Wednesday, December 31, 2008
Pengumuman Kepada Pengunjung Blog Ini
Perhatian kepada pengunjung blog ini, mulai dari hari ini, para pengunjung bolehlah meninggalkan komen pada mana-mana "post" yang anda sukai. Buat pengetahuan semua, saya telahpun mengubah "setting" pada bahagian komen dan sesiapa sahaja boleh meninggalkan komen di blog ini termasuk pengunjung yang tidak dikenali (unknownnamous). Dengan ini, saya amat berbesar hati dan tidak sabar menunggu komen daripada para pengunjung blog yang tidak seberapanya ini.
Sekian, Wassalam.
Selamat Tinggal 2008
Telah kau saksikan jatuh bangunku selama setahun
Telah kau saksikan linang air mata di pipi ini
Telah kau saksikan gelak tawa dari mulut ini
Telah kau saksikan senyum kegembiraan dari ulas bibir ini.
2008,
Pelbagai peristiwa telah terlakar dalam sejarah riwayatku
Kau bawa bermacam kejayaan dan khabar gembira
Tak terkecuali juga utusan duka dan kesedihan
Walau apapun...
Dalam lingkar waktumu,
Memberiku seribu satu pengalaman
Mengajar aku tentang hidup yang sementara
Agar aku terus dewasa menempuh dugaan mendatang.
Terima kasih, 2008
Meskipun hati ini terasa berat dan belum puas menghirup memori di dadamu,
Labuhkanlah tiraimu
Kerana masamu telah tiba di penghujung mengikut perjanjianmu denganNya
Berilah kesempatan untuk 2009 membuka tabirnya
Aku ingin merasa, suasananya, mencari dan terus mencari sesuatu untuk ku jadikan bekal dalam hidupku,
Menuju alam akhirat.
Salam perpisahan dariku untukmu,
Selamat tinggal 2008
Berangkatlah kau dengan sarat peristiwa dan kenangan insani.
Tuesday, December 2, 2008
10 Tabiat Yang Merosakkan Otak
1. Tidak mengambil sarap an pagi
Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.
2. Terlebih makan
Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.
3. Perokok
Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh menga kibatkan penyakit 'Alzheimer'.
4. Penggunaan gula yang berlebihan
Pengambilan gula secara berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan mengganggu perkembangan otak yang sihat.
5. Pencemaran udara
Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.
6. Terlebih tidur
Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.
7. Menutup muka ketika tidur
Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksid berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.
8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat
Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.
9. Kurang berimiginasi
Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifan otak menurun.
10. Jarang berfikir
Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.
Thursday, November 27, 2008
Sabarmu Ya Muhammad
Betapa peritnya sabar ini
Terlalu pedih hati menatang peritnya
Air mata sering kali berguguran membasuh luka
Sekelumit ujian Allah datang menduga
Aku terkaku
Ah! beratnya ku rasa
Tapi... Bilaku timbang dan ku renung
Tidaklah seberat mana
Melainkan yang diuji itu atas kemampuanku.
Ya Rasulullah,
Aku mengharapkan kesabaranmu yang tinggi
Dapatku warisi biarpun sebesar zarah
Moga indahnya sabar itu dapat ku rasakan dalam nikmat kasih Allah
Seperti yang Dia janjikan meskipun seindah pelangi setelah hujan
Semoga indah itu abadi dalam dakapan jiwa ini selagi hayat memanjat waktu.
Ya Rasulullah,
Saat ini aku terfikir
Betapa cekalnya hatimu menahan sabar yang bisa meruntuh akal waras
Betapa lembutnya hatimu menghulur kemaafan seperti Sungai Nil yang tidak pernah kering
Sedangkan cemuhan dan cacian dihidangkan buat santapan nuranimu saban hari
Engkau tidak pernah marah
Jauh sekali membenci
Biar malaikat menawar kudrat membinasa si durjana
Engkau menghalang lantaran kasihmu untuk umatmu
Oh! Betapa lemahnya imanku
Betapa kerdilnya aku umatmu yang berdosa lagi lemah.
Dengarlah rintih hatiku
Wahai nabi yang maksum.
e
Wednesday, November 26, 2008
En. Ainul Dan LRT
Tiba di LRT, barisan penumpang yang telah panjang di setiap pintu membuatkan aku terus ke gerabak yang agak hadapan kerana di situ kurang panjang baris aturnya. LRT datang, aku cuba memboloskan diri untuk masuk. Oh, tak boleh. Penumpang terlalu ramai. Seorang lelaki memegang lengan bajuku membantu aku untuk masuk. Dia bertanyakan distinasiku. Ringkas jawapanku, "Masjid Jamik". Aku kurang berminat untuk berbicara lanjut. Namun, untuk memaniskan kata, aku bertanyakan pula distinasinya. "KLCC". Entah bagaimana, lelaki itu berjaya menarik minatku untuk berbual dengannya. Dia menukarkan panggilan abang dariku buatnya kepada pakcik. Okaylah, pakcik pun pakciklah. Bagus juga, selalunya lelaki ni lebih suka dipanggil abang. Hmmm... Whatever.
Sepanjang perbualan dengan lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ainul itu, membuatkan resahku menanti LRT terubat. Banyak perkara yang kami bualkan dari kisah kawan-kawannya yang OKU penglihatan sampailah koleksi minyak wangi. Hmmm... Ada persamaan pendapat kami. Daripada perbualan itu, ku ketahui, En. Ainul (nak panggil pakcik macam tak sesuai) seorang general manager di salah sebuah syarikat di Bangunan Getah Asli (teringat Razak Bagindalah pula). Razak Baginda tu senior sekolah En. Ainul. Isterinya pula orang Kelantan, bekerja sebagai setiausaha dan mempunyai dua orang anak, lelaki dan perempuan. Kata En. Ainul, dia tidak suka orang Kelantan tapi berkahwin dengan orang Kelantan tapi, En. Ainul tak suka perempuan Negeri 9. Mungkin sebabnya sama seperti sebab mengapa aku kurang berminat dengan perempuan Negeri 9.
Berbalik kepada cerita kawan-kawannya yang terdiri daripada golongan OKU penglihatan, En. Ainul sebenarnya pernah bersekolah di St. John. Dari situlah dia mula bercampur dengan golongan OKU penglihatan yang sama-sama belajar dengannya. Nama-nama seperti Abu Hassan, Jumaat, Norha dan Zamzuri tidak asing lagi padanya. Lebih-lebih lagi En. Ainul sering lepak di rumah Abu Hassan. En. Ainul juga pernah mendapat pendidikan di Amerika Syarikat pada peringkat Sarjana. Khatijah, seorang perempuan OKU penglihatan yang katanya seorang yang cantik, pernah mencuri hatinya dan mereka pernah menjalinkan hubungan cinta. Nampaknya... En. Ainul datang dari keluarga yang terbuka pemikirannya kerana keluarganya dapat menerima Khatijah seadanya meskipun dia bukan seorang yang sempurna. Perasaanku yang mula mengagumi En. Ainul segera lenyap apabila En. Ainul memberitahu bahawa dia terpaksa membuat pilihan dan dia memilih untuk tidak bersama Khatijah kerana katanya, dia mahukan seorang isteri yang melayannya bagai raja. Dia tidak mahu memasak untuk keluarga, tidak mahu memimpin tangan isteri sebaliknya, dia mahu isteri yang memasak dan memimpin tangannya ketika berjalan. Ops! Sorry! Aku kurang setuju dengan pendapatnya. Lantas, aku cepat memotong cakapnya dengan mengatakan, "Perempuan buta juga boleh memasak. Saya juga memasak." En. Ainul diam seketika, Seketika menjawab, "Entahlah, mungkin masa tu... I masih muda and I have my choices." Senang sungguh kan seorang lelaki mengatakan hal yang sedemikian? Tidak pernahkah mereka memikirkan apa perasaan seorang wanita tulus yang dilukai? Memang lelaki sukar untuk dipercayai lebih-lebih lagi "lelaki normal". Kata En. Ainul lagi, itulah kali pertama dia melihat air mata seorang perempuan buta mengalir. Kesiankan? Tidakkah dia kesian melihat Khatijah ketika itu? Kerasnya hati En. Ainul. Tapi sekurang-kurangnya dia jujur. Dia melepaskan Khatijah sebelum menyiksa jiwa Khatijah lebih lama.
Tak mengapalah En. Ainul, En. berhak untuk menentukan hidup En. Namun tidak adil bagi en. memberi harapan seterusnya melukai hati seorang wanita yang kekurangan. Alasan tersebut adalah alasan yang tidak munasabah sama sekali. Kenapa sebelum melafazkan kata-kata cinta, tidak difikirkan semasak-masaknya? Bukankah itu lebih baik daripada menyakiti hati yang benar-benar tulus mencintai diri kita? Ah! Semuanya tinggal sejarah. Biarkan ia terus tersimpan dalam lipatan riwayat hidupnya. Khatijah, andainya perkenalan aku dengan En. Ainul berlaku pada masa itu, pasti aku akan membela nasibmu, kerana nasibmu adalah nasibku. Hatinya yang buta akan erti cinta itu, akanku cuba sedaya-upaya untuk membukanya.
Perbualan kami terhenti apabila kami melangkah masuk ke dalam LRT setelah bertukar-tukar nombor telefon. En. Ainul mempelawa aku untuk makan tengahari bersamanya di KLCC. Insya-Allah, jika ada kesempatan di celah lorong waktu yang lohong. En. Ainul berharap akan ada pertemuan antara kami buat ke sekian kalinya untuk memberi semangat kepadaku. Ya, jika niat kita ikhlas, Allah akan memakbulkannya.
Beberapa ketika setelah tiba di pejabat, aku leka dengan komputer kesayanganku yang menjadi temanku sepanjang hari. Telefon bimbitku berdering. Entah siapalah yang menjadi pemanggil pertamaku hari ini? Deringan telefon ku matikan dengan menyambut panggilan tersebut. Kedengaran satu suara yang asing bagiku. Dia bertanyakan sama ada aku mengenalinya atau tidak? Ya, aku cam akan suara itu. En. Ainul! Dia ingin memastikan yang aku telah sampai di pejabat. Manakala dia dalam perjalanan ke Kemaman. Sebaris ayatnya buatku tertawa, "Pakcik dia panggil?" Ayat itu diiringi tawa darinya sendiri. Yalah, Ish, En. Ainul ni, tadi kat stesen LRT suruh aku panggil pakcik. Habis nak panggil apa sebenarnya ni? Ah, biarlah. Nanti kalau dia call lagi, aku panggil en. pula. Tengok, apa reaksinya.
Monday, November 24, 2008
Biarkan Aku Terbang Bebas
"Jika dunia aku yang punya
Akanku hiaskan
Sepasang sayap putih nan berseri,"
Oh, tentunya panorama indah alam ini akan ku bongkar dengan penglihatan tajam yang cukup bermakna. Pasti aku akan terus kembara dan kembara sambil terpesona dengan pelbagai pemandangan indah dari pelbagai negeri yang dibuka manusia. Hidupku pastinya tidak sebosan sekarang.