Monday, January 7, 2019

Siapa Jodoh Terbaik?

Bercerita tentang jodoh... Aku rasa sayu. Mungkinkah aku yang tidak cukup sempurna sebagai seorang perempuan sehingga sukar jodoh mendatangi? Apa sebenarnya penghalang jodohku selama ini? Kenapa susah sangat jodoh untuk ku temui? Siapa sebenarnya jodoh terbaik buatku? Aku cuba untuk menjadi pasangan terbaik dalam serba kekurangan. Namun aku gagal sehingga orang yang ku anggap jodoh pergi menjauh. Lagi dan lagi, siapa sebenarnya jodoh terbaik buatku? Pemikiranku selama ini, jodoh yang baik adalah jodoh yang tidak menyakiti hati wanita lain. Bermakna jodohku seorang yang bujang atau duda bukan suami orang selain daripada lelaki itu baik dan membahagiakan. Tanyalah wanita di dunia ini, siapa yang mahukan suami orang? Semuanya tak mahu berkongsi. Kalau kita isteri pertama, kita tak mampu menghalang suami tapi kalau kita yang kedua dan seterusnya, bagiku, tidak ada alas an untuk tidak mengelak. Benda tu boleh dielak. Dalam memikirkan hal ini, betapa taksubnya aku terhadap suami curang dan bagaimana lukanya hati isteri pertama diduakan, hingga aku terlupa bahawa Allah punya perancangan Maha Hebat. Dia berhak memberi kepada hambaNya apa yang dirasakan baik hatta di luar kemahuan hamba itu sendiri. Aku diuji dengan kehadiran suami-suami orang menghampiri. Sejak bertahun lama, aku menepis. Tanpa sebarang pertimbangan, aku menolak mereka mentah-mentah. Kalau yang sekadar nak berteman tapi mesra tu senang hidupku. Aku tolak dan mereka menjauh. Ada jugak yang merayu-rayu siap menangis. Bukan tak kesian, tapi prinsipku, tidak mahu melukai hati wanita lain. Aku tidak pernah merasa bangga bila lelaki menangis keranaku sebab aku mengerti kelukaan hati mereka. Aku pun tidak mahu membuat mereka begitu. Tapi maafkan aku, prinsipku jelas. Bagiku, isteri kedua dan seterusnya jahat, tak baik. Dan aku tidak mahu menjadi orang yang jahat terutama kepada kaumku sendiri. Dan lagi, aku lupa akan ketentuan Allah yang mengizinkan lelaki berkahwin lebih daripada satu. Dan bagiku, lelaki yang ingin berkahwin lagi itu jahat. Kerana kebanyakan yang aku temui, mereka mengabaikan yang pertama dan melebihkan yang kedua. Aku lupa lagi, bahawa Rasulullah berkahwin ramai dan baginda adil dalam kehidupannya terhadap isteri-isterinya. Melayan isteri-isterinya dengan baik dan lemah-lembut. Sunnah telah ditunjukkan sejak ribuan tahun lalu cuma orang zaman sekarang yang tidak mengambil iktibar serta pengajaran daripada sunnah tersebut. Sementara yang kedua cuba merampas suami tersebut untuk dirinya seorang. Ada yang sampai bercerai-berai disebabkan kezaliman isteri kedua. Aku masih lupa bahawa, isteri-isteri Rasulullah saling menghormati sesama mereka hingga mereka bahagia. Bahkan, mereka mendapat layanan baik dan disayangi oleh rasulullah. Mungkin kerana taksubnya aku akan lelaki bujang dan duda, Allah menurunkan ujianNya buatku. Mungkin Allah ingin mengingatkan aku agar tidak mempersoalkan kuasaNya dan keistimewaan yang diberikan kepada kaum lelaki. Selama ini aku hanya mengatakan atau lebih tepat menghukum seseorang dengan akal logic. Bukan akal logic sahaja tapi mengikut apa yang aku suka. Pintu hatiku diketuk oleh seseorang berstatus suami orang. Biasanya, jika aku mengetahui status dia suami orang, hatiku jadi tawar untuk terus mengenalinya. Walau sebaik manapun sikap yang dipamerkan padaku, ambil berat macam manapun, status suami orang itu mematikan semua rasaku padanya. Pernah aku tertarik kepada suami orang. Demi mengetahui dia suami orang, aku memutuskan untuk membunuh segala rasaku dan aku menangis keseorangan kerana tersiksa melupakannya. Bukan sekali dua aku mengorbankan perasaanku kerana lelaki yang menghampiri itu suami orang. Aku berdoa kepada Allah, "Aku korbankan semua perasaanku terhadap lelaki-lelaki yang mula mendapat perhatianku kerana dia adalah suami orang. Maka Ya Allah, Kau berilah ganti yang lebih baik sebagai ganti setiap kelukaan yang ku ciptakan demi perempuan lain." Tapi kali ini, aku tidak faham dengan hatiku yang ingkar secara terang-terangan kata akal. Niat pada asalnya sekadar melayan komen whatsapp menumbuhkan bibit rasa indah dalam hati. Aku mengharapkan dia berterus-terang akan statusnya pada hari pertama kami ber'Whatsapp' tidak kesampaian apabila dia hanya berbual biasa denganku. Malah, setiap kali aku bertanya perihalnya, dia mengatakan, aku hanya perlu menjawab soalannya. Biarlah dia yang bertanya kerana dia adalah secret admireku. Setelah aku mengetahui statusnya, pernah aku cuba untuk melupakannya serta menjauhkan diri darinya. Namun, aku tidak mampu menanggung siksa jauh darinya. Masa tu aku rasa aku dah gila! Aku mohon kepada Allah supaya hentikan perminan dan perasaan gilaku ini. Aku tidak mahu menyakiti wanita lain. Tolonglah Allah. Aku merayu dalam doaku. Malah ketika berbaring pun aku menangis mengenangkan semua ini. Tapi Allah terus mengizinkan rasa ini bertunas walaupun aku tidak rela. Aku bertanya kepada diri sendiri dan rakan-rakan apakah aku berdosa kerana merasakan semua ini? Ada jugak sengaja aku keraskan ayat dalam text supaya dia berfikir akan kata-kataku dan meninggalkan aku. Tapi Allah terus mengabaikan rancangan-rancanganku dan menggantikan dengan rancangannya Yang Maha Indah. Dan hari ini, perasaan sayangku padanya tidak mampu ku nafikan lagi. Ya Allah, apakah ini dengan izinMu atau ujianMu lagi buatku? Dan baru aku faham, bukan semua orang yang berhubungan dengan suami orang berniat jahat. Aku tidak mahu merampasnya dari isteri dan anak-anaknya. Aku tidak mahu merosakkan kebahagiaannya. Aku tidak mahu dia menjadi seperti suami lain yang akan baran dan memarahi isteri serta anak-anak tatkala mencintai perempuan lain. Aku tidak mahu mengambil masanya bersama keluarganya meskipun aku kesunyian dan perlukannya di sisi. Aku sedar aku adalah orang ketiga yang datang untuk menumpang kasihnya, berkongsi kasihnya dengan isterinya. Cuma aku mahukan keadilan, aku mahu dia mencintai aku kerana Allah serta menyayangiku tulus dari hati yang dalam. Sentiasa merinduiku walau di mana dia berada walaupun di tengah-tengah kebahagiaan bersama isteri dan anak-anaknya. Insya-Allah, aku tidak akan ganggu kebahagiaan mereka. Andai jodohku adalah dia, aku akan gunakan waktu yang diberikan kepadaku sebaik mungkin untuk bersamanya tanpa mencuri waktu orang lain. Aku menjaga hatiku agar tidak terlalu marak api cemburu sehingga memudaratkan sesiapa. Aku menjaga hatiku agar tidak mendesak dan memaksanya melakukan sesuatu yang aku mahu. Alhamdulillah, setakat ini, tiada timbul perasaan ingin memiliki dia sepenuhnya. Dan Alhamdulillah, aku aku bahagia bersamanya walaupun aku bukanlah satu-satunya dalam hidupnya. Ya Allah, kenapa aku rasa sebak dan sedih ni? Aku tahu, aku perlu kuat sekiranya ini takdirku. Bukan isteri pertama je perlu kuat apabila berkongsi. Yang kedua juga harus kuat. Tapi, andainya suatu hari dia memilih untuk meniggalkan aku demi isteri dan anak-anaknya atau keluarganya, maka aku pasrah kerana yakin Allah ada dan Dia telah siapkan segala yang terbaik buatku. Aku sedar, apa bila menjadi orang ketiga, aku harus bersedia dengan segala kemungkinan meskipun ianya melukakan. Ya Allah, Andainya akku tidak mampu menjadi Saidatina Khadijah, maka izinkanlah aku menjadi Saidatina Aishah yang sangat dicintai suaminya.

1 comment:

Kasih Ilham Yasmin said...

hadapilah segalanya dengan tenang. Insyaallah Dia telah aturkan yang terbaik buat hambaNya. ikhlas dan redha.