Allah ciptakan aku dengan kaya rasa kasih sayang.
Allah ciptakan aku dengan hati yang lembut. Yang sentiasa ingin disayangi dan dibelai.
Allah ciptakan aku sentiasa ingin melafazkan rasa kasih sayangku. Dan aku juga diciptakan untuk sentiasa ingin mendengar ucap kasih, sayang, cinta dan rindu dari seseorang.
Tapi Allah takdirkan aku untuk hidup dalam lingkungankeluarga yang tandus dengan kasih sayang.
Setelah aku dipisahkan dengan arwah chek, tiada lagi suasana kasih sayang yang membara dalam aku meniti hari-hariku.
Keluargaku seolah-olah malu untuk menunjukkan kasih sayang sesama sendiri. Apatah lagi untuk mengucapkannya.
Bertahun-tahun aku tunggu suasana yang aku impikan itu hidup.
Tapi yang ada hanya kemarahan, keegoan, pentingkan diri sendiri. Itu yang aku tempuh.
Lantas, aku mula memasang angan. Memasang impian agar Allah temukan aku dengan seorang lelaki yang bisa memenuhi keperluan emosiku.
Aku ini romantis jiwanya, lalu datanglah kepadaku dengan romantis.
Hidupkanlah suasana cinta yang marak membara agar kasih sayang yang dibina sentiasa hangat terasa meskipun berjauhan.
Tapi... kebanyakan lelaki yang aku temu, sekadar manis dipermulaan hubungan. Setelah hatiku dimiliki, lupa tentang hal yang satu ini.
Aku bukan mahu wang berjuta, tapi mewahkanlah aku dengan rasa cinta dan rindu.
Aku bukan mahukan harta bertimbun. Tapi, timbunkanlah aku dengan rasa kasih dan sayang.
Lelaki sering berfikiran, marah itu kuasa. Marah itu bisa menundukkan orang jagaannya terhadap kemahuannya.
Namun, itu bukan fomular terbaik untuk melembut dan membuat aku taat.
Aku dibesarkan dengan kekasaran, dengan keegoan dan kemarahan.
Jadi, jika ianya berulang, maka ketika kesabaranku tinggi lalu aku diam. Diamku bukan kerana patuh. Sekadar mahu mengelak perbalahan. Diamku membawa aku memendam marah dan hampa yang jika tak tertahan, suatu hari akan meletus.
Kalahku hanya dengan kelembutan dan nasihat. Itu kunci membuatku taat. Itu kunci melembutkan hatiku. Jika lembut dan hemah cara seseorang, maka aku ikhlas menerima kesilapanku serta tegurannya. Dan itu mampu menambat hatiku selama-lamanya dengan izin Allah.
No comments:
Post a Comment