Friday, January 10, 2020
Blog Kahwin Lebih
Aku masih lagi di pejabat. Mencari-cari maklumat tentang poligami. Minggu depan... perbicaraan akan bermula. Aku share kan bersama dia tentang maklumat yang aku peroleh. Semoga dapat dijadikan panduan semasa perbicaraan nanti. Menurut kefahamanku, plaintif akan disoal pada perbicaraan tersebut.
Dalam sibuk mencari di internet, aku terjumpa satu blog bertajuk kahwinlebih.blogspot.com.
Menurut gaya penulisan, blog ni ditulis oleh seorang lelaki. Dari gaya tulisannya jugak, dia ni seolah-olah dia bukan orang yang berpoligami tetapi sekadar berkongsi input yang positif tentang poligami dan tentang isteri kedua.
Betul kata dia, isteri kedua selalu dipandang serung oleh masyarakat Malaysia sedangkan Allah tidak pernah membezakan hak antara isteri pertama dan kedua. Hak isteri adalah sama walaupun dia bukan isteri pertama.
Apa yang lebih menarik blog ni jugak memaparkan kisah perkongsian dari suami berpoligami yang dikirimkan ke emailnya.
Satu kisah ni, amat menarik perhatianku. Seorang lelaki ni pernah berkahwin dua. Pernah berkahwin dua? Aku mula membuat andaian? Isteri kedua diceraikan ke? Aku rasa sedih. Tapi, bacaanku teruskan. Pada awalnya, dia tidak pernah menyimpan niat untuk berpoligami meskipun di sekitarnya ramai perempuan termasuk di kalangan staffnya. Disebabkan persekitaran kerja ramai wanita, isterinya sering cemburu.
Suatu hari, dia berkenalan dengan seorang wanita. Perkenalan tersebut membuatkan mereka rapat dan akhirnya saling jatuh cinta. Akhirnya, tanpa pengetahuan isteri pertama, mereka berkahwin.
Seperti yang ku jangka, perkahwinan tersebut membuatkan isteri pertama marah. Namun, si suami berasa amat bahagia dengan perkahwinan keduanya. Malang bagi isteri kedua, oleh kerana statusnya sebagai isteri kedua, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang juga ditarik balik. Tapi mereka tetap bahagia menjalani kehidupan bersama meskipun terpaksa berkongsi kasih.
Selepas setahun perkahwinan mereka, isteri kedua meninggal dunia. Tidak dinyatakan sebab kematian tersebut. Si suami mengatakan, dia amat sedih dengan kehilangan tersebut kerana dia sangat sayangkan arwah. Katanya, arwah seorang yang baik, memahami dan sikap arwah jauh berbeza dengan sikap isteri pertamanya.
Aku sebak membaca entri tersebut. Boleh ke seorang suami menyayangi isteri keduanya lebih dari isteri pertama sedangkan isteri pertama telah lama hidup bersamanya sedangkan kita orang baru?
Mampukah aku menjadi isteri dambaan dia sehinggakan kalau aku pergi dulu menemui pencipta, dia akan redha kepadaku, merasai kehilanganku dan kasih sayangnya sentiasa mengalir buatku meskipun jasadku telah tiada bersamanya?
Aku percaya, isteri kedua yang disayangi suami adalah isteri kedua yang sabar, tabah mengharungi kehidupan rumahtangganya, yang sentiasa menenangkan suaminya, yang sentiasa menyayangi sang suami.
Ya Allah, jika Kau mengizinkan poligami ini buatku, maka Kau bimbinglah aku untuk menjadi seperti Saidatina Fatimah yang sabar hatinya meskipun hatinya tercalar.
Jika Kau mengizinkan poligami ini, tunjukkan aku untuk menjadi seperti Saidatina Aishah untuk sentiasa romantis dalam melayani suami.
Ya Allah,
Jika Kau mengizinkan poligami ini, izinkan aku merasai kasih sayang dan ketenangan di samping suami sebagai ganti ketenangan dan kasih sayang yang tidak Kau berikan dalam keluargaku. Izinkan Ya Allah untuk aku rasa bahagia dan dihargai walaupun aku terpaksa berkongsi suami dan aku bukan yang pertama baginya.
Berbalik kepada blog tadi, aku sedikit kecewa kerana blog tersebut hanya ada enam entri pada tahun 2009.
Aku lebih suka membaca tulisan lelaki tentang poligami berbanding tulisan perempuan yang sentiasa negatif terhadap poligami dan isteri kedua. Mereka menulis seolah-olah merekalah yang baik, merekalah yang teraniaya kerana suami berkahwin lagi dan selalu menggambarkan isteri kedua tu jahat.
Aku pun nak tahu isi hati seorang lelaki. Apa perasaan mereka terhadap poligami? Mengapa mereka nak berkahwin lagi? Apa perasaan mereka terhadap isteri kedua? Apakah sebab-sebab mereka nak berpoligami? Tapi susah nak jumpa tulisan macam tu. Mungkin sebab lelaki ni tak suka meluahkan perasaan mereka kot.
Sunday, January 5, 2020
Kenapa Dia Yang Abah Tanya?
Selamat malam semua.
Dah beradu ke?
Mehlah temankan aku ni.
Tidur petang punya pasal, dah tak boleh tidur.
So, kita menulislah.
Aku baru je tiba dari kampung Khamis hari tu.
Masih lagi nak berehat. Isnin baru kerja.
Masa kat kampung hari tu, aku duduk-duduk di sofa dengan abah.
Abah: Budak hari tu dah kahwin balik ke?
Aku: Budak mana?
Blur jap.
Abah: Budak tukang urut tu.
Aku terfikir-fikir, siapa yang dimaksudkan abah? Kawan-kawan aku yang abah kenal dan yang selalu abah ingat bukan kerja urut.
Abah: Budak tulah. Kawan kau dulu.
Oooo... MF ke? Laaa... masih tak tutup lagi ke cerita dia?
Aku: Entahlah. Kejap dengar dah bercerai, kejap dengar ada isteri lagi. Tak tahu mana satu betul.
Abah: Cakap dengan dia, tak boleh cakap macam tu, jatuh talak nanti.
Aku: Dia bukan cakap dengan along. Kawan-kawan yang cerita kat along.
Hadoi la abah. Kenapalah duk ingat lagi kat dia tu? Along ni dah lama move on dari dia. Kalau abah tahu apa yang dia buat kat along dan macam mana dia layan along, mesti dari dulu abah cakap tak payah kahwin dengan dia.
Abah ingat tak? Masa dia datang jumpa abah dan mama kat rumah sewa along, dia sekadar datang je. Dia tak cakap pun dengan abah yang dia nakkan anak abah ni. Tup, tup, lepas tu, dia tinggalkan along.
Aku memang tak suka nak cerita kat family lebih-lebih lagi abah dan mama apa yang boy friend atau x-boy friend aku buat kat aku. Walau seburuk manapun perangai dia, seboleh-bolehnya, aku akan sembunyikan dari pengetahuan mereka. Aku tak nak abah dan mama benci orang yang pernah aku sayang walaupun sayangku padanya telah lenyap. Tapi, dalam tak baik dia, ada jugak kebaikan dia kat aku.
Sesiapa yang couple dengan aku, sebaik mungkin aku akan nampakkan dia baik di mata abah dan mama. Tapi janganlah ambil kesempatan pulak. Aku sekarang bukanlah bodoh macam aku yang dulu.
Aku cuma mengharapkan kasih sayang, kejujuran, tanggungjawab orang kepadaku. Kalau depan abah dan mama layan aku baik, kat belakang layan aku macam sampah, aku akan fikir semula dua tiga puluh kali, betul ke nak hidup dengan kau.
Aku: dia tu susahlah bah. Sampai sekarang pun dia masih melayan ramai perempuan.
Aku cerita sikitlah pasal dia. Sebab aku tak nak abah rasa terkilan kenapa kita orang tak jadi dulu. Dan harapnya lepas ni, abah tak tanya dah pasal dia.
Sunday, December 29, 2019
Ungkapan Maaf Itu Penawar
Sebagai seorang perempuan yang dibesarkan dalam suasana panas dan ego, aku sangat dahagakan kasih sayang serta perhatian.
Itulah yang aku harapkan terhadap seorang lelaki yang bakal menjadi suami.
Lebih-lebih lagi aku yang ditakdirkan untuk melalui perkongsian kasih dan jika diizinkan, akan berkongsi suami.
Saat orang yang dicintai tiada di depan mata dan diketahui sedang bersama dengan yang di sana, hati menjadi hiba. Jika tiada sebarang khabar, pasti duka melanda kerana mungkin aku telah dilupakan dengan hangat belai manja yang di sana.
Perasaanku redup sepanjang hari ibarat awan melitup bumi. Hati mula terasa jauh. Rajuk mula bertandang. Apakan daya, dia bukan milikku.
Begitulah yang aku rasakan sepanjang hari Rabu lalu.
Tapiii...
Demi menerima text permohonan maaf kerana tidak melayanku hari itu ditambah dengan kata-kata lembut, hati yang rajuk sekonyong-konyong terubat. Maaf itu ibarat penawar yang merawat segala kepedihan sepanjang hari yang ku tanggung.
Jika boleh aku gambarkan, saat membaca text abang meminta maaf kerana sibuk melayan yang di sana sehingga mengabaikan aku, ianya seperti hatiku yang membeku seperti ais Kutub Utara terus mencair seperti disinari hangat mentari Gurun Sahara.
Aku menangis kesayuan dan terharu. Dalam sibuk dan penat abang melayan yang di sana, abang masih lagi fikirkan perasaanku, hatiku.
Hati yang rajuk rasa terubat. Moodku terus bertukar ceria setelah menghabiskan tangis kesayuanku.
Dan aku semakin bersemangat untuk berusaha menjadi yang terbaik buatnya meskipun aku tahu bukan mudah.
Terima kasih abang kerana membuatkan sayang rasa dihargai.
Sayang bukan mahu abang tunduk kepada sayang. Sayang hanya mahu merasai kasih sayang abang biarpun dari kejauhan. Permohonan maaf itu sebenarnya menambahkan rasa hormat sayang pada abang.
Begitulah ajaibnya perkataan maaf dan sikap lemah-lembut itu. Ianya membuatkan semakin bertambah kasih sayang sayang untuk abang.
Friday, December 27, 2019
Apa Yang Aku Rasa
Biar aku lakarkan di sini tentang apa yang aku rasa, tentang perasaan di sebalik dada, tentang hati yang bergetar.
Ya Allah,
Terima kasih Allah kerana dengan izinMu aku mula merasakan hangat panahan asmara ini. Aku mohon Ya Allah agar rasa ini subur sentiasa hingga ke Jannah.
Ya Allah,
Kasih sayang ini mengalir untuk dia.
Lalu rama-rama cinta berterbangan melata menebarkan keindahan yang berwarna-warni.
Rindu pun segera menjengah mengusik hati dalam getaran.
Wednesday, December 25, 2019
Sabar Itu Pedih
Ya Allah,
Andai ini jalan yang Kau takdirkan buatku, maka Kau berikan aku kekuatan serta kesabaran.
Ya Allah,
Sabar itu pedih, terlalu sakit. Maka datangkan kepadaku segala keindahan dari sabar ini.
Ya Allah,
Andai sabar ini yang terbaik,
Jauhkan aku daripada dianiaya,
Jauhkan aku dari dizalimi,
Jauhkan aku dari diambil kesempatan,
Jauhkan aku dari dipersia,
Jauhkan aku dari dikhianati,
Jauhkan aku dari perbuatan yang tidak adil.
Ya Allah,
Aku berpegang pada janjimu bahawa sabar itu indah akhirnya.
Maka aku serahkan hati yang hiba ini, untuk Kau rawat.
Aku serahkan perasaan yang lara ini untuk Kau ubati.
Wednesday, December 11, 2019
Konsep...
Orang ni, bila kita tak cakap, dia tak faham. Tapi bila kita cakap, marah.
Tak apa. Kita tengok konsep yang diperkenalkan, kalau kita jaga hati dia, dia akan jaga hati kita lebih lagi.
Kita tengoklah sejauh mana berkesannya konsep ni. Sekadar cakap kosong atau itu yang akan dibuat.
Thursday, December 5, 2019
Satu Cinta Dan Satu Hati
Aku hanya ada satu cinta dan satu hati. Dan yang satu itu telahku berikan kepada seseorang yang istimewa.
Mungkin ini ujian Allah untuk menduga seteguh mana cinta ini.
Ada yang mengaku telah lama menyimpan perasaan. Tapi kenapa baru sekarang mahu diluahkan? Setelah aku tidak lagi mempunyai ruang di hati. Setelah wilayah hati ini ditakluk oleh dia yang istimewa.
Setelah sejauh ini kami lalui hubungan ini, setelah dia buktikan betapa bersungguhnya dia terhadap hubungan ini, sehinggakan saat-saat genting rela dia hadapi, mana mungkin aku berpaling. Dan setiap hari, kasih sayang ini terasa semakin indah walau pun terkadang taufan melanda.
Aku tidak mahu menyakiti hati sesiapa apatah lagi mempermainkan perasaan orang sepertimana aku tidak mahu dipermainkan. Maka kalian jagalah hati kalian. Kita sekadar kawan. Dan tak boleh lebih dari itu. Kerana itu, bila ditanya, aku tanpa berselindung memberitahu yang aku sudah mempunyai seseorang.
Aku minta maaf, aku tidak bisa memenuhi kehendak semua orang. Dalam hal ini, aku harus memilih dan pilihan telahku buat.
Kita, tetap kawan sampai bila-bila melainkan takdir mengubahnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)