Thursday, January 3, 2019
Kisah Hati Yang Orang Tak Pernah Tahu
Beberapa bulan lalu, aku ada berbalas text dengan angah. Bercerita tentang family.
Angah: Orang tak tahu perasaan aku sejak kecik. Kau lupa, kita berdua je. Kita happy dan bahagia. Tiba-tiba acik lahir. Aku rasa aku terabai. Dan sejak kecik aku hidup berdikari sebab kau sakit.
OK. Ni kata-kata yang aku rasa tak boleh nak tahan. Sebenarnya dah beberapa kali aku dengar ayat ni. Kalau tak dari dia, dari boy friend dia even bakal suami dia pun pernah ulang cerita benda ni kat mama. Tapi aku lupa bakal suami tu suami sekarang ke atau yang tak jadi sebelum ni. Macamlah aku ni lemah sangat sampai orang kena bagi perhatian kat aku sampai mengabaikan adik-adik. Aku rasa dah tiba masanya untuk aku luahkan apa yang aku pendam selama ni. Biar dia sedar yang dia sebenarnya lebih beruntung dari aku. Dan dia patut bersyukur. Sedangkan aku yang Allah bagi kurang ni pun aku bersyukur, apatah lagi dia?
Aku: Ngah, aku nak cakap dengan kau sesuatu. Aku minta maaf kalau apa yang aku cakap ni buat kau marah atau kau tersinggung.
Aku memulakan bicara. Rasanya angah ni dapat agak kot nada lembut suaraku yang sering aku gunakan untuk menasihati dia.
Aku: Ngah, kau je yang rasa kau diabaikan. Kau je yang rasa kau terpaksa berdikari sebab aku sakit. Sebenarnya, kalau aku sihat pun, kau tetap akan hidup macam apa yang kau lalui. Sebab aku bukan penjaga kau. Kalau jarak usia kita jauh, mungkin semua benda aku buatkan untuk kau. Kalau kau rasa kau berdikari dari kecik sebab aku sakit, kau pernah tak letakkan diri kau kat tempat aku?
Angah tidak menyampuk. Tapi aku tahu dia sedang membaca apa yang aku tulis. Cuma aku berdoa supaya dia tak sensitive dan tersinggung. Angah ni lain macam sikit. Kalau dia sensitive, ambil masa lama.
Aku: Kau pernah tak bayangkan perasaan aku, seorang kanak-kanak buta berusia sembilan tahun terpaksa berpisah dari ibu bapa, dari chek yang aku sayang, dari mummy, dari adik-adik dan dari keluarga? Aku dihantar ke asrama sebab tak ada sekolah khas yang dekat dengan rumah. Aku dihantar ke Johor. Jauh ngah. Pada hal masa tu, aku budak, aku tak faham apa-apa. Kita sama-sama manja. Kau dapat tak bayangkan perasaan aku yang ditinggalkan abah yang memanjakan aku selama ni? Kau dapat tak bayangkan betapa aku dahaga kasih sayang dari family masa tu? Bayangkan, budak umur Sembilan tahun yang buta, bagaimana nak sesuaikan diri untuk hidup berdikari yang semua benda kena buat sendiri? Tapi, Allah bagi kau yang Nampak untuk terus tinggal dengan keluarga. Semua benda mama dan orang gaji buat. Abah pun ada sentiasa dengan kau. Kau nak pergi sekolah, ada orang tengok kau naik van, bagi bekal dan duit belanja, sarapan dengan family, balik sekolah, lunch sama-sama family, begitu jugak dengan dinner. Tengok TV sama-sama, ulangkaji kat rumah. Ada masa main game, main macam-macam, keluar jalan-jalan dan shopping dengan abah. Apa kau nak semua dapat. Tapi aku? Aku diasuh oleh orang lain. Oleh cikgu, waden dan staff sekolah. Mana sama kasih sayang yang aku dapat dengan kau dapat. Kau tahu tak apa perasaan aku bila pergi sekolah pergi sendiri, balik pun sendiri. Dahlah balik sendiri, makan ramai-ramai dengan kawan-kawan je. Tak ada abah, tak ada mama dan tak ada kau dan acik. Menu ikut yang sekolah tetapkan. Tapi kau, makan sedap-sedap kat rumah. Banyak lauk. Boleh request nak makan apa. Paling penting makan dengan abah. Nak keluar jalan-jalan, tak adalah. Sesekali je kalau ada lawatan sekolah. Semua benda kena buat sendiri. Tak buat kena marah. Lepas tu terkejar-kejar ikut jadual sekolah dan asrama.
Aku lihat angah masih lagi online dan text yang ku hantar bertanda dibaca. Aku teruskan lagi.
Aku: Bila masuk sekolah menengah, sama jugak. Tak ada perubahan. Aku masih di Johor. Masuk sekolah lelaki. Kau bayangkan apa perasaan aku masa awal-awal masuk sekolah, aku kena sesuaikan diri dengan sekolah yang besar untuk bergerak sendiri. Dalam kelas, aku sorang je perempuan. Sangat tak selesa keadaan tu. Dahlah semua Nampak. Yang tak Nampak ada tiga orang lagi tu pun lelaki. Masa aku sekolah dulu, kita orang tak ada buku teks sangat. Ada subjek yang langsung tak ada buku teks. Kalau kau study, ulangkaji selama 4 jam, kau boleh gunakan 4 jam untuk menelaah. Tapi aku? Aku kena bagi masa untuk salin buku teks, salin buku latihan atau nota tambahan kalau perlu dengan menelaah. Berapa sangat masa aku ada untuk study sendiri? Orang lain boleh belajar katalah 4 jam, aku, aku kena gandakan. Buat kerja rumah lagi. Kau, ambik je buku, boleh baca dan buat latihan. Tak perlu nak salin bagai. Allah bagi kau apa? Masuk sekolah sains. Bagi kau keputusan cemerlang, straight A setiap peperiksaan. Aku tak dapat straight A setakat SPM pangkat 1 je. Allah tu maha tahu yang kau ada masalah dengan mama sejak kecik. Allah tahu kau banyak terasa hati. So, Allah bagi kau duduk asrama tapi masa kau form 1. Lepas tu, Allah hiburkan hati kau dengan bagi kau pergi oversea. Itu yang kau nak. Allah pun bagi.
Angah tetap membaca.
Sedangkan aku, Allah uji lagi. Allah bagi aku masuk UiTM. Universiti yang tak ada blind kat situ. Peralatan pun tak ada, bahan bacaan braille apatah lagi. Tapi aku perlu buktikan yang aku boleh. Jadi, aku kena usaha keras. Kat U tu macam-macam cabarannya. Orang lain boleh pergi library ambil buku dan baca, buat assignment. Aku masih kena buat proses yang sama. Salin, scan, rekod.
Angah setia membaca.
Aku: Bila habis U, aku merangkak dari bawah. Pernah kerja yang tak ada basic gaji. Pernah aku terima gaji RM100 lebih je sebulan sebab tak pandai buat telemarketing yang tak ada basic gaji tu. Entah berapa tempat kerja aku diuji dengan gaji rendah sampai makan pun bercatu sebab nak jimat untuk bayar tambang. Aku pernah terfikir, untuk apa aku kerja kalau aku tak rasa pun benefitnya? Tapi aku ingat arwah check kata hidup ni kena banyak sabar. Kadang-kadang, aku makan maggi je. Sebab tak ada duit. Bukan aku tak boleh minta dengan abah tapi aku malu sebab aku dah kerja. Sampai sekarang pun, gaji aku tak besar manapun kerja kat NGO ni. Tapi tak adalah seteruk dulu. Tapi kalau kita redha, Allah bagi kita tenang. Syukur dengan apa yang ada. Kalau aku nakkan sesuatu, aku kena kumpul duit, baru boleh beli. Sampai sekarang ngah. Tapi Allah bagi kau, kerja gaji besar. Kau berhenti jadi cikgu pun, still dapat gaji yang lebih besar dari cikgu. Kau nak beli apa-apa, tak payah berkira, tak payah kumpul-kumpul duit. Terus pergi dan beli je. Allah masih lebihkan kau dalam semua hal. Kau pernah tak rasa apa yang aku rasa? Masa mula-mula habis belajar dan nak hidup berdikari, aku sampai tak boleh tidur malam bila mengenangkan yang keesokan hari aku kena ke tempat kerja sendiri dalam keadaan yang tak Nampak dan tak biasa sorang-sorang. Tahu tak perasaan takutnya macam mana? Lepas tu, kalau nak pergi mana-mana berurusan tempat tak biasa, terpaksa minta tolong orang. Kalau ada orang nak tolong OK. Kalau tak, nasiblah. Aku banyak kali menangis bila susah. Tapi tak pernah aku mengadu kat family. Hanya pada orang tertentu yang faham je aku luahkan kesedihan aku. Tapi kau? Kau boleh pergi ke mana saja yang kau nak, bila-bila masa kau boleh drive dan pergi. Jadi, kau boleh nilai apa itu berdikari dan cara kau berdikari dengan cara aku berdikari macam mana. Aku tak pernah cerita ni kat family, tak nak abah risau. Aku pun tak pernah cerita kat adik-adik susah aku. Sebab aku rasa aku boleh handle. Semua orang ada urusan masing-masing dan hidup masing-masing. Aku tak nak susahkan orang. Jadi isu aku sakit tu sebenarnya tak timbul. Malah aku sakit tu sebenarnya lebih kepada ujian untuk aku dalam segala hal. Tak ada kena-mengena dengan orang lain terpaksa berdikari sebab aku. Abah dan mama pun tak ada dengan aku untuk sentiasa bantu aku. Aku berdikari sendiri ngah. Kau tak pernah tahu apa yang aku rasa dan apa yang aku lalui. Begitu jugak dengan family yang lain. Sebab Nampak aku OK je. Happy, tak ada masalah.
Dia masih lagi online dan baca.
Aku: Dan kerana Allah tahu kau kurang kasih sayang, kau terasa dengan family ni, Allah temukan jodoh kau dulu. Kerana apa? Sebab Allah gantikan kasih sayang family dengan kasih sayang seorang suami untuk kau rasa disayangi, dicintai, dihargai dan kau dapat bermanja. Alhamdulillah, kau dapat suami yang baik. Aku tumpang bahagia. So, jaga suami kau baik-baik. Jangan buat dia terasa selalu. Kalau gaduh tu, jangan lama-lama tak bertegur. Kau nampakkan, walaupun kau rasa kau selalu diabaikan tapi Allah sebenarnya bagi kau macam-macam yang dia tak bagi pada adik-beradik lain. Siapa kata mama tak sayang kau? Dia sayang kau dan semua orang dalam family ni sayang kau. Cuma mungkin dalam family ni ada yang tak pandai nak zahirkan kasih sayang tu. Tu yang buat kau terasa. Kau jangan sensitif sangat. Dan jangan lama sangat merajuk. Sebab dia orang tak pandai pujuk. Aku rindu angah yang dulu. Kita rapat tak macam sekarang. Sebenarnya aku pun kurang perhatian, kurang kasih sayang. Aku pun manja macam kau. Jadi, kita kena memberi kasih sayang, untuk dapatkan kasih sayang tu. Dalam hidup ni ngah, kita takkan dapat semua yang kita nak. Allah tu adil. Dia bagi kita lebih kat sini, kurang kat sana. Macam tu jugak dengan orang lain. Tapi kita kena fikir hikmah dia dan apa sebab Dia buat macam tu. At least sekarang, kau ada suami yang sayang kat kau. So, kau lebih banyak masa dengan family sendiri. Tak perlu dah nak fikir sangat apa yang buat kau terasa dalam family kita. Aku harap, kau tak marah dengan apa yang aku cakap. Maaf ya ngah kalau kau tak suka. Aku kena cakap. Mungkin selama ni tak ada orang bagi tahu kau betapa kau beruntung sebenarnya. So, sekarang kau tahukan? Kau beruntung dan lebih baik kehidupan kau berbanding yang lain walaupun dari satu sudut kau kurang.
Dia baca dan terus offline tanpa sebarang jawapan.
Aku biarkan dia. Memberi ruang untuk dia berfikir. Angah ni lembut hatinya kalau kena gaya dan baik orangnya. Tapi hatinya sensitive dan panas. Nak ubat dia punya sensitif tu lama. Aku bertawakal kalau lepas ni hubungan kami tak baik. At least, aku dah bawa dia untuk berfikir akan takdir Tuhan. Bukanlah aku baik sangat. Cuma dia harus positif dalam hidup ni.
Beberapa lama kemudian, tak tahulah berapa minggu kemudian. Dia call aku. Suaranya ceria dan bersahaja macam tak ada apa yang berlaku. Dia nak datang rumah jumpa mummy yang nak bertandang ke rumah aku. Kami makan bersama dan sembang-sembang. Rasa seronok.
Angah, aku sayang kau. Aku nak angah yang dulu. Yang selalu ada dengan aku. Yang selalu bela aku kalau orang buat macam-macam kat aku masa kat tadika dulu. Indah kenangan tu. Dan selalu bela aku kalau aku kena marah dengan mama. Hahaha... Aku dulu mana pandai jawab.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment