Monday, December 17, 2018

Aku Seperti Saidatina Aishah

Aku seperti Saidatina Aishah. Malah lebih lagi. Mana mungkin aku seperti insan mulia itu kerana aku diciptakan sebagai insan biasa yang banyak kelemahan serta kekurangan? Pernahkah engkau mendengar kisah bagaimana cemburunya Saidatina Aishah apabila baginda Rasulullah menyebut tentang Saidatina Khadijah? Padahal Rasulullah hanya menyebutnya dan Saidatina Khadijah telah lama wafat. Apatah lagi aku? Tatkala engkau menyebut tentang dia yang kini bersamamu? Perempuan tetap perempuan. Mana bisa lari dari perasaan itu? Masa dan waktu membawa engkau jauh dariku. Lalu rindu indah tapi menyakitkan ini segera mendakap hatiku. Tahukah engkau bagaimana perasaan seorang perindu? Hati berbunga tatkala menerima pesanan dari engkau nun jauh di sana meskipun dalam keterbatasan masa serta kesibukan. Pesanan yang ku tunggu-tunggu sejak petang semalam akhirnya menjelma jua. Tahukah engkau betapa aku gembira menerimanya? Dalam waktu yang singkat serta terbatas untuk berbalas pesanan juga berbual menerusi telefon, bolehkah jika tiada nama lain disebut sewaktu di pesanan mahupun di telefon? Bisakah engkau bayangkan perasaan aku yang ditinggalkan sedangkan engkau bersamanya di sana? Aku faham keadaan kita tapi aku minta untuk waktu ini kerana komunikasi kita sangat terbatas sewaktu engkau di sana. Aku bukan seorang yang sempurna untuk kebal dengan api cemburu ini. Bukan niatku jua untuk membuat engkau serabut dari kejauhan ini. Maafkan aku kerana tak bisa menjadi seperti yang engkau harapkan. Enggan mengganggu ketenangan engkau beribadah, maka lebih baik tidak aku nyatakan sebabnya apabila aku membahasakan diriku dan dirimu bukan dengan panggilan kebiasaan kita. Maafkan aku kekasih kiranya hari ini aku mengganggu ketenanganmu dengan coretan ini. Sungguh aku tidak mahu menyerabutkan engkau dan membuatmu marah. Lalu aku diamkan semua ini meski hati tercalar. Mungkin bagimu ini bukan cemburu yang baik tapi aku insan lemah. Tercuit aku dengan perasaan itu. Sesungguhnya aku rindukan engkau kekasih dan tak mahu ada pergaduhan di kejauhan ini. Lalu aku putuskan untuk tidak menyuarakan hal ini dengan harapan kau akan memikirkan perubahan panggilan itu dan cuba memahami perasaan aku yang ditinggalkan. Bukan salahmu kekasih tetapi salahku yang cepat tersentuh. Tenang-tenanglah engkau di sana. Jangan kau marahi aku dengan kelemahanku ini andainya benar engkau menyayangiku. Aku tidak mahu ada pertengkaran antara kita saat berjauhan begini. Jika engkau membaca coretan ini, aku harap engkau memahaminya dan jangan kau ulangi lagi. Ketahuilah, engkau sentiasa dalam ingatanku yang tidak mampu bersamamu kala ini. Aku sentiasa menantikan kiriman pesanan serta panggilanmu. Sebaik mungkin aku cuba untuk memujuk hati ini atas calaran yang tidak engkau sengajakan tadi.

2 comments:

Kasih Ilham Yasmin said...

bila tiba masanya kelak, awak patut beritahu rasa awak itu. mungkin keadaan sebegitu terlalu awal. andai tepat waktu awak perlu beritahu agar hubungan sentiasa lestari. cemburu memang ada bagi setiap wanita. jika dia seorang yang terbuka pasti dia akan faham. di masa-masa yang ada ketika bersama awak, takkan dia bercerita lagi tentang dia hatta dalam telefon wassap dan SMS. sentiasa ingat jalan fikir wanita dan lelaki itu jauh berbeza dan fungsinya adalah untuk saling menyempurnakan antara satu sama lain.

Tun Teja said...

Alhamdulillah, setakat ni kami memang selalu berkomunikasi. Setelah membaca blog ni, dia faham.