Wednesday, October 2, 2013
Kuatkah Aku?
Selama ni, aku merasakan bahawa luka lama telah sembuh dan aku telah pulih sepenuhnya dari luka itu. Lantaran itu, aku merasakan bahawa aku cukup kuat untuk berhadapan dengannya. Mungkin Tuhan sengaja ingin menguji kekuatan aku.
Petang semalam, aku rasa mengantuk sangat. Lalu aku ke lobi, bersembang dengan penyambut tamu. Kebetulan, ada ramai orang sedang berurusan di lobi. Suasananya agak bising. Sedang aku bersembang dengan Yaya, tiba-tiba...
"Saya nak jumpa Puan Johara," Kedengaran satu suara yang tidak dapatku tangkap siapa pemiliknya.
"Nama siapa?" Tanya Sabri, penyambut tamu seorang lagi.
"F," Menurut cerita Yaya, jawapan itu perlahan saja. Tapi aku langsung tidak mendengarnya. Malah soalan Sabripun aku tak dengar. Percakapan Yaya menjadi perhatianku seratus peratus.
Yaya pula seakan terkejut dan terus kelam-kabut menghubungi Puan Johara. Aku pelik, kenapa budak ni kelam-kabut semacam ni? Bukankah Sabri yang entertain mamat tadi? Kenapa dia pulak yang panggil Puan Johara?
Aku terus duduk dan berbual di kaunter penyambut tamu. Tiba-tiba...
"F Bin Sipulan!" Panggil Puan Jahida kuat yang kebetulan ada di lobi setelah Puan Johara bertanya siapakah yang ingin bertemunya.
"Ya, saya,"
Pam!!! Bagai kilat memanah diri, demi mendengarkan nama dan suara itu, jantungku seakan menendang dada ingin keluar dari jasadku. Aku terduduk dan tertunduk. Sabar, Teja, sabar. Kau kena buat macam biasa. Buat tak ada apa-apa. Aku terus berlagak selamba meneruskan perbualan. Tiba waktu Asar, aku meminta diri untuk solat.
Selepas itu aku diberitahu oleh Yaya yang dia sudah tahu siapakah gerangan yang ingin bertemu Puan Johara, sebab tulah dia kelam-kabut bimbang berlaku apa-apa. Dan kata Yaya, dia tertanya-tanya sendiri, apakah yang bakal berlaku sebentar lagi. Puan Jahida pula memberitahu bahawa dia sengaja memanggil nama F dengan kuat untuk memberi isyarat kepadaku akan kehadirannya.
Kalau bertemu secara tidak sengaja dan bukan secara langsung aku sudah begitu, bagaimana harus aku berhadapan dengannya seandainya terpaksa berbuat demikian? Sudahlah diri, jangan biarkan hati terluka lagi. Dia milik orang dan dia adalah masa silammu.
Thursday, September 19, 2013
Doaku Di Suatu Hari
Selama aku bersamanya, aku sering berdoa agar Allah bukakan seluas-luasnya pintu hati dia buatku. Benarlah kata orang, cinta itu buta. Apapum yang dia lakukan, aku tetap ingin bersamanya. Pernah juga aku bertanya kepada diriku, adakah aku benar-benar bahagia bersamanya? Hatiku mengatakan ya. tapi akal warasku mengatakan sebaliknya.
Selama hampir tiga tahun bersamanya, entah berapa kali dia menyepikan diri daripadaku. SMS tak balas, call pun tak berjawab. Aku rasa tersiksa diperlakukan begitu. Jika dia mahu memutuskan perhubungan ini, apa salahnya jika dia beritahuku atau setidak-tidaknya, hantarlah mesej jika tidak sanggup berhadapan denganku. Siapa yang pernah rasa benda ni, mesti korang tahu sakitnya bila orang yang kita sayang menjauhkan diri. Kitapun terfikir-fikir jika kita tunggu, tak pasti dia masih bersama kita atau tidak. Jika kita terima cinta lain, adakah kita curang? Bagaimana kalau dia datang menagih cinta setia kita? Peningkan?
Suatu hari, doaku panjatkan amat berbeza dari hari-hari sebelumnya. Masa tu, aku tengah berjalan mahu pulang ke rumah. Hatiku dilanda sedih yang amat. Lalu akupun berdoa di dalam hati:
Ya Allah,
Jika beginilah siksa yang terpaksa aku tanggung untuk bersamanya, tidak tertanggung pedihnya olehku. Maka, Engkau putuskanlah hubungan kami jika itu yang terbaik buatku. Jika itu akan membuatkan hidupku lebih aman.
Lepas tu, aku bertanya pada diriku, benarkah itu yang aku inginkan? Benarkah permintaanku itu? Suara hatiku berbisik, ya, kerana aku tak sanggup lagi dipermainkan begini. Lalu aku membiarkan doa itu tanpa menariknya kembali.
Mungkin Allah mendengarku yang sekali itu. Maka, Allah putuskan aku denganNya kerana Dia adalah Tuhan yang sebijak-bijak perancang.
Tuesday, April 9, 2013
Belajar Tinggi-tinggi, Tapi...
Teja: Abang, Ayang dapat interview SPA. (girang aku memberitahu)
MF: Interview je. Kerjanya tak dapat-dapat juga.
Teja: Ala... Bang, belum ada rezeki, nak buat macam mana? (Aku masih senyum meskipun mood mula terusik)
MF: Susahlah macam ni. Ayang dahlah tak nampak, kerjapun tak berapa elok. Drivepun tak boleh. Habis macam mana?
Teja: Kenapa abang cakap macam tu? Apa yang macam mananya?
MF: Ayang kan tahu, mak abang kan tak nak kat Ayang. Kawan-kawan abangpun suruh abang cari yang lebih dari abang (nampak). Kalau Ayang tu kerja bagus, gaji besar, adalah benda yang boleh abang banggakan. Abang boleh cakap, walaupun bini aku tak nampak, tapi bini aku tu pegawai. Gaji ribu-ribu. Ni gajipun kecik. Nama je ada ijazah.
Teja: Abang ni kenapa? Siapa yang nak sara siapa ni? Apa masalahnya kalau ayang gaji kecikpun, abang yang nak tanggung ayangkan? Mak ayah ayang tak pernah bang, tak sekalipun persoalkan, abang belajar sampai mana, kenapa abang tak ada ijazah, kerja apa, gaji besar ke kecik? Kenapa mak abang pula perlu persoalkan semua tu. Abang terimalah ayang dengan ikhlas. Cuba abang sayang ayang betul-betul. Tak perlulah ada syarat.
MF: Ayang cakap senanglah, abang yang nak berdepan dengan dia orang. Ayang ni tak fahamlah, yang. Cubalah ayang faham abang.
Teja: Kita hadapi sama-samalah. Bukannya ayang tak usaha, tapi Allah masih belum bagi rezeki Dia kat ayang. Macam-macam ayang cuba, bang. Abangpun kenalah faham ayang. Rezeki tu kan Tuhan yang tentukan. Bukan kita.
Balasku dalam tangis yang ditahan-tahan.
Nampak sangat orang tak nak kat aku. Aku je yang terhegeh-hegeh. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kenapalah hal-hal dunia tu yang jadi ukuran? Kenapa aku lemah sangat masa tu? Mungkin, dunia dah terbalik kot, perempuan kena gaji besar dan lebih mahal dari lelaki.
Tuesday, April 2, 2013
Tak Secantik Dia
Beberapa tahun lalu, aku ni seorang yang kurus sangat. Kawan-kawan kata, aku ni papan lapis. Bukan sebab aku tak makan. Tapi badan ni yang tak nak naik walaupun sikit.
Suatu hari...
MF: Ayang, ayang ni kurus sangatlah. Macam cicak kobeng.
Kalau dah orang yang kita sayang cakap, mestilah hati ni cepat je terusik.
Teja: Abang cakap apa ni?
MF: Ayang tu kurus sangat, tak cantik. Tak macam Iti, cantik, badan sedap, montok.
Dia bandingkan aku dengan perempuan lain? Kalau bandingkan dengan perempuan yang selalu dapat pujian tak apalah juga.
Teja: Mana abang tahu dia cantik?
MF: Dia cakap, ada orang cakap. Dia tu pandai bergaya, cantik, manja sebab tu ramai peminat.
Yelah, masa tu, aku tak berapa pandai bergaya.
Teja: Orang yang cantik, tak akan cakap dia cantik. Ada ke ayang cakap kalau orang puji ayang? Cakap bolehlah, abangpun bukan nampak dia jelas sangat. Kalau dia tipupun abang tak tahu. Perempuan ni, kalau ramai peminat, ada dua sebab. Satu, dia memang cantik. Dua, gedik mengada-ngada.
MF: Tak baik ayang, cakap dia macam tu.
Dia bela perempuan tu? Siapa girl friend dia ni?
Teja: Ayang tak kata dia. Ayang cakap, sebab-sebab perempuan ramai peminat. Ni kenyataan. Ayang tak tahulah dia dalam kategori yang mana satu. Tapi, kalau dah melayan semua lelaki tu... Abang fikirlah sendiri.
MF: Nasib badanlah. Dapat awek kurus kering, macam cicak kobeng. Apa nak buat, terima jelah. Dah terlanjur cakap.
Tuhan je yang tahu perasaan aku ketika tu. Tangisan ku cuba tahan dari pecah.
Teja: Abang, kalau abang ada pilihan lain, abang cakap je terus-terang dengan ayang. Tak payah fikir fasal terlanjur cakap atau tak. Yang penting abang tak tipu ayang. Ayang takkan marah, takkan dendam dengan abang. Kalau abang tak nak ayang, ayang boleh pergi.
Kenapa dengan dia ni? Apa yang dia fikir, fasal isu badan pun jadi masalah ni?
MF: Ayang ni kalau peluk nanti rasa tulang je. Tapi kalau ayang peluk abang bestlah, ayang.
Teja: Abang nak badan ayang macam mana?
MF: Macam model.
Teja: Maaflah, bang. Ayang tak cantik macam Iti. Tak ada semua tu. Kalau nak cantik wajah, abang carilah orang lain. Kalau nak macam model, carilah model, tak perlulah cari Iti yang belum tentu cantiknya tu. Setakat tuan punya badan yang cakap, ayang pun boleh cakap.
Sungguh! Aku rasa sedih dan rendah diri. Kenapa soal ni yang timbul? Kan ada banyak benda lagi yang boleh jadi isu.
Lepas tu bila aku tak layan dia:
MF: Ayang janganlah macam ni. Tak cantik, badan tak sedappun tak apa. Ayang kan baik, dengar cakap abang. Tu yang abang sayang ayang tu.
Dia ingat aku ni budak-budak ke apa? Tadi cakap lain. Sekarang cakap lain. Tak fahamlah.
MF: Abang gurau-gurau je tadi.
Gurau-gurau? Macam tu ke cara nak bergurau? Nak eratkan kasih sayang? Sakit mental ke dia ni? Takpun psiko. Tadi cara dia cakap, kata-kata dia, cukup buat aku tersinggung. Bukan ke kalau kita betul-betul sayang kat orang tu, sikitpun kita tak nak buat dia sedih? Tak nak buat dia terasa hati? Kenapa cara dia sayang aku tak macam aku sayang dia? Kalau sekali, mungkin salah gurau. Tapi benda ni berulang-ulang. Sampai aku jadi rendah diri. Aku tertekan mengenangkan diri yang tak cantik. Buruk sangat ke aku ni? Hodoh sangat ke aku ni? Ye, mungkin aku tak sepadan dengan dia yang kononnya hensem dan tegap tu. Tak apalah, Allah tak pandang wajah yang cantik, tapi Allah lihat hati yang indah.
Note: Tapi baiknya dia, dia selalu belikan aku vitamin supaya aku berisi sikit. Pernah satu hari bila dia cakap hal ni aku cakap:
Teja: Cuba abang jangan sakitkan hati ayang. Jangan buat apa yang boleh buat ayang sedih. Cuba abang buat perangai elok sikit. Mungkin ayang kurus ni pun sebab makan hati kerana abang. Abang selalu sakitkan hati ayang.
Tak baiknya aku cakap macam tu kan?
Thursday, March 28, 2013
Jangan Berangan Mengubah Dunia
Tujuan aku menulis, bukan untuk mengaibkan sesiapa. Aku sekadar meluahkan rasa apabila kisah silam terimbau.
Suatu hari, ketika aku duduk-duduk dengan MF:
MF: Ayang, Ayang tahu tak? Ayang ada semua ciri wanita idaman abang. (Hatiku mula berbunga-bunga demi mendengarkan ayat itu. Aku senyum.) Tapi... Satu je...
Teja: Apa dia?
MF: Sayang, ayang tak nampak. (Demi mendengarkan itu, senyuman yang tadinya menghiasi bibir, mati serta-merta.)
Teja: Abang, nilai kebahagiaan bukan letak pada kesempurnaan lahiriah. Tapi pada hati.
MF: Tapi sebab tulah kita banyak masalah. Famili abang tak suka. Hidup kitapun susah, nak pergi mana-manapun kena naik public transport. Abang tak biasa ayang, tak biasa nak susah-susah naik public transport. Nak beli barangpun susah. Nak tahu harga kena tanya orang, Nak pilih barangpun kadang-kadang kena minta tolong orang. Kalau pergi majlis, orang kena sendukkan makan. Kalau ayang nampakkan senang, ayang boleh buatkan untuk abang.
Ya Allah! Belati apakah ini? Begitu tajam menghiris hatiku. Aku mula sebak. Ini seakan penghinaan. Aku bukan selemah yang disangkakan cuma dia yang sering memandang rendah pada aku. Kenapa lelaki pulak yang nak kena bergantung pada perempuan? Dunia dah terbalik agaknya.
Teja: Ya Allah! abang, salah ayang ke semua ni? Ayang tak pernah minta jadi macam ni. Tapi Tuhan yang nak uji ayang dengan benda ni. Sepatutnya kita pasrah pada ketentuan Dia. Sekurang-kurangnya ayang nampak juga warna, abang pun rabun, bukan tak nampak langsung. Kalau nak cakap fasal public transport, ayang pun tak biasa. Dulu, ke mana-mana naik kereta, abah yang hantar ayang. Tapi sampai bila nak bergantung pada orang? Ayang terima suratan Tuhan, jadi ayang harus bangkit, belajar hidup sendiri walaupun susah. Akhirnya, ayang tak rasa semua ni susah. Ayang rasa biasa je. Ramai je orang nampak naik public transport. Kita tak bolehlah negatif sangat. Kita kena positif.
Aku mula menangis.
MF: Ayang bercakap senanglah. Abang yang tanggung.
Teja: Apa pulak ayang bercakap senang? Ayang cakap, sebab ayang yang lebih dulu rasa. Ayangpun normal juga dulu. Sebab tulah, abang kena bergaul dengan orang macam kita. Tapi abang tak nak. Abang selalu pandang negatif pada orang senasib. Kalau abang nak kebahagiaan yang lahir dari hati, insya-Allah ayang boleh bagi. Tapi kalau abang nak kesenangan luaran, ayang minta maaf, ayang tak mampu.
MF: Tapi ayang baik. Baik sangat. Abang takut, kalau abang lepaskan ayang, abang takkan dapat orang yang sebaik ayang.
Teja: Kalau masih ada secebis rasa sayang abang pada ayang, bagilah ayang peluang untuk buktikan pada abang yang kita boleh bahagia. Tapi, kalau sebab ayang tak nampak isunya, terserahlah pada abang. Mana tahukan, kalau abang dapat pengganti yang sama macam ayang, tambah normal. Mesti abang bahagia.
MF: Tak mungkin abang akan jumpa dengan orang macam ayang lagi. Maaf ye ayang, sebab buat ayang sedih.
Teja: kalau abang tak nak ayang, abang kena cakap terus-terang. Abang jangan aniaya ayang. Jangan main-mainkan ayang.
MF: Kenapa? Supaya senang ayang cari orang lain? Abang tahulah, ada orang suka kat ayang kan?
Teja: Kalau abang tinggalkan ayang tak salahkan? Biarlah ayang bagi kasih sayang ayang pada yang memerlukan.
Kerana sayang, aku tempuh segalanya demi dia. Sepatutnya, masa tu aku terus pergi je dari dia. Sebab memang sah dia tidak mampu menerima seadanya aku. Bukankah cinta itu bermaksud, menerima pasangan seadanya? Aku ingtkan aku boleh ubah dunia, ubah hati orang, tapi aku silap!!! Aku gagal!!! Tapi aku tak menyesal. Sekurang-kurangnya, aku dah cuba yang terbaik. Aku dah bagi banyak peluang. Jadi aku tak terkilan kalau aku tidak mampu lagi untuk berpaling.
Tuesday, March 19, 2013
Kronologi Cinta Pertama
Jun, 2007:
Pertemuan kali pertama - sama-sama menjalani sesi latihan bagi menyertai aktiviti lasak. Aku dah mula suka padanya. Mungkin cinta pandang pertama kot :)
21 Julai, 2007:
Pertemuan kali kedua - Sama-sama menjalani sesi latihan seterusnya. Mula berhubung menerusi telefon :) oh ya, mula pandai keluar berdua juga. Duniaku serasa indah, penuh dengan bunga-bunga cinta. :)
6 Ogos, 2007:
Declare - menjalinkan hubungan istimewa.
24 Ogos, 2007:
Sama-sama bertolak ke lokasi aktiviti lasak bagi memulakan aktiviti.
September, 2007:
Hubungan mula berkocak dengan soalan yang cukup menghiris hati,
"Awak rasa... Betul ke apa yang kita buat ni?"
"Buat apa?" Tanyaku kehairanan.
"Jalinkan hubungan ni?" Aku terkejut. Sepatutnya, masa ni lagi aku dah undur diri. Sayang punya fasal, ku harungi jua meskipun jalannya berduri. Habis aku yang calar-balar.
Akhir September, 2007:
MF menyepikan diri. Hari lahirku pun tidak diucapkan doa selamat. Tapi dia ada mengirimkan hadiah kepada kawanku, untuk aku. Hati rasa tersiksa merindukannya. Tertanya-tanya, adakah aku ini masih kekasihnya?
Oktober, 2007:
Dia datang beraya di rumah sewaku atas jemputan kakak tuan rumah yang aku tumpangi. Hubungan dingin. Kami tidak banyak bercakap.
November, 2007:
Sama-sama ke "open house" raya di rumah kawan. Mula berbaik kembali.
Sepanjang November, 2007-Oktober, 2008:
Banyak kejadian yang menghiris hati. Hubungan kami berjalan mengikut moodnya. Ada beberapa khabar yang kurang enak yang aku dengar. "MF berkenalan dengan perempuan lain", "MF keluar dengan perempuan lain", "Saya nampak dia keluar dengan sipulan" dan macam-macam lagi. Cuba bayangkan, tengah bercakap dengan aku lewat malampun, masih ada lagi perempuan yang miss call dan call. Penting atau tidak aku ini sampai dia boleh stop berbual dengan aku kejap sebab nak call perempuan tu. Perempuan tu pulak, orang yang aku kenal. Siap boleh hantar balik rumah lagi. Kalau hantar sebagai kawan, bolehlah aku terima, tapi kalau dah dalam mesej ada tulis rindu, sayang dan sebagainya, apa yang nak aku kategorikan tu? Sampai aku dapat berita, mak budak perempuan tu, nasihatkan perempuan tu supaya jangan rapat sangat dengan MF, sebab MF ada aku. Mak budak perempuan tu memang baik dengan aku. Terima kasih makcik kerana kasihankan saya. Akupun tak tahu, macam mana aku masih boleh bertahan. Bukan tak ada lelaki lain yang menghulurkan cinta padaku. Ish, tak faham dengan diri sendiri.
16 Oktober, 2008:
Hari lahirku yang kedua sepanjang bersamanya. Kira OK sikitlah, ada ucap selamat daripadanya buatku meskipun seakan tidak ikhlas. Tapi tetap ada hadiah. Pelikkan? Kalau tak suka, tak payahlah buang duit beli hadiah dan buang masa. Kan bagus kalau dari awal tinggalkan aku agar aku tidak banyak membuang masa bersamanya yang ibarat mengejar bayang-bayang. Tapi... Dia masih juga menyakiti hatiku di hari lahirku seperti yang aku coretkan dalam entri 16 Oktober, 2008 dulu.
Akhir tahun 2008:
MF kerap kali meminta aku top-upkan dia. Aku memang tak berkira sebab, dia selalu top-upkan aku dan selalu juga bagi duit belanja pada aku. Masa tu, gaji aku terlalu rendah. Inilah kebaikan MF tapi tak tahulah, bagi sebab sayang atau sebab kesian. Yang peliknya, dia asyik minta top-up je tapi tak telefon atau mesej akupun. Aku tak sedap hati. Aku berpeluang cek handset dia masa kami jumpa. Waktu tu, dia pergi toilet. Oh, sebelum tu, ada someone call dia. Banyak kali call masuk tapi dia tak nak jawab. Katanya, kawan dia dan dia tak nak diganggu ketika bersama aku. Kan asalnya, aku ni bukan bodoh. So, ingat aku nak percaya macam tu je? Last sekali dia jawab call tu. Tapi dia suruh aku diam. Jangan bersuara. Lagilah bertambah syak wasangka aku. Bila aku tanya siapa, dia kata Syafiq. Bila aku cek, Syafiqah. Akupun apa lagi, dia balik dari toilet, aku desaklah dia. Amat mengecewakan, dia mengaku yang dia menjalinkan hubungan dengan perempuan tu. Tambah menyedihkan, siap bincang fasal pertunangan lagi dalam mesej. Tapi aku yang bodoh ni, masih bagi peluang pada dia untuk berubah bila dia memilih untuk terus bersamaku. Aku selalu mengharapkan dia berubah. Aku amat yakin yang dia adalah jodohku dan suatu hari nanti, dia akan mencintai aku setulusnya.
Mei, 2009:
Aku mendapat tahu bahawa Syafiqah kembali menghubungi MF. Bila aku tanya dia, katanya sayangnya tetap padaku. Tapi aku tak yakin dengan kata-katanya. Aku tak mahu ditipu lagi dan aku tak mahu dia bersamaku sebab kesiankan aku. Aku SMS Syafiqah, bertanyakan tentang hubungannya dan MF. Jawapannya amat menyakitkan hati walaupun dia menafikan hubungan mereka. Penafian juga dibuat untuk hubungan sebelum ni.
Julai, 2009:
Dia mula menjauhkan diri daripadaku. Bila aku menghubunginya, dia pasti akan memarahiku dan meminta aku menunggu dia menghubungiku. Keadaan ini berterusan sehingga hari raya.
September, 2009:
Dia menghubungiku dan kami berbual seketika.
7 Oktober, 2009:
MF memutuskan hubungan kami sepertimana yang pernah ku coretkan dalam entri Oktober, 2009. Aku amat menderita dengan pemergiannya. Tapi, aku bukanlah jenis orang yang suka merayu lebih-lebih lagi dengan orang yang telah membuang aku dari hidupnya. Aku cuba untuk melupakannya.
2 Ogos, 2010:
Dia kembali menghubungiku dan mahu kembali kepadaku. Aku berbelah bagi kerana E mula dekat denganku. Tapi... Sikap E yang seakan tidak serius dan tidak mahu bertemu denganku, membuatkan aku dibayangi kenangan silam bersama MF.
Raya, 2010:
Kami bertemu di suatu tempat yang dijanjikan. MF menyampaikan berita bahawa ibunya telah meminangkan SN buatnya. Dunia menjadi kelabu. Aku akan kehilangan MF selama-lamanya. Tapi sekurang-kurangnya, Allah memecahkan kebuntuanku sama ada mahu bersama MF atau E. Dah takdir, aku dipertemukan dengan dua lelaki yang tidak serius denganku.
16 Oktober, 2010:
Plan untuk menyambut hari lahirku MF batal kerana dia bekerja. Namun, dia memberikan aku hadiah yang amat bermakna.
28 Oktober, 2010:
MF mengatakan, dia malas nak balik kampung. Dia mencadangkan agar kami berkahwin tanpa pengetahuan keluarganya. Katanya, dia masih punya wang simpanan. Tapi aku tak mahu dia jadi derhaka kerana aku. Aku menasihatinya agar pulang, kerana segalanya sudah terlewat. Aku tidak akan merosakkan majlis orang.
29 Oktober, 2010:
Pertemuan terakhir yang diiringi air mata kami. Aku membawa diri ke Perak.
30 Oktober, 2010:
MF sah menjadi suami orang dengan ijab yang dia sendiri lafazkan. SN! kemenangan berpihak kepadamu. Dan aku kalah! Gagal memiliki insan yang aku cintai.
2 November, 2010:
Aku menerima SMS daripada MF mengatakan, dia rindukan aku dan dia tak bahagia bersama isterinya.
6 November, 2010:
Majlis resepsi di rumah MF. Ada kawan-kawan yang menghadiri majlis tersebut. Ada yang tidak menghadiri kerana kasihankan aku.
November-Disember, 2010:
MF masih ingin menjalinkan hubungan denganku. Aku tidak tahu bagaimana lagi harusku nasihati dia dan ingatkan dia bahawa dia kini suami orang. Aku tidak mahu jadi perosak rumahtangga orang. Itupun dah mula kengaran suara-suara sumbang yang mengatakan, aku kacau suami orang. Ya Allah, tolong selamatkan aku daripada fitnah ini. Cuba korang bayangkan, macam mana nak buat, kalau dia datang office dan rumah meskipun dah berkali dihalang?
Januari, 2011:
MF memarahi aku setelah membaca mesej E dalam handsetku. Dari hari itu, kami tidak pernah berhubung lagi sehingga hari ini.
Monday, March 18, 2013
Cukuplah Dengan Apa Yang Pernah Ku Lalui
Entri kali ni, bukanlah untuk menonjolkan kesilapan atau kekurangan sesiapa, jauh sekali untuk mengaibkan orang. Idea kali ni timbul dari soalan seorang reader: "Betul ke dah tak ada rasa apa-apa pada MF?"
Hahaha... Cinta pertama! Tidak ada sorangpun manusia akan melupakan cinta pertamanya. Begitu juga aku yang tulus mencintai dia sehinggakan, aku dibutakan cinta. Masa tengah asyik-masyuk dilamun cinta, semuanya indah. Aku seolah-olah hidup dalam sebuah taman yang penuh dengan bunga-bunga yang sedang berkmebang mekar dengan semerbak harumnya. Sehinggakan aku merasa terlalu bahagia meskipun amat menyakitkan. Aku merasakan, dialah lelaki paling sempurna, paling hebat, paling bagus dan rugi sekiranya aku tidak bersama dia. Lantas, aku merelakan hati ini disakiti, ditipu dan diperbodohkan. Aku membiarkan saja diri ini diperlakukan sesuka hati meskipun keadaan ini amat berbeza dengan perwatakanku. Aku berubah menjadi orang lain seratus pratus. Berpusing 360 darjah! Sampai aku sendiripun tidak mengenali diriku ketika itu. Jadi, kehancuran cintaku yang lalu, adalah berpunca daripada aku sendiri:
a. Mencintai dia sepenuh hati sehingga tidak nampak kelemahan dan kekurangannya.
b. Dari seorang yang punya prinsip dan pendirian sendiri menjadi seorang yang terlalu lembut dan mendengar kata.
c. Dari seorang yang bijak menjadi seorang yang bodoh.
d. Dari seorang yang berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada orang, menjadi seorang yang mudah percaya dan sering memaafkan dan memberi peluang meskipun kesilapan yang dilakukan sering berulang.
e. Sering membiarkan diri dipersendakan walhal aku seorang yang tidak suka memberi peluang untuk orang mempermainkan aku.
f. Sering kalah dalam perdebatan meskipun mempunyai ruang untuk berhujah dan menangkap kesilapan orang.
g. Terlalu takut kehilangan si dia sehingga merelakan diri dipermainkan meskipun aku sebenarnya seorang yang boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung pada orang - sebab tulah orang boleh buat aku macam-macam.
h. Sering lemah dan menangis sedangkan aku sebenarnya seorang yang kuat.
i. Menjadi takut kepada orang walhal aku sebenarnya seorang yang berani kerana benar, takut kerana salah.
j. Berlakon seolah-olah tidak tahu, sedangkan aku tahu aku dicurangi. Walhal, aku pantang orang berbuat demikian kepadaku.
k. Aku jadi penurut kata yang setia meskipun arahan atau permintaan yang dibuat tidak aku sukai sedangkan aku sebenarnya seorang yang berdikari dan pandai membuat keputusan.
l. Aku berubah seratus pratus menjadi orang lain mengikut acuan si dia sehingga aku bukan lagi aku.
Bodohkan???
Bak kata orang, lelaki ni, tidak boleh terlalu lembut dengan mereka, kelak nanti, mereka akan naik lemak dan pijak kepala kita. Begitulah yang terjadi pada aku.
Kesan daripada kebodohan aku di atas:
1. Aku yang sememangnya suka berkawan dan mesra dengan kawan, menjadi jauh daripada kawan-kawan kerana si dia tidak sukakan sesetengah daripada kawan aku walaupun kawan aku baik terhadapku. Sungguh! Aku bencikan hal ini, kerana aku sayangkan kawan-kawan. Oleh sebab itu, aku berkawan secara sembunyi.
2. Aku yang peramah, perlu menjadi seorang yang bukan peramah sebab dia tidak mahu aku berkenalan dengan ramai orang.
3. Aku yang aktif terpaksa menjadi pasif. Maknanya, segala aktiviti lasakku perlu dihentikan sebab dia tak mahu aku terlibat dalam aktiviti lasak kerana risau kalau apa-apa berlaku pada diriku.
4. Aku yang dikurniakan dengan bakat seni seperti menyanyi dan mengacara, tidak boleh melakukan apa yang aku suka atau menonjol dengan bakat kurniaan tersebut sebab dia tidak mahu aku dikenali ramai. Alasannya, biarlah segala keindahan atau kesenianku eksklusif hanya untuknya. Bukanlah nak sangat buat maksiat, kalau tak bagi nyanyipun, bagilah jadi pengacara.
5. Aku tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana kelab dan persatuan, jauh sekali diizinkan memegang jawatan sedangkan aku seorang perempuan yang punya kebolehan untuk jadi pemimpin. Aku sungguh rimas dengan keadaan ini. Aku diperlakukan seperti perempuan bodoh, lemah. Sedangkan aku seorang perempuan yang ada cita-cita dan wawasan. Mungkin padanya, perempuan hanya layak jadi penurut perintah. Sedangkan dia, bebas menyertai aktiviti kesukaannya, berpersatuan dan sebagainya.
6. Aku tidak boleh bercakap baik, melayan apatah lagi berbual dengan lelaki lain. Eh! Dia ingat semua orang nak ambil makwa dia ni ke? Ingat aku ni hebat sangat? Cantik sangat? Bagus sangat? Tak salah berkawankan? Aku mahu baik dengan semua orang. Takkan nak bermusuh? Ingat aku macam dia? Asal berkenalan dengan perempuan je, nak mengorat, mengayat.
7. Aku hanya boleh menerima segala apa yang dilakukan terhadapku. Aku tidak bebas untuk menasihatinya walaupun dalam soal agama, aku tidak boleh menyatakan pendapatku, menegur dan mengkritik. Sebaliknya, aku perlu terima semua kritikan, teguran dan apa saja daripadanya biarpun sebenarnya aku benar dan dia silap dan adakalanya, kritikannya berbaur penghinaan, cacian dan mempersendakanku.
Ya Allah! Betapa lemahnya aku ketika itu.
Aku perlu mengikut semua katanya sedangkan dia, boleh berbuat sesuka hati dan banyak daripada masanya bukan untukku. Bagaimana aku perlu hidup tanpa kawan, tanpa kegiatan yang aku suka sedangkan dia sendiri tidak mengendahkan aku? Kini, aku sendiri tertanya-tanya, macam mana aku boleh lalui masa itu dahulu? Kesimpulan yang dapat aku buat, Aku ketika itu gila! Benarlah kata orang, orang yang bercinta itu gila! Aku tidak waras seperti sekarang. Semuanya kerana kekurangan, kelemahan dan kebodohanku. Jadi, perlukah aku mengulangi saat itu kembali setelah aku kembali kepada diriku yang sebenarnya? Manusia mungkin berubah, tidak terkecuali dia. Tapi hati yang telah disakiti tidak mudah pulih. Perlukah memberi peluang yang entah keberapa kali kepada orang yang sama jika peluang itu diminta sekali oleh orang lain?
Kini, aku adalah aku, mengikut acuanku, berpandukan akal waras dan bimbingan daripada mereka yang sering menyokong aku. Mendorong aku untuk bangkit, cuba menolak aku ke puncak dengan galakan dan nasihat mereka. Aku tenang begini. Menjadi diri sendiri, punya pendirian dan prinsip, bebas melakukan apa yang aku suka mengikut batasan tertentu. Dan aku sedar, betapa aku memerlukan seorang lelaki yang mendorong kepada kejayaanku bukan menghalang peluangku. Aku perlukan seseorang yang menghormati dan memahami aku. Paling penting, menerima apa adanya aku, kelemahan dan kekuatanku, kekurangan dan kelebihanku. Melainkan Allah tetapkan jodohku adalah MF.
Subscribe to:
Posts (Atom)