Saturday, January 12, 2019

Kesilapan Yang Aku Saksikan Dari Kecil

Hidup berumahtangga banyak ranjau durinya. Meskipun aku belum lagi diizinkan untuk melalui saat-saat itu, berdasarkan pemerhatianku, banyak perkara yang aku belajar.   



Kawan-kawan sering menganggap aku datang dari keluarga yang bahagia. Apakah dengan mendapat apa yang aku inginkan serta bercuti bersama maknanya bahagia? Tidak bagiku. Bukan aku tidak bersyukur, tapi itu rialitinya. Ku coretkan kisah ini di sini buat kita semua jadikan pengajaran. Bukan untuk membuka aib sesiapa cuma sekadar meluah rasa yang sekian lama aku pendamkan.  


Para isteri, ingatlah bahawa suami yang kita sangka seorang lelaki yang gagah dan kental sebenarnya mempunyai jiwa yang halus. Sentiasa perlukan belaian, perhatian dan kasih sayang.  


Sejak kecil, aku tak pernah lihat mama dan abah bermanja-manja macam dalam filem Melayu. Sehingga pernah aku terfikir mungkin, apa yang aku tonton di TV atau layar perak itu hanya suatu khayalan yang tiada di alam rialiti. Mama juga tak pernah bercakap manja dan lembut dengan abah. Kalau tak bergaduh, lembutlah, tapi bukan lembut yang manja.  


Mama jugak ada baiknya. Mama buatkan sarapan, makan tengahari, makan malam, minum petang dan malam. Di mana kesemua hidangan dimasaknya sendiri setiap kali menjelang waktu makan. Jarang kami makan lauk berulang atau yang disimpan. Kecuali kalau terbanyak. Itupun mesti ada tambahan lauk baru. Minum malam dan petang tu masa aku kecil, mama buatlah kuih tapi mama kan kerja. Selalunya belilah kuih untuk minum petang dan malam tu. 


Satu lagi, gosok baju. Mama yang gosok baju abah untuk seminggu. Baju dan seluar. Tak pernah dihantar ke dobi. 


Apa yang kurang adalah kasih sayang. Keluarga ni bukan keluarga yang menunjukkan kasih sayang. Masing-masing ego untuk mempamerkan kasih sayang. Sedangkan aku dan angah telah terbiasa ditunjukkan kasih sayang oleh mummy dan chek. Kami nakkan semua tu. Dan kami juga ingin memberi kasih sayang. Menzahirkan kasih sayang kami tapi tak bisa. 


Aku selalu dengar mama marah-marah dan membebel kalau abah mengadu sesuatu. Sampai aku rasa tak faham, perlukah abah dimarahi begitu? Kalau betulpun dia salah, cakaplah baik-baik. Tegurlah elok-elok macam chek tegur ayah. Kadang-kadang aku rasa apa yang abah buat untuk kebaikan tapi tidak mendapat sokongan baik mama. Kenapa jadi macam ni? 


Dan... Abah mula merahsiakan segala-galanya dari mama walaupun hal yang baik. Contohnya, masa abah bertugas di Johor dulu, abah berkongsi niaga dengan kawan-kawannya membuka kedai makan. Masa tu hidup kami rasa lebih dari biasa. Banyak benda yang kami nak, abah bagi. Tapi, bila mama tahu abah berniaga, mama marah. Mama takut abah kena tipu dan sebagainya. Kenapa mesti marah? Bukankah sokongan dan kata-kata semangat seorang isteri itu penguat semangat suami? Andai kata abah gagal, mama jugalah sepatutnya mendamaikan hati abah. Bagi abah semangat dengan kata-kata lembut penuh kasih sayang agar abah bangkit semula. Kan indah kalau hidup berkasih-sayang?  


Dan, aku dan angah mula mencari cinta dan perhatian. Lebih-lebih lagi bila arwah chek dah tak ada. Orang ada yang cakap, bila aku kecewa dalam bercinta, aku sedih yang amat. Dia orang kata aku buat perkara bukan-bukan. Tidak sebenarnya. Tapi aku rasa hampa. Rasa kecewa yang amat. Niat hati nakkan cinta sebagai ganti perhatian dan kasih sayang yang kurang sedari kecil. Tiba-tiba gagal, mestilah kecewa. Orang tak tahu apa yang kami alami. So, orang buat persepsi sendiri.  


Pada aku, cinta dan kasih sayang tu penting. Dan aku menginginkannya. Bila aku menginginkannya, aku perlu memberi dan menghargai. Seandainya aku diberi insya-Allah, aku cuba yang terbaik untuk membalasnya. Aku seorang yang manja, yang perlukan perhatian serta belaian. Tapi aku faham, cinta tidak akan kita peroleh percuma tanpa membajanya. Tapi jangan sampai melanggar batas.

No comments: