Thursday, July 11, 2019
Peguam Cara
Selasa, 9 Julai, 2019:
MNG bertemu dengan En. Yazid, peguam syarie yang mungkin dilantik sebagai peguamnya untuk urusan mahkamah syarie dan menjawab segala tuntutan dibuat defendan. .
Pada awalnya ingin bertemu di pejabatnya di Bangi. Saat akhir, tukar plan, bertemu di Sunway Putra Mall.
MNG ada bertanyakan kepadaku sama ada mahu ikut sama atau tidak? Ikut hati memanglah nak ikut. Nak tahu jugak serba sedikit tentang mahkamah ni. Tapi bila difikirkan balik, tak perlulah. Takut nanti mereka mahu berbincang perkara-perkara yang menjurus kepada peribadi dan sensitive. Biar orang lelaki berdiskusi sesama lelaki. Kan lebih baik.
MNG memberitahuku serba sedikit isi perbincangan. Ada perkara yang telah kami ramalkan. Kos peguam? Wow! Boleh tahan jugak. Setiap kali mahkamah ada bayaran lain pulak.
Tapi inilah usaha dan ikhtiar kami. MNG bertanyakan pendapatku tentang peguam yang bakal dilantik sama ada peguam di Bangsar atau Yazid?
Aku serahkan pada keselesaannya kerana dia yang akan berurusan dengan peguam. Aku lebih suka dia melantik peguam lelaki. Mudah untuk berbicara. Lelaki lebih faham lelaki kan?
Dan, setelah berfikir, menimbang tara dan menyukat, MNG akhirnya melantik En. Yazid dari Yazid Saat & Associates sebagai peguamnya. So, kita tunggu tuntutan daripada pihak defendan pada 18 Julai depan. Berdebar jugak ni. Takut jugak kalau nak mempertahankan hak yang belah sana, hak aku terabai atau tertindas. Apapun, aku percaya pada ketentuan Allah dan aku percaya kepada kebijaksanaan MNG dalam menangani masalah ini. Semoga kesemua pihak mendapat keadilan dan tiada yang teraniaya. Insya-Allah. Jika kita ikhlas, Allah akan tolong. Jangan takut Teja, Allah sentiasa ada dan pertolongan Allah akan datang pada bila-bila masa, di mana-mana dan pada waktu yang tak terduga. Yakin saja pada kuasa dan kebijaksanaan Allah.
Pinjaman Allah
Terima kasih Allah kerana meminjamkan rasa ini padaku. Rasa cinta, rasa kasih, sayang dan rindu. Aku merasa indahnya perasaan ini tak seperti perasaan yang pernah aku alami sebelum ini.
Terima kasih Allah kerana meminjamkan dia buatku. Dia yang selalu membuat aku rasa bahagia, rasa dihargai, rasa diperlukan. Kenapa hati ini cepat saja tersentuh bila berbicara tentang dia?
Ya Allah, aku tahu dirinya, hatinya, cintanya milikMu Ya Allah. Maka, aku mohon Ya Allah, pinjamkan dia buatku sampai syurga Ya Allah.
Ya Allah, Engkau Yang Maha Berkuasa dan Maha pemelihara . Aku mohon Ya Allah, peliharalah hubungan kami Ya Allah, jangan ada yang memisahkan kami hingga Jannah.
Ya Allah, aku tak mampu menjadi yang pertama buatnya. Oleh itu, jadikan aku yang terakhir baginya.
Amin...
Monday, July 8, 2019
Orang Tak Tahu
Aku juga seperti kebanyakan orang. Bila bercakap bab poligami, aku merasakan isteri pertama tu baik sangat dan dia dianiaya.
Aku juga seperti orang ramai, bila bercakap bab poligami, suami itu jahat sangat. Tak cukup dengan satu, gatal, jahat, menganiaya.
Dan aku masih berfikiran seperti majority orang, bila bercakap bab poligami, yang kedua tu jahat, menganiaya isteri pertama, mempengaruhi suami atau kekasih untuk mempengaruhi isteri pertama.
Namun... Apa yang kita sangkakan itu tak selalunya betul.
Bila aku sendiri dalam situasi begini dan di posisi yang kedua, baru aku tahu bahawa yang kedua itu bukan yang indah-indah je macam yang orang selalu cakap.
Dan bila aku berada dalam situasi begini, baru aku tahu bahawa bukan semua lelaki yang nak berpoligami tu jahat. Bukan semua lelaki yang nak kahwin lagi tu gatal. Bukan semua lelaki yang ada orang baru tu menganiaya isteri.
Pokok-pangkalnya, hati. Tak kiralah kita di posisi manapun, isteri pertama, suami atau kedua, kita yang memilih untuk menjadi yang bagaimana dengan izin Allah.
Aku malas nak komen tentang yang di sana sebab aku tak kenal dia. Jadi, bimbang nanti aku menuduh dan memfitnah. Nanti tambah dosa lagi.
Tapi untuk aku, apa yang aku lalui sebagai orang kedua, walaupun belum menjadi isteri, perkara paling penting yang perlu aku buat adalah mensucikan hati. Bila hati kita bersih, barulah kita boleh redha dengan ketentuan ini. Barulah kita boleh terima yang kita sebenarnya berkongsi. Barulah kita boleh terima yang lelaki yang kita sayang tu bukan hanya ada kita sorang. Perhatiannya perlu dibahagi-bahagikan.
Jadi orang kedua ni juga, mengajar aku erti tabah dan kuat. Bukan sekadar kuat untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang yang kita sayang. Dalam saat-saat genting begini, ada waktunya perasaan kita perlu diketepikan demi orang yang kita cintai. Apapun, dalam semua urusan, kita libatkan Allah. Maka Allah akan bantu kita. Aku sangat yakin dengan ini. Kalau ditanya bagaimana aku boleh melakukannya? Aku sendiripun tak tahu macam mana aku boleh jadi begini. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku tidak menjadi orang yang mengeruhkan keadaan setakat ini.
Pandangan aku terhadap lelaki pula atau kepada dia, aku lihat usahanya untuk memenuhi keperluan kedua-dua pihak. Tapi, dalam waktu-waktu begini, dia banyak teruji keegoan, kesabaran serta kemarahannya. Kadang-kadang aku belas kepadanya. Aku sering katakan sabar, jangan marah, tenang, tapi bila aku renung akan apa yang dilaluinya di sana, aku sendiripun belum tentu mampu bertahan.
Tapi bagaimana harus aku bantu dia? Nak nasihatkan yang kat sana? Jauh sekalilah. Silap-silap nanti aku yang dihentam.
Bila melihatkan apa yang dia lakukan, aku tahu dia cuba untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dan ayah sebaik mungkin walaupun dalam keadaan dia diuji kesabaran dan dicabar egonya.
Aku juga melihat bagaimana dia bersungguh-sungguh untuk menjadikan cinta kami sebagai rialiti meskipun terpaksa mengharungi keadaan yang sangat getir. Itu menunjukkan kasih sayangnya padaku. Bukan bermakna dia mahu mengorbankan apa yang dia ada. Mungkin ada sesuatu yang membuatkan dia jatuh cinta sekali lagi. Kita tak boleh menghukum apa yang kita lihat kerana hal rumahtangga seseorang tu terlalu peribadi. Tambah pula orang lelaki ni kan perahsia. Mana mungkin dia sibuk bercerita di mana-mana tentang perasaannya.
Setakat ini, Alhamdulillah, biarpun kami diuji, perasaan sayangku padanya semakin dalam. Rindu ini setiap hari kuat mencengkam jiwa dan sanubari.
Kali ni, aku rasa aku dan dia telah cuba sehabis baik untuk hubungan ini. Kami berusaha untuk merialisasikannya. Cuma, tinggallah ketentuan Allah sahaja yang masih belum kami ketahui. Semoga Allah izinkan impian kami menjadi kenyataan. Aku ingin sentiasa bersamanya, biarpun tidak sentiasa dia di depan mata. Aku ingin membahagiakannya, ingin dibelai dan dimanja olehnya, ingin membelai dan memanjakannya, ingin menikmati saat-saat romantis bersama, ingin melalui masa-masa duka dan bahagia bersama di dunia dan menjadi ketua bidadarinya di syurga.
Amin Ya Allah,
Tiada tempat untuk aku sandarkan harapan ini melainkan padaMu Tuhan sebaik-baik perancang. Aku memohon kepadaMu, Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.
Rindu Yang Mengamuk
Abang,
Sayang tahu, dikala ini abang sedang lena diulit mimpi. Tahukah abang betapa sayang di sini tersiksa dek kerinduan yang menyesakkan?
Sayang rasa semakin hari, rindu ini semakin tebal untuk abang.
Salam sayang abang,
Sayang saying abang
Saturday, July 6, 2019
Mahkamah Syariah
Allah itu sayang sangat padaku kerana itulah Allah selalu mengujiku dengan ujian yang memberikan pengalaman yang luar biasa dari kebanyakan orang.
Bab cinta dan kasih sayang tidak terkecuali aku diuji.
Seperti yang telah semua maklum, hubungan aku dan dia dalam keadaan genting.
Waktu mula-mula berhubungan dulu, telahku katakan padanya, aku tidak mahu nikah di sempadan. Aku mahu buat di sini seperti orang ramai. Aku tak mahu berbangkit masalah di kemudian hari. Bukan sedikit masalah terhadap diri sendiri tapi anak-anak kelak jika dikurniakan rezeki. Aku jua mahu restu dari keluarga terutama orang tuaku. Paling penting perkahwinanku bukanlah sesuatu yang rahsia. Susah nanti untuk dia berlaku adil dan perlindungan terhadap hakku jua tidak dapat dilaksanakan. Masa dia menuturkan "OK," aku beranggapan, mungkin sekadar OK je kot. Tak ramai suami orang yang berani buka mulut nak berkahwin lagi apatah lagi nak buat mengikut undang-undang Malaysia yang rumit. Ternyata, telahanku salah.
24 Jun, 2019:
Meskipun hubungannya bersama isteri dilanda badai kerana dia berterus-terang untuk berpoligami, dia meneruskan hasratnya dengan hadir ke Mahkamah Syariah Jln Duta untuk urusan permohonan poligami. Mungkin bagi sesetengah orang, tak patut. Tapi pernahkah orang fikir berada di tempat bakal yang kedua? Masa akan dibuang begitu saja. Kalau diikut kata perempuan, sampai bila pun takkan bagi. Majoritinya begitu. Dan sampai bila pulak kami mahu terus mahu berdating tanpa ikatan yang saha? Maksiat pun bila-bila masa boleh berlaku. Ya, orang akan cakap itu alasan. Kalau tak nak maksiat, janganlah dating or berhubungan. Habis korang takkan tak pernah rasa bercinta zaman bujang dulu?
Kami bukan berniat untuk menganiaya. Apalah dayaku lagi untuk mengelak jika takdir telah tersurat? Selama ni aku sering berlapang dada kerana bebas dari situasi begini. Tapi kali ni, aku tak mampu untuk lari dari takdir. Mana ada orang yang nak berkongsi kasih? Bila kalam melakar kisah, aku tak mampu berbuat apa melainkan menjalani ketentuan ini dengan tawakal dan doa.
Kata MNG, dia tak mahu lama-lama begini. Dia juga punya perancangan untukku. Jika dilengahkan, umur makin meningkat. Macam mana dengan kehamilan dan sebagainya? Aku mengakui ada kebenaran dalam kata-katanya.
Petang tu, MNG ambilku di pejabat. Plan nak keluar dibatalkan. Sayu sungguh keadaannya. Dia menangis hiba. Makin bertemu denganku, makin lebat air matanya. Setelah selesai urusan pendaftaran, dia ke masjid Wilayah berhampiran menenangkan fikiran. Namun, air matanya makin lebat saat bertemuku. Isterinya sebut nak berpisah. Dia takut kehilangan anak-anaknya. Beberapa kali dia mengadu sakit. Ya, aku faham. Sakitnya tiada tertanggung bila disebut kata perpisahan.
Aku pada awalnya terkejut dengan kata-kata perpisahan tersebut. Mungkin ini satu jalan untuk isterinya menghalang perkahwinan kami. Aku menasihatinya agar sabar dan kuat jika mahu hal ini menjadi rialiti. Mana ada isteri yang gembira untuk berpoligami? Isteri yang meminta suaminya berkahwin lagi pun menangis bila tahu suami akan berkahwin. Ini pulak isteri yang tidak menyuruh suami berkahwin. Dan, jika dia tak mahu berada dalam keadaan sukar ini, dia harus memilih salah satu. Pastinya aku akan dikorbankan. Fikirku. Siapalah aku di matanya jika dibandingkan isteri yang telah lama bersamanya? Kalau itu keputusannya, aku pasrah. Belas aku melihat keadaannya.
Hari-hari berlalu membuatkan hidupnya berubah. Aku tak salahkan isterinya. Hati remuk-redam, pasti dia akan berubah. Suami juga tidak salah jika memilih poligami. Ada hikmahnya Allah izinkan poligami. Perempuan yang sukar menerima hal ini. Jika aku pun, mungkin aku akan bersikap demikian. Kita sering merasakan apa yang kita ada itu milik kita. Sedangkan, ianya milik Allah termasuk pasangan. Jadi Allah berhak menentukan sama ada milik kita sorang atau perlu dikongsi. Kedudukan sebagai isteri itu sangat pedih menghadapi hal ini. Aku faham. Tapi percayalah, aku hadir bukan untuk merampas. Aku sekadar ingin menumpang kasih. Jangan persoalkan kenapa aku tidak memilih bujang atau duda. Itu adalah ikrarku sebelum ini. Tapi aku lemah, aku tak mampu menentang ketentuan Allah.
Dokumen tiba ke tangan isterinya. Aku juga membaca dokumen tersebut. Dokumen dihantar ke rumah melalui tangan. Itu yang aku difahamkan.
Tarikh 4 Julai, 2019 adalah tarikh sebutan kes. Isterinya hadir ke mahkamah bersama peguam yang menjadi peguam belanya mengikut saranan abangnya. Pun aku faham. Pastinya dia mahu menjaga kepentingan dan haknya sebagai isteri dan anak-anaknya. Namun, aku terus berserah pada Allah. Aku berdoa agar YA hakim dapat membuat pertimbangan sewajarnya dan urusan kami untuk bersama dipermudahkan.
Maka, pada 18 Julai nanti tuntutan akan disampaikan. Tarikh membuat tuntutan diberikan selama dua minggu. Kemudian dua minggu diberikan kepada plaintif iaitu MNG untuk menjawab tuntutan tersebut. Ogos nanti perbicaraan akan berjalan. Ya Allah, tiada kuasa yang mampu menolong kami melainkan Engkau.
Memandangkan pihak sana menggunakan peguam, MNG juga akan melantik peguam untuk mewakilinya. Biarlah orang yang arif dalam hal ini melakukan yang sepatutnya.
Aku mohon agar aku tidak dipanggil ke mahkamah. Aku tidak mahu bersua dengan pihak sana. Aku tidak mahu melukakan hatinya dengan berhadapan denganku. Bimbang berlaku perkara tidak diingini. Aku juga harus berwaspada untuk keselamatan diri.
Tuesday, June 25, 2019
Aku Masih Di Sini
Aku masih di sini, bermesra dengan angin malam yang panas. Bertemankan pengunjung yang lalu-lalang. Dalam gelap malam ini, aku ingin mencari kekuatan. Aku perlukan kata-kata perangsang untuk aku terus teguh berdiri. Sebagai manusia, ada waktu-waktunya, jiwa ini rasa sayu, rasa down. Dan aku perlukan kata-kata semangat. Bukan aku mahu meminta lebih cuma secebis kekuatan untuk aku terus kuat dan menyalurkan kekuatan kepada yang memerlukan.
Di sini terasa damai. Enggan rasanya meninggalkan tempat ini. Aku ingin terus bermenung. Melihat pada diri sendiri. Di mana lemahnya aku untuk aku tampung agar kuat. Dari tangis ini aku mengharapkan berkumpulnya ketabahan yang ku dambar. Jika aku berbicara pada manusia, bimbang disalahertikan lalu keruh keadaan menghambat jiwa. Tabahlah hati untuk membuka lembaran esok yang pasti menjanjikan seribu satu dugaan.
Monday, June 24, 2019
Orang Sabar Pasti Menang
Hari ni, sepatutnya aku bertemu dia. Tapi... disebabkan sesuatu, emosinya terganggu. Kami sekadar bertemu dengan dia mengambilku di pejabat dan menghantarku pulang.
Jika diikutkan hati yang rindu, tak puas aku bersamanya. Tapi, dalam saat-saat begini, aku tak boleh mementingkan diriku sendiri. Apa yang ditanggungnya lebih berat. Segala rasa jauh hati, aku simpan jauh ke sanubari. Apa yang telah dia lakukan sudah cukup membuktikan cintanya padaku. Maka, biarlah dia bertenang. Semoga Allah tanamkan banyak lagi rasa cintanya padaku. Semoga dia mampu untuk melihat apa yang aku lakukan. Semoga dia mampu membaca isi hatiku yang juga memerlukannya, memerlukan waktu-waktu bersamanya. Semoga Allah jauhkan dia dari menganiayaku atas keberalahanku.
Ya Allah,
Aku mencintainya seikhlas hatiku. Maka aku mohon Ya Allah, izinkanlah kami bersama hingga ke JannahMu atas semua usaha, doa serta pengorbanan yang kami lakukan.
Subscribe to:
Posts (Atom)