Tuesday, January 14, 2020
Aku Yang Surprise
Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memiliki cinta. Yang memberi aku rasa cinta dan kasih sayang walaupun hati ada waktunya terguris.
Benar janji Allah, sabar itu indah meskipun menyakitkan.
Aku cuba tingkatkan kesabaranku dalam berhadapan kerenah lelaki yang aku cintai. Menjadi yang kedua, hati tak lari dari cemburu. Tapi aku gagahi demi cinta ini.
Alhamdulillah, aku mula rasa perubahan dalam hubungan ini. Rasa ada persefahaman dan pengertian. Aku rasa syukur dan tenang dengan layanannya terhadapku sejak kebelakangan ini. Rasa aku dihargai dan diperlukan meskipun dia bersama yang sana.
Kerana itu, aku rasakan yang kasih sayang ini mengalir tulus buatnya. Kelembutannya menghangatkan lagi kasihku padanya. Sehingga aku ingin dia sentiasa bahagia di sisiku.
Pagi semalam, aku menyemak peti masuk emailku dalam perjalanan ke pejabat. Dalam LRT. Ada satu email promotion kedai bunga. Ku baca email tersebut. Lantas, aku teringat padanya. Sudah lama dia tidak mengirimkan bunga buatku. Aku rindu untuk menerima bunga berserta kad ucapan daripadanya. Hati terasa sayu. Kenapa dia dah tak buat surprise untukku? Adakah cintanya terhadapku sudah tidak seperti dulu? Hati terasa sayu.
Daripada mengharapkan dia melakukannya, mungkin dia dah lupa saat-saat manis itu. Apa kata kalau aku yang ingatkannya dengan mengirimkan bunga padanya? Lagipun, aku tak pernah hantar bunga kat dia.
Tak apalah. Kita tengok bunga yang dijual.
Ya Allah, murahnya bunga ni! Tapi... duit aku bukan banyak pun. Maklumlah dah tengah bulan. Tapi, tak apalah. Duit untuk makan tu Insya-Allah ada. Kan kalau kita senangkan hati orang, buat orang rasa happy, Allah suka. Bagi je. Mesti ada rezeki lain untukku. Atau Allah cukupkan rezekiku.
Aku pun dengan excited mula memilih bunga. Susahlah pulak nak order dengan phone ni.
Aku text dia untuk pastikan seharian dia di Sungai Buloh.
Sampai di ofis, aku buka laman web tu. Aku pun mula memilih bunga. Tak sabarnya nak buat surprise untuk dia. Mesti dia sukakan?
Pilih, isi semua detail dan bayar. Mujurlah aku ada email pejabat dia. So, tak payahlah minta alamat dengan dia. Ambil je kat email. Kalau minta alamat, mesti dia Tanya nak buat apa.
Butang bayar ditekan. Terpapar confirmation order. Aku senyum dan tak sabar nak tunggu reaksi dia bila dia terima bunga tu kejap lagi. Agak-agaknya, dia suka tak?
Menjelang tengahari, tiada sebarang email yang mengatakan bunga telah dihantar. Aku resah sendiri. Mana perginya bunga tu? Ke dia tak sukakan bunga tu? Aku sengaja tak text dia. Biar dia ralit buat kerja then tiba-tiba bunga sampai. Aku berkira-kira sendiri.
Pukul 5.00 petang, tiada juga email bunga sudah dihantar masuk ke emailku. Hmmm... kalau dah sampai, takkan dia tak bagi tahu aku? Macam mana kalau rider sampai, dia dah balik?
Aku text dia, bagi tahu nak keluar makan dengan kawan. Gaya textnya macam kat ofis lagi. Takkan bunga hantar esok kot? Aku dah pilih date hari ni. Lagipun alamat company, takkan tak faham orang nak balik rumah petang-petang macam ni?
Kalau delay ke esok macam mana? Kalau esok dia tak masuk ofis, macam mana?
Masa tengah tunggu makanan sampai, aku terima panggilan dari dia. Aku happy sangat. Mungkin bunga dah sampai. Dengan excited, aku sambut panggilan tu. Tak sabar nak tunggu reaksi dia.
Dia: Kenapa hantar bunga?
Suaranya serius. Soalan tu membuatkan senyumanku mati. Hati mula terusik. Kenapa? Kalau tak suka, tak perlulah serius sangat. Tak apa. Tenang.
Aku: Nak surprise kan abang. Dah sampai?
Dia: Dia hantar ke rumah.
Telefon rasa nak terlepas. Rasa nak pengsan. Rasa nak nangis. Aku tahankan tangis kerana aku bersama dua orang rakan. Kalau tak fikirkan kawan, mahu saja aku angkat kaki dari kedai tu. Macam mana boleh jadi macam ni? Kan aku letak alamat pejabat! Macam mana boleh sampai rumah? Aku mana tahu alamat rumah dia!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment