minggu selepas hari raya dan kemudiannya cuti merdeka, dua kali latihan aku jalani dengan tenang dan ceria. Bukan bersyukur kerana dia cedera tidak sekali. Siapa nak orang yang pernah kita sayang sakitkan? Tapi sikap dia dan perempuan-perempuan gedik yang menyebabkan aku rasa lega bila dia tak ikut ekspedisi ni. Tapi hari ni, hati aku berkocak lagi. Khabarnya, latihan kami di Nuang, FRIM dan Brincang akan disertainya. Apa lagilah yang dia nak? Tak cukup lagikah mahu menyakiti hatiku? Tolonglah, kalau nak mengorat atau menggedikpun, janganlah buat di hadapan aku. Tak perlulah tunjukkan pada aku. Sekali lagi Tuhan, aku mohon perlindunganMu dari dia. Amin...

Thursday, January 9, 2014

Puncak Kinabalu, Impian Yang Menyakitkan

Impian yang menyakitkan? Bukan pendakian yang menyakitkan tapi semuanya tentang pendakian yang bakal ku tempuhi andainya terpilih. Tuhan! Apa lagi rencanaMu buatku? Aku tidak tahu. Lalu aku pasrahkan segalanya padaMu. Kenapa hidup aku tidak lepas dari dia??? Jika kami dipertemukan kerana latihan pendakian untuk Gunung Tahan, puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia dan akhirnya terpisah, kini kami dipertemukan sekali lagi dalam latihan menakluk Puncak Kinabalu, puncak tertinggi di Malaysia. Dari bisik-bisik khabar angin yang ku dengar, dia tidak akan menyertai ekspedisi kali ini atas komitmen lain pada tarikh pendakian kelak. Baru sekali dua aku menarik nafas lega, jantung seakan terhenti tatkala kawan yang sama-sama menghadiri taklimat pendakian mengkhabarkan bahawa dia ada dalam taklimat tersebut. Lebih menyakitkan, latihan pertama yang ku hadiri turut membariskan dia sebagai peserta. Tambah melukakan, pada akhir sesi latihan, dia beratur selang seorang di belakangku iaitu di belakang perempuan yang khabarnya baru dikenali dan semakin intim yang juga merupakan kawanku yang tidak begitu rapat. Cemburukah aku? Tidak! Kisah aku dan dia telah lama berakhir. Tapi, sebagai pencinta yang mencinta setulusnya dari dasar hati yang dalam, perasaanku terusik yang menjalar rasa ngilu pedih ke segenap jiwa. Dah elok aku bersama geng aku beratur di hadapan, boleh pula dia datang beratur berdekatan aku. Dahlah tu, siap dengan perempuan tu lagi. Tak tahulah kalau kebetulan mereka beratur berdekatan. Kenapa dia tidak mencari tempat lain saja untuk beratur? Akupun tergamam masa tu. Sepatutnya, aku terus berpindah tempat ke belakang biar mereka tahu aku tidak suka keadaan itu. Tidak puas lagikah dia menyakiti hatiku dulu? Tidakkah berbekas rasa bersalah dan sesal di hatinya atas apa yang berlaku? Tolonglah! Aku merayu, jangan lagi kau sakiti hatiku. Ya, hak engkau untuk berpasangan dengan siapapun yang kau suka, tapi tidakkah kau faham bagaimana rasanya cinta pertama? Atau mungkin kerana dia tidak pernah mencintai aku setulusnya namun dia tidak dapat merasakan cinta itu? Kalau nak mengayat atau apa sajalah, silalah duduk jauh daripadaku. Jangan tunjukkan pada aku yang kau sedang ingin memikat dan aku telah lama lenyap dari hatimu. Aku mohon pengertianmu kerana latihan ini masih jauh perjalanannya. Takkanlah hampir setahun ini hampir setiap minggu aku perlu merasa sebal dan ngilu? Selama kami berpisah, tidak pernah ada satu aktivitipun yang kami sertai serentak. Tapi tak tahulah kenapa kali ini boleh jadi macam ni. Apa pulaklah yang akan berlaku minggu ni?

Wednesday, October 2, 2013

Kuatkah Aku?

Selama ni, aku merasakan bahawa luka lama telah sembuh dan aku telah pulih sepenuhnya dari luka itu. Lantaran itu, aku merasakan bahawa aku cukup kuat untuk berhadapan dengannya. Mungkin Tuhan sengaja ingin menguji kekuatan aku. Petang semalam, aku rasa mengantuk sangat. Lalu aku ke lobi, bersembang dengan penyambut tamu. Kebetulan, ada ramai orang sedang berurusan di lobi. Suasananya agak bising. Sedang aku bersembang dengan Yaya, tiba-tiba... "Saya nak jumpa Puan Johara," Kedengaran satu suara yang tidak dapatku tangkap siapa pemiliknya. "Nama siapa?" Tanya Sabri, penyambut tamu seorang lagi. "F," Menurut cerita Yaya, jawapan itu perlahan saja. Tapi aku langsung tidak mendengarnya. Malah soalan Sabripun aku tak dengar. Percakapan Yaya menjadi perhatianku seratus peratus. Yaya pula seakan terkejut dan terus kelam-kabut menghubungi Puan Johara. Aku pelik, kenapa budak ni kelam-kabut semacam ni? Bukankah Sabri yang entertain mamat tadi? Kenapa dia pulak yang panggil Puan Johara? Aku terus duduk dan berbual di kaunter penyambut tamu. Tiba-tiba... "F Bin Sipulan!" Panggil Puan Jahida kuat yang kebetulan ada di lobi setelah Puan Johara bertanya siapakah yang ingin bertemunya. "Ya, saya," Pam!!! Bagai kilat memanah diri, demi mendengarkan nama dan suara itu, jantungku seakan menendang dada ingin keluar dari jasadku. Aku terduduk dan tertunduk. Sabar, Teja, sabar. Kau kena buat macam biasa. Buat tak ada apa-apa. Aku terus berlagak selamba meneruskan perbualan. Tiba waktu Asar, aku meminta diri untuk solat. Selepas itu aku diberitahu oleh Yaya yang dia sudah tahu siapakah gerangan yang ingin bertemu Puan Johara, sebab tulah dia kelam-kabut bimbang berlaku apa-apa. Dan kata Yaya, dia tertanya-tanya sendiri, apakah yang bakal berlaku sebentar lagi. Puan Jahida pula memberitahu bahawa dia sengaja memanggil nama F dengan kuat untuk memberi isyarat kepadaku akan kehadirannya. Kalau bertemu secara tidak sengaja dan bukan secara langsung aku sudah begitu, bagaimana harus aku berhadapan dengannya seandainya terpaksa berbuat demikian? Sudahlah diri, jangan biarkan hati terluka lagi. Dia milik orang dan dia adalah masa silammu.

Thursday, September 19, 2013

Doaku Di Suatu Hari

Selama aku bersamanya, aku sering berdoa agar Allah bukakan seluas-luasnya pintu hati dia buatku. Benarlah kata orang, cinta itu buta. Apapum yang dia lakukan, aku tetap ingin bersamanya. Pernah juga aku bertanya kepada diriku, adakah aku benar-benar bahagia bersamanya? Hatiku mengatakan ya. tapi akal warasku mengatakan sebaliknya. Selama hampir tiga tahun bersamanya, entah berapa kali dia menyepikan diri daripadaku. SMS tak balas, call pun tak berjawab. Aku rasa tersiksa diperlakukan begitu. Jika dia mahu memutuskan perhubungan ini, apa salahnya jika dia beritahuku atau setidak-tidaknya, hantarlah mesej jika tidak sanggup berhadapan denganku. Siapa yang pernah rasa benda ni, mesti korang tahu sakitnya bila orang yang kita sayang menjauhkan diri. Kitapun terfikir-fikir jika kita tunggu, tak pasti dia masih bersama kita atau tidak. Jika kita terima cinta lain, adakah kita curang? Bagaimana kalau dia datang menagih cinta setia kita? Peningkan? Suatu hari, doaku panjatkan amat berbeza dari hari-hari sebelumnya. Masa tu, aku tengah berjalan mahu pulang ke rumah. Hatiku dilanda sedih yang amat. Lalu akupun berdoa di dalam hati: Ya Allah, Jika beginilah siksa yang terpaksa aku tanggung untuk bersamanya, tidak tertanggung pedihnya olehku. Maka, Engkau putuskanlah hubungan kami jika itu yang terbaik buatku. Jika itu akan membuatkan hidupku lebih aman. Lepas tu, aku bertanya pada diriku, benarkah itu yang aku inginkan? Benarkah permintaanku itu? Suara hatiku berbisik, ya, kerana aku tak sanggup lagi dipermainkan begini. Lalu aku membiarkan doa itu tanpa menariknya kembali. Mungkin Allah mendengarku yang sekali itu. Maka, Allah putuskan aku denganNya kerana Dia adalah Tuhan yang sebijak-bijak perancang.