Tuesday, October 14, 2008

Jika Sudah Tertulis Di Lohmahfuz

Sabarlah hati
Tenanglah jiwa
Usah sedih
Usah resah
Jika sudah tertulis di Lohmahfuz
Pastikan bersatu.

Suara hatiku berbisik. Dengarlah! Dengarlah rintih hiba hati ini. Jika kau tahu hatiku, pastinya engkau kan mengerti perasaan ini.

Berbicara tentang cinta, berbicara tentang aku dan dia... Pasti hati ini sebak. Sebak mengenangkan perhubungan ini. Aku tahu, aku bukan manusia sempurna yang bisa berdampingan dengan orang kenamaan atau kerabat diraja. Lantas, aku memilih dia, orang yang juga sepertiku. Mungkin dia lebih sedikit, kerana masih mampu melihat dengan jelas berbanding diriku yang hanya berupaya mengenal warna dan melihat pergerakan objek tanpa mengetahui dengan tepat sesuatu objek. Sedangkan dia, masih mampu berjalan tanpa bantuan, masih mampu melihat dalam jarak yang jauh. Ya, Allah akan turunkan ujianNya untuk menguji kesabaran kita.

Setahun dua bulan berlalu, pelbagai pahit manis dalam percintaan telah aku dan dia lewati. Kini tiba pada ujian paling genting. Ibu. Ibunya yang mengharapkan menantu yang sempurna, yang boleh memandu kereta, membawa dia ke mana-mana, membantu untuk mengendalikan projek. Apakah kebahagiaan itu terletak pada kesempurnaan lahiriah semata-mata? Bukankah Allah itu Maha Adil? Jika Ia memberikan kekurangan, aku pasti, terlalu pasti yang Dia tidak akan membebankan hambaNya dengan perkara lain. Bukalah minda wahai masyarakat. Kurang upaya penglihatan bukan bererti hilang segala-galanya. Malah, kami juga mampu mengurus rumahtangga dengan baik dan menjadi ibu yang baik. Kami juga boleh memasak, mengemas, menjaga anak dan macam-macam lagi. Kalau kalian tidak tahu, berusahalah untuk mengetahuinya lebih-lebih lagi jika ahli keluarga kalian juga ada kekurangan sebegini. Ingatlah Allah, Dia itu Maha Bijaksana dalam mencipta serta menetap ketentuanNya.

Makcik, percayalah, anak makcik tidak akan terabai jika bersama saya. Saya akui, saya tidak boleh memandu, tapi, orang yang boleh memandu kereta pun belum tentu dapat membahagiakan anak makcik. Orang yang boleh memandu kereta yang dirasakan boleh membantu anak makcik dalam banyak hal pun belum tentu akan menyenangkan hati anak makcik. Kesempurnaan tidak menjamin kebahagiaan hidup kerana tiap yang sempurna pasti ada cacat celanya. Bezanya, kekurangan orang yang sempurna itu tidak kelihatan pada mata kasar. Percayalah makcik, apabila kita hidup berkasih sayang dan penerimaan yang seadanya, yang susah itu pasti akan senang, yang pahit itu pasti akan manis. Kalau makcik tahu hati saya, makcik akan mengerti. Saya tahu, makcik berhak dalam menentukan hidup anak makcik, tapi tak salahkan, kalau kita berkenalan dan saling cuba untuk memahami.

* Abang, kalau abang kuat, saya akan kuat. Semua keputusan di tangan abang.

2 comments:

Anonymous said...

perlu memeriksa:)

Tun Teja said...

Maksudnya? Mohon penjelasan tuan/puan yang budiman.