Friday, January 10, 2020

Blog Kahwin Lebih

Aku masih lagi di pejabat. Mencari-cari maklumat tentang poligami. Minggu depan... perbicaraan akan bermula. Aku share kan bersama dia tentang maklumat yang aku peroleh. Semoga dapat dijadikan panduan semasa perbicaraan nanti. Menurut kefahamanku, plaintif akan disoal pada perbicaraan tersebut. Dalam sibuk mencari di internet, aku terjumpa satu blog bertajuk kahwinlebih.blogspot.com. Menurut gaya penulisan, blog ni ditulis oleh seorang lelaki. Dari gaya tulisannya jugak, dia ni seolah-olah dia bukan orang yang berpoligami tetapi sekadar berkongsi input yang positif tentang poligami dan tentang isteri kedua. Betul kata dia, isteri kedua selalu dipandang serung oleh masyarakat Malaysia sedangkan Allah tidak pernah membezakan hak antara isteri pertama dan kedua. Hak isteri adalah sama walaupun dia bukan isteri pertama. Apa yang lebih menarik blog ni jugak memaparkan kisah perkongsian dari suami berpoligami yang dikirimkan ke emailnya. Satu kisah ni, amat menarik perhatianku. Seorang lelaki ni pernah berkahwin dua. Pernah berkahwin dua? Aku mula membuat andaian? Isteri kedua diceraikan ke? Aku rasa sedih. Tapi, bacaanku teruskan. Pada awalnya, dia tidak pernah menyimpan niat untuk berpoligami meskipun di sekitarnya ramai perempuan termasuk di kalangan staffnya. Disebabkan persekitaran kerja ramai wanita, isterinya sering cemburu. Suatu hari, dia berkenalan dengan seorang wanita. Perkenalan tersebut membuatkan mereka rapat dan akhirnya saling jatuh cinta. Akhirnya, tanpa pengetahuan isteri pertama, mereka berkahwin. Seperti yang ku jangka, perkahwinan tersebut membuatkan isteri pertama marah. Namun, si suami berasa amat bahagia dengan perkahwinan keduanya. Malang bagi isteri kedua, oleh kerana statusnya sebagai isteri kedua, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang juga ditarik balik. Tapi mereka tetap bahagia menjalani kehidupan bersama meskipun terpaksa berkongsi kasih. Selepas setahun perkahwinan mereka, isteri kedua meninggal dunia. Tidak dinyatakan sebab kematian tersebut. Si suami mengatakan, dia amat sedih dengan kehilangan tersebut kerana dia sangat sayangkan arwah. Katanya, arwah seorang yang baik, memahami dan sikap arwah jauh berbeza dengan sikap isteri pertamanya. Aku sebak membaca entri tersebut. Boleh ke seorang suami menyayangi isteri keduanya lebih dari isteri pertama sedangkan isteri pertama telah lama hidup bersamanya sedangkan kita orang baru? Mampukah aku menjadi isteri dambaan dia sehinggakan kalau aku pergi dulu menemui pencipta, dia akan redha kepadaku, merasai kehilanganku dan kasih sayangnya sentiasa mengalir buatku meskipun jasadku telah tiada bersamanya? Aku percaya, isteri kedua yang disayangi suami adalah isteri kedua yang sabar, tabah mengharungi kehidupan rumahtangganya, yang sentiasa menenangkan suaminya, yang sentiasa menyayangi sang suami. Ya Allah, jika Kau mengizinkan poligami ini buatku, maka Kau bimbinglah aku untuk menjadi seperti Saidatina Fatimah yang sabar hatinya meskipun hatinya tercalar. Jika Kau mengizinkan poligami ini, tunjukkan aku untuk menjadi seperti Saidatina Aishah untuk sentiasa romantis dalam melayani suami. Ya Allah, Jika Kau mengizinkan poligami ini, izinkan aku merasai kasih sayang dan ketenangan di samping suami sebagai ganti ketenangan dan kasih sayang yang tidak Kau berikan dalam keluargaku. Izinkan Ya Allah untuk aku rasa bahagia dan dihargai walaupun aku terpaksa berkongsi suami dan aku bukan yang pertama baginya. Berbalik kepada blog tadi, aku sedikit kecewa kerana blog tersebut hanya ada enam entri pada tahun 2009. Aku lebih suka membaca tulisan lelaki tentang poligami berbanding tulisan perempuan yang sentiasa negatif terhadap poligami dan isteri kedua. Mereka menulis seolah-olah merekalah yang baik, merekalah yang teraniaya kerana suami berkahwin lagi dan selalu menggambarkan isteri kedua tu jahat. Aku pun nak tahu isi hati seorang lelaki. Apa perasaan mereka terhadap poligami? Mengapa mereka nak berkahwin lagi? Apa perasaan mereka terhadap isteri kedua? Apakah sebab-sebab mereka nak berpoligami? Tapi susah nak jumpa tulisan macam tu. Mungkin sebab lelaki ni tak suka meluahkan perasaan mereka kot.

No comments: