Friday, December 21, 2018

Nasihat Yang Membangkitkan Kemarahan

Dua tahun lalu, saat aku jatuh dan kecewa ditinggalkan kekasih hati, aku sering menangis. Prestasi kerja merosot. Gastrik menyerang dan tubuh kurus. Berat badan ketara susutnya sehingga mencecah 45 KG. Tatkala itu, hanya ada tiga orang sahabat perempuan yang menemaniku saban hari menerusi talian telefon. Mereka jauh dariku dan sudah berkeluarga. Namun, Allah berikan mereka kepadaku untuk sentiasa menemaniku menerusi panggilan. Mereka bimbang jika aku melakukan sesuatu yang tidak baik memandangkan aku tinggal seorang kerana housemateku baru saja melangsungkan perkahwinan. Suatu hari, Ayu (bukan nama sebenar) seperti kelazimannya menghubungiku di waktu senggangnya. Seperti biasa juga, aku menangis kepadanya. Mengadu akan kerinduanku dan kasih sayangku yang tidak berbalas malah telah pergi jauh dariku. Ayu: Aku tahu kau kecewa. Tapi, kau tak boleh terus macam ni. Kau kan ada Allah. Kau kena kuat. Aku akan sentiasa ada dengan kau. Aku: Aku cuba Ayu. Tapi buat masa ni, aku tak mampu lupakan dia. Aku letih macam ni. Ayu: Kau kena kuat. Kau mesti lawan perasaan tu. Buat apa ingat kat orang yang dah buang kau. En. Yusri (bukan nama sebenar) kan ada. Mana tahu kalau dia sebenarnya jodoh kau. Aku tergamam. Aku: Eh, apa kau ni? En. Yusri tu suami oranglah. Tak nak aku! Ayu: Kalau Allah kata itu yang terbaik untuk kau. Kau kena terima. Aku: Ayu, aku ni tengah sedih. Kau boleh tak doa yang baik-baik untuk aku. Takkanlah kau nak tengok aku ni kahwin dengan suami orang? Tu menempah namanya. Ayu: Ya Allah, kau ni belajar agama ke tidak? Kau sekolah agamakan? Belajar Munakahat. Darjah khas pangkat satu kan? Apa salahnya, En. Yusri tu baik. Selalu take care kau. Kau up status Facebook pun dia boleh tahu kau OK ke tak. Kau tak jawab call dia, pun dia boleh beza kau tak jawab sebab kau sibuk atau tak jawab sebab kau tak OK. Kalau dia mampu, zahir batin, tak salahkan? Aku: Ayu, boleh tak kau doakan aku dipertemukan jodoh dengan yang baik-baik. Doalah dapat yang bujang ke atau sekurang-kurangnya duda. Bukan suami orang. Ayu: Bukan semua suami orang tu jahat. Kau lagi tahu bab agama ni dari aku. Kalau tak, kenapa Allah izinkan poligami? Kau belajarkan hikmah poligami? Kita ni, suka nakkan sesuatu yang mungkin tak baik bagi kita. Tapi bencikan sesuatu yang baik bagi kita. Siapa yang buat kau kecewa sekarang ni? Duda kan? Yang dulu tu lagilah, bujang. hampeh! Aku: Ayu, kau kena fikir perasaan perempuan lain. Kau pun ada kat tempat perempuan yang orang lain nak rampas suami kan? Aku selalu letak diri aku sebagai first wife. Hancurkan hati bila suami buat macam tu. Ayu: Kes aku lain. Situasi aku berbeza. Takkan kau nak jadi macam orang tu? Kalau ditakdirkan kau tu dengan En. Yusri, jadilah perempuan yang baik. Tak semua yang kedua tu jahat. Kau je yang fikir macam tu. Diri kau, kau boleh control diri kau dan kau boleh pilih nak jadi jahat ke baik. Kalau macam tu, susahlah. Kalau yang suami orang tu lebih ikhlas dari yang bujang dan duda macam kau nak, macam mana? Aku: Dah, dah, dah. Aku tak nak dengar! Aku bukan perampas! Ayu: Aku tak suruh kau rampas. Aku suruh kau jadi share partner. Pelengkap kebahagiaan. Bukan pemusnah. Aku: Dah, dah, dah. Sekarang ni kau doakan aku dapat lelaki yang baik, yang bujang atau yang duda. Ayu: Tak ada, tak ada. Aku doakan kau dapat lelaki yang baik, yang boleh terima kau seadanya, yang sayang kat kau betul-betul, ikhlas dengan kau, yang sentiasa rindukan kau. Yang boleh layan manja kau tu. Tak kisahlah siapapun dia, laki orang ke, duda ke, bujang ke. Yang penting lelaki yang baik. Aku ulang, lelaki yang baik. Yang tak buat kau derita macam ni. Yang buat kau bahagia. Aku: Kalau dah laki orang nak bahagia macam mana. Ayu: Alah, tu kerja Allah. Siapa tahu itu yang buat kau bahagia. Yang kau tak nak. Aku: Dah. Aku malas cakap dengan kau. Tak ada mood. Cuma kau doakan aku macam yang aku cakap tadi. Ayu: Doa aku, mulut aku, suka hati akulah nak doa apa. Aku: Kau tu kawan aku tau. Ayu: Sebab aku kawan kaulah aku nak doa yang terbaik untuk kau. Sungguh aku marah dikala itu. Mulai dari hari itu, aku lebih berhati-hati dengan suami orang termasuk En. Yusri. Mana-mana suami orang yang datang menghampiri, tanpa fikir panjang dan tunggu, aku terus reject. Lantaklah, baik ke, tak ke. Tapi...

Percubaan Dari Apps

OK. Setelah sekian lama tak update blog dari phone sebab apps lama tu tak di update oleh developer, hari ni aku dapat apps baru untuk update blog or apps untuk blogspot.com. Kan blog ada banyak platform. 

So, lepas ni bolehlah update blog dari mana sahaja.


Sebuah Text Dan Satu Panggilan

Alhamdulillah, aku dibangkitkan dinihari ini dengan perasaan tenang dan riang. Betapa aneh perasaan ni. Hanya dengan satu panggilan dan sebuah text, bisa merubah mood ke laut semalam terbang ke awan biru. Setelahku memberitahu bahawa hatiku tak sihat, sepulangnya dari Masjidil Haram, dia menghubungiku. Line elok dan terang. Rupanya panggilan dibuat menerusi talian, bukan Whatsapp. Roaming? Tidak mahalkah? Berapa agaknya bil itu nanti? Setelah bercakap beberapa ketika yang ku kira lebih 10 minit, dia meminta diri bersiap untuk ihram. Seperti yang dibincangkan, tentang text. Aku bangun dari tidur pagi tadi, ada satu text yang dikirmnya lewat malam Malaysia. Terima kasih kerana memahami. Bukan banyak yang aku perlukan. Aku sekadar ingin tahu yang aku dalam ingatanmu. Dan aku akan cuba untuk memberi kenyamanan perasaanmu. Dan pagi ini, Alhamdulillah, aku tenang dan riang di pejabat. Bersemangat untuk memulakan tugas. Aku harap, keadaan ini berpanjang hingga ke petang dan hari-hari seterusnya. Doaku, kau tenang dalam menjalani ibadah di sana.

Thursday, December 20, 2018

Komen Dari Orang Yang Tak Disangka - Kronologi Pertemuan Aku Dan Dia

18 Oktober, 2018. Hari tu aku cuti. Petangnya, aku mahu ke City Biew Hotel, Sepang untuk menginap di sana dengan beberapa orang peserta yang terlibat dalam program di Sabah. Langkah ini ku ambil kerana flight kami awal pagi. So, sejak pagi, aku mengemas luggage yang hendak dibawa. Bila siap, aku sekadar duduk-duduk dan online. Apa lagi, update Facebook dan Whatsapp. Sebenarnya aku baru je pandai update status Whatsapp. Kawan ajar. Hahahahaha.... Bila baru pandai ni, excited dia lain macam sikit. Selalu nak up status hehehehe... Kebetulan, bila saya buka Whatsapp, iPhone saya asyik keluar notice memory full. Benganglah saya. Sayapun updatelah status, lebih kurang berbunyi begini: "Bilalah Celcom ni nak keluar pakej iPhone?" Diikuti dengan emoji sedih. Lebih kurang jam 12.00 something, nada bunyi Whatsapp personalku berbunyi. Ada orang komen status akulah tu. Aku memang set nada bunyi group dan personal tu lain. Kalau group tu lambat buka pun tak apa. Personal ni bahaya sikit. Kadang-kadang hal kerja yang penting so kena buka cepat. Tapi pada masa tu, saya fikir, tak lain tak bukan, ni mesti Amjad yang komen status aku tu. Nak kutuk akulah tu. Tak pun nak ketawakan aku yang selalu terganggu dengan memory full phone tu. Tatkala aku membuka Whatsapp... Eh, Mr. Nice Guy? Pada masa tu aku memanggilnya dengan panggilan rasmi. Kenapa dia Whatsapp aku? Ada pemberitahuan pasal simulasi kot. Tak jadi ke, atau ditangguhkan atau dipercepatkan? Tangguh tak apa. Jangan kata nak percepatkan masa aku kat Sabah. Ke ada apa-apa urusan lain? Tolonglah. Aku malas nak cakap pasal kerja hari ni. Fikiran aku dah melayang ke Sabah ni. Jasad je kat Semenanjung. 'Sian. Teringin ke?' Laaa... Dia reply status aku rupanya. Tak apalah. Cakap pasal kerja, aku bye kan kau untuk hari ni. Duk diam-diam kat office kau tu, 23 hari bulan nanti kita jumpa dan bincang. 'Tak adalah. Saya memang pakai iPhone. Cuma phone saya ni dah penuh,' Itu balasanku tanpa ada niat untuk memanjangkan perbualan menerusi Whatsapp hari tu. Sebaliknya, dia membalas lagi. Dan akhirnya daripada topic iPhone, dia beralih ke topic lain berkisarkan diriku. Aku yang tengah bosan masa tu, layan jelah. Ni pucuk dicita ulam mendatang namanya. Ada orang nak layan sembang aku yang kebosanan ni. Dia pun masa tu masih panggil aku Cik Teja. Lama-lama aku minta dia gugurkan panggilan cik tu. Aku sebenarnya tak suka orang panggil aku dengan panggilan rasmi. Tak best. Aku bukan orang besar pun. Dia pulak minta aku gugurkan panggilan tuan haji di pangkal namanya. Katanya, ramai orang satu syarikat dengannya mendapat haji. Sebab mereka bertugas di Mekah beberapa tahun lalu dan mereka ambil kesempatan itu untuk mengerjakan haji. Lalu aku tukar kepada panggilan encik. Pun dia tak setuju sebenarnya. Tapi aku tak hiraukan. Habis nak panggil apa? Panggil nama? Rasa macam kurang ajar je. Dia lebih tua dari aku. Takkan nak panggil abang? Tebiat apa? Lagipun geli je. Orang yang kita panggil dengan panggilan rasmi lepas tu tiba-tiba nak panggil abang. Bukan kenal pun. Idok le kita. Memang susah aku nak panggil abang kat lelaki ni. Melainkan, pada awal perkenalan tu memang dah panggil abang. Rasa macam entah. Perempuan mengada je panggil abang. Dia cadangkan supaya kami membahasakan diri dengan panggilan I dan you. OK. Yang tu boleh terima. Rasmilah jugakkan? Tapi dia cakap, kalau rasa gatai boleh je panggil abang. Sorrylah ya, Encik abang, tak kuasa kita nak panggil awak abang. Menyampah dan geli rasanya. Bila dia tahu aku cuti dan akan ke office, dia cadangkan agar perjumpaan bersamanya dibuat pada hari tu sebab dia free sepanjang hari tu. Alamak, menggelabah jugaklah aku. Mujur dalam text kami bersembang. Rasa seganlah nak pergi jumpa dia sorang-sorang kat ofis dia. Nanti staff aku pelik pulak apa hal cuti tiba-tiba nak pergi jumpa dia ni? Dahlah dah buat temu janji 23 hari bulan. Pergi sorang memang taklah. Malulah. OK, tak apa. Kita cari helah. Aku bagi tahu dia, yang aku kena ke office lain dulu sebelum ke office aku. Takut tak sempat sebab takut lama di office satu lagi tu. Dia kata OK. Alhamdulillah. Selamat aku. Pada hal, aku pergi office satu lagi tu kejap je. Ambil barang lepas tu kul 4 cam tu dah sampai office aku. Dalam hati sempat berdoa, janganlah terserempak dengan dia kat tengah jalan. Kantoi aku menipu dia. Tapi kan bawa luggage. Aku naik Grab. So, memang takkan terserempaklah kan. Boleh tahan mamat ni. Semalam bukan main serius lagi cakap pasal kerja. Whatsapp pun macam malas layan orang. 'OK see you then,' Hmmmm... Dah cakap macam tu, aku pun balas OK jelah. Ikut hati malas nak balas. Macam orang nak cepat tamatkan perbualan. Tak nak bercakap lebih melainkan hal kerja. Dia ingat, aku nak sangat cakap panjang dalam Whatsapp semalam? Eh, hari ni, dia yang mulakan dan banyak cakap. Kalah aku. Tak sangkalah pulak perbulan menerusi Whatsapp tu berlarutan sampai ke lewat malam. Tapi dia tu jadi macam interviewer, macam-macam dia Tanya aku. Bila aku Tanya dia, dia cakap, biar dia je Tanya aku sebab dia an admire kat aku yang kononnya cekal dan tabah ni heheheehe... OK, tak nak bagi aku Tanya sudah. Aku OK je nak jawab soalan-soalan dia. At least ni salah satu daripada advokasi kan? Hahahahaha... Masih masuk bidang kerja aku. Aku tak tahu pasal dia pun tak apa. Tak penting. Habis simulasi, hilanglah dia ni. Lagipun, dia tak pernah kenal dengan blind. So, peliklah kot. Dah kenal nanti, dia menyepilah. Ada aku kisah? Hidup aku senang je sekarang. Orang dating dan pergi. Siapa nak kawan, kawan. Yang nak pergi, pergilah. Aku takkan haling dan tahan. Aku nak kawan dengan orang yang nak kawan dengan aku je. So, hari tu aku cuma tahu dia X UiTM yang pada zamannya dikenali sebagai ITM. Kira senior akulah kan? Cuma aku di Shah Alam, dia di Dungun. Satu lagi, aku tahu dia orang Pahang. Kat mana aku pun tak ambil pusing sangat. Dia kata dia ada bagi tahu aku daerah mana. Tapi aku tak ingat pun. Hahahaha... Sekarang ingatlah. OKlah. Nanti sambung lagi. Nak buat teks ucapan lagi. Bye.

Tuesday, December 18, 2018

Assalammualaikum Cinta Hatiku

Suatu Sabtu, ketika aku duduk di dalam train menuju ke office, telefon bimbitku berbunyi. Ya, personal whatsapp! Aku dapat mengagak siapa pengirimnya. Saban pagi, dia pasti mengirimkan pesanan buatku. Dengan hati berlagu riang, jemari ku tarikan di atas skrin sesentuh telefon. 'Assalammualaikum cinta hatiku,' Dam!!! Aku terpana. Serasa sejuk kaki dan tangan. Hati berdebar. Perasaan bercampur-baur, suka, sedih dan entah apa-apa perasaan lagi. Ya Allah, betulkah ayat yang ku baca ni? Betulkah dia pengirimnya? Aku mengulang baca ayat tersebut. 'Assalammualaikum cinta hatiku,' Ayat ini, perkataan ini, aksara inilah yang seringku kirimkan buat seseorang yang ku siapkan wilayah istimewa dalam hatiku dua tahun lalu. Namun... Dua tahun lalu, tiada jawapan setiap kali aku mengirimkan ayat ini. Malah, dia seakan enggan menerima ayat ini yang ku kirimkan menerusi pesanan whatsapp. Malah, di blog juga sering aku tuliskan ayat ini buatnya. Masa tu, hatiku sering menangis tatkala tiada jawapan sebaik sahaja ayat ini ku kirimkan. Jika adapun, balasan yang berkisar kepada hal lain bukan soal hati dan perasaan. Aku sering berdoa supaya Allah lembutkan hatinya. Agar dia mengerti kasih sayangku, cintaku hanya untuknya. Dan aku mohon agar Allah tidak memisahkan kami kerana aku benar-benar mencintainya. Aku juga sering mengharapkan agar aku menerima kembali ayat ini atau ayat-ayat yang seumpama dengannya. Aku yakin, Allah Maha Mendengar. Tapi, Allah enggan memakbulkan doaku dikala itu. Kenapa? Hanya Dia saja Yang Maha Mengetahui. Dan hari itu, hari Sabtu yang hening yang ku lupa tarikhnya, Allah menggerakkan hati seseorang yang lain untuk mengirimkan ayat keramat itu kepadaku. Dalam rasa keharuan, aku membalas baik ayat itu. Ya Allah, apakah doaku Kau dengari dan Kau simpan untuk memakbulkannya? Dan kau pilih orang lain untuk mengucapkan ayat keramat itu? Jika benar Kau ciptakan dia baik untuk agamaku dan hidupku, maka Kau tetapkanlah hati kami untuk bersatu dan Kau satukan kami, permudahkan jodoh kami hingga ke JannahMu. Petang itu, ku belek semula chat history yang pernah aku kirimkan dua tahun dulu. Ya, memang banyak ayat itu ku kirim buatnya. Hampir setiap hari. Tapi tiada ucap balas. Dan kini, aku relakan dia pergi.

Monday, December 17, 2018

Wife Saya Tak Nampak

Khamis lalu, buat terakhir kali sebelum dia mengerjakan umrah, kami bertemu. Ada ke tanya aku nak makan kat mana? Aku bukan kisah sangat nak makan kat mana. Mana-mana pun boleh. Katanya ikut aku terasa nak makan apa. Buat masa ni, tak ada teringin lagi. Katanya sudah beberapa kali keluar bersama tapi yang makan dia sorang. OK, aku korbankan dietku Khamis sudah. Pilihan kami Saba' Restaurant, Cyber Jaya. Nasi Arab! Memang berterabur diet aku hari tu. Dahlah nasinya banyak. Tapi sedap. Ketika kami membasuh tangan selepas makan, pekerja restaurant mengemas meja kami walaupun sudah diberitahu yang kami belum habis makan. Dari cakapnya, aku tahu dia marah. So, aku diam sebab ini first time dia marah di hadapanku. Tak tahu bagaimana caranya untuk menangani marahnya. Takut salah cakap, aku pulak yang kena. Pemilik restaurant menghampiri kami dan cuba menyelesaikan masalah kami. "Saya dah cakap, kita orang belum habis makan. Tadi kita orang basuh tangan. Wife saya tak nampak, so saya pergi dengan dia. Tak ada orang kat meja ni," Katanya lancar dan yakin. Daripada diam memerhati kemarahannya, aku tergamam. Betul ke apa yang aku dengar ni? Ke aku berangan? Ke mimpi? Wife dia tak nampak? Bila masa dia ada blind wife? Aku ke yang dimaksudkan? Dia ni biar betul? Sejak bila dia kahwin dengan aku? Aku tak mampu untuk berkata apa. Apatah lagi untuk meminta penjelasannya. Dia ni selalu buat benda-benda luar jangka or surprise. Hadoi, macam manalah hati ni tak bergetar? Tahukah engkau, tidak pernah seorangpun orang yang terdahulu dari engkau memberitahu orang yang aku ini wifenya atau future wife dia? Malah, jikaku tanya sayang atau tidak pun sukar untukku peroleh jawapannya. Aku kaget. Adakah kau sedar apa yang kau ucapkan sebentar tadi? Tidakkah engkau malu memberitahu orang yang wife kau tak nampak? Bisakah kau hidup bersamaku dan perlu mengakui atau memberitahu umum yang wife kau seorang yang tidak dapat melihat untuk sepanjang hayatmu? Tidakkah kau malu memperisterikan orang yang sedemikian? Fikirlah masak-masak. Aku tak mahu kau menyesal nanti. Dan aku tak mahu kau mengungkit kekurangan yang Allah takdirkan buatku ini kelak. Dia tetap bersahaja. Mungkin sedar akan diamku, dia cakap sorry sebab perangai boss-bossnya dah keluar. Aku tak kisahlah perangai boss-boss ke, perangai kuli ke, yang penting kau pamerkan kasih sayang yang tulus ikhlas dari hatimu padaku. Ketahuilah, bahawa aku seakan terdengar nadi cintaku mahu berdenyut kembali.

Aku Seperti Saidatina Aishah

Aku seperti Saidatina Aishah. Malah lebih lagi. Mana mungkin aku seperti insan mulia itu kerana aku diciptakan sebagai insan biasa yang banyak kelemahan serta kekurangan? Pernahkah engkau mendengar kisah bagaimana cemburunya Saidatina Aishah apabila baginda Rasulullah menyebut tentang Saidatina Khadijah? Padahal Rasulullah hanya menyebutnya dan Saidatina Khadijah telah lama wafat. Apatah lagi aku? Tatkala engkau menyebut tentang dia yang kini bersamamu? Perempuan tetap perempuan. Mana bisa lari dari perasaan itu? Masa dan waktu membawa engkau jauh dariku. Lalu rindu indah tapi menyakitkan ini segera mendakap hatiku. Tahukah engkau bagaimana perasaan seorang perindu? Hati berbunga tatkala menerima pesanan dari engkau nun jauh di sana meskipun dalam keterbatasan masa serta kesibukan. Pesanan yang ku tunggu-tunggu sejak petang semalam akhirnya menjelma jua. Tahukah engkau betapa aku gembira menerimanya? Dalam waktu yang singkat serta terbatas untuk berbalas pesanan juga berbual menerusi telefon, bolehkah jika tiada nama lain disebut sewaktu di pesanan mahupun di telefon? Bisakah engkau bayangkan perasaan aku yang ditinggalkan sedangkan engkau bersamanya di sana? Aku faham keadaan kita tapi aku minta untuk waktu ini kerana komunikasi kita sangat terbatas sewaktu engkau di sana. Aku bukan seorang yang sempurna untuk kebal dengan api cemburu ini. Bukan niatku jua untuk membuat engkau serabut dari kejauhan ini. Maafkan aku kerana tak bisa menjadi seperti yang engkau harapkan. Enggan mengganggu ketenangan engkau beribadah, maka lebih baik tidak aku nyatakan sebabnya apabila aku membahasakan diriku dan dirimu bukan dengan panggilan kebiasaan kita. Maafkan aku kekasih kiranya hari ini aku mengganggu ketenanganmu dengan coretan ini. Sungguh aku tidak mahu menyerabutkan engkau dan membuatmu marah. Lalu aku diamkan semua ini meski hati tercalar. Mungkin bagimu ini bukan cemburu yang baik tapi aku insan lemah. Tercuit aku dengan perasaan itu. Sesungguhnya aku rindukan engkau kekasih dan tak mahu ada pergaduhan di kejauhan ini. Lalu aku putuskan untuk tidak menyuarakan hal ini dengan harapan kau akan memikirkan perubahan panggilan itu dan cuba memahami perasaan aku yang ditinggalkan. Bukan salahmu kekasih tetapi salahku yang cepat tersentuh. Tenang-tenanglah engkau di sana. Jangan kau marahi aku dengan kelemahanku ini andainya benar engkau menyayangiku. Aku tidak mahu ada pertengkaran antara kita saat berjauhan begini. Jika engkau membaca coretan ini, aku harap engkau memahaminya dan jangan kau ulangi lagi. Ketahuilah, engkau sentiasa dalam ingatanku yang tidak mampu bersamamu kala ini. Aku sentiasa menantikan kiriman pesanan serta panggilanmu. Sebaik mungkin aku cuba untuk memujuk hati ini atas calaran yang tidak engkau sengajakan tadi.