Monday, October 13, 2008

Zaman Kanak-kanak Yang Indah

Jarak usia aku dan Angah adalah tiga tahun. Kebanyakan dari masa kecilku, aku habiskan di rumah besar kepunyaan moyangku. Aku tinggal di sana bersama Angah, mummy (nenek), Ayah (moyang lelaki), Cik (moyang perempuan) dan seorang pembantu rumah yang dibayar gaji oleh bapaku untuk menjaga aku dan Angah. Abah dan Mama bekerja di satu pejabat yang sama, lebih kurang sejam perjalanan dari rumah moyang. Hari-hari berlalu ku habiskan dengan bermain bersama Angah di rumah yang boleh memuatkan sehinggah 200 orang dalam satu masa. Apa yang kami main? Hmmm... Budak perempuan, mestilah main anak patung dan main masak-masak. Sungguh menyeronokkan walaupun hanya Angah sebagai teman bermain. Puas bermain di dalam rumah, kami bermain di halaman luas rumah tersebut. Berlari ke sana ke mari dan berbasikal tiga roda sambil diawasi oleh pembantu rumah. Kadang-kadang, duduk bersantai di atas pangkin di bawah pohon jambu atau pohon rambutan di sisi dan belakang rumah.

Aku dan Angah tidak kisah apabila tidak dibenarkan keluar pagar meskipun ramai kanak-kanak lain bermain di luar pagar kami. Kadang-kadang, kami berbual dan bermain bersama mereka melalui pagar (macam dalam penjaralah pula). Baik mama ataupun moyangku, mereka tidak membenarkan kami keluar pagar apatah lagi bertandang ke rumah orang. Mereka takut kalau barang di rumah orang yang kami kunjungi hilang dan mereka menuduh kami. Mereka takut kalau kami hilang. Mereka takut kalau kami bercakap yang tidak senonoh kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Ah! Entah apalah lagi yang mereka takutkan, aku pun tak tahu. Pelikkan? Jadi, setiap permintaan kami, mereka penuhi. Mummy yang ketika itu masih bekerja dan aktif dalam UMNO pasti akan membawa pulang buah tangan pada setiap petang untuk kami. Palingsuka mestilah gula-gula.

Bila aku fikir-fikirkan kembali, kenapa baik aku mahupun Angah tidak pernah merengek untuk keluar bebas di luar pagar menyertai kanak-kanak lain. Mungkin pendekatan psikologi yang mereka gunakan berkesan. Tapi... Setiap ahli keluargaku menjalin hubungan baik dengan jiran-jiran dan orang kampung. Tambahan pula, keluargaku merupakan keluarga yang dihormati di kampung tersebut. Mengapa? Aku akan ceritakan pada enteri yang berikutnya.

Apa yang pasti, aku merasakan zaman kanak-kanak yang aku lalui amat indah. Kasih sayang serta belain melimpah-ruah meskipun aku dan Angah taku kepada Mama, Ayah dan Mummy. Ah, Mummy tu, sering memanjakan kami. Tapi bila dia marah, pasti kami tidak berani mendekatinya. Tak perlu dia cubit atau pukul, memandang matanya yang dibeliakkan saja, cukup membuatkan kami kecut perut. Anehnya, kami tidak pernah merasa takut dengan Mummy setelah dia habis memarahi kami. Kami selalu menanti kepulangannya setiap petang dan suka tidur dengannya. Jika Mummy tidak sibuk dengan kerja dan UMNO, Mummy pasti membawa kami bersiar-siar dengan keretanya. Sebelah malamnya, sebelum tidur, Mummy pasti akan bercerita tentang kisah-kisah puteri (cerita rakyatlah tu). Hmmm.... Sampai sekaranglah aku suka berfantasi seperti menjadi seorang puteri hi :) (macam budak-budak kan?)

Abah pula, jika kami tinggal di rumah moyang pasti akan pulang setiap hari (kalau tidak penat) atau setiap minggu (wajib) bersama Mama. Aktiviti wajib yang Abah dan Mama lakukan bersama kami adalah membawa kami keluar shoping. Perkara yang aku dan Angah beli mestilah anak patung dan permainan perempuan lain seperti peralatan memasak. Apa yang best, setiap kali Abah beli sesuatu, tidak kiralah baju atau permainan pasti Abah beli dua, satu untukku dan satu untuk Angah. Abah juga suka beli buku cerita untuk kami. Setelah penat membeli-belah, kami pulang. Makan bersama, menonton televisyen bersama dan semuanya bersama. Tidurpun bersama. Abah mesti di tengah-tengah, aku dan Angah di kiri kanannya. Naik dokong pun bersama. Abah sering mendokong kami serentak, kiri dan kanan. Kadang-kadang, Abah dokong aku manakala Angah naik atas belakang Abah sambil memegang leher Abah dan Abah akan berjalan ke seluruh rumah.

Bila ada masa terluang, Abah akan mengajar kami melukis. Lukisan yang paling aku ingat yang Abah lukiskan aku ialah lukisan anak sungai dan sekitarnya dan lukisan seekor kuda. Puas aku cuba untuk meniru lukisan Abah tetapi tidak berjaya. Aku lantas bosan, dan meninggalkan papan lukis dan peralatan lukis yang lain. Angah? Angah kurang minat lukis-melukis ni. Lepas tu, Abah akan membacakan buku cerita untuk kami. Habis satu buku cerita, Abah ambil pula buku lagu-lagu rakyat dan Abah ajar kami menyanyi pula. Kami akan menyanyi bersama Abah.

Biarpun, tidak mempunyai kawan yang ramai, aku dan Angah menjalani hari-hari kami dengan penuh rasa gembira. Kami juga riang seperti kanak-kanak lain. Siapa orang yang paling memanjakan kami? Ciklah. Siapa yang paling manja? Akulah, Angah tu tidak manja sepertiku. Aku dan Angah mempunyai perwatakan yang berbeza. Aku manja, selalu mengalah, sensitif, mudah terusik dan dengar kata. Tapi Angah, agresif, berdikari, keras hati, tidak mudah terusik, selalu mahu menang dan sedikit kasar.

No comments: