Thursday, January 16, 2020

Perbicaraan Pertama Permohonan Poligami

Pagi ni, pagi yang mendebarkan buatku. Meskipun bukan aku yang ke mahkamah menghadap segala peguam dan majestrit, tapi ianya berkisarkan kepada kemahuan aku dan dia. Semoga dia tenang dan dapat menjawab segala soalan yang diutarakan dengan baik, bijak, berhemah dan konsisten. Bila melihat orang lain berkahwin dalam usia yang muda, berkahwin dalam suasana aman damai, tenang, diraikan keluarga, sanak-saudara dan semua orang, bercinta hingga menjadi suami-isteri, aku jadi sayu. Begitu indah perjalanan takdir mereka untuk bertemu pasangan mereka. Sedangkan aku? Allah uji dengan dua kali kegagalan, sukar untuk diterima orang sama ada keluarga mahupun tuan punya badan disebabkan keadaanku yang kekurangan dan kini diuji untuk kali yang ketiga. Bertemu dalam situasi yang tidak disangka-sangka, dalam status yang membawa aku dipandang hina oleh masyarakat terutamanya perempuan, harus menjalani prosedur mahkamah dan berdepan dengan pelbagai rintangan. Inikah jodohku yang Engkau rahsiakan selama ini, Ya Allah? Dalam ramai lelaki yang aku kenali setakat ini, dialah lelaki yang benar-benar menzahirkan kesungguhannya untuk bersamaku. Meskipun telah dia tahu risiko-risiko yang akan dihadapi. Bukan mudah berada dalam situasi kami terutamanya dia yang terpaksa berhadapan dengan isteri dan keluarganya. Namun, demi cinta ini, dia relakan segalanya. Selagi dia kuat, aku akan terus kuat dan memberi sokongan kepadanya. Selagi dia kuat, selagi itu aku akan bertahan. Ya Allah, permudahkan jodoh kami, permudahkan urusan kami. Kami bukan mahu menganiaya sesiapa cuma kami mahu hubungan ini menjadi halal, berkasih-sayang dalam rahmatMu, mengutip pahala dari ladang pahala yang Engkau janjikan. Ya Allah, andai ini jodoh kami, jadikan kami sebagai pasangan yang saling mencintai dari dasar hati yang tulus hingga ke JannahMu. Jadikan kami pasangan yang saling menghormati, menghargai, memahami dan bertanggungjawab selama-lamanya. Ya Allah, Andai dia jodohku, jadikan aku isteri yang baik, yang tahu bersyukur kerana memilikinya sebagai suami, yang sentiasa menenangkan hatinya, sentiasa ada di sampingnya kala susah dan senang. Jadikan aku isteri yang selalu menyenangkannya, menyejukkan hatinya, sentiasa ada bila diperlukan, sentiasa membuatnya bahagia dan begitulah sebaliknya. Amin.

No comments: