Wednesday, October 22, 2008

Kejar-mengejar Bersama Si Tedung Selar

Pagi itu, Cik sibuk sekali membasuh bahagian dapur yang terletak di bahagian bawah. Bahagian dapur itu agak gelap. Di bawah singki ada satu lubang yang ditutup dengan batu. Lubang itu berfungsi sebagai tempat pengaliran air sekiranya dapur dibasuh. Setelah menjiruskan air ke serata dapur, cik menaburkan sabun pula ke segenap penjuru. Lantas, lantai simen yang telah berbuih putih itu diberus dan disapu. Aku dan Angah sekadar memerhati. Tatkala sabun semakin banyak buihnya, kami keriangan dan turun bermain buih serta air. Setelah dimarahi, kami mencuci kaki dan duduk di atas tangga memerhati Cik melakukan kerjanya. Ayah? Entah ke mana orang tua itu.

Beberapa ketika berlalu, Cik selesai membasuh dapur. Lubang bawah singki dibiarkan terbuka supaya air cepat mengalir. Cik beralih pula ke bahagian rumah yang lainnya untuk menyiapkan kerja berikutnya. Aku dan Angah turut mengikut Cik. Begitulah rutin kami setiap hari. Jika tidak bermain, kami akan ikut ke mana saja Cik pergi untuk melihat Cik mengemas. Kalau bosan, kami akan bermain berhampiran Cik. Terdengar suara ayah lantang memanggil Cik untuk membuka pintu. Entah dari mana Ayah datang. Melihatkan tubuhnya yang berpeluh, mungkin ayah baru selesai menyapu halaman rumah yang luas. Walaupun ayah tidak dapat berjalan dengan betul akibat strok, ayah tetap rajin mengemas laman. Pantang rumput panjang, pasti dicabutnya. Daun-daun kering tidak diberi peluang sama sekali untuk menghiasi laman rumah itu. Semak yang mula menjenguk, pasti akan ditebas Ayah. Huh, rajin sungguh Ayah meskipun usia menginjak senja.

Ayah berehat seketika. Kering saja peluh di tubuh, Ayah mencapai tuala dan terus mandi. Selesai mandi, Ayah berbaring di atas katil. Aku tidak tahu, Ayah hanya berbaring atau tidur. Baik aku atau Angah, kedua-duanya tidak berani masuk ke bilik Ayah. Usahkan menjengah biliknya, bila Ayah ada di rumah, kami tidak berani bermain dalam keadaan bising. Apatah lagi mahu bergaduh.

Cik yang sedari pagi melakukan kerja rumah kelihatan letih. Oleh kerana panas, Cik membentangkan tikar di atas simen dapur dan berbaring. Apa lagi, kami ikut sama berbaring. Akhirnya, kami tertidur. Aku dan Angah terjaga apabila Cik bangun. Kami bergurau seketika. Cik mahu meneruskan kerjanya di bilik air utama rumah yang terletak bersebelahan dengan dapur. Bilik air besar yang mempunyai sebuah bilik kecil dan sebuah perigi mampu menampung ramai orang dalam satu masa. (Alah bilik air dulu-dulu). Angah mengekori Cik memasuki bilik air yang sengaja didedahkan. Cik mula membasuh dengan Angah sibuk mahu menolong meskipun tidak mengerti apa-apa. Masa tu... Aku dan Angah masih kanak-kanak. Sementara aku, masih lagi berbaring di tikar. Aku bangun, naik ke ruang makan. Ruang tengah yang terletak berhampiran ruang makan turutku tinjau. Aku mengambil makanan ringan yang memang selalu diletakkan di atas meja. Setelah memakan makanan tersebut, aku turun kembali ke dapur untuk menyambung pembaringanku.

Sebaik sahaja kakiku memijak tikar, aku terasa ada sesuatu yang lembik di bawah tikar tersebut. Ku pijak sekali lagi untuk memastikan benda tersebut. Ya lembik. Lembik atau liat? Ku hentakkan kakiku dengan kuat. Benda tersebut tetap di bawah tikar. Tidak langsung pecah dengan hentakan kakiku itu. Aku cuba menggosokkan kaki ke atas benda itu. Eh, panjangnya, apa benda ni? Aku dengan lagak penyiasat persendirian yang hebat sedang mencari maklumat bagi menyelesaikan suatu kes misteri, berdiri di atas simen. Hujung tikar aku selak. Eh, apa ni? Ada sesuatu yang panjang, berwarna hitam (tak berapa ingat warna dan coraknya - masa tu aku budak lagi). Benda itu bergerak-gerak kiri dan kanan. Aku terpaku lalu terus merenung benda itu. Aku kaget. Aku cuba menangkapnya, tapi gagal. Nampak seperti ekor sesuatu. Aku tidak puas hati. Tikar yang aku pegang, ku selak makin tinggi. Mungkin... Ini biawak. Tikarku angkat makin tinggi. Tapi mana badannya? Warnanya juga berbeza daripada biawak yang pernahku lihat sebelumnya. Ia terus bergerak. Pergerakannya semakin laju. Aku berfikir sejenak. Kenapa dia tak mahu keluar dari tikar ni? Oh! Aku rasa... Aku pernah lihat benda ni, tapi di mana ya? Oh! Baruku ingat, benda ni macam dalam filem Hindustan. Apa bendanya? Zappppp!!! Dup, dap, dup, dap, jantungku berdegup kencang. Nadiku semakin laju. Darah serasa berhenti mengalir. Sendi lututku longlai. Mukaku bertukar pucat. Tikar yang aku pegang jatuh. Empat anak tangga ke atas ku lompat tiga sambil menjerit:

"Cik, ulaaaaaarrrrrrrr!!!!!!!!"

Cik terhenti melakukan kerja. Angah terperanjat. Aku berada di anak tangga paling atas mengawasi tikar. Aku memandang ke arah Cik dan Angah yang mula pucat.

"Apa dia, Long?" Laung Cik inginkan kepastian. Mataku kembali tertacap pada tikar.
"Ular!" Jawabku ringkas.
"Mana?" Serentak itu, Cik mengangkat Angah yang ketakutan. Ku lihat, Wajah Angah pucat, sama seperti wajahku.
"Bawah tikar!"

Ku lihat mulut Cik terkumat-kamit membaca bismillah. Angah dalam dukungan dibawa lari ke atas berdekatanku.

"Duduk kat atas. Jangan turun," Cik mula menyelak tikar. Tidak ada.
"Mana? Tak adapun?"
"Ada, Along nampak,"

Cik terus mencari. Di suatu sudut, kelihatan ular tadi menyusup masuk ke bawah tong gas yang dialas kekuda kayu.

"Cepat panggil Ayah, Long,"

Tanpa banyak bicara, aku berlari ke bilik Ayah diikuti Angah. Ayah berbaring di atas katil.

"Yah, ular, Yah."

Riak wajah Ayah jelas kelihatan terperanjat.

Dengan susah-payah, Ayah bingkas bangun.

"Mana?"
"Kat bawah,"

Ayah berjalan laju sambil menyeret sebelah kakinya yang lumpuh.

"Mana, Mah? Mana?"
"Sini," Di tangan Cik sudah ada dua batang kayu panjang. Kalau tak silap aku itu galah. Cik menekan kepala ular tersebut dengan salah satu kayu. "Abang Awang pegang kayu ni kuat-kuat, kita nak bunuh dia,"

Kesian Ayah. Dengan kudrat yang tidak seberapa, Ayah gagahkan tangan memegang kayu tersebut. Aku mahu menolong, tapi apakan daya, aku cuma seorang budak kecil. Cik memukul ekor ular itu dengan kuat. Tetapi, pukulan Cik seolah-olah tidak memberi kesan kepadanya. Ekornya dilibas untuk mengelak pukulan Cik.

"Mana boleh pukul ekor. Mana mati,"
"Diamlah, pegang kuat-kuat, kita tahulah nak buat apa," Dah pula dah, dia orang sempat buat drama dalam saat-saat genting begini. Cik terus memukul. Ayah mula letih. Cik beralih ke suatu sudut mengambil besi panjang tetapi lebih pendek daripada galah tadi. Aku dan Angah takut. Takut kalau ular tadi mengapa-apakan Cik kerana besi itu tidak begitu menjarakkan antara Cik dan ular bisa itu.

"Ah! Lambatlah, letihlah," Ayah mula melepaskan tekanannya. Ular bisa itu cuba menarik kepalanya ke bawah tong gas. Ayah beralih ke tangga.

"La, kenapa lepas? Bahaya tahu tak? Cucu (cicit) kita tu dua orang kat atas. Kalau jadi apa-apa?" Cik dengan pantas menghentakkan besi di tangannya ke kepala ular. Hentakan seterusnya menyusul sehingga ular itu tidak bergerak lagi. Tamatlah riwayat sang bisa Si Tedung Selar. Ketakutan segera pergi membawa kenangan cemas.

2 comments:

are mean said...

wah...ular tedung? meremang bulu tengkuk...wakakakak

mlm td baru mimpi ular

Tun Teja said...

Ha, mimpi ular? Kalau perempuan mimpi ular, nak kena pinang. Kalau lelaki mimpi ular maknanya apa? Nak meminang kot. :)