Thursday, February 3, 2011

Keseorangan...

Duduk sorang-sorang kat rumah. Malas nak memasak, order dua menu MC Donald. Satu untuk makan tengahari dan satu untuk makan malam. Malaskan???

Monday, January 31, 2011

Malas...

Malasnya rasa hari ni. Mood cuti dah melanda ni. Rasa malas nak buat apa-apa kat pejabat ni. Tapi dah tugas nak buat macam mana. Buat jelah apa yang patut.

Friday, January 28, 2011

Blind Map

Bagi penduduk sekitar Kuala Lumpur pastinya tidak asing lagi dengan garis timbul kuning yang terdapat pada sesetengah kaki lima dan pembahagi jalan. Aku tak tahu mereka tahu atau tidak kenapa garisan tersebut dibuat. Aku rasa... Ramai yang tahu tapi buat-buat tak tahu. Garisan tersebut dibuat bagi memudahkan Golongan Kurang Upaya Penglihatan untuk berjalan. "Bukan untuk orang normal berjalan di atasnya". Tapi yang aku pelik, kebanyakan orang normal yang bekerja bagus-bagus dan datang dari pendidikan yang tinggi dan pelbagai latarbelakang lagi suka menggunakan garisan tersebut untuk berjalan. Kalau suka berjalan atas tu tak apa lagi, ni dahlah berjalan atas garis tu, biarkan pula OKU Penglihatan berjalan di bawah. Bila bertembung, yang tak nampak pula yang kena bagi jalan, dia orang yang mata terang tu sedap-sedap berjalan kat atas tu. Apa punya oranglah? Tak ada hati agaknya. Atapun tak ada fikiran. Dahlah malas nak tolong orang tak nampak, kemudahan yang disediakan untuk orang tak nampak pun nak digunakan. Apa yang mengecewakan, orang tak nampak pula yang kena mengalah dan mengelak seta membiarkan mereka menggunakan garisan tersebut. Mana perginya konon "Orang Malaysia" prihatin dan penyayang? Langsung tak ada budi bahasa dan timbang rasa. Bila orang senaraikan orang Malaysia di senarai bawah darisegi budi bahasa semua marah, semua melenting. Usahkan dengan pelancong asing, dengan orang Malaysia sendiri yang lebih kurang daripada merekapun, tak boleh nak bertimbang rasa. Dahlah malas menolong, semua kemudahan untuk OKU dia nak guna. Tak ada akal apa? Inilah kononnya masyarakat yang bertamadun dan menuju kemajuan. Jangan harap Malaysia akan maju kalau pemikiran rakyatnya masih ditakuk lama. Lebih-lebih lagi Bangsa Melayu. Siapa yang banyak tolong OKU? Bangsa asing lebih teruk lagi, pelancong asing. Bukan aku nak mengata bangsa sendiri tapi itulah hakikatnya. Inilah salah satu sebab Orang Melayu susah nak berjaya. Sebab sikap dan pemikiran. Tapi aku tak nafikan, ada juga bangsa Melayu yang bagus, yang tolong sampai akhir, tapi pratusnya kurang berbanding bangsa asing.

Pagi tadi misalnya, aku berjalan di atas garis kuning ramai orang normal yang juga berjalan di atas garis tersebut dan datang dari arah berlawanan. Aku yang kena mengalah. Keadaan ini dah menjadi rutin. Hari ni... Kebetulan "mood" aku kurang baik. Jangan harap aku nak mengalah. Mula-mula tu mengalah juga, ah! Melampau dah ni! Ada pulak sorang perempuan tu datang pada aku,

"Kak tepi sikit. Ada orang depan tu, nanti langgar,"
"Ini blind map," Jawabku tegas. Wah! Melampau, dah golongan dia yang jalan atas kemudahan OKU dia suruh aku pulak ke tepi. Patutnya, dia suruh yang nampak-nampak tu ke tepi, bukan aku! Tak ada fikiran agaknya!

Beberapa minggu lalu lagi best! Aku berjalan atas garis kuning. Tiba-tiba sorang perempuan yang juga berjalan atas garis kuning yang datang dari arah berlawanan menolak aku turun dari garis kuning dengan katanya,

"Ada orang kat depan ni, tepi sikit ya?" Wah!!!! Cukup, cukup melampau!!! Patutnya dia yang ke tepi bagi laluan pada aku tapi tak, dia pula yang suruh aku yang tak nampak ni ke tepi. Memang cukup-cukup melampau orang Malaysia ni. Itu belum dikira adegan tolak-menolak nak masuk LRT dan lain-lain. Ramai juga si jejaka-jejaka sihat tubuh badan dan sempurna sifat yang biarkan OKU, ibu mengandung dan orang tua berdiri dalam LRT. Dia sedap-sedap duduk! Saja buat-buat tak nampak. Yang best tu buat-buat tidur dan baca something. Memang tak ada perikemanusiaan langsung! Macam ni ke nak jadi ketua keluarga? Nak jadi pemimpin? Tak payahlah! Sekali lagi, Orang Melayu kitalah yang kebanyakannya yang buat macam tu. Sedihkan? Kata Melayu tinggi adat resam dan susilanya tapi ke mana semuanya tu? Apakah Hang Tuah atau Tun Fatimah dan yang lain-lain lupa nak wariskan budi bahasa dan susila mereka kepada kita?

Renung-renungkanlah

Wednesday, January 26, 2011

Mimpi Yang Melukakan

Malam kelmarin... Aku bermimpi tentang dia.

Mimpiku... Dia masih enggan untuk melayan perempuan itu sedangkan perempuan itu cukup bahagia bersamanya dan cuba mengambil hatinya agar dapat memenangi hati itu.

Ya Allah, benarkah mimpi itu? Atau... Mainan syaitan? Sudahnya, sepanjang hari semalam, jiwaku yang tak keruan. Sudahlah Teja, jangan ditambah sengsara pada jiwa sendiri.

Hari-hari Yang Terlewati

Hari-hari yang terlewati kini suram. Sesuram langit di musim tengkujuh. Biarlah, biarlah aku di sini. Tanpa dia, tanpa cintanya. Sesungguhnya aku letih dengan apa yang berlaku. Sudah lama dia tidak menghubungiku. Mungkin dia nekad meninggalkanku atau mungkin menghormati keputusanku. Atau juga marah padaku. Mungkin juga merajuk dengan apa yang ku perkatakan. Bukan tidak mahu memujuk tapi aku bimbang keadaan menjadi semakin keruh. Biarlah apapun alasannya, aku tidak mahu tahu. Cukuplah segala luka yang kau guriskan di hati ini. Bukan aku membenci tapi... Kita harus berpijak pada bumi nyata. Kita harus akur dengan takdir Ilahi. Kejamkah aku? Kejamkah aku atas tindakanku ini? Bukan aku tidak mahu berada di sisinya tatkala dia sengsara tetapi hatiku lebih sengsara. Bukan tidak mahu mengharung susah-senang bersama tapi dia milik orang. Dia harus pergi pada yang hak. Meskipun hatiku menjerit tidak rela ianya terjadi, namun aku harus pasrah pada ketentuanNya. Siapa aku yang mahu melawan kehendakNya? Mengaku Islam tapi tidak redha dengan hakikatnya, wajarkah? Tidak! Aku tidak mahu menjadi hambaNya yang alpa. Entah berapa nikmat dan rahmat yang Dia berikan padaku. Takkanlah sedikit ujian yang didatangkan untuk menguji garis keimanan di hati, aku mengjadi ingkar? Nauzubillahi min zalik. Aku tidak rela menjadi kebencianNya. Biarlah aku tersiksa kerana kehilangan cinta makhluk tapi aku gerun akan kehilangan cinta Khalik.

Rindu yang masih basah sesekali mendesakku menghubunginya. Ah! Biarlah! Biarlah ku pendam rindu ini. Semoga ada bahagia yang menanti di hadapan. Bukankah sesudah derita itu bahagia? Itu kata Ustaz, pensyarah semasa aku di IPT dulu. Kata-kata itu diluahkan saat aku meminta pandangannya tentang masalah yang melandaku dua bulan lalu.

MF,
Bukan aku tak mencinta, bukan aku tak merindu. Kiranya ini dikira satu pengorbanan, biarlah aku melakukannya. Bukan keranamu apatah lagi kerana perempuan itu! Tapi kerana Allah. Jika diikutkan hati, pastiku rampas kembali kau dari dia keranaku tahu cintamu masih milikku. Kalau diikutkan perasaan, inginku hancurkan harapan perempuan itu yang tinggi menggunung untuk bahagia bersamamu. Biar dia rasa bagaimana sakitnya hati apabila insan yang dicinta disambar orang. Inginku hancurkan mahligai yang telah dibina, biar dia rasa bagaimana sengsaranya tatkala diamuk kedukaan. Biar! Biar dia jatuh tersungkur menyembah bumi atas kekalahannya yang kononnya dia sempurna segalanya jadi dialah yang harus kau pilih menjadi surimu akhirnya kalah jua denganku yang kekurangan ini. Biar dia saksikan kemenanganku pada saat itu yang tak perlu bersusah-payah berusaha sepertinya untuk memiliki hati dan cintamu. Biar dia tahu yang aku tidak perlu bersusah-payah meraih sokongan ibu dan keluargamu untuk menjadi permaisuri di singgahsana hatimu. Biar dia tahu yang aku tidak perlu memaksa dengan pelbagai cara untuk kau menikahiku seperti kau menikahinya. Biar dia tahu yang aku tidak perlu melakukan pelbagai helah untuk memiliki jasad dan jiwamu. Biarku ajar perempuan yang begitu lancang menyuruh kau melupakan aku kerana kononnya bersamanya kau akan mengecapi kesenangan. Biar dia sedar akan hakikat hidup bahawa kesempurnaan zahir tidak semestinya hebat! Biar dia sedar, langit itu tinggi, bukan rendah yang boleh digapai dengan tangan. Biar dia berputih mata melihatkan kemenanganku. Biar ibumu jua sedar bahawa perempuan cacat ini terus bertakhta di hati anaknya. Biar ibumu tahu langit itu tinggi atau rendah! Biar ibumu tahu bahawa aku yang kekurangan ini mampu membahagiakan anaknya dan seterusnya dirinya sendiri. Tapi kerana Allah yang menghendaki semua ini berlaku, aku harus redha. Redha menerima hakikat ini. Siapalah aku mahu membalas segala apa yang orang lakukan padaku? Aku juga makhluk seperti mereka. Lantas padaNya ku serahkan segalanya. Ku kutip serpihan cinta makhluk yang musnah. Ku himpunkan kembali cinta itu. Dalam deraian air mata, ku cantum semula. Di sebalik cinta Ilahi, ku cuba ukirkan cinta itu, biar ia kembali indah, kembali menyerlah dan kembali berseri tatkala tiba masanya. Akanku hadiahkan pada seorang lelaki yang akan dihantar kepadaku oleh Tuhanku kelak. Insya-Allah.

Sunday, January 16, 2011

Bukan Tidak Mencinta

MF,

Maafkan aku andai keputusanku ini membuatmu terluka. Sesungguhnya, aku lebih menderita tatkala kau meninggalkan aku. Dan sesungguhnya aku terlalu sengsara apabila kau menyatakan kesanggupanmu untuk menikahi dia kerana ibumu.

MF,
Andai jalan ini yang kau pilih, maka tunaikanlah tanggungjawabmu seadanya sebagaimana kau sanggup menerima dia sebagai isterimu. Jadikan cinta kita sebagai sejarah yang terindah untuk ditelusuri di celah-celah masa yang luang. Aku tidak sanggup merampasmu daripada dia, isterimu yang sah. Meskipun hakikatnya dia merampasmu dariku tatkala cintaku hangat membara. Aku tak rela menjadi perosak rumahtangga orang walaupun rumahtangga itu dibina atas kehancuran cintaku.

MF,
Percayalah, aku juga tersiksa saat membuat keputusan ini. Namun aku akur akan perjalanan takdir. Jiwaku lara ingin meninggalkanmu yang tersiksa dengan kehidupanmu kini. Tapi apakan daya, itu lebih baik daripada aku memporak-perandakan rumahtanggamu. Dan aku juga perlu belajar menghargai sekeping hati yang mengharap padaku, yang belum pernah mengecewakanku. Aku pun tak pasti... Tapi aku harus bangkit dengan hidup baru. Percayalah, keputusan ini ku ambil bukan kerana dia, tapi kerana dirimu yang bergelar suami orang.

MF,
Percayalah, ku lakukan ini bukan kerana aku tidak mencinta. Tapi cintaku adalah cinta yang berlandaskan takdir Allah. Sebenarnya kau yang memilih jalan ini, bukan aku. Jadi jangan salahkan aku atas apa yang berlaku. Engkau tidak tegar mempertahankanku saat kau mengatakan cintamu hanya milikku. Apalah ertinya cinta jika tiada keberanian? Akhirnya... Aku tersiksa dan kau juga tersiksa. Aku tersiksa kerana keputusan yang kau buat, keluargamu, perempuan itu dan keluarganya. Kerana inginkan kehendak masing-masing menjadi rialiti, aku harus menjadi korban akan cita-cita kalian. Dan engkau? Engkau hanya menurut tanpa cuba untuk bertahan. Dan kini... Kau kata kau tersiksa. Tersiksa kerana terjerat dalam keputusan yang engkau sendiri memilihnya. Kini... Kau ingin pertahankan cinta kita yang telahpun musnah. Musnah di tanganmu sendiri. Segalanya sudah tak berguna. "Nasi sudah menjadi bubur" dan untuk aku merampas kembali masa yang terlewati dan menegakkan semula cinta yang telah punah... Tidak! Tidak mungkin kiranya aku perlu melumuri tangan ini dengan merah darah yang tak terlihat. Mana mungkin aku menyakiti hati kaum sejenisku biarpun dia telah menghancurkan hatiku. Pesan ibu, jangan rampas kekasih atau suami orang, kelak... Orang akan rampas kebahagiaan kita. Pesanan keramat itu tersemat kukuh di hati ini. Semoga Allah teguhkan hatiku mengikut pesanan tersebut.

MF,
Mengapa sampainya hatimu mengatakan aku lupa pada janji? Sedangkan aku bermati-matian mempertahankan janji meskipun engkau menyakiti hatiku. Bukankah telah aku nyatakan, setelah engkau meninggalkanku, jangan diharap apa-apa lagi daripadaku. Aku juga telah menegaskan bahawa aku tidak berjanji apa-apa. Aku tidak akan menunggumu lagi kecuali Allah mentakdirkan engkau untukku. Mengapa bicaramu seolah-olah menyalahkan aku apabila ada insan lain berusaha untuk memilikiku? Sedangkan engkau telah mempersiakan peluang yang ku beri. Bukan sekali, Mf. Tapi tiga kali. Adilkah untuk aku memberi peluang sekali lagi sedangkan tiga peluang telah engkau sia-siakan dan engkau juga suami orang? Engkau tidak pulang ke rumah atas alasan kerana cintamu terhadapku. Sedangkan aku menyuruh kau pulang dan bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Apa yang kau katakan padaku? Kau kata aku menghalaumu. Aku tak faham. Sungguh tak faham.

MF,
Sesungguhnya, cinta kita telahpun bersemadi di pusara kasih. Janganlah dikejar lagi cintaku kerana mungkin cintaku bukan lagi buatmu. Tetapi... Seandainya Allah menyuratkan yang kita bersatu, maka saat aku sah menjadi milikmu, aku akan hidupkan kembali cintaku yang terpaksa aku matikan kerana kehendakNya. Detik itu... Akan aku hangatkan kembali kasih sehangat sinar sang suria yang kini terpaksa aku selindungkan dibalik mendung awan kesedihanku. Kala itu, akanku nyalakan kembali api sayangku biar marak membakar rimba sengsara yang kini terpaksa ku padamkan kerana hujan yang lebat menyiramnya. Hari itu, akanku merahkan kembali belai mesra semerah darah yang tiap saat mengalir ke segenap saraf nadiku yang kini terpaksaku jernihkan sejernih air di kali. Masa itu, akanku wangikan kembali bunga-bunga rindu semekar bebunga di musim bunga. Biar harumnya tertebar serata alam menjadi penawar rindu dendam yang terpendam sekian lama yang kini terpaksaku hapuskan harumnya kerana bah besar melanda taman hatiku.

Salam sayang dan rindu,
Daripadaku yang terlalu mencintaimu.

Friday, January 14, 2011

Benci Rasa Ini

Sungguh! Aku benci akan rasa ini. Rasa yang telah sekian lama tidak menjengah hatiku. Pergilah rasa! Pergilah! Biar Tuhan yang tentukan segalanya. Jangan dekat padaku. Aku takut! Takut kalau kau membuat aku luka lagi. Pergilah! Bila tiba masa yang pasti baru engkau datang. Datang bersama rahmat dan nikmat Allah.