Friday, January 11, 2019
Rasa Ini
Ya Allah,
Kenapa hati ni Ya Allah? Aku rasa sayang sangat pada dia. Tapi Ya Allah, jagalah hati ini agar sayangku padanya tidak melebihi sayangku padaMu. Aku tak mahu lagi seperti dulu. Tak mahu melupakanmu saat hati dilanda cinta asmara hingga menjejaskan hubunganku denganmu dalam solat meskipun aku tidak meninggalkannya. Izinkan kali ini Ya Allah, aku mencintainya dengan tuntunanMu.
Ya Allah,
Ku mohon jua agar rasa yang sama Kau tanamkan dalam hatinya. Andainya rasa di hatinya terhadapku lebih dari yang ku rasa, tanamkan jua rasa itu dalam hatiku. Izinkanlah kami untuk hidup dalam hangat asmara ini dengan restuMu hingga ke akhir hayat kami.
Ya Allah,
Akhirnya aku mohon,
Satukan hati kami,
Tautkan cinta kami ,
Pahatkan rindu kami,
Utuhkan kasih kami,
Padukan saying kami,
Berpanjangan hingga ke JannahMu.
Amin...
Wednesday, January 9, 2019
Kau Jangan Jawab!
Peristiwa ni berlaku sewaktu aku masih kanak-kanak. Tak ingat masa tu kami umur berapa.
Masa umur antara 4-7 tahun, aku dibesarkan dan diasuh oleh Arwah moyang suami-isteri dan mummy. Jadi, kenangan zaman kanak-kanak yang aku ingat kebanyakannya berkisar kepada kenangan bersama mereka. Dan tahun lepas, aku hadir satu program kekeluargaan bersama Lembaga Pembangunan Penduduk Dan Keluarga Negara (LPPKN). Dah alang-alang jadi emcee dua hari berturut-turut, so dengar jelah ceramah. Kata sorang penceramah, kanak-kanak akan ingat peristiwa yang berlaku sewaktu ia berusia empat tahun dengan jelas dan ianya memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak tersebut. So aku faham kenapa kenangan semasa tinggal bersama nenek moyang yang banyak aku ingat hingga kini.
Macam yang pernah aku tulis, aku bersekolah jauh. Masa cuti semestinya aku ingin menghabiskan sebahagian cutiku bersama nenek dan moyang yang sangat aku sayangi.
Aku masih ingat, masa tu, cuti hariraya Aidilfitri. Macam biasa, lepas berhariraya, aku dan angah mahu tinggal di rumah nenek dan moyang dan tidak mahu pulang ke rumah abah dan mama.
Abah seorang yang sangat memahami jiwa anak-anaknya. Tahu mama tidak suka kami tinggal lama di rumah moyang, kami meminta kebenaran abah untuk stay lebih lama di rumah tersebut. Abah tanpa keberatan mengizinkan kami tinggal bersama nenek dan moyang. Abah tahu kerinduan kami terhadap mereka lebih-lebih lagi aku. Apabila mengetahui hal itu, mama marah-marah. Bukan sekadar kami dimarahi, abah juga turut menjadi mangsa kemarahannya. Abah mempertahankan kemahuan kami dan bertegas tidak akan membawa kami pulang bersamanya. Janji kami dengan abah, kami akan pulang pada minggu berikutnya. Abah yang akan jemput kami.
Selang sehari dua berlalu, aku lupa di mana moyang dan nenek. Yang pastinya aku dan angah tinggal di rumah berbual dan bermain.
Tiba-tiba, telefon rumah berdering. Aku ni kan jadi PR dari kecik lagi hehehee... Akulah yang menjawab telefon. Kedengaran suara mama keras di hujung talian. Dia marah-marah dan bertanya bila kami mahu pulang? Aku katakana kepadanya, abah akan jemput kami minggu hadapan. Aku mengharapkan dia memahami perasaan kami kerana cuti persekolahan masih panjang. Masa kami di rumah nenek tidaklah sebanyak di rumahnya.
Mama kalau marah, kata-katanya keras. Cakapnya menghiris hati. Aku tak mampu menahan kesedihan. Tapi, aku tidak seberani angah untuk menjawab kata-katanya. Aku menangis dan mematikan talian telefon.
Angah: Kenapa, long? Kenapa kau nangis?
Aku tidak mampu menjawab pertanyaan angah dek kerana sedih yang amat.
Angah: Siapa telefon?
Aku: Mama.
Dalam sedu-sedan, aku menjawab.
Angah: Kenapa kau nangis?
Suara angah mula keras.
Aku: Dia suruh kita balik. Dia tak bagi kita duduk sini lama-lama.
Angah: Kau ni kan, jawablah! Kenapa nangis? Tolonglah keras sikit!
Aku tahu, angah meradang dengan khabar yang ku bawa.
Telefon berdering lagi.
Angah: Kau jangan jawab! Biar aku jawab!
Angah mendahului aku mendapatkan telefon.
Angah: Kita orang tak nak balik! Kita orang nak balik minggu depan! Kita orang dah janji dengan abah! Abah bagi kita orang duduk sini!
Aku sedih dengan keadaan itu. Aku tahu, mama seorang yang ego dan dia akan menggunakan apa cara sekalipun untuk memuaskan hatinya meskipun ianya melukakan pihak lain termasuk menggunakan kekerasan.
Angah menghempaskan gagang telefon.
Aku: Kenapa cakap macam tu? Nanti mama kata aku kurang ajar.
Sebenarnya suara kami hampir sama. Kadang-kadang orang sukar membezakan suara kami menerusi telefon.
Angah: Biarlah! Nak harap engkau, sampai bila? Sampai bila kita nak dapat apa yang kita nak? Dia kena dengar cakap abah. Abah kan suami. Kita ni asyik nak kena dengar cakap dia je.
Keesokan harinya, kereta pejabat mama berhenti di perkarangan rumah mummy. Mama dan driver pejabat serta sorang dua rakannya datang untuk menjemput kami. Betapa hancurnya hati kami dengan perbuatan mama. Kami menangis minta difahami yang kami masih belum puas bersama nenek. Namun, tidak dihiraukannya. Kami diarahkan untuk masuk kereta. Beg kami serta barang-barang lain dipunggah masuk ke dalam kereta. Perpisahan bersama nenek dan moyang petang itu sangat memilukan. Kami menangis sementara nenek dan moyang menahan sebak masing-masing melihatkan situasi tersebut.
Kalau kita nak memenangi hati seseorang, buatlah secara lembut. Jangan memaksa. Paksaan akan menjauhkan hubungan kita dengan orang yang kita inginkan.
Tuesday, January 8, 2019
Jambangan Mawar Merah, Menceriakan Hariku
Tatkala aku keluar dari bilik discussion, Kak Sha memanggilku. Suaranya seakan ada sesuatu. Mungkinkah pihak Datuk Bandar menghubungiku ketika aku dalam perbincangan? Kak Sha: Teja. Aku: Ya. Kak Sha: Teja, sini jap. Aku: Apa dia? Menghampiri mejaanya. Kak Sha: Ada bunga untuk Teja. Aku: Bunga? Bunga apa? Kak Sha: Jambangan bunga mawar merah. Delivery. Dya bawa masuk. Kau tak ada, dia bagi kat akak suruh sampaikan kat kau. Teja: Ya ke? Aku terus menguntum senyum sesegar mawar merah itu. Seterusnya ketawa kegirangan. Aku dapat mengagak siapa pengirimnya. Penakluk hatiku! Rasa gembira, sebak dan terharu bercampur-baur. Aku: Siapa pengirimnya? Aku inginkan kepastian. Kak Sha: Tak tahu. Aku: Takkan tak tulis? Senyuman mati seketika. Takkan peminat misteri pulak? Aku mengharapkan jambangan ini daripadanya, bukan orang lain. Kak Sha: Tapi ada kad. Aku: Kad? Tulis apa? Kak Sha: Tak tahu. Akak tak buka. Aku: Bukalah. Bacakan saya. Aku harap dia. Kak Sha: Semoga harimu seceria bunga-bunga ini. From, Mr. Nice Guy. Senyuman yang tadinya terhenti, mekar kembali. Yes! dari dia. Aku tidak dapat menyembunyikan rasa gembiraku di hadapan kawan-kawan. Afiqah: Waaaa... Teja dapat bunga. Dari siapa? Nak tahu, nak tahu. Siapa wei? Aku senyum. Kak Sha: Ikrom belum tengok. Pergi tunjuk kat dia. Mesti becok mulut dia. Aku ke bilik boss Ikrom di mana Ikrom seorang di dalamnya sedang menyiapkan tugasan diberi. Ikrom: Kau dapat bunga ke? So sweet! Siapa bagi? Mr... eh? Dia bagi? So sweet. Aku senyum. Aku: Siapa lagi, dialah. Ikrom: To Teja. Wei, dia panggil kau Teja ke? Teja: Yelah. Ikrom: Jom, jom ambil gambar. Kau tak nak ambik gambar ke? Aku: Aku dah siap bawa phone ni. Nak ambik gambarlah. Nanti aku nak hantar kat dia. Biar dia tahu yang bunga dah sampai. Dah jadi macam sesi photoshoot pulak dengan si Ikrom dan Afiqah ni. Sorang tukang ambik gambar, sorang suruh possing gitulah, ginilah. Betulkan tudunglah, betulkan bungalah, betulkan kad la. Sudahnya tiga gambar je dorang pilih untuk simpanan. Masa duk ambik gambar tu, notification whatsapp muncul. Ikrom baca, Mr. Nice Guy. Ikrom: Wei, kau memang dah tukar nama dia dalam phone kau Mr. Nice Guy ke? Aku: Ye. Ikrom: Dia tahu ke? Teja: Tahulah. Dalam kad ni pun dia tulis nama dia senggitu. Ya Allah, Terima kasih Allah kerana memberikan rasa ini. Rasa dihargai, disayangi, dicintai dan dirindui. Aku jua menyayanginya, merinduinya dan ingin sentiasa bersamanya. Allah itu Maha Adil. Jika dulu aku pernah menyayangi, mencintai dan menghargai seseorang dengan tulus dan ikhlas. Kini aku merasakannya. Seolah apa yang pernahku lakukan pada mereka yang tidak menghargaiku, kini aku menerima balasannya. Allah hantarkan seseorang yang istimewa untuk menyedarkan aku betapa sebenarnya ada insan lain yang menghargai dan menyayangiku sepertimana aku menyayangi mereka. Ya Allah, Izinkan cinta ini bertaut dalam rahmat kasih sayangMu. Aku mohon Ya Allah, mohon untuk Kau pinjamkan dia padaku hingga ke Jannah nanti. Aku mohon ya Allah, Jangan Kau izinkan waktu ini pergi. Aku tidak mahu waktu ini berlalu Ya Allah, Aku ingin hidup dalam kasih sayang ini selama-lamanya bersama dia. Mr. Nice Guy, I love you so much. Tak ingin saat ini berlalu tanpa engkau di sisi. Saya harap Allah pinjamkan hati awak, kasih sayang awak, cinta dan rindu awak buat saya selama hayat awak. Dan ianya membawa ke Jannah.
Monday, January 7, 2019
Siapa Jodoh Terbaik?
Bercerita tentang jodoh... Aku rasa sayu. Mungkinkah aku yang tidak cukup sempurna sebagai seorang perempuan sehingga sukar jodoh mendatangi?
Apa sebenarnya penghalang jodohku selama ini?
Kenapa susah sangat jodoh untuk ku temui?
Siapa sebenarnya jodoh terbaik buatku?
Aku cuba untuk menjadi pasangan terbaik dalam serba kekurangan. Namun aku gagal sehingga orang yang ku anggap jodoh pergi menjauh.
Lagi dan lagi, siapa sebenarnya jodoh terbaik buatku?
Pemikiranku selama ini, jodoh yang baik adalah jodoh yang tidak menyakiti hati wanita lain. Bermakna jodohku seorang yang bujang atau duda bukan suami orang selain daripada lelaki itu baik dan membahagiakan.
Tanyalah wanita di dunia ini, siapa yang mahukan suami orang? Semuanya tak mahu berkongsi. Kalau kita isteri pertama, kita tak mampu menghalang suami tapi kalau kita yang kedua dan seterusnya, bagiku, tidak ada alas an untuk tidak mengelak. Benda tu boleh dielak. Dalam memikirkan hal ini, betapa taksubnya aku terhadap suami curang dan bagaimana lukanya hati isteri pertama diduakan, hingga aku terlupa bahawa Allah punya perancangan Maha Hebat. Dia berhak memberi kepada hambaNya apa yang dirasakan baik hatta di luar kemahuan hamba itu sendiri.
Aku diuji dengan kehadiran suami-suami orang menghampiri. Sejak bertahun lama, aku menepis. Tanpa sebarang pertimbangan, aku menolak mereka mentah-mentah. Kalau yang sekadar nak berteman tapi mesra tu senang hidupku. Aku tolak dan mereka menjauh. Ada jugak yang merayu-rayu siap menangis. Bukan tak kesian, tapi prinsipku, tidak mahu melukai hati wanita lain. Aku tidak pernah merasa bangga bila lelaki menangis keranaku sebab aku mengerti kelukaan hati mereka. Aku pun tidak mahu membuat mereka begitu. Tapi maafkan aku, prinsipku jelas. Bagiku, isteri kedua dan seterusnya jahat, tak baik. Dan aku tidak mahu menjadi orang yang jahat terutama kepada kaumku sendiri.
Dan lagi, aku lupa akan ketentuan Allah yang mengizinkan lelaki berkahwin lebih daripada satu.
Dan bagiku, lelaki yang ingin berkahwin lagi itu jahat. Kerana kebanyakan yang aku temui, mereka mengabaikan yang pertama dan melebihkan yang kedua. Aku lupa lagi, bahawa
Rasulullah berkahwin ramai dan baginda adil dalam kehidupannya terhadap isteri-isterinya. Melayan isteri-isterinya dengan baik dan lemah-lembut. Sunnah telah ditunjukkan sejak ribuan tahun lalu cuma orang zaman sekarang yang tidak mengambil iktibar serta pengajaran daripada sunnah tersebut.
Sementara yang kedua cuba merampas suami tersebut untuk dirinya seorang. Ada yang sampai bercerai-berai disebabkan kezaliman isteri kedua. Aku masih lupa bahawa, isteri-isteri Rasulullah saling menghormati sesama mereka hingga mereka bahagia. Bahkan, mereka mendapat layanan baik dan disayangi oleh rasulullah.
Mungkin kerana taksubnya aku akan lelaki bujang dan duda, Allah menurunkan ujianNya buatku. Mungkin Allah ingin mengingatkan aku agar tidak mempersoalkan kuasaNya dan keistimewaan yang diberikan kepada kaum lelaki. Selama ini aku hanya mengatakan atau lebih tepat menghukum seseorang dengan akal logic. Bukan akal logic sahaja tapi mengikut apa yang aku suka.
Pintu hatiku diketuk oleh seseorang berstatus suami orang. Biasanya, jika aku mengetahui status dia suami orang, hatiku jadi tawar untuk terus mengenalinya. Walau sebaik manapun sikap yang dipamerkan padaku, ambil berat macam manapun, status suami orang itu mematikan semua rasaku padanya. Pernah aku tertarik kepada suami orang. Demi mengetahui dia suami orang, aku memutuskan untuk membunuh segala rasaku dan aku menangis keseorangan kerana tersiksa melupakannya. Bukan sekali dua aku mengorbankan perasaanku kerana lelaki yang menghampiri itu suami orang. Aku berdoa kepada Allah, "Aku korbankan semua perasaanku terhadap lelaki-lelaki yang mula mendapat perhatianku kerana dia adalah suami orang. Maka Ya Allah, Kau berilah ganti yang lebih baik sebagai ganti setiap kelukaan yang ku ciptakan demi perempuan lain."
Tapi kali ini, aku tidak faham dengan hatiku yang ingkar secara terang-terangan kata akal. Niat pada asalnya sekadar melayan komen whatsapp menumbuhkan bibit rasa indah dalam hati. Aku mengharapkan dia berterus-terang akan statusnya pada hari pertama kami ber'Whatsapp' tidak kesampaian apabila dia hanya berbual biasa denganku. Malah, setiap kali aku bertanya perihalnya, dia mengatakan, aku hanya perlu menjawab soalannya. Biarlah dia yang bertanya kerana dia adalah secret admireku.
Setelah aku mengetahui statusnya, pernah aku cuba untuk melupakannya serta menjauhkan diri darinya. Namun, aku tidak mampu menanggung siksa jauh darinya. Masa tu aku rasa aku dah gila! Aku mohon kepada Allah supaya hentikan perminan dan perasaan gilaku ini. Aku tidak mahu menyakiti wanita lain. Tolonglah Allah. Aku merayu dalam doaku. Malah ketika berbaring pun aku menangis mengenangkan semua ini. Tapi Allah terus mengizinkan rasa ini bertunas walaupun aku tidak rela. Aku bertanya kepada diri sendiri dan rakan-rakan apakah aku berdosa kerana merasakan semua ini? Ada jugak sengaja aku keraskan ayat dalam text supaya dia berfikir akan kata-kataku dan meninggalkan aku. Tapi Allah terus mengabaikan rancangan-rancanganku dan menggantikan dengan rancangannya Yang Maha Indah.
Dan hari ini, perasaan sayangku padanya tidak mampu ku nafikan lagi. Ya Allah, apakah ini dengan izinMu atau ujianMu lagi buatku? Dan baru aku faham, bukan semua orang yang berhubungan dengan suami orang berniat jahat. Aku tidak mahu merampasnya dari isteri dan anak-anaknya. Aku tidak mahu merosakkan kebahagiaannya. Aku tidak mahu dia menjadi seperti suami lain yang akan baran dan memarahi isteri serta anak-anak tatkala mencintai perempuan lain. Aku tidak mahu mengambil masanya bersama keluarganya meskipun aku kesunyian dan perlukannya di sisi. Aku sedar aku adalah orang ketiga yang datang untuk menumpang kasihnya, berkongsi kasihnya dengan isterinya. Cuma aku mahukan keadilan, aku mahu dia mencintai aku kerana Allah serta menyayangiku tulus dari hati yang dalam. Sentiasa merinduiku walau di mana dia berada walaupun di tengah-tengah kebahagiaan bersama isteri dan anak-anaknya. Insya-Allah, aku tidak akan ganggu kebahagiaan mereka. Andai jodohku adalah dia, aku akan gunakan waktu yang diberikan kepadaku sebaik mungkin untuk bersamanya tanpa mencuri waktu orang lain. Aku menjaga hatiku agar tidak terlalu marak api cemburu sehingga memudaratkan sesiapa. Aku menjaga hatiku agar tidak mendesak dan memaksanya melakukan sesuatu yang aku mahu. Alhamdulillah, setakat ini, tiada timbul perasaan ingin memiliki dia sepenuhnya. Dan Alhamdulillah, aku aku bahagia bersamanya walaupun aku bukanlah satu-satunya dalam hidupnya.
Ya Allah, kenapa aku rasa sebak dan sedih ni?
Aku tahu, aku perlu kuat sekiranya ini takdirku. Bukan isteri pertama je perlu kuat apabila berkongsi. Yang kedua juga harus kuat.
Tapi, andainya suatu hari dia memilih untuk meniggalkan aku demi isteri dan anak-anaknya atau keluarganya, maka aku pasrah kerana yakin Allah ada dan Dia telah siapkan segala yang terbaik buatku. Aku sedar, apa bila menjadi orang ketiga, aku harus bersedia dengan segala kemungkinan meskipun ianya melukakan.
Ya Allah,
Andainya akku tidak mampu menjadi Saidatina Khadijah, maka izinkanlah aku menjadi Saidatina Aishah yang sangat dicintai suaminya.
Dosa Pahala Suami, Isteri Dan Madu
Aku tertarik dengan isu ini.
Sebenarnya aku sedang confuse, apa benar ada istilah curang atau itu diwujudkan oleh orang Melayu? Islam membenarkan poligami tapi rata-rata dari kita menganggap suami yang berhubungan dengan perempuan lain adalah curang. Kalau dia tidak berkenalan dengan perempuan lain, dso macam mana dia nak kenal yang bakal isteri kedua tu baik atau tidak? Peninglah. Ada tak sesiapa boleh jawab?
Jom kita baca artikal ni.
SOALAN:Suami saya berkahwin lagi satu tanpa pengetahuan saya. Hanya selepas dua tahun, saya dapat tahu. Saya sama sekali tidak rela. Selama ini saya menumpahkan kasih sayang, berkorban untuknya dan keluarga tetapi dia mengkhianatinya. Saya sentiasa mengawasinya dan tidak membenarkannya ke rumah isteri muda dan dia tidak pernah tidur di rumah isteri muda.
Saya pernah menemui bomoh untuk mengatasi masalah ini dan saya dapati suami saya takut dengan saya. Adakah suami saya berdosa kerana tidak tidur di rumah isteri mudanya? Untuk pengetahuan ustaz, saya baru balik daripada menunaikan umrah.
– AZURA, Batang Berjuntai.
JAWAPAN:
Allah s.w.t menyuruh agar seorang lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang baik-baik, dua, tiga atau empat orang isteri. Sekiranya seorang lelaki itu takut atau bimbang tidak berupaya bersikap adil, Allah menyuruh agar mengahwini seorang perempuan sahaja.
Maksud adil di sini iaitu kepada lelaki yang diharuskan berkahwin itu adalah adil menyediakan nafkah, penyediaan makan minum isteri atau isteri-isteri yang dikahwini, anak-anak yang bakal dilahirkan, menyediakan pakaian, tempat tinggal, termasuk giliran bertemu, pergi ke rumah isteri-isteri yang dikahwini.
Disyaratkan sedemikian rupa kerana keadilan zahiriah itu adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh manusia biasa. Namun keadilan yang berkaitan dengan kasih sayang, cinta dan seumpamanya adalah di luar keupayaan manusia untuk berlaku adil ataupun saksama.
Jelasnya Islam mengharuskan seorang lelaki itu berkahwin lebih daripada seorang perempuan yang diistilahkan sebagai poligami. Keharusan yang diberi oleh syariat adalah keharusan bersyarat, iaitu adil seperti yang dijelaskan.
Biarpun kebanyakan orang, iaitu orang Islam memahami juga menyedari keharusan tersebut, tetapi kebanyakan isteri tidak rela dimadu atau lebih jelas tidak rela suaminya berkahwin lagi kerana:
1) Ia adalah tabiat semula jadi manusia.
2) Sebahagian daripadanya tidak faham atau tidak menghayati bahawa keharusan bagi lelaki berkahwin lebih daripada satu itu adalah ketentuan Allah.
3) Kebanyakan lelaki atau suami tidak berupaya menunaikan tanggungjawab terhadap isteri-isteri yang telah dinikahi, terutamanya yang berkaitan dengan giliran, pemberian nafkah, tempat kediaman, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Hal demikian terlalu membimbangkan para isteri yang dimadukan atau bakal dimadukan.
Keadaan atau latar belakang seperti ini menjadi seumpama gawat apabila jabatan-jabatan agama yang diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, gagal untuk bertindak, mengatasi masalah yang timbul akibat ketidakadilan suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu tadi, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan nafkah.
Fenomena ini berlaku akibat daripada sebab-sebab yang saling berkait, kekurangan kakitangan, kekurangan pengalaman atau latihan, tidak mempunyai visi yang jelas dan sebagainya. Fenomena seumpama ini secara tidak langsung menggalakkan lelaki seumpama ini bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada hukuman yang jelas, lepas daripada tanggungjawab dan sebagainya menyebabkan pelbagai masalah dihadapi oleh isteri-isteri yang teraniaya.
Mereka tidak takutkan balasan Allah. Mereka telah melakukan sesuatu yang diharuskan, tetapi melanggar syarat-syarat yang ditetapkan terhadap keharusan tersebut.
Keharusan ini adalah keharusan bersyarat. Kerana itu apabila syarat tersebut tidak dipenuhi, maka keharusan tersebut tidak ada padanya. Kerana itu, lelaki atau suami yang bertindak sedemikian, telah melakukan dosa. Atas pengalaman yang banyak berlaku dalam masyarakat seperti inilah maka kaum wanita terlalu takut untuk dimadukan.
Poligami adalah keharusan yang ditetapkan oleh Allah kerana tidak adanya jalan keluar, selain daripada berpoligami atau berkahwin lagi. Seorang isteri contohnya, yang tua, uzur atau sakit yang tidak berupaya melayani kehendak batin suaminya, adalah wajar baginya merelakan suaminya yang masih mempunyai nafsu dan mempunyai sifat adil untuk berkahwin lagi.
Dalam keadaan tertentu, contohnya selepas berlaku peperangan, bencana alam menyebabkan bilangan perempuan banyak, tidak mendapat pembelaan atau perlindungan, adalah wajar bagi kaum lelaki melindungi mereka, termasuk anak-anak yang terbiar. Caranya ialah dengan mengahwininya.
Sesetengah lelaki mempunyai nafsu yang kuat berbanding dengan lelaki biasa, menyebabkan isteri yang sedia ada tidak berupaya melayani nafsu suaminya. Dalam keadaan seperti ini lelaki berkenaan layak untuk berkahwin lagi dengan syarat sifat adil itu ada pada dirinya.
Sekiranya lelaki berkenaan tidak dibenarkan berkahwin lagi, padahal nafsunya selalu membara, berkemungkinan dia akan melakukan perzinaan dengan perempuan simpanan, dengan teman-teman atau melanggani pelacur-pelacur. Kerana itu adalah wajar dan dapat diterima akal sekiranya lelaki atau suami seperti ini dibenarkan berkahwin lagi dengan syarat yang jelas.
Contoh-contoh di atas hanya merupakan sebahagian daripada fenomena yang mengharuskan seorang suami itu berkahwin lagi. Bagi orang yang seumpama ini jalan keluar tidak ada kecuali dengan berkahwin lagi satu.
Seorang lelaki yang terdorong untuk berkahwin lagi, tetapi disekat atau ditahan, dia akan terus bertindak untuk melaksanakan hasrat yang sentiasa membara, kalau keizinan isteri itu diwajibkan, berkemungkinan dia akan mencuri cap jari isteri ketika tidur, memujuk, menguliti lalu si isteri menurunkan tandatangan tanpa menyedari borang yang ditandatangani ialah tanda keizinan berkahwin lagi.
Jelasnya mewajibkan seorang isteri bagi seorang suami melalui pernikahan itu adalah tidak praktikal, biarpun berpoligami itu bukan merupakan satu idaman kebanyakan lelaki. Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya seorang suami itu dihalang berpoligami, si suami akan menganggap bahawa isterinya merupakan penghalang untuk berkahwin lagi. Dengan demikian kasih sayang itu akan terhakis daripada pasangan ini dan dia berkemungkinan akan mencari jalan keluar yang menyalahi undang-undang.
Di Malaysia perkara ini berlaku hingga sekarang. Amalan nikah lari di sempadan yang jelasnya menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya kepada pasangan perempuan terus-menerus berlaku. Ada pula yang berkahwin menggunakan wali bapa, abang kandung dan sebagainya tanpa merujuk ke pejabat agama atau didaftarkan menurut lazimnya. Kahwin di sempadan menjadi seumpama satu kemelut yang tidak berpenghujung yang dibiarkan sehingga sekarang ini, kerana perkahwinan di sempadan itu menjadi seumpama satu eskapisme.
Tidak kira di mana perkahwinan itu dilakukan, dengan izin isteri atau tidak, atau hanya diizinkan oleh Mahkamah Syariah, apabila dia cukup syarat-syaratnya maka sahlah pernikahan tersebut. Dengan demikian, isteri yang baru dinikahi itu adalah menjadi isteri kepada lelaki yang telah sedia mempunyai isteri, seorang, dua orang atau tiga orang.
Dalam keadaan seperti ini, perempuan yang baru dinikahi itu adalah isteri yang sah. Sebagai isteri, dia mempunyai hak di sisi undang-undang, hak nafkah, perlindungan kediaman, pakaian dan sebagainya termasuk gilirannya.
Dalam situasi seperti ini, kedudukan isteri-isteri adalah sama, tidak kira sama ada dia isteri tua atau muda, isteri ketiga atau keempat. Dan apabila hak tersebut tidak dapat dinikmati oleh mana-mana pihak akibat daripada pihak yang satu lagi atau lebih jelas diperkatakan bahawa isteri muda itu tidak mendapat gilirannya kerana puan sentiasa mengawasi pergerakan si suami puan, hakikatnya telah melakukan kezaliman, menyekat hak yang sewajarnya dimiliki oleh madu puan.
Rasulullah pernah bertanya kepada sahabat-sahabat tentang orang yang dianggap bankrap. Di antara sahabat menjawab menyatakan orang yang bankrap itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.
Baginda menjelaskan pendapat itu tidak tepat. Orang yang bankrap itu ialah mereka yang pada hari kiamat kelak dibangkitkan oleh Allah berhimpun di padang mahsyar.
Bersama mereka ialah pahala hasil daripada ibadah sembahyang, pahala zakat, pahala puasa dan sebagainya. Ketika diadakan timbang tara atau hisab akan datang mereka yang menuntut, iaitu mereka yang dizalimi ketika hidup di dunia.
Akan datang menuntut di hadapan Allah mereka yang kena maki cela, yang kena bunuh, kena umpat dan sebagainya. Allah akan menyempurnakan segala tuntutan mereka dengan mengambil pahala kebajikan yang dilakukan di dunia kepada mereka yang menuntut. Tuntutan ini adalah umum. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui.
Mengenai kes puan, sekiranya madu puan tidak puas hati atau tidak reda terhadap tindak- tanduk puan di dunia, dia akan menuntut haknya, iaitu hak giliran suami yang puan tahan dan sentiasa intai-intai. Lalu sebahagian daripada pahala puan itu diberikan kepada madu puan yang puan zalimi tadi.
Sekiranya kezaliman yang dilakukan oleh seseorang itu banyak, maka banyaklah mereka yang menuntut. Apabila pahala milik orang yang kena tuntut itu habis, padahal tuntutan masih berlaku akibat kezaliman yang dilakukan banyak, maka Allah akan mengambil dosa orang yang menuntut tadi dan dipertanggungjawabkan ke atas orang yang kena tuntut lalu akhirnya orang ini dimasukkan ke dalam neraka jahanam.
Inilah sebenar-benar orang yang bankrap, padahal ketika mula berada di padang mahsyar, dia mempunyai pahala, lalu akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka.
Orang yang banyak melakukan dosa ketika hidup, tidak ubah seperti orang yang banyak hutang. Untuk melangsaikan hutang, sesetengah orang terpaksa bekerja keras, apabila dapat wang, wang itu digunakan untuk membayar hutang yang ditanggung, tidak kira hutang yang baru atau hutang lapuk.
Semakin banyak seseorang itu melakukan dosa, maka semakin banyaklah dia perlu menghapuskan dosanya, iaitu dengan memperbanyakkan kebajikan. Untuk menjadi penghuni syurga, pahala yang dimiliki oleh seseorang itu perlu mengatasi dosa atau kejahatan yang dilakukan. Tidak ada gunanya seseorang itu memperbanyakkan amal ibadah atau kebajikan, tetapi dalam masa yang sama dia melakukan dosa yang lebih banyak daripada pahala yang dicari melalui ibadah tadi.
Orang yang bijak ialah mereka yang melakukan ibadah sederhana dan dalam masa yang sama mengurangkan dosa, namun mereka yang pintar ialah orang yang berupaya memperbanyakkan ibadah dan dalam masa yang sama mengurangkan kegiatan yang menyebabkan tanggungan dosa.
Menemui bomoh atau melibatkan ilmu penunduk seperti puan lakukan, menjadikan suami takut atau tunduk kepada isterinya ini menyebabkan rumah tangga akan menjadi kelam-kabut seumpama tidak terkawal.
Suami puan berdosa kerana zalim kepada isteri mudanya. Puan berdosa kerana menjadi punca utama suami melakukan dosa. Perbuatan puan menundukkan suami, menyebabkan suami takut itu diistilahkan sebagai “tiwalah”.
Amalan tiwalah menyebabkan syirik. Demikian keterangan hadis yang perlu difahami untuk dijadikan pedoman mereka yang terlibat dengan amalan seperti ini.
Sumber: utusan online
Sunday, January 6, 2019
Cerita Di Sebalik Salvatore Ferragamo
Aku melihat kembali koleksi botol minyak wangi kepunyaanku sejak 12 tahun lalu. Masa zaman sekolah punya botol ada di kampung. Bukan apa, excited tunggu display cabinet bakal tiba nak menyusun barang.
Dalam banyak-banyak botol perfume ni, aku terpegang satu botol. Salvatore Ferragamo Incanto Bloom. Kalau dulu, pasti bergetar hati kalau pegang. Tapi sekarang tidak lagi. Rasa biasa je. Sama je macam botol-botol perfume yang lain.
Lima tahun lalu, sewaktu di dalam kereta, dia memberitahuku yang dia akan out station di Langkawi.
Aku: Laaa... kenapa tak cakap tadi?
Dia: Kenapa?
Aku: Saya nak keluar duit. Nak kirim.
Dia: Nak kirim apa?
Aku: Perfume.
Dia: Tak apalah. Saya belikan dulu. Nanti awak bagi.
Aku: Tak apa ke? Mahal jugak harganya walaupun duti free. Bukan RM50-rm60.
Dia: Tak apa. Awak nak perfume apa?
Aku: Salvatore Ferragamo, jenis Incanto Bloom. Tu pun kalau awak ada masa untuk beli. Kalau tak ada masa, tak apalah.
Dia: Saya cuba ya awak kalau free. Kalau busy, tak sempatlah.
Aku menerima text daripadanya setelah beberapa hari dia di Langkawi memberitahuku yang dia berada di perfume shop. Dia minta aku text kepadanya perfume yang aku mahu. Tak lama kemudian, satu text daripadanya memaklumkan bahawa perfume tu ada. Aku tanyakan harga kepadanya. Manalah tahu kot di luar budget. “RM272.00,” Waaa... jimat! OK proceed.
Sekembalinya dari Langkawi, dia bertemuku dengan membawa perfume dan beberapa plastik dan kotak coklat. Mengetahui akan kedatangannya, wang sejumlah harga perfume telahku siapkan.
Dia: Awak, perfume ni saya hadiahkan pada awak.
Aku: Laaa... Kenapa pulak? Kan saya kirim. Bukan minta. Kalau saya cakap saya kirim, maknanya, saya ada duit.
Dia: Tak apa. Duit awak tu, awak simpan untuk beli benda lain. Yang ni saya bagi awak sebab awak berkelakuan baik.
Aku: amboi, awak ingat saya ni banduan ke apa?
Dia ketawa.
Dia: Saya memang nak bagi awak. Sebab awak baik sangat, awak.
Aku: Baik macam mana? Biasa je saya rasa. Saya macam ni je sejak dari awak kenal saya.
Dia: Awak cakap dengan saya baik-baik, awak tak buat perangai, awak tak marah-marah, awak tak merajuk kalau saya busy, awak tak marah kalau saya cakap tak boleh jumpa awak. Entahlah. Awak baik sangat. Tak melawan saya. Sejukkan hati saya kalau saya marah. Sebab tu saya tak boleh marah awak lama-lama.
Aku: saya boleh je baik dengan awak selalu. Tapi awak janganlah ambil kesempatan atas tolak-ansur saya. Saya tak suka gaduh dengan awak. Sebaik mungkin saya cuba elak benda yang awak tak suka. Saya harap, awak pun sama.
Hahahaha... itu cakap orang masa suka kat kita kan?
Prinsip saya satu je. Kalau kita ada hubungan dengan seseorang, kita cuba sebaik mungkin untuk jaga hubungan tu. Jangan sesekali ambil kesempatan pada dia walau sebaik manapun dia. Kita kena sayang dia dengan tulus dan ikhlas bukan kerana apa-apa. Kalau kita betul-betul ikhlas, seandainya berlaku perpisahan, saya yakin, Allah akan beri kita ganti yang lebih baik.
Apa yang saya rasa, setelah Mr. MF tinggalkan saya, Allah gantikan dengan Mr. AF yang lebih baik dari Mr. MF. Setelah Mr. AF tinggalkan saya, Allah temukan saya dengan Mr. Nice Guy yang lebih baik dari Mr. AF untuk setakat inilah. Kalau makin lama Mr. Nice Guy ni tunjuk perangai dia sebenar tak tahulah kan. Harapnya, dia akan sentiasa lebih baik dari yang sebelum-sebelum ni supaya yang sebelum-sebelum ni benar-benar jadi kenangan, bukan sesuatu yang diimpikan.
Friday, January 4, 2019
Apa Yang Buat Awak Happy
Perasaanku mendung petang ni. Entahlah. Aku tak tahu kenapa.
Tiba-tiba aku terima panggilan dari x-bossku, En. Faizal. En. Faizal yang telah ku anggap seperti bapa sering menghubungiku bertanya khabar tentang kerja, tentang ofis dan tak terkecuali tentang aku. Aku dan dia memang rapat sejak 12 tahun lalu. Bukan sekadar aku dan dia, tetapi isteri dan anak-anaknya juga dah seperti keluarga.
Pada awalnya kami bercerita tentang pejabat dan kerja. Topik yang hangat diperkatakan adalah politik office.
Aku: Saya harap office ni akan maju macam dulu.
En. Faizal: 30 juta akan masuk. At least boleh bertahan 10 tahun lagi.
Aku: Laaa... Saya nak kerja at least 25 tahun lagi!
En. Faizal: 25 tahun?
Aku: Yelah, 25 tahun lagi saya 60.
En. Faizal: You tak nak kerja sampai umur 70 ke?
Aku: Eh, saya pun macam En. Faizal jugak. Saya nak berehat, nak pergi masjid, nak bersedia untuk mati pulak. Tu pun kalau mati lepas umur 60. Kalau tak, sebelum 60 dah mati.
En. Faizal: Hei, you nak kahwin bila?
Aku: Kahwin? Tak tahulah, En. Faizal. Belum lagi.
En. Faizal: You tak ada boy friend ke sekarang?
Alamak, soalan cepu emas ni. Nak jawab macam mana eh?
Aku: En. Faizal, yang single datang, perangai tak berapa nak OK, kerja tak tetap, ada yang muda, baru nak mula hidup. Lately ni ramai suami orang je yang datang.
En. Faizal: Apa yang buat you happy? You kena tanya diri you.
Aku: Entahlah.
En. Faizal: Kalau dia mampu, then go a head.
Aku: Family saya tak semudah tu. Orang Kelantan kot.
En. Faizal: Orang Kelantan kan kahwin ramai. Kahwin empat pun ada.
Aku: Tapi family saya tak terbuka benda-benda macam ni.
En. Faizal: As long as dia mampu, you happy dengan dia, janganlah you dah tahu dia bukan lelaki bertanggungjawab, then you go in. Memang you sajalah cari penyakit. Dan jangan pilih lelaki yang merendahkan you. Yang buat you down. Dia kena hormat you.
Aku: En. Faizal, memang ada lelaki yang macam tu. Tapi saya tak tahulah perangai sebenar macam mana. Setakat hari ni dia OK, baik. Dan dia je cakap nak jumpa family, nak serius. Kalau boleh nak buat cara baik. Kami tak naklah kahwin lari. Kahwin kat sempadan. Cumanya, saya takut family saya menolak.
En. Faizal: then OK la. Jumpa family you, then slow talk dengan wife dia.
Aku: Tak, plan asal, slow talk dengan wife dia dulu. Baru jumpa family saya. Tapi saya tak tahu penerimaan family saya.
En. Faizal: Kalau itu yang boleh buat you happy, pujuk. You kena pujuk dia orang. Slow talk.
Aku: Saya pernah bagi hint. Nenek saya suka tanya bila nak kahwin. Saya cakaplah, suami orang ramailah datang. Dia cakap, tak payahlah, saya kan tak nampak, nanti orang buat macam-macam kat saya. Dia sendiri ke, wife dia ke.
En. Faizal ketawa.
En. Faizal: Ni bukan masalah nampak tak nampak. You slow talk. Bila dia lembut sikit, you cakap baik-baik, tanya dia, macam mana dia boleh gerenti kahwin dengan bujang boleh bahagia? Tak semestinya. Kalau nasib tak baik, kahwin dengan bujang pun bertahan tiga tahun, setahun. Dan siapa kata kahwin dengan suami orang tu gerenti tak bahagia? Cuma, janganlah demand lebih. Kalau you rasa wife dia hidup mewah, then you pun nak mewah, kalau tak, tak happy, then tak payah.
Aku: Saya faham benda tu. Saya bersedia seandainya saya jadi yang second. Saya insya-Allah tahu kedudukan saya.
En. Faizal: Kalau itu buat you happy, then you go. Dapat bertahan OK kalau tak, lima tahun pun OK. As long as you rasa happy tu. Then you dah ada anak, dia nak lari, larilah.
Aku: Hei, En. Faizal ni, ada pulak dah ada anak lari. Banyak cantik. Anak dia, jagalah sekali. Kalau boleh biarlah sampai mati bersama.
En. Faizal ketawa. Saya tahu dia buat lawak. Ada orang panggil dia. Katanya ada tamu. Nanti akan discuss later topic ni.
Ya Allah,
Aku tak tahu apa ada dalam takdirku,
Sekiranya dia baik untuk agama dan hidupku, dunia dan akhiratku, maka kau dekatkan hatiku dan hatinya. Izinkanlah kami bersama, permudahkanlah urusan kami.
Jika sebaliknya Ya Allah, jauhkan aku dari derita cinta dan berikanlah ganti yang lebih baik daripadanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)