Monday, April 22, 2019

Maafkan Sayang, Abang

Aku tak tahu dia marah atau terasa hati. Tapi rasanya lebih kepada marah. Diakan suka marah. Lepas tu marahnya lama. Kenapalah semua orang yang datang dalam hidup aku ni suka marah lama? Aku bukan seorang yang sempurna. Pasti banyak kesilapan yang akan aku lakukan. Sekarang ni, nak tulis text pun aku fikir panjang. Dia marah ke tidak? Dia merajuk ke tak kalau tulis macam ni? Ya Allah, sebagai orang yang mencintai seseorang, pasti aku tidak mahu dia marah or terasa hati atau merajuk. Semua orang pasti nak happy je sepanjang masa. Macam yang aku tulis dalam entri sebelum ni, lately ni dia cepat marah or merajuk. Mungkin salah aku yang belum arif tentang sikapnya. Pagi ni, berlaku sedikit ketegangan. Tentang kerja aku. Aku percaya kepada setiap sesuatu yang berlaku itu ada asbab. Dan untuk memperbetulkan salah, kita kena tahu apa sebabnya. Dan aku dah terima salah aku dalam melaksanakan tugas tersebut. Dan aku kenal pasti apa sebab jadi macam tu dan aku akan cuba untuk elakkannya selepas ni. Sedangkan dia, tak nak dengar sebab yang aku nyatakan. Lalu, berlakulah ketegangan. Untuk mengelakkan keadaan makin keruh, aku buat keputusan untuk menamatkan perbualan di situ. Kalau aku yang marah, tak apa. Aku boleh control marah aku dan boleh baik Insya-Allah masa untuk aku pulih tak lama. Tapi kalau dia marah, tak tahulah berapa lama. Sehari pun dah cukup lama bagi aku. Aku tidak mahu tambah mengguris hatinya. Tapi pagi tadi, aku rasa marah, marah sangat. Sebab aku yang menghadapinya dan aku tahu apa yang berlaku di sini. Aku lantas ke surau menunaikan Solat Dhuha seperti lazimnya. Ku pujuk hatiku agar reda marah yang bertandang. Aku solat dalam keadaan marah dan aku menangis cuba melepaskan apa yang terbuku di hati. Kalau ikutkan marah, macam-macam yang aku fikir. Dan aku tahu, syaitan sedang menguasaiku. Aku tak mahu dibelenggu syaitan. Tiba-tiba, aku teringat kepada kata-kata seorang ustaz. "Cari sebab, kenapa kita perlu marah? Nabi tak pernah marah walaupun orang mengkhianati baginda. Bila kita marah, kita kena cari sebab kenapa kita perlu marah orang tu. Dia manusia biasa, dia lemah dan dia tak sempurna," Dalam marah, aku duduk berteleku. Aku Tanya pada diri sendiri, kenapa aku perlu marahkan dia? Bukankah dia yang aku sayang? Bukankah dia yang aku pilih sebagai bakal suami? Kenapa perlu marah? Sebab dia ego. Jawab hati. Masih panas. Lantas fikiran menyanggah. Dia tak tahu apa yang berlaku. Diapun tak tahu keadaan sebenar dari akar umbi sehingga berlaku kesilapan hari tu. Hati berkata-kata lagi, kalau tak tahu, dengarlah apa yang aku cakap. Aku perlukan sokongan dia. Fikiran pula menjawab, dia dah tenangkan kau hari tu. Kenapa perlu marah dia? Manusia kan jalan fikirnya berbeza? Sudahlah. Jangan marah. Ingat semua kebaikan dia. Dalam ramai-ramai orang yang hadir dalam hidup kau, dia yang paling memuaskan hati kau. Selalu berlembut, romantic, manjakan kau. Jadi, apalah salahnya jika sesekali kekurangannya terzahir dan buatkan kau marah. Baiknya lebih banyakkan dari yang kurang? Dia selalu cuba memenuhi kehendakmu. Selalu cuba membahagiakan engkau. Apa sangatlah ketegangan sebentar tadi jika dibandingkan dengan cinta dan kasih sayangnya? Sebagaimana engkau tidak mahu dia memarahi engkau dan sepertimana engkau tidak mahu dia marah dalam jangka masa yang lama, sebegitulah juga kau harus lakukan. Hidup ni tak lama. Tak perlulah bersengketa lama terhadap sesuatu yang tidak berfaedah. Hati yang marah sedikit demi sedikit menjadi sejuk. Rasa sayang terus meresap ke dalam jiwa. Engkau pun salah juga Teja, sebab kau marah dia. Aku lantas mencapai telefon bimbitku dan menulis beberapa aksara untuknya. "Abang, sayang minta maaf sebab kasar dengan abang tadi," Aku kirimkan kepadanya. Tak lama kemudian, ku lihat text tersebut telah dibaca tapi sepi tiada balasan. Tak apalah. Mungkin dia sedang marah. Biarlah. Biar dia sorang je yang marah. Aku tak perlu marah-marah. Allah kan ada. Orang yang sabar pasti menang. Cikgu Bakhtiar selalu pesan macam tu. Tak tahulah berapa lama dia nak marah. Tak apalah. Manusia kan ada banyak kelemahannya.

No comments: