Wednesday, January 9, 2019
Kau Jangan Jawab!
Peristiwa ni berlaku sewaktu aku masih kanak-kanak. Tak ingat masa tu kami umur berapa.
Masa umur antara 4-7 tahun, aku dibesarkan dan diasuh oleh Arwah moyang suami-isteri dan mummy. Jadi, kenangan zaman kanak-kanak yang aku ingat kebanyakannya berkisar kepada kenangan bersama mereka. Dan tahun lepas, aku hadir satu program kekeluargaan bersama Lembaga Pembangunan Penduduk Dan Keluarga Negara (LPPKN). Dah alang-alang jadi emcee dua hari berturut-turut, so dengar jelah ceramah. Kata sorang penceramah, kanak-kanak akan ingat peristiwa yang berlaku sewaktu ia berusia empat tahun dengan jelas dan ianya memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak tersebut. So aku faham kenapa kenangan semasa tinggal bersama nenek moyang yang banyak aku ingat hingga kini.
Macam yang pernah aku tulis, aku bersekolah jauh. Masa cuti semestinya aku ingin menghabiskan sebahagian cutiku bersama nenek dan moyang yang sangat aku sayangi.
Aku masih ingat, masa tu, cuti hariraya Aidilfitri. Macam biasa, lepas berhariraya, aku dan angah mahu tinggal di rumah nenek dan moyang dan tidak mahu pulang ke rumah abah dan mama.
Abah seorang yang sangat memahami jiwa anak-anaknya. Tahu mama tidak suka kami tinggal lama di rumah moyang, kami meminta kebenaran abah untuk stay lebih lama di rumah tersebut. Abah tanpa keberatan mengizinkan kami tinggal bersama nenek dan moyang. Abah tahu kerinduan kami terhadap mereka lebih-lebih lagi aku. Apabila mengetahui hal itu, mama marah-marah. Bukan sekadar kami dimarahi, abah juga turut menjadi mangsa kemarahannya. Abah mempertahankan kemahuan kami dan bertegas tidak akan membawa kami pulang bersamanya. Janji kami dengan abah, kami akan pulang pada minggu berikutnya. Abah yang akan jemput kami.
Selang sehari dua berlalu, aku lupa di mana moyang dan nenek. Yang pastinya aku dan angah tinggal di rumah berbual dan bermain.
Tiba-tiba, telefon rumah berdering. Aku ni kan jadi PR dari kecik lagi hehehee... Akulah yang menjawab telefon. Kedengaran suara mama keras di hujung talian. Dia marah-marah dan bertanya bila kami mahu pulang? Aku katakana kepadanya, abah akan jemput kami minggu hadapan. Aku mengharapkan dia memahami perasaan kami kerana cuti persekolahan masih panjang. Masa kami di rumah nenek tidaklah sebanyak di rumahnya.
Mama kalau marah, kata-katanya keras. Cakapnya menghiris hati. Aku tak mampu menahan kesedihan. Tapi, aku tidak seberani angah untuk menjawab kata-katanya. Aku menangis dan mematikan talian telefon.
Angah: Kenapa, long? Kenapa kau nangis?
Aku tidak mampu menjawab pertanyaan angah dek kerana sedih yang amat.
Angah: Siapa telefon?
Aku: Mama.
Dalam sedu-sedan, aku menjawab.
Angah: Kenapa kau nangis?
Suara angah mula keras.
Aku: Dia suruh kita balik. Dia tak bagi kita duduk sini lama-lama.
Angah: Kau ni kan, jawablah! Kenapa nangis? Tolonglah keras sikit!
Aku tahu, angah meradang dengan khabar yang ku bawa.
Telefon berdering lagi.
Angah: Kau jangan jawab! Biar aku jawab!
Angah mendahului aku mendapatkan telefon.
Angah: Kita orang tak nak balik! Kita orang nak balik minggu depan! Kita orang dah janji dengan abah! Abah bagi kita orang duduk sini!
Aku sedih dengan keadaan itu. Aku tahu, mama seorang yang ego dan dia akan menggunakan apa cara sekalipun untuk memuaskan hatinya meskipun ianya melukakan pihak lain termasuk menggunakan kekerasan.
Angah menghempaskan gagang telefon.
Aku: Kenapa cakap macam tu? Nanti mama kata aku kurang ajar.
Sebenarnya suara kami hampir sama. Kadang-kadang orang sukar membezakan suara kami menerusi telefon.
Angah: Biarlah! Nak harap engkau, sampai bila? Sampai bila kita nak dapat apa yang kita nak? Dia kena dengar cakap abah. Abah kan suami. Kita ni asyik nak kena dengar cakap dia je.
Keesokan harinya, kereta pejabat mama berhenti di perkarangan rumah mummy. Mama dan driver pejabat serta sorang dua rakannya datang untuk menjemput kami. Betapa hancurnya hati kami dengan perbuatan mama. Kami menangis minta difahami yang kami masih belum puas bersama nenek. Namun, tidak dihiraukannya. Kami diarahkan untuk masuk kereta. Beg kami serta barang-barang lain dipunggah masuk ke dalam kereta. Perpisahan bersama nenek dan moyang petang itu sangat memilukan. Kami menangis sementara nenek dan moyang menahan sebak masing-masing melihatkan situasi tersebut.
Kalau kita nak memenangi hati seseorang, buatlah secara lembut. Jangan memaksa. Paksaan akan menjauhkan hubungan kita dengan orang yang kita inginkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment