Tuesday, January 21, 2020

Selamanyakah Begini?

Aku sedih, sangat sedih. Hubungan ni masuk ke fasa genting.


Sebenarnya aku bingung. Apakah aku masih diperlukan dan disayangi?


Sejak Jumaat lalu, dia berubah dan hubungan kami juga berubah dengan alasan untuk bertenang.


Aku tak tahu apa yang berlaku di sana. Aku tak tahu bagaimana keadaan di sana. 


Tapi mungkin inilah yang dimaksudkan oleh angah, bila yang di sana mengamuk, hati remuk-redam, aku akan dibiarkan demi menjaga hati yang di sana. 


Aku rasa kami makin jauh. Kalau sebelum ni, aku tidak dihubungi melalui call tapi sekarang text juga tiada melainkan untuk memberitahu nak pergi dan balik kerja. Sedangkan waktu-waktu macam ni, kami sangat memerlukan antara satu sama lain. Kami amat memerlukan sokongan antara satu sama lain. 


Memang aku tidak berhadapan dengan di sana, tapi bila keadaan berubah, emosiku jua terganggu. Aku sedih dan mula memikirkan apa salahku? Adakah hatinya sudah berubah? Atau ini semua permulaan untuk menjauhkan diri dariku?


Sekarang, aku tiada tempat untuk bercerita, untuk meluahkan apa yang ku rasa, menceritakan susah-senangku dalam menjalani hari-hariku. 


Abang,
Ketahuilah, yang sayang juga perlukan perhatian dan kasih sayang abang. Abang ada dua orang untuk diberi perhatian. Bukan sorang. Abang perlu pandai kawal emosi abang, abang perlu pandai kawal keadaan, perlu pandai seimbangkan keadaan. Sayangpun perlukan abang. Sayang ni sorang kat sini. Selama kita kenal, sayang ada abang je tempat sayang bersembang, tak kiralah melalui text atau call. Abang je yang banyak tahu tentang isi hati sayang, apa yang sayang rasa. Tiba-tiba abang berubah. Sayang sangat terkesan dengan semua ni. Abang tak tahu, yang sayang juga berperang dengan emosi sayang bila macam ni. Janganlah bila sayang diamkan semua ni abang beranggapan sayang baik-baik saja di sini. Bila sayang diam, sayang sebenarnya mengharapkan ada perubahan yang berlaku. Cuma sayang belm mahu membuka mulut sebab fikirkan keadaan abang yang mungkin sedang bergolak. 


Kita berhubungan semestinya untuk berkasih-sayang dan bermesra. Bukan untuk masing-masing diam tanpa mengambil tahu antara satu sama lain. Malah, tidurku pun sering terganggu dengan keadaan ni. Aku trauma dengan semua ni. Sebelum-sebelum ni, keadaan inilah yang aku lalui sehingga aku ditinggalkan. Dan aku sangat trauma.

Thursday, January 16, 2020

Perbicaraan Pertama Permohonan Poligami

Pagi ni, pagi yang mendebarkan buatku. Meskipun bukan aku yang ke mahkamah menghadap segala peguam dan majestrit, tapi ianya berkisarkan kepada kemahuan aku dan dia. Semoga dia tenang dan dapat menjawab segala soalan yang diutarakan dengan baik, bijak, berhemah dan konsisten. Bila melihat orang lain berkahwin dalam usia yang muda, berkahwin dalam suasana aman damai, tenang, diraikan keluarga, sanak-saudara dan semua orang, bercinta hingga menjadi suami-isteri, aku jadi sayu. Begitu indah perjalanan takdir mereka untuk bertemu pasangan mereka. Sedangkan aku? Allah uji dengan dua kali kegagalan, sukar untuk diterima orang sama ada keluarga mahupun tuan punya badan disebabkan keadaanku yang kekurangan dan kini diuji untuk kali yang ketiga. Bertemu dalam situasi yang tidak disangka-sangka, dalam status yang membawa aku dipandang hina oleh masyarakat terutamanya perempuan, harus menjalani prosedur mahkamah dan berdepan dengan pelbagai rintangan. Inikah jodohku yang Engkau rahsiakan selama ini, Ya Allah? Dalam ramai lelaki yang aku kenali setakat ini, dialah lelaki yang benar-benar menzahirkan kesungguhannya untuk bersamaku. Meskipun telah dia tahu risiko-risiko yang akan dihadapi. Bukan mudah berada dalam situasi kami terutamanya dia yang terpaksa berhadapan dengan isteri dan keluarganya. Namun, demi cinta ini, dia relakan segalanya. Selagi dia kuat, aku akan terus kuat dan memberi sokongan kepadanya. Selagi dia kuat, selagi itu aku akan bertahan. Ya Allah, permudahkan jodoh kami, permudahkan urusan kami. Kami bukan mahu menganiaya sesiapa cuma kami mahu hubungan ini menjadi halal, berkasih-sayang dalam rahmatMu, mengutip pahala dari ladang pahala yang Engkau janjikan. Ya Allah, andai ini jodoh kami, jadikan kami sebagai pasangan yang saling mencintai dari dasar hati yang tulus hingga ke JannahMu. Jadikan kami pasangan yang saling menghormati, menghargai, memahami dan bertanggungjawab selama-lamanya. Ya Allah, Andai dia jodohku, jadikan aku isteri yang baik, yang tahu bersyukur kerana memilikinya sebagai suami, yang sentiasa menenangkan hatinya, sentiasa ada di sampingnya kala susah dan senang. Jadikan aku isteri yang selalu menyenangkannya, menyejukkan hatinya, sentiasa ada bila diperlukan, sentiasa membuatnya bahagia dan begitulah sebaliknya. Amin.

Tuesday, January 14, 2020

Aku Yang Surprise 2

Aku: Macam mana boleh sampai rumah pulak? Dia: Abang suruh dia hantar rumah. Abang ingatkan parcel abang. Abang pun ada tunggu parcel. Aku: Habis tu macam mana? Putting-beliung ke? Dia: Balik nanti putting-beliunglah. Talian telefon dimatikan. Aku terkedu. Tangisan segera pecah. Sebaik mungkin aku diamkan tangisku. Mujurlah dua orang kawan ni blind. Tak Nampak aku sedang menangis. Hanya bahu yang terhenjut-henjut menahan tangis. Mujur juga kedai ni bising dan ramai orang. Jadi, tidaklah kedengaran sangat perubahan suaraku. Sebab mereka cuba untuk tidak membiarkan aku senyap. Ya Allah, perbicaraan hari Khamis ni, ujian apa ni Ya Allah? Ujian apa semua ni? Aku dah rancang yang aku rasakan baik. Hantar ke pejabat. Kenapa Kau izinkan bunga tu ke rumah Ya Allah? Musibah apa ni? Astaghfirullah! Bukankah perancangan Allah itu yang terbaik? Janganlah dipersoalkan aturan Allah kerana itu yang terbaik. Yakinlah. Lalu aku berserah dan bertawakal. Lepas makan, aku pulang ke rumah. Aku tidak mahu mengganggu dia. Semestinya dia sedang serabut sekarang ni. Bunga? Mungkin telah selamat masuk dalam tong sampah. Berkecai hatiku bila teringatkan semua tu. Malamnya, aku terima text dari dia. Text seolah-olah mencurigai niat baikku. Dia bertanyakan aku, adakah aku sengaja nak memporak-perandakan keluarganya? Ya Allah, aku terkejut tatkala membaca text tersebut. Demi Allah! Tidak ada sekelumit pun niat sebegitu sejak awal pertemuan kami. Bukan aku yang memaksa atau menggoda dia untuk bersamaku. Aku tertarik dengannya tanpa paksaan. Aku mencintainya setulus hati. Dan dari awal, aku tidak mahu merosakkan rumahtangganya. Sampai hati abang cakap macam ni. Tahukah abang yang text abang ni ibarat belati yang menghiris? Aku sedih dan tangisan pecah lagi. Ya Allah, akukah yang salah? Dia mempertikaikan kenapa aku tak bagi tahu dia tentang barang yang akan sampai padan ya dariku? Kalau cakap, bukan surprise namanya. Dan seperti biasa, dia mahu menegaskan yang aku perlu bagi tahu dia. Seolah-olah, apa yang berlaku ini salahku. Ya mungkin, mungkin aku yang salah. Untuk puaskan hati dia, aku akui aku yang salah. Bukankah kita perlu sama-sama ambil pengajaran? Memberi alamat kepada orang tanpa kita Tanya betul-betul juga bahaya. Macam mana kalau yang sampai tu bukan bunga tapi barang yang bahaya? Macam mana kalau yang Tanya alamat tu sebenarnya orang yang berniat jahat? Aku juga pernah mengalami situasi yang sama. Aku tunggu satu je parcel dari Lazada. Tiba-tiba rider call Tanya kat mana tempatku? Aku Tanya dia dari mana? Katanya nak hantar barang. Aku Tanya lagi, barang dari mana? Dari Lazada katanya. Then aku terus cakap, saya tak pernah tukar alamat penghantaran saya. Sebelum-sebelum ni, semua sampai. Kenapa boleh tak jumpa tempat saya pulak kali ni? Bacakan saya alamat kat parcel tu. Pintaku pada pemanggil tersebut. Then, selepas berpuas hati, barulah aku bagi tahu dia kedudukan pejabat aku di mana. Tak boleh ke kalau kita sama-sama ambil pengajaran dari apa yang berlaku? Ku pujuk hati, mungkin dia sedang tertekan dan serabut. Lalu, hati yang terguris ku pendamkan. Untuk tidak menambah beban dia lagi, pagi ni seperti biasa aku beri tahu yang aku mahu ke pejabat walaupun hati masih terasa. Tengahari, dia text aku. Mungkin dia tahu aku terasa. Tak perlulah dibesarkan perkara ni. Aku pun cuba move on dan mahu menyenangkan hati dia. Aku text macam biasa. Tapi petang ni, dia masih lagi suruh aku belajar dari apa yang berlaku tanpa melihat kejadian ni dari semua aspek dan secara terbuka. Surprise yang perlu diberitahu. Tak apalah. Tak perlulah aku bersusah-payah nak buat surprise lepas ni. Dia seolah-olah tak boleh terima yang benda ni berlaku disumbangkan juga oleh kecuaiannya. Salahku saja disebut-sebut. Ada juga rasa macam usahaku seperti tak dihargai walaupun ianya berlaku tak seperti yang aku rancang. Mungkin, kerana kesilapan yang tidak disengajakan yang menyebabkan berlaku tsunami, aku ni tak layak diucapkan terima kasih atau dihargai. Fikir positif Teja, dia sedang serabut. Biarlah apapun dia nak cakap, semoga Allah bukakan hatinya untuk melihat semua ni dari sudut kita sebagai hambaNya.

Aku Yang Surprise

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memiliki cinta. Yang memberi aku rasa cinta dan kasih sayang walaupun hati ada waktunya terguris. Benar janji Allah, sabar itu indah meskipun menyakitkan. Aku cuba tingkatkan kesabaranku dalam berhadapan kerenah lelaki yang aku cintai. Menjadi yang kedua, hati tak lari dari cemburu. Tapi aku gagahi demi cinta ini. Alhamdulillah, aku mula rasa perubahan dalam hubungan ini. Rasa ada persefahaman dan pengertian. Aku rasa syukur dan tenang dengan layanannya terhadapku sejak kebelakangan ini. Rasa aku dihargai dan diperlukan meskipun dia bersama yang sana. Kerana itu, aku rasakan yang kasih sayang ini mengalir tulus buatnya. Kelembutannya menghangatkan lagi kasihku padanya. Sehingga aku ingin dia sentiasa bahagia di sisiku. Pagi semalam, aku menyemak peti masuk emailku dalam perjalanan ke pejabat. Dalam LRT. Ada satu email promotion kedai bunga. Ku baca email tersebut. Lantas, aku teringat padanya. Sudah lama dia tidak mengirimkan bunga buatku. Aku rindu untuk menerima bunga berserta kad ucapan daripadanya. Hati terasa sayu. Kenapa dia dah tak buat surprise untukku? Adakah cintanya terhadapku sudah tidak seperti dulu? Hati terasa sayu. Daripada mengharapkan dia melakukannya, mungkin dia dah lupa saat-saat manis itu. Apa kata kalau aku yang ingatkannya dengan mengirimkan bunga padanya? Lagipun, aku tak pernah hantar bunga kat dia. Tak apalah. Kita tengok bunga yang dijual. Ya Allah, murahnya bunga ni! Tapi... duit aku bukan banyak pun. Maklumlah dah tengah bulan. Tapi, tak apalah. Duit untuk makan tu Insya-Allah ada. Kan kalau kita senangkan hati orang, buat orang rasa happy, Allah suka. Bagi je. Mesti ada rezeki lain untukku. Atau Allah cukupkan rezekiku. Aku pun dengan excited mula memilih bunga. Susahlah pulak nak order dengan phone ni. Aku text dia untuk pastikan seharian dia di Sungai Buloh. Sampai di ofis, aku buka laman web tu. Aku pun mula memilih bunga. Tak sabarnya nak buat surprise untuk dia. Mesti dia sukakan? Pilih, isi semua detail dan bayar. Mujurlah aku ada email pejabat dia. So, tak payahlah minta alamat dengan dia. Ambil je kat email. Kalau minta alamat, mesti dia Tanya nak buat apa. Butang bayar ditekan. Terpapar confirmation order. Aku senyum dan tak sabar nak tunggu reaksi dia bila dia terima bunga tu kejap lagi. Agak-agaknya, dia suka tak? Menjelang tengahari, tiada sebarang email yang mengatakan bunga telah dihantar. Aku resah sendiri. Mana perginya bunga tu? Ke dia tak sukakan bunga tu? Aku sengaja tak text dia. Biar dia ralit buat kerja then tiba-tiba bunga sampai. Aku berkira-kira sendiri. Pukul 5.00 petang, tiada juga email bunga sudah dihantar masuk ke emailku. Hmmm... kalau dah sampai, takkan dia tak bagi tahu aku? Macam mana kalau rider sampai, dia dah balik? Aku text dia, bagi tahu nak keluar makan dengan kawan. Gaya textnya macam kat ofis lagi. Takkan bunga hantar esok kot? Aku dah pilih date hari ni. Lagipun alamat company, takkan tak faham orang nak balik rumah petang-petang macam ni? Kalau delay ke esok macam mana? Kalau esok dia tak masuk ofis, macam mana? Masa tengah tunggu makanan sampai, aku terima panggilan dari dia. Aku happy sangat. Mungkin bunga dah sampai. Dengan excited, aku sambut panggilan tu. Tak sabar nak tunggu reaksi dia. Dia: Kenapa hantar bunga? Suaranya serius. Soalan tu membuatkan senyumanku mati. Hati mula terusik. Kenapa? Kalau tak suka, tak perlulah serius sangat. Tak apa. Tenang. Aku: Nak surprise kan abang. Dah sampai? Dia: Dia hantar ke rumah. Telefon rasa nak terlepas. Rasa nak pengsan. Rasa nak nangis. Aku tahankan tangis kerana aku bersama dua orang rakan. Kalau tak fikirkan kawan, mahu saja aku angkat kaki dari kedai tu. Macam mana boleh jadi macam ni? Kan aku letak alamat pejabat! Macam mana boleh sampai rumah? Aku mana tahu alamat rumah dia!

Sunday, January 12, 2020

Benci!

Dalam aku merayau-rayau di Facebook, terjumpa dua kawan yang share link bertajuk “5 Tips Merampas Suami Orang.”



Tidak syak lagi, pastinya link mengutuk isteri kedua atau bakal isteri kedua. Aku buka link tu. Benar bagai dikata. Semuanya tips-tips yang bodoh dan jahat! Ada tips yang kononnya baik di luar, tapi ada agenda tersembunyi di belakang seperti merampas terus suami orang tu. Ada tips yang dibuat supaya isteri pertama terus pergi dari hidup suami dan tips nak mengikis harta suami orang. Entah siapalah yang buat tips bodoh macam ni. Siap bagi note, semoga dengan tips ni kita boleh baca fikiran perampas suami orang.


Hello! Bukan semua orang jahat macam kau! Bukan semua orang sengaja nakkan suami orang sebab dia berpangkat, senang, matang dan hensem. Kat luaran memang nampak senang tapi kalau dah ada isteri, anak-pinak, kau ingat hidup dia orang senang sangat ke?


Ingatlah, sebelum menuding jari kepada orang lain, semak diri sendiri apa yang kurang dan perbaiki kekurangan. Jangan sibuk nak tuduh orang macam-macam. Kadang-kadang perempuan yang suami orang tu pilih perempuan yang tak sehebat isteri dia pun. 


Mungkin penulis sedaplah bercakap sebab dah ada suami dan takut orang ambil suami dia. Cuba letak diri tu di tempat orang yang tak ada suami, susah-senang semua sendiri. Sunyi, fitrah manusia Allah ciptakan  untuk berpasangan. Dan bukan semua perempuan yang Allah takdirkan untuk berkahwin dengan lelaki bujang atau single. Allah bagi poligami, renungkanlah sebabnya. Mesti ada sebab dan Allah Maha Mengetahui. Lelaki lebih sikit dari perempuan, adakah perempuan yang belum berkahwin ni perlu terus menyendiri. Ya mungkin betul bagi perempuan yang tidak Allah uji dengan pertemuan bersama suami orang. Allah mengatur takdir itu dengan seindah-indahnya. Maka ada hambaNya yang dipilih untuk menjalani hidup sebagai isteri kedua, tiga dan empat. Perampas ke namanya bila ditakdirkan berkahwin dengan suami orang? Ingatlah, suami itu bukan hak mutlak korang. Dia hanya pinjaman Allah kepada korang. Jangan disebabkan Allah uji korang untuk naikkan maqam  korang dengan ujian berkongsi kasih, korang sendiri yang merendahkan maqam tersebut dengan menghina, mengumpat keji dan memfitnah orang.


Bukan semua orang yang berkahwin dengan suami orang tu jahat. Ada yang ikhlas kerana cinta sehingga sanggup dihina dan difitnah, dipandang serung oleh masyarakat sebab tu dia sanggup berkahwin dengan suami orang. Ingatlah, bukan semua isteri kedua atau bakal isteri kedua tu hidup senang, dimewahkan dengan wang dan harta benda. Ada je yang sanggup bersusah, bantu-membantu kala susah. Ni tak, bila suami kekurangan duit, korang tuduh dikikis sedangkan orang yang korang tuduh tak dapat apapun. Korang  tu lebih senang dan lebih banyak dapat dari dia. 


Kalau isteri kedua, tiga dan empat ni perampas, Saidatina Sofiah, Saidatina Mariah dan Saidatina Habsah tu perampas ke? Nak kikis duit Rasulullah? Pandai pulak cakap, isteri nabi tu lain. Apa yang lainnya? Sama je. Perempuan jugak, manusia jugak, ambil suami orang jugak. Kenapa korang tak kata dia perampas? Kenapa poligami Rasulullah tu tak boleh dijadikan contoh yang baik? Tak pernah lagi aku baca Saidatina Aishah kata isteri-isteri lain tu perampas suami dia. Berhati-hatilah dalam berkata-kata dan menulis, sebelum Allah uji dengan perkara yang sama. 

Kenapalah semua tulisan negatif je tentang isteri kedua? Manalah nak cari artikal yang positif ni? Biar positif aura aku ni. Biar ada semangat untuk menjalani ujian yang akan datang.

Friday, January 10, 2020

Blog Kahwin Lebih

Aku masih lagi di pejabat. Mencari-cari maklumat tentang poligami. Minggu depan... perbicaraan akan bermula. Aku share kan bersama dia tentang maklumat yang aku peroleh. Semoga dapat dijadikan panduan semasa perbicaraan nanti. Menurut kefahamanku, plaintif akan disoal pada perbicaraan tersebut. Dalam sibuk mencari di internet, aku terjumpa satu blog bertajuk kahwinlebih.blogspot.com. Menurut gaya penulisan, blog ni ditulis oleh seorang lelaki. Dari gaya tulisannya jugak, dia ni seolah-olah dia bukan orang yang berpoligami tetapi sekadar berkongsi input yang positif tentang poligami dan tentang isteri kedua. Betul kata dia, isteri kedua selalu dipandang serung oleh masyarakat Malaysia sedangkan Allah tidak pernah membezakan hak antara isteri pertama dan kedua. Hak isteri adalah sama walaupun dia bukan isteri pertama. Apa yang lebih menarik blog ni jugak memaparkan kisah perkongsian dari suami berpoligami yang dikirimkan ke emailnya. Satu kisah ni, amat menarik perhatianku. Seorang lelaki ni pernah berkahwin dua. Pernah berkahwin dua? Aku mula membuat andaian? Isteri kedua diceraikan ke? Aku rasa sedih. Tapi, bacaanku teruskan. Pada awalnya, dia tidak pernah menyimpan niat untuk berpoligami meskipun di sekitarnya ramai perempuan termasuk di kalangan staffnya. Disebabkan persekitaran kerja ramai wanita, isterinya sering cemburu. Suatu hari, dia berkenalan dengan seorang wanita. Perkenalan tersebut membuatkan mereka rapat dan akhirnya saling jatuh cinta. Akhirnya, tanpa pengetahuan isteri pertama, mereka berkahwin. Seperti yang ku jangka, perkahwinan tersebut membuatkan isteri pertama marah. Namun, si suami berasa amat bahagia dengan perkahwinan keduanya. Malang bagi isteri kedua, oleh kerana statusnya sebagai isteri kedua, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang juga ditarik balik. Tapi mereka tetap bahagia menjalani kehidupan bersama meskipun terpaksa berkongsi kasih. Selepas setahun perkahwinan mereka, isteri kedua meninggal dunia. Tidak dinyatakan sebab kematian tersebut. Si suami mengatakan, dia amat sedih dengan kehilangan tersebut kerana dia sangat sayangkan arwah. Katanya, arwah seorang yang baik, memahami dan sikap arwah jauh berbeza dengan sikap isteri pertamanya. Aku sebak membaca entri tersebut. Boleh ke seorang suami menyayangi isteri keduanya lebih dari isteri pertama sedangkan isteri pertama telah lama hidup bersamanya sedangkan kita orang baru? Mampukah aku menjadi isteri dambaan dia sehinggakan kalau aku pergi dulu menemui pencipta, dia akan redha kepadaku, merasai kehilanganku dan kasih sayangnya sentiasa mengalir buatku meskipun jasadku telah tiada bersamanya? Aku percaya, isteri kedua yang disayangi suami adalah isteri kedua yang sabar, tabah mengharungi kehidupan rumahtangganya, yang sentiasa menenangkan suaminya, yang sentiasa menyayangi sang suami. Ya Allah, jika Kau mengizinkan poligami ini buatku, maka Kau bimbinglah aku untuk menjadi seperti Saidatina Fatimah yang sabar hatinya meskipun hatinya tercalar. Jika Kau mengizinkan poligami ini, tunjukkan aku untuk menjadi seperti Saidatina Aishah untuk sentiasa romantis dalam melayani suami. Ya Allah, Jika Kau mengizinkan poligami ini, izinkan aku merasai kasih sayang dan ketenangan di samping suami sebagai ganti ketenangan dan kasih sayang yang tidak Kau berikan dalam keluargaku. Izinkan Ya Allah untuk aku rasa bahagia dan dihargai walaupun aku terpaksa berkongsi suami dan aku bukan yang pertama baginya. Berbalik kepada blog tadi, aku sedikit kecewa kerana blog tersebut hanya ada enam entri pada tahun 2009. Aku lebih suka membaca tulisan lelaki tentang poligami berbanding tulisan perempuan yang sentiasa negatif terhadap poligami dan isteri kedua. Mereka menulis seolah-olah merekalah yang baik, merekalah yang teraniaya kerana suami berkahwin lagi dan selalu menggambarkan isteri kedua tu jahat. Aku pun nak tahu isi hati seorang lelaki. Apa perasaan mereka terhadap poligami? Mengapa mereka nak berkahwin lagi? Apa perasaan mereka terhadap isteri kedua? Apakah sebab-sebab mereka nak berpoligami? Tapi susah nak jumpa tulisan macam tu. Mungkin sebab lelaki ni tak suka meluahkan perasaan mereka kot.

Sunday, January 5, 2020

Kenapa Dia Yang Abah Tanya?

Selamat malam semua.



Dah beradu ke?


Mehlah temankan aku ni. 


Tidur petang punya pasal, dah tak boleh tidur.


So, kita menulislah. 


Aku baru je tiba dari kampung Khamis hari tu. 


Masih lagi nak berehat. Isnin baru kerja. 


Masa kat kampung hari tu, aku duduk-duduk di sofa dengan abah. 


Abah: Budak hari tu dah kahwin balik ke?


Aku: Budak mana?


Blur jap.


Abah: Budak tukang urut tu. 


Aku terfikir-fikir, siapa yang dimaksudkan abah? Kawan-kawan aku yang abah kenal dan yang selalu abah ingat bukan kerja urut.


Abah: Budak tulah. Kawan kau dulu.


Oooo... MF ke? Laaa... masih tak tutup lagi ke cerita dia?


Aku: Entahlah. Kejap dengar dah bercerai, kejap dengar ada isteri lagi. Tak tahu mana satu betul.


Abah: Cakap dengan dia, tak boleh cakap macam tu, jatuh talak nanti.


Aku: Dia bukan cakap dengan along. Kawan-kawan yang cerita kat along.


Hadoi la abah. Kenapalah duk ingat lagi kat dia tu? Along ni dah lama move on dari dia. Kalau abah tahu apa yang dia buat kat along dan macam mana dia layan along, mesti dari dulu abah cakap tak payah kahwin dengan dia.


Abah ingat tak? Masa dia datang jumpa abah dan mama kat rumah sewa along, dia sekadar datang je. Dia tak cakap pun dengan abah yang dia nakkan anak abah ni. Tup, tup, lepas tu, dia tinggalkan along.


Aku memang tak suka nak cerita kat family lebih-lebih lagi abah dan mama apa yang boy friend atau x-boy friend aku buat kat aku. Walau seburuk manapun perangai dia, seboleh-bolehnya, aku akan sembunyikan dari pengetahuan mereka. Aku tak nak abah dan mama benci orang yang pernah aku sayang walaupun sayangku padanya telah lenyap. Tapi, dalam tak baik dia, ada jugak kebaikan dia kat aku. 


Sesiapa yang couple dengan aku, sebaik mungkin aku akan nampakkan dia baik di mata abah dan mama. Tapi janganlah ambil kesempatan pulak. Aku sekarang bukanlah bodoh macam aku yang dulu. 


Aku cuma mengharapkan kasih sayang, kejujuran, tanggungjawab orang kepadaku. Kalau depan abah dan mama layan aku baik, kat belakang layan aku macam sampah, aku akan fikir semula dua tiga puluh kali, betul ke nak hidup dengan kau. 


Aku: dia tu susahlah bah. Sampai sekarang pun dia masih melayan ramai perempuan.


Aku cerita sikitlah pasal dia. Sebab aku tak nak abah rasa terkilan kenapa kita orang tak jadi dulu. Dan harapnya lepas ni, abah tak tanya dah pasal dia.