Saturday, July 6, 2019

Mahkamah Syariah

Allah itu sayang sangat padaku kerana itulah Allah selalu mengujiku dengan ujian yang memberikan pengalaman yang luar biasa dari kebanyakan orang. Bab cinta dan kasih sayang tidak terkecuali aku diuji. Seperti yang telah semua maklum, hubungan aku dan dia dalam keadaan genting. Waktu mula-mula berhubungan dulu, telahku katakan padanya, aku tidak mahu nikah di sempadan. Aku mahu buat di sini seperti orang ramai. Aku tak mahu berbangkit masalah di kemudian hari. Bukan sedikit masalah terhadap diri sendiri tapi anak-anak kelak jika dikurniakan rezeki. Aku jua mahu restu dari keluarga terutama orang tuaku. Paling penting perkahwinanku bukanlah sesuatu yang rahsia. Susah nanti untuk dia berlaku adil dan perlindungan terhadap hakku jua tidak dapat dilaksanakan. Masa dia menuturkan "OK," aku beranggapan, mungkin sekadar OK je kot. Tak ramai suami orang yang berani buka mulut nak berkahwin lagi apatah lagi nak buat mengikut undang-undang Malaysia yang rumit. Ternyata, telahanku salah. 24 Jun, 2019: Meskipun hubungannya bersama isteri dilanda badai kerana dia berterus-terang untuk berpoligami, dia meneruskan hasratnya dengan hadir ke Mahkamah Syariah Jln Duta untuk urusan permohonan poligami. Mungkin bagi sesetengah orang, tak patut. Tapi pernahkah orang fikir berada di tempat bakal yang kedua? Masa akan dibuang begitu saja. Kalau diikut kata perempuan, sampai bila pun takkan bagi. Majoritinya begitu. Dan sampai bila pulak kami mahu terus mahu berdating tanpa ikatan yang saha? Maksiat pun bila-bila masa boleh berlaku. Ya, orang akan cakap itu alasan. Kalau tak nak maksiat, janganlah dating or berhubungan. Habis korang takkan tak pernah rasa bercinta zaman bujang dulu? Kami bukan berniat untuk menganiaya. Apalah dayaku lagi untuk mengelak jika takdir telah tersurat? Selama ni aku sering berlapang dada kerana bebas dari situasi begini. Tapi kali ni, aku tak mampu untuk lari dari takdir. Mana ada orang yang nak berkongsi kasih? Bila kalam melakar kisah, aku tak mampu berbuat apa melainkan menjalani ketentuan ini dengan tawakal dan doa. Kata MNG, dia tak mahu lama-lama begini. Dia juga punya perancangan untukku. Jika dilengahkan, umur makin meningkat. Macam mana dengan kehamilan dan sebagainya? Aku mengakui ada kebenaran dalam kata-katanya. Petang tu, MNG ambilku di pejabat. Plan nak keluar dibatalkan. Sayu sungguh keadaannya. Dia menangis hiba. Makin bertemu denganku, makin lebat air matanya. Setelah selesai urusan pendaftaran, dia ke masjid Wilayah berhampiran menenangkan fikiran. Namun, air matanya makin lebat saat bertemuku. Isterinya sebut nak berpisah. Dia takut kehilangan anak-anaknya. Beberapa kali dia mengadu sakit. Ya, aku faham. Sakitnya tiada tertanggung bila disebut kata perpisahan. Aku pada awalnya terkejut dengan kata-kata perpisahan tersebut. Mungkin ini satu jalan untuk isterinya menghalang perkahwinan kami. Aku menasihatinya agar sabar dan kuat jika mahu hal ini menjadi rialiti. Mana ada isteri yang gembira untuk berpoligami? Isteri yang meminta suaminya berkahwin lagi pun menangis bila tahu suami akan berkahwin. Ini pulak isteri yang tidak menyuruh suami berkahwin. Dan, jika dia tak mahu berada dalam keadaan sukar ini, dia harus memilih salah satu. Pastinya aku akan dikorbankan. Fikirku. Siapalah aku di matanya jika dibandingkan isteri yang telah lama bersamanya? Kalau itu keputusannya, aku pasrah. Belas aku melihat keadaannya. Hari-hari berlalu membuatkan hidupnya berubah. Aku tak salahkan isterinya. Hati remuk-redam, pasti dia akan berubah. Suami juga tidak salah jika memilih poligami. Ada hikmahnya Allah izinkan poligami. Perempuan yang sukar menerima hal ini. Jika aku pun, mungkin aku akan bersikap demikian. Kita sering merasakan apa yang kita ada itu milik kita. Sedangkan, ianya milik Allah termasuk pasangan. Jadi Allah berhak menentukan sama ada milik kita sorang atau perlu dikongsi. Kedudukan sebagai isteri itu sangat pedih menghadapi hal ini. Aku faham. Tapi percayalah, aku hadir bukan untuk merampas. Aku sekadar ingin menumpang kasih. Jangan persoalkan kenapa aku tidak memilih bujang atau duda. Itu adalah ikrarku sebelum ini. Tapi aku lemah, aku tak mampu menentang ketentuan Allah. Dokumen tiba ke tangan isterinya. Aku juga membaca dokumen tersebut. Dokumen dihantar ke rumah melalui tangan. Itu yang aku difahamkan. Tarikh 4 Julai, 2019 adalah tarikh sebutan kes. Isterinya hadir ke mahkamah bersama peguam yang menjadi peguam belanya mengikut saranan abangnya. Pun aku faham. Pastinya dia mahu menjaga kepentingan dan haknya sebagai isteri dan anak-anaknya. Namun, aku terus berserah pada Allah. Aku berdoa agar YA hakim dapat membuat pertimbangan sewajarnya dan urusan kami untuk bersama dipermudahkan. Maka, pada 18 Julai nanti tuntutan akan disampaikan. Tarikh membuat tuntutan diberikan selama dua minggu. Kemudian dua minggu diberikan kepada plaintif iaitu MNG untuk menjawab tuntutan tersebut. Ogos nanti perbicaraan akan berjalan. Ya Allah, tiada kuasa yang mampu menolong kami melainkan Engkau. Memandangkan pihak sana menggunakan peguam, MNG juga akan melantik peguam untuk mewakilinya. Biarlah orang yang arif dalam hal ini melakukan yang sepatutnya. Aku mohon agar aku tidak dipanggil ke mahkamah. Aku tidak mahu bersua dengan pihak sana. Aku tidak mahu melukakan hatinya dengan berhadapan denganku. Bimbang berlaku perkara tidak diingini. Aku juga harus berwaspada untuk keselamatan diri.

No comments: