Wednesday, December 28, 2011

Tak Tahu, Tak Tahu, Tak Tahu

Ketika aku sedang asyik membaca di pejabat petang tadi, telefon di mejaku berdering. Dari nada deringnya, ku tahu panggilan itu dari luar. Panggilan ku sambut. Oh, Abang Zakri. Dia menghubungiku untuk memberitahuku rancangannya pada hari yang dinyatakan tempoh hari. Ah, entahlah. Dia berharap sedangkan aku? Belum tahu lagi. Entahlah.

Tuesday, December 27, 2011

Ku Harus Bagaimana?

Semalam, Abang Zakri menghubungiku. Dia mahu berjumpa aku dan keluar bersiar-siar bersamaku. Dia memberikan masa padaku untuk memikirkan tentang pelawaannya itu. Macam mana ni? Pergi atau tidak? Aku memang nak jumpa dengan dia. Bagiku, dia abangku. Tapi bagi dia? Caranya? Bukan seperti menganggapku adik. Kalau aku keluar bersamanya... Apa perasaan isterinya? Sedangkan, dia amat berharap agar ada pertemuan antara kami. Masalahnya, keadaan dah berubah. Dah tak macam dulu. Tak macam empat tahun lalu.

Apa pendapat korang? Keluar dengan dia atau tidak?

Monday, December 19, 2011

Engkau Yang Maha Tahu

Tuhanku,
Aku tidak pernah main-main dalam soal hati dan perasaan. Namun, mengapa aku seolah sering dipermainkan, Tuhan. Benarkah ucapannya selama ini?

Tuhan, hampir dua tahun usia perkenalan kami. Tapi mengapa dia enggan bertemu denganku? Tuhan, aku sudah penat dengan semua ini. Aku tidak mahu kecewa lagi. Tapi, aku tidak daya menghalang takdirMu dan aku tiada kuasa untuk memaksa dia jujur dan ikhlas terhadapku. Lantas... Aku pasrah padaMu Tuhan. Aku serahkan segalanya padaMu.

Sunday, December 18, 2011

Masihkah Kau Mahu Mengujiku?

Tuhan,

Masihkah Engkau ingin mengujiku dengan soal hati dan perasaan? Ya Allah, kalau dia milikku, maka Engkau bukakanlah hatiku untuknya. Kau eratkanlah kemesraan antara kami. Agar kami sentiasa kekal bersatu hingga ke syurga Insya-Allah.

Tapi kenapa Tuhan? Dia seakan tidak serius denganku. Berikanlah petunjukMu wahai Allah.

Monday, August 29, 2011

Selamat Tinggal Ramadan

Di luar, masih bersisa hujan dinihari tadi. Mungkin... Awan turut menangisi keberangkatan pulang Ramadan.

Ramadan,
Andai dapat, aku ingin terus bersamamu. Lebih-lebih lagi, aku tidak yakin yang aku telahpun mengutip rahmatNya di Bumi Ramadan. Entah dapat entah tidak aku bertemumu sekali lagi.

Ramadan,
Telah tiba waktu yang dijanjikanNya. Waktu untuk Dia mengambilmu kembali. Saat perpisahan aku dan engkau.

Ramadan,
Selagi aku menghela nafas di Bumi ini, aku akan setia menunggumu.

Selamat pulang Ramadan.

Sunday, August 28, 2011

Adakah Dia Dalam Hatiku?

Bila ada lelaki yang menghulurkan salam perkenalan padaku... Aku seakan tidak gembira. Seakan takut. Takut untuk membuka ruang kepada lelaki lain. Aku seolah-olah menyimpan ruang hatiku buatnya. Kenapa? Aku tak faham dengan perasaanku ini.

Monday, August 15, 2011

Pernah Tak???

Pernah tak kau orang rasa, hati berdebar-debar dan rasa malu yang amat sangat bila berhadapan dengan seseorang? Kenapa ya?

Kalau nak kata cinta... Tak mungkin. Sebab aku tak pernah ada perasaanpun pada dia. Habis tu kenapa???

Wednesday, August 3, 2011

Tenang

Tenang, itu yang ku rasakan di saat ini. Moga hari ini terus tenang hingga saat aku lelap malam nanti.

Monday, August 1, 2011

Ramadhan Datang Lagi

Selamat datang Ramadhan, letih sungguh aku menantimu. Datanglah dengan keindahanmu kerana aku rindu akan keindahanmu. Bertebaran rahmat dan berkat di seluruh alam bermula hari ini. Terima kasih Ramadhan, terima kasih.

Tuhan,
Izinkan aku menghirup segala keindahan yang Engkau kirimkan bersama Ramadhan,
Izinkan aku mencium aroma berkat yang Engkau sebarkan bersama Ramadhan,
Jadikanlah Ramadhan kali ini, sebagai Ramadhan yang lebih baik dari Ramadhan yang sudah.

Amin...

Selamat menyambut Ramadhan kepada semua. Marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan amal mulai detik ini hingga kita kembali padaNya.

Friday, July 15, 2011

Bagaimana Hatimu?

Awak,
Saya dah banyak kali dengar ucapan tu dari mulut awak, tapi saya tak nak dengar dari mulut je. Saya nak tahu jujur dari hati awak. Awak jangan ucapkan sesuatu yang awak sendiri tak rasa di hati. Awak jangan cuba lukakan hati saya. Saya takut, kalau saya serahkan cinta saya, awak akan lukakan hati saya.

Awak,
Dah setahun lebih kita kawan, dah nak dua tahun awak. Mula-mula, saya rimas dengan kehadiran awak. Tapi saya belajar untuk terima awak sebagai kawan. Tapi awak anggap saya lebih dari tu sejak mula lagi. Boleh ke saya percaya pada awak? Awak tahu sejarah sayakan? Jadi, awak nilailah hati awak baik-baik, tanya pendapat keluarga awak tentang perasaan awak pada saya dan tentang saya. Saya insan kekurangan. Saya tak nak sejarah silam berulang lagi. Kalau semuanya elok dan awak memang serius dengan apa yang awak ucapkan selama ni, Insya-Allah, saya akan buka pintu hati saya untuk awak. Saya akan terima awak seadanya walau siapapun awak.

Awak,
Kalau ucapan awak selama ni hanya sekadar mainan, hanya untuk berhibur, lupakanlah niat tu. Seterusnya, lupakanlah saya. Pergilah awak jauh dari hidup saya. Sebab... Bila saya mencintai seseorang, saya akan curahkan sepenuh kasih dan sayang saya. Sebab, saya tak pernah main-main dalam soal hati dan perasaan. Kalau awak tak jujur dengan apa yang awak cakap selama ni, hentikanlah. Saya merayu, tolong jangan lukakan hati saya.

Rasa Hati

Ya Allah,
Mengapa hatiku bergetar tatkala teringatkan dia? Adakah dia lelaki yang kau janjikan buatku? Ya Allah, jika benar dia yang kau kirimkan buatku, Engkau suburkanlah rasa cintaku. Jika tidak, hindarilah aku dari merasai perasaan indah itu kerana aku bimbang akan terluka buat kali kedua.

Monday, July 11, 2011

Mengapa Begini?

Mama, Abah dan adik-adik,
Ku rasakan yang kita semakin jauh. Kenapa? Apakah aku ini tiada erti bagi kalian? Mengapa tiada sedikit masapun untuk kita bertemu meskipun kalian ada di sini? Kenapa? Kenapa begini? Aku tak pernah menyangka yang keluarga kita akan jadi begini.

Tuhan,
Engkau telah menguji aku dalam pelbagai ujian, tolonglah Tuhan, jangan ujiku dengan jauhnya keluarga dariku kerana aku amat memerlukan mereka. Tuhan, hanya Engkau yang mampu menolongku. Aku mohon Tuhan, aku mohon padaMu yang Maha Mengasihani.

Doa Seorang Perempuan

Tuhan,
Masihkah Engkau mahu menguji aku dengan derita cinta?

Tuhan,
Jika aku tidak layak dicintai atau mencintai, Kau tutupkanlah hatiku daripada mencintai kerana aku tak sanggup dilukai lagi.

Tuhan,
Jika Engkau tentukan yang jodohku tiada di dunia ini, maka Engkau hindarilah aku dari perasaan cinta, kasih dan sayang terhadap lelaki sepertimana yang dimiliki oleh Hawa, Hajar, Zulaikha, Balqis, Khadijah, Aishah dan Fatimah agar aku jauh dari permainan lelaki.

Tuhan,
Aku bukan minta didampingi oleh lelaki sehebat Adam, Ibrahim, Yusuf, Sulaiman, Muhammad dan Ali tetapi cukuplah sekadar ditemani oleh suami yang menerima apa adanya aku dan mencintai aku dunia dan akhiratnya.

Tuhan,
Seandainya jodohku ada di dunia ini, maka kau suburkanlah rasa cinta, kasih dan sayang sepertimana Engkau suburkan rasa itu di hati Hawa, Hajar, Zulaikha, Balqis, Khadijah, Aishah dan Fatimah agar aku memperoleh kebahagiaan seperti mereka di samping suami tercinta meskipun suamiku kelak tidak sehebat suami mereka.

Tuhan,
Aku dambarkan kasih tulus seorang lelaki bernama suami, bukan kasih lelaki yang penuh dengan kepura-puraan.

Tuhan,
Kau telah mengujiku dengan cinta yang penuh dengan derita, maka kau anugerahkanlah aku dengan cinta yang penuh dengan kebahagiaan agar fitrahku seorang perempuan terisi dengan keredhaanMu.

Tuhan,
Aku telah letih dengan janji-janji yang tidak dikotakan. Maka Engkau kirimkanlah aku seorang lelaki
Yang bisa menenangkan dikala aku resah,
Yang bisa menggembirakan di saat aku kesedihan,
Yang bisa menasihati di masa aku silap,
Yang bisa membimbingku waktu aku tersesat,
Yang bisa mendorongku ketika aku perlukan dorongan,
Yang bisa menggenggam tanganku untuk bangun tatkala aku jatuh,
Yang bisa berkongsi duka andai aku kelukan,
Yang bisa aku memeluknya saat aku gembira,
Yang bisa aku sandarkan kepala ke bahunya bila aku menangis,
Yang bisa hidup hanya bersamaku dan keluarga hingga akhirnya,
Yang bisa membawa aku mencintaiMu,
Yang bisa aku bertemu dan bercinta dengannya semula di alam abadi.

Tuhan,
Kau berikanlah kesabaran padaku dalam menanti kasih seorang suami yang aku dambarkan. Sesungguhnya, aku amat merindui seorang lelaki bernama suami. Amin...

Monday, June 6, 2011

Siapa Itu???

Sebaik sahaja terjaga dari tidur, aku terasa mahu menyambung tidurku kembali. Namun, mata enggan memenuhi kehendakku. Lalu... Aku pun bermalas-malasan di atas katil dalam selimut. Tiba-tiba, telefon bimbitku menyanyi lagu yang aku sendiripun tidak pernah tahu akan lagu itu.

"Siapa yang call aku pagi-pagi buta ni?" Dengan malas, aku menyambut panggilan tersebut.
"Hello, assalammualaikum..." Kedengaran satu suara yang cukup asing di pendengaranku. Aku mengamati suara tersebut.
"Waalaikummussalam," Setelah menjawab beberapa soalan, aku masih tidak mengenali siapakah gerangan si pemanggil. Lalu... Akupun bertanya, "Siapa ni?" Akhirnya si pemanggil memperkenalkan diri:
"Saya Bob,"
"Bob? Siapa Bob?"
"Sebab awak tak kenal tu la yang saya nak kenal awak ni."
"Bob, Bob, nama sebenar siapa?"
"Oh, cakaplah nama sebenar. Saya Zaini. Awak pulak?" Soalan itu ku balas dengan soalan.
"Dari mana awak dapat nombor saya ni?"
"Kawan bagi." Jawabnya ringkas.
"Siapa nama kawan awak tu?" Tanyaku ingin tahu.
"Saya dah janji dengan dia untuk jaga amanah ni,"

Apa-apalah. Siapalah agaknya. Entah-entah orang yang aku kenal kota. Ni mesti nak main-main ni! Mengadalah!!!

Friday, May 27, 2011

Jiwaku Lara

Mengapa? Mengapa kisah semalam masih mengejarku? Hatiku luka lagi. Luka dek kenangan silam yang menghiris. Tolonglah, tolong ubati luka ini. Kenapa dia yang masihku ingat? Sedangkan aku tahu akan hakikatnya???

Tuesday, May 10, 2011

Hidup Dalam Kenangan

Kebelakangan ini, kenangan bersama si dia sering bermain-main di benakku. Tolonglah, aku tidak mahu hidup dalam kenangan yang kadangkala membahagiakan tapi amat menyakitkan bila diingat. Aneh, walaupun telah dilukai, mengapa kenangan yang indah-indah yang sering bermain diingatan? Bukankah bagus kalau yang ku ingat itu kenangan pahit? Biar dia terus lenyap dari hidupku, biar aku membenci dirinya tanpa perlu memikirkannya. Masih adakah aku dalam hatinya? Atau mungkin... Dia telahpun membenciku? Aku bukan sengaja mahu meninggalkan dirinya. Tapi dia yang terlebih dahulu meninggalkanku. Dan... Kehadirannya amat menyiksakanku kerana ada tangan yang telah menggenggamnya. Meskipun hatinya milikku tapi jasadnya? Hakikatnya? Dia bukan milikku. Jadi salahkah aku memulangkannya pada yang hak? Salahkah aku? Aku tahu ianya amat memeritkan bukan hanya padaku tapi baginya jua namun aku terpaksa! Percayalah, hatiku menjerit saat mengambil keputusan ini. Aku bukan pergi kerana sesiapa melainkan keranamu yang telah nekad memilih jalan hidupmu. Landasan kita tidak sama. Engkau di laut, aku di langit. Antara laut dan langit, ada ruang pemisah yang terlalu jauh walaupun adakalanya laut dan langit kelihatan bersatu tapi itu hanya kerana cahaya sedang kenyataannya, jarak kedua-duanya beribu batu. Mana mungkin kitakan seiring memacu kehidupan ini. Melainkan jika suatu masa nanti diizinkan olehNya.

Ada masanya... Aku tertanya-tanya, bahagiakah dia di saat ini? Di saat aku mengingatinya. Adakah dia juga sepertiku? Mengingati momen-momen bersamaku? Atau... Dia telah melupakan segalanya demi perempuan itu? Bukan tidak boleh aku bertanya pada temanku tentang dia untuk merungkai semua persoalanku ini namun... Aku enggan, enggan mengundang masalah dan kelukaan untuk ke sekian kalinya. Jadi biarlah, biar aku tidak tahu apa-apa tentangnya.

Sudah Teja!!! Jangan toleh ke belakang lagi. Jika kau menoleh, pasti kau tidak akan ketemu dengan apa yang kau cari. Bukalah hatimu untuk merasai nikmat cinta sekali lagi. Bukalah hatimu pada dia yang mengejar cintamu. Jangan diingat kisah lalu yang melukakan. Kau tak harus derita atas pilihan si dia yang tidak pernah memikirkanmu. Kau harus bangkit dan mencari bahagiamu sendiri. Tak usah fikirkan bahagia atau derita si dia kerana dia yang memilih jalannya. Kalau bahagia biarkan dia bahagia. Kalau sebaliknya, itu bukan salahmu dan kau tak harus ikut menderita kerana itu tidak adil bagi dirimu kerana itu bukan pilihanmu tapi pilihan dirinya sendiri. Sudah Teja, sudah! Usir semua kedukaanmu. Simpan semua kenangan untuk dijadikan azimat di masa hadapan.

Thursday, April 28, 2011

Perkenalan Pertama

4 Januari 2010, kawanku Lena meminjam telefon bimbitku untuk miss call seseorang. Waktu tu... Pukul 2.00 pagi. Tiada tindakbalas daripada pihak sana. Mungkin orang di sana sedang lena diulit mimpi.

Keesokan harinya... Lena bersama rakannya meninggalkan rumahku. Namun aku tetap berbaring di atas tempat tidurku. Khabar yang dibawa Lena malam tadi mengatakan MF dihantar oleh seorang perempuan ke tempat perhimpunan untuk ke suatu aktiviti benar-benar membuat aku lemah. Tambahan lagi Lena memberitahuku mereka seolah-olah mempunyai hubungan istimewa. Hatiku luka. Luka yang belum sembuh mula membuak darahnya. Aku hanya berbaring dan menangis dari pagi hingga ke petang. Dalam aku menangis, telefon bimbitku berdering. Sungguh cantik nombor yang tertera. Siapakah gerangan pemanggil ini? Hatiku berbisik. Dalam keadaan malas ku kuatkan hati untuk menyambut panggilan tersebut.

"Ada call saya ke pagi tadi?" Tanya si pemanggil yang merupakan seorang lelaki.
"Tak adalah," Siapa yang nak call dia? Orang tengah berduka nestapa ni. Tak ada masalah nak call orang. Marahku dalam hati. Aku bercakap acuh tak acuh.
"Ada, pukul 2.00 pagi tadi," Dia inginkan kepastian. Hah??? Aku tak ada call sesiapapun malam-malam buta macam tu. Lainlah masa MF ada dengan aku dulu. Sejenak ingatanku melayang pada Lena. Oh, mungkin dia ni kawan Lena.
"Ooo... Mungkin Lena kot," Aku mengagak.
"Oh ya ke? Dia ada?"
"Tak ada. Dia dah balik. Call handset dialah," Cadangku. Niat di hati ingin segera menamatkan perbualan.
"Okay," Talian dimatikan.

Keesokan harinya (pukul 4.00 lebih):

Nada mesej di telefon bimbitku berbunyi.
"Awak ni kawan Lena kan?"
"Ya, ada apa-apa boleh saya bantu?" Balasku. Kalau tak silap nombor mamat semalam.
"Tak ada apalah. Boleh saya kenal dengan awak?" Dasar lelaki!!! Tak cukup satu!!
"Kawan biasa bolehlah," Macam mana aku boleh balas macam tu pulakan?

Maka sesi perkenalanpun bermula. Sejak dari hari itu, kami sering berbalas mesej. Namun begitu, aku bimbang sekiranya kehadiranku mengganggu hubungan antara KF dan Lena. Namun KF memberitahuku yang pada mulanya dia memang mahu mengenali Lena lebih rapat tapi Lena enggan. Aku takut sekiranya itu hanya kata-kata ingin mempermainkan aku dan Lena. Lantas, aku menceritakan hal tersebut kepada Lena kerana aku tidak mahu timbul sebarang masalah antara aku dan Lena.

"Lena, aku nak cakap sesuatu ni. Tapi kau jangan marah tau," Aku teragak-agak.
"Apadia? Cakap jelah,"
"Lena... Sebenarnya, KF selalu balas-balas mesej dengan aku," Aku berterus-terang.
"La... Kau ni. Tak apalah. Kenapa?" Tanya Lena padaku.
"Taklah, aku takut kau marah,"
"Eh, aku dengan dia tak ada apa-apalah. Aku tak suka lelaki macam dia tu merimaskan," Lena berterus-terang.
"Kenapa?" Aku ingin tahu.
"Yalah, kalau aku keluar sibuk nak tahu ke mana? Bila nak balik? Dengan siapa? Selagi tak balik selagi tulah asyik tanya bila nak balik. Bosan aku,"

Hatiku senang dengan reaksi Lena. Aku dan KF terus berhubung sampai ke hari ini. KF mahu hubungan kami lebih erat. Lebih dari seorang kawan. Namun... Aku perlu berhati-hati. Aku takut ditipu dan dilukai lagi. Nantilah. Tiba di suatu saat pastinya hati kita akan bersatu dengan izin dari Ilahi.

Cinta? Rasanya cinta tu belum ada. Tapi... Kalau tak mendengar khabarnya, aku terasa sunyi. Tertanya-tanya tentang dirinya. Kalau bergaduh pula... Aku rasa sedih. Tertanya-tanya adakah dia sudah tidak mahu berkawan denganku? Apa makna semua ni?

Semalam berlaku perselisihan faham. Sampai saat ni dia tak call atau mesej aku. Aku call dan mesej diapun, tiada jawapan. Kenapa dengan dia? Kenapa tak jawab? Dia benci akukah?

Ish!!! Kenapa dengan aku ni? Aku tak fahamlah dengan perasaan ni. Nak kata cinta bukan. Habis apa???

Dari Siapakah Aku?

Cinta itu menyakitkan, bisa membuat aku menangis, namun ketiadaannya aku terasa sunyi.

Aku sedar, kerana cinta aku bisa menjadi bodoh, bisa melukakan hati sendiri. Namun tiada cinta, hidupku sepi.

Cinta!
Datanglah. Aku menunggumu di sini bersama hati yang tulus.

Tuhan,
Siapapun lelaki yang bakal kau kirimkan padaku... Aku akan menerimanya dengan redha. Akanku berikan padanya kasih sayang, perhatian, belai manja yang selayaknya seorang isteri hadiahkan kepada sang suami.

Tuhan!
Dari tulang rusuk siapakah aku ini? Aku ingin kembali padanya. Melengkapi hidupnya, menyokong rusuk kirinya yang lohong kerana penciptaanku.

Tuhan!
Kembalikanlah aku pada siapa yang Engkau ambil tulang rusuknya untuk menjadikan aku.

Tuesday, April 19, 2011

Bercakap Dengan Diri Sendiri

Apabila anda tertekan, bercakaplah dengan diri sendiri kerana bercakap dengan diri sendiri merupakan satu terapi pemulih semangat bagi manusia. Mulakan dengan:

1. Aku harus siap menghadapi hidup ini. Apa pun yang terjadi hidup di dunia ini hanya sekali. Aku tidak boleh gagal dan sia-sia tanpa berguna. Tugasku adalah menyempurnakan niat dan ikhtiar. Segala yang terjadi aku serahkan kepada Allah Yang Maha Tahu, yang terbaik bagiku. Aku harus sedar yang terbaik bagiku menurutku belum tentu yang terbaik menurut Allah s.w.t. Bahkan, mungkin aku menuruti keinginan dan harapanku sendiri. Pengetahuanku mengenai diriku atau apa pun amat terbatas sedangkan pengetahuan Allah menyelimuti segalanya. Dia tahu awal, akhir dan segalanya. Sekali lagi betapa pun aku amat menginginkan sesuatu, tetapi hatiku harus ku persiapkan untuk menghadapi kenyataan yang tidak sesuai dengan harapanku. Kerana mungkin itulah yang terbaik bagiku.

2. Aku mesti reda dengan kenyataan yang terjadi. Bila sesuatu terjadi, inilah kenyataan dan episod hidup yang harus aku jalani. Aku harus menikmatinya dan aku tidak boleh larut dalam kekecewaan berterusan. Kecewa dan sakit hati tidak akan merubah segalanya selain membuatkan diriku sengsara. Hatiku mesti menerima kenyataan, namun tubuh serta fikiranku harus tetap bekerja keras mengatasi dan menyelesaikan masalah ini. Apabila nasi sudah menjadi bubur, aku harus mencari ayam, kacang, bawang goreng dan sambal, agar bubur ayam istimewa tetap dapat aku nikmati.

3. Aku tidak boleh menyusahkan diri. Aku harus yakin hidup ini bagai siang dan malam pasti silih berganti. Tidak mungkin siang terus-menerus dan tidak mungkin juga malam terus-menerus. Pasti setiap kesenangan ada hujungnya. Begitupun masalah yang menimpa pasti ada akhirnya. Aku sepatutnya sabar. Aku harus yakin setiap musibah terjadi dengan izin Allah Yang Maha Adil, pasti sudah diukur dengan sangat cermat oleh-Nya dan tidak mungkin melampaui batas kemampuanku, kerana Dia tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Aku tidak boleh menzalimi diriku, dengan fikiran buruk yang menyusahkan diri. Fikiranku haruslah jernih, terkawal, tenang dan profesional. Aku harus berani menghadapi persoalan demi persoalan, tidak boleh lari dari kenyataan, kerana lari sama sekali tidak menyelesaikan masalah, bahkan sebaliknya hanya akan menambah masalah. Semua harus aku hadapi dengan baik. Aku tak boleh menyerah kalah. Mesti segala sesuatu ada akhirnya, walaupun persoalan yang aku hadapi seberat mana sekalipun, seperti yang dijanjikan Allah:

"Sesungguhnya bersama kesulitan itu pasti ada kemudahan."

Janji yang tak pernah dimungkiri Allah.

4. Evaluasi (menilai) diri. Segala yang terjadi mutlak adalah izin Allah dan Allah tidak berbuat sesuatu yang sia-sia. Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Sepahit apa pun pasti ada kebaikan yang terkandung di dalamnya, apabila disingkap dengan sabar dan benar. Harus aku renungkan mengapa Allah mentakdirkan semua ini menimpaku. Boleh jadi peringatan atas dosaku, kelalaianku atau mungkin detik kenaikan kedudukanku di sisi Allah. Mungkin aku harus berfikir untuk mencari kesalahan yang harus aku perbaiki. Setiap kejadian bagai cermin pribadiku. Aku tidak boleh gentar dengan kekurangan dan kesalahan yang terjadi. Cuma yang penting kini aku mengetahui diriku sebenarnya dan aku bertekad sekuat tenaga untuk memperbaikinya. Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.

5. Allahlah satu-satunya penolongku. Aku harus yakin, walaupun bergabung seluruh manusia dan jin untuk menolongku, tidak mungkin terjadi apa pun tanpa izin-Nya. Hatiku harus bulat dan yakin hanya Allahlah yang dapat menolong dan memberi jalan keluar terbaik dari setiap urusan. Tidak ada yang mustahil bagi-Nya, kerana segalanya adalah milik-Nya dan sepenuhnya dalam kekuasaan-Nya. Tidak ada yang dapat menghalangku jika Dia akan menolong hamba-Nya. Dialah yang mengatur segala sebab datangnya pertolongan-Nya. Oleh kerana itu, aku harus berjuang dan berikhtiar untuk mendekati-Nya dengan mengamalkan segala yang disukai-Nya dan

melepaskan hati dari kebergantungan kepada selain-Nya, kerana selain Dia hanyalah sekadar makhluk yang tidak berdaya tanpa kekuatan dari-Nya. Ingatlah selalu janji-Nya: "Sesiapa yang bertaqwa kepada-Ku, nescaya Ku beri jalan keluar dari setiap urusannya dan Ku beri rezeki (pertolongan) dari tempat yang tak terduga. Dan sesiapa yang bertawakal kepada-Ku, nescaya akan Ku cukupi segala keperluannya."
(QS. 65 (At-Thalaq) : 2-3)

Kredit kepada sahabat, pengirim artikal ini.

Hargai Ia Selagi Ada

Jika kamu memancing ikan....

Setelah ikan itu terlekat di mata kail,

Hendaklah kamu mengambil ikan itu....

Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia

Semula ke dalam air begitu saja....

Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya

Ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia

Masih hidup.

Begitulah juga ........

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN

Kepada seseorang...

Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya....

Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja....

Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu

Dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu. ...

Jika kamu menadah air biarlah berpada,

Jangan terlalu mengharap pada takungannya

Dan janganlah menganggap ia begitu teguh....

Cukuplah sekadar KEPERLUANmu. ..

Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menampalnya

Semula.... Akhirnya ia dibuang....

Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat

Dipergunakan lagi....

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang,

TERIMALAH seadanya....

Janganlah kamu terlalu mengaguminya

Dan janganlah kamu menganggapnya begitu ISTIMEWA....

Anggaplah dia manusia biasa.

Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. ...

Akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.

Sedangkan

Jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi...

Yang kamu pasti baik untuk dirimu.

Mengenyangkan. Berkhasiat.

Mengapa kamu berlengah,

Cuba mencari makanan yang lain..

Terlalu ingin mengejar kelazatan.

Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya.

Kamu akan MENYESAL.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan.....

Yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu.

MENYAYANGIMU. .. MENGASIHIMU. ..

Mengapa kamu berlengah,

Cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain.

Terlalu mengejar KESEMPURNAAN.

Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain..

Kamu juga yang akan MENYESAL...

Terima kasih kepada sahabat yang mengirimkan email ini.

Kepada pembaca, bersama-samalah kita belajar menghargai orang yang benar-benar tulus mencintai kita.

Thursday, April 7, 2011

Siti Nurhaliza - Badarsila

Bagaikan di lentur sutera
Mentari meminjam sinarnya
Bagaikan di suluh hatinya
Menetap di persada

Bagaikan diseru rindunya
Di awan tersembunyi wajahnya
Bagaikan di risik malunya
Tersingkap di hamparan... (indahnya)

Cahaya
Melingkar singgahsana
Badarsila
Bagaikan angin syurgawi
Melindungi cinta suci

Sampai keresahan
Dari jiwaku keliru
Moga dilimpahi
Rindumu selalu

Sinar menerangi
Terasa dingin bak salju
Lamaran nurani
Menyentuh hatiku

Suara kau bisikkanlah
Di langit tujuh ku berdiri
Rindumu menggamit jua
Merentang bagaikan pelangi

Suara kau dengarkanlah
Kesumaku merintih duka
Wasilah mu menyentuh jiwa
Restu mu bagaiku bermimpi

Resah... terungkai...

Titisan embun tersusun
Berangkai emas bertitik
Jalanan gundah gulana
Menghemburkan hujan

Naluri tersentuh
Dipandang ke langit nan ringan
(Sejambak) kasih menguntum
Genderang kehidupan

Kasih... melingkar keresahan
Cinta suci... bagaikan angin syurgawi...

Cahaya
Limpahkanlah sentuhan sinarnya
Seluruh alam

Kan kudaki merentasi menyusuri
Kepadamu tuan... indahnya

Cahaya
Melingkar singgahsana
Badarsila
Bagaikan angin syurgawi
Melindungi cinta suci

Sinarkan... Badarsila

Aku suka lirik lagu ni. Indah dan puitis.

Thursday, February 3, 2011

Keseorangan...

Duduk sorang-sorang kat rumah. Malas nak memasak, order dua menu MC Donald. Satu untuk makan tengahari dan satu untuk makan malam. Malaskan???

Monday, January 31, 2011

Malas...

Malasnya rasa hari ni. Mood cuti dah melanda ni. Rasa malas nak buat apa-apa kat pejabat ni. Tapi dah tugas nak buat macam mana. Buat jelah apa yang patut.

Friday, January 28, 2011

Blind Map

Bagi penduduk sekitar Kuala Lumpur pastinya tidak asing lagi dengan garis timbul kuning yang terdapat pada sesetengah kaki lima dan pembahagi jalan. Aku tak tahu mereka tahu atau tidak kenapa garisan tersebut dibuat. Aku rasa... Ramai yang tahu tapi buat-buat tak tahu. Garisan tersebut dibuat bagi memudahkan Golongan Kurang Upaya Penglihatan untuk berjalan. "Bukan untuk orang normal berjalan di atasnya". Tapi yang aku pelik, kebanyakan orang normal yang bekerja bagus-bagus dan datang dari pendidikan yang tinggi dan pelbagai latarbelakang lagi suka menggunakan garisan tersebut untuk berjalan. Kalau suka berjalan atas tu tak apa lagi, ni dahlah berjalan atas garis tu, biarkan pula OKU Penglihatan berjalan di bawah. Bila bertembung, yang tak nampak pula yang kena bagi jalan, dia orang yang mata terang tu sedap-sedap berjalan kat atas tu. Apa punya oranglah? Tak ada hati agaknya. Atapun tak ada fikiran. Dahlah malas nak tolong orang tak nampak, kemudahan yang disediakan untuk orang tak nampak pun nak digunakan. Apa yang mengecewakan, orang tak nampak pula yang kena mengalah dan mengelak seta membiarkan mereka menggunakan garisan tersebut. Mana perginya konon "Orang Malaysia" prihatin dan penyayang? Langsung tak ada budi bahasa dan timbang rasa. Bila orang senaraikan orang Malaysia di senarai bawah darisegi budi bahasa semua marah, semua melenting. Usahkan dengan pelancong asing, dengan orang Malaysia sendiri yang lebih kurang daripada merekapun, tak boleh nak bertimbang rasa. Dahlah malas menolong, semua kemudahan untuk OKU dia nak guna. Tak ada akal apa? Inilah kononnya masyarakat yang bertamadun dan menuju kemajuan. Jangan harap Malaysia akan maju kalau pemikiran rakyatnya masih ditakuk lama. Lebih-lebih lagi Bangsa Melayu. Siapa yang banyak tolong OKU? Bangsa asing lebih teruk lagi, pelancong asing. Bukan aku nak mengata bangsa sendiri tapi itulah hakikatnya. Inilah salah satu sebab Orang Melayu susah nak berjaya. Sebab sikap dan pemikiran. Tapi aku tak nafikan, ada juga bangsa Melayu yang bagus, yang tolong sampai akhir, tapi pratusnya kurang berbanding bangsa asing.

Pagi tadi misalnya, aku berjalan di atas garis kuning ramai orang normal yang juga berjalan di atas garis tersebut dan datang dari arah berlawanan. Aku yang kena mengalah. Keadaan ini dah menjadi rutin. Hari ni... Kebetulan "mood" aku kurang baik. Jangan harap aku nak mengalah. Mula-mula tu mengalah juga, ah! Melampau dah ni! Ada pulak sorang perempuan tu datang pada aku,

"Kak tepi sikit. Ada orang depan tu, nanti langgar,"
"Ini blind map," Jawabku tegas. Wah! Melampau, dah golongan dia yang jalan atas kemudahan OKU dia suruh aku pulak ke tepi. Patutnya, dia suruh yang nampak-nampak tu ke tepi, bukan aku! Tak ada fikiran agaknya!

Beberapa minggu lalu lagi best! Aku berjalan atas garis kuning. Tiba-tiba sorang perempuan yang juga berjalan atas garis kuning yang datang dari arah berlawanan menolak aku turun dari garis kuning dengan katanya,

"Ada orang kat depan ni, tepi sikit ya?" Wah!!!! Cukup, cukup melampau!!! Patutnya dia yang ke tepi bagi laluan pada aku tapi tak, dia pula yang suruh aku yang tak nampak ni ke tepi. Memang cukup-cukup melampau orang Malaysia ni. Itu belum dikira adegan tolak-menolak nak masuk LRT dan lain-lain. Ramai juga si jejaka-jejaka sihat tubuh badan dan sempurna sifat yang biarkan OKU, ibu mengandung dan orang tua berdiri dalam LRT. Dia sedap-sedap duduk! Saja buat-buat tak nampak. Yang best tu buat-buat tidur dan baca something. Memang tak ada perikemanusiaan langsung! Macam ni ke nak jadi ketua keluarga? Nak jadi pemimpin? Tak payahlah! Sekali lagi, Orang Melayu kitalah yang kebanyakannya yang buat macam tu. Sedihkan? Kata Melayu tinggi adat resam dan susilanya tapi ke mana semuanya tu? Apakah Hang Tuah atau Tun Fatimah dan yang lain-lain lupa nak wariskan budi bahasa dan susila mereka kepada kita?

Renung-renungkanlah

Wednesday, January 26, 2011

Mimpi Yang Melukakan

Malam kelmarin... Aku bermimpi tentang dia.

Mimpiku... Dia masih enggan untuk melayan perempuan itu sedangkan perempuan itu cukup bahagia bersamanya dan cuba mengambil hatinya agar dapat memenangi hati itu.

Ya Allah, benarkah mimpi itu? Atau... Mainan syaitan? Sudahnya, sepanjang hari semalam, jiwaku yang tak keruan. Sudahlah Teja, jangan ditambah sengsara pada jiwa sendiri.

Hari-hari Yang Terlewati

Hari-hari yang terlewati kini suram. Sesuram langit di musim tengkujuh. Biarlah, biarlah aku di sini. Tanpa dia, tanpa cintanya. Sesungguhnya aku letih dengan apa yang berlaku. Sudah lama dia tidak menghubungiku. Mungkin dia nekad meninggalkanku atau mungkin menghormati keputusanku. Atau juga marah padaku. Mungkin juga merajuk dengan apa yang ku perkatakan. Bukan tidak mahu memujuk tapi aku bimbang keadaan menjadi semakin keruh. Biarlah apapun alasannya, aku tidak mahu tahu. Cukuplah segala luka yang kau guriskan di hati ini. Bukan aku membenci tapi... Kita harus berpijak pada bumi nyata. Kita harus akur dengan takdir Ilahi. Kejamkah aku? Kejamkah aku atas tindakanku ini? Bukan aku tidak mahu berada di sisinya tatkala dia sengsara tetapi hatiku lebih sengsara. Bukan tidak mahu mengharung susah-senang bersama tapi dia milik orang. Dia harus pergi pada yang hak. Meskipun hatiku menjerit tidak rela ianya terjadi, namun aku harus pasrah pada ketentuanNya. Siapa aku yang mahu melawan kehendakNya? Mengaku Islam tapi tidak redha dengan hakikatnya, wajarkah? Tidak! Aku tidak mahu menjadi hambaNya yang alpa. Entah berapa nikmat dan rahmat yang Dia berikan padaku. Takkanlah sedikit ujian yang didatangkan untuk menguji garis keimanan di hati, aku mengjadi ingkar? Nauzubillahi min zalik. Aku tidak rela menjadi kebencianNya. Biarlah aku tersiksa kerana kehilangan cinta makhluk tapi aku gerun akan kehilangan cinta Khalik.

Rindu yang masih basah sesekali mendesakku menghubunginya. Ah! Biarlah! Biarlah ku pendam rindu ini. Semoga ada bahagia yang menanti di hadapan. Bukankah sesudah derita itu bahagia? Itu kata Ustaz, pensyarah semasa aku di IPT dulu. Kata-kata itu diluahkan saat aku meminta pandangannya tentang masalah yang melandaku dua bulan lalu.

MF,
Bukan aku tak mencinta, bukan aku tak merindu. Kiranya ini dikira satu pengorbanan, biarlah aku melakukannya. Bukan keranamu apatah lagi kerana perempuan itu! Tapi kerana Allah. Jika diikutkan hati, pastiku rampas kembali kau dari dia keranaku tahu cintamu masih milikku. Kalau diikutkan perasaan, inginku hancurkan harapan perempuan itu yang tinggi menggunung untuk bahagia bersamamu. Biar dia rasa bagaimana sakitnya hati apabila insan yang dicinta disambar orang. Inginku hancurkan mahligai yang telah dibina, biar dia rasa bagaimana sengsaranya tatkala diamuk kedukaan. Biar! Biar dia jatuh tersungkur menyembah bumi atas kekalahannya yang kononnya dia sempurna segalanya jadi dialah yang harus kau pilih menjadi surimu akhirnya kalah jua denganku yang kekurangan ini. Biar dia saksikan kemenanganku pada saat itu yang tak perlu bersusah-payah berusaha sepertinya untuk memiliki hati dan cintamu. Biar dia tahu yang aku tidak perlu bersusah-payah meraih sokongan ibu dan keluargamu untuk menjadi permaisuri di singgahsana hatimu. Biar dia tahu yang aku tidak perlu memaksa dengan pelbagai cara untuk kau menikahiku seperti kau menikahinya. Biar dia tahu yang aku tidak perlu melakukan pelbagai helah untuk memiliki jasad dan jiwamu. Biarku ajar perempuan yang begitu lancang menyuruh kau melupakan aku kerana kononnya bersamanya kau akan mengecapi kesenangan. Biar dia sedar akan hakikat hidup bahawa kesempurnaan zahir tidak semestinya hebat! Biar dia sedar, langit itu tinggi, bukan rendah yang boleh digapai dengan tangan. Biar dia berputih mata melihatkan kemenanganku. Biar ibumu jua sedar bahawa perempuan cacat ini terus bertakhta di hati anaknya. Biar ibumu tahu langit itu tinggi atau rendah! Biar ibumu tahu bahawa aku yang kekurangan ini mampu membahagiakan anaknya dan seterusnya dirinya sendiri. Tapi kerana Allah yang menghendaki semua ini berlaku, aku harus redha. Redha menerima hakikat ini. Siapalah aku mahu membalas segala apa yang orang lakukan padaku? Aku juga makhluk seperti mereka. Lantas padaNya ku serahkan segalanya. Ku kutip serpihan cinta makhluk yang musnah. Ku himpunkan kembali cinta itu. Dalam deraian air mata, ku cantum semula. Di sebalik cinta Ilahi, ku cuba ukirkan cinta itu, biar ia kembali indah, kembali menyerlah dan kembali berseri tatkala tiba masanya. Akanku hadiahkan pada seorang lelaki yang akan dihantar kepadaku oleh Tuhanku kelak. Insya-Allah.

Sunday, January 16, 2011

Bukan Tidak Mencinta

MF,

Maafkan aku andai keputusanku ini membuatmu terluka. Sesungguhnya, aku lebih menderita tatkala kau meninggalkan aku. Dan sesungguhnya aku terlalu sengsara apabila kau menyatakan kesanggupanmu untuk menikahi dia kerana ibumu.

MF,
Andai jalan ini yang kau pilih, maka tunaikanlah tanggungjawabmu seadanya sebagaimana kau sanggup menerima dia sebagai isterimu. Jadikan cinta kita sebagai sejarah yang terindah untuk ditelusuri di celah-celah masa yang luang. Aku tidak sanggup merampasmu daripada dia, isterimu yang sah. Meskipun hakikatnya dia merampasmu dariku tatkala cintaku hangat membara. Aku tak rela menjadi perosak rumahtangga orang walaupun rumahtangga itu dibina atas kehancuran cintaku.

MF,
Percayalah, aku juga tersiksa saat membuat keputusan ini. Namun aku akur akan perjalanan takdir. Jiwaku lara ingin meninggalkanmu yang tersiksa dengan kehidupanmu kini. Tapi apakan daya, itu lebih baik daripada aku memporak-perandakan rumahtanggamu. Dan aku juga perlu belajar menghargai sekeping hati yang mengharap padaku, yang belum pernah mengecewakanku. Aku pun tak pasti... Tapi aku harus bangkit dengan hidup baru. Percayalah, keputusan ini ku ambil bukan kerana dia, tapi kerana dirimu yang bergelar suami orang.

MF,
Percayalah, ku lakukan ini bukan kerana aku tidak mencinta. Tapi cintaku adalah cinta yang berlandaskan takdir Allah. Sebenarnya kau yang memilih jalan ini, bukan aku. Jadi jangan salahkan aku atas apa yang berlaku. Engkau tidak tegar mempertahankanku saat kau mengatakan cintamu hanya milikku. Apalah ertinya cinta jika tiada keberanian? Akhirnya... Aku tersiksa dan kau juga tersiksa. Aku tersiksa kerana keputusan yang kau buat, keluargamu, perempuan itu dan keluarganya. Kerana inginkan kehendak masing-masing menjadi rialiti, aku harus menjadi korban akan cita-cita kalian. Dan engkau? Engkau hanya menurut tanpa cuba untuk bertahan. Dan kini... Kau kata kau tersiksa. Tersiksa kerana terjerat dalam keputusan yang engkau sendiri memilihnya. Kini... Kau ingin pertahankan cinta kita yang telahpun musnah. Musnah di tanganmu sendiri. Segalanya sudah tak berguna. "Nasi sudah menjadi bubur" dan untuk aku merampas kembali masa yang terlewati dan menegakkan semula cinta yang telah punah... Tidak! Tidak mungkin kiranya aku perlu melumuri tangan ini dengan merah darah yang tak terlihat. Mana mungkin aku menyakiti hati kaum sejenisku biarpun dia telah menghancurkan hatiku. Pesan ibu, jangan rampas kekasih atau suami orang, kelak... Orang akan rampas kebahagiaan kita. Pesanan keramat itu tersemat kukuh di hati ini. Semoga Allah teguhkan hatiku mengikut pesanan tersebut.

MF,
Mengapa sampainya hatimu mengatakan aku lupa pada janji? Sedangkan aku bermati-matian mempertahankan janji meskipun engkau menyakiti hatiku. Bukankah telah aku nyatakan, setelah engkau meninggalkanku, jangan diharap apa-apa lagi daripadaku. Aku juga telah menegaskan bahawa aku tidak berjanji apa-apa. Aku tidak akan menunggumu lagi kecuali Allah mentakdirkan engkau untukku. Mengapa bicaramu seolah-olah menyalahkan aku apabila ada insan lain berusaha untuk memilikiku? Sedangkan engkau telah mempersiakan peluang yang ku beri. Bukan sekali, Mf. Tapi tiga kali. Adilkah untuk aku memberi peluang sekali lagi sedangkan tiga peluang telah engkau sia-siakan dan engkau juga suami orang? Engkau tidak pulang ke rumah atas alasan kerana cintamu terhadapku. Sedangkan aku menyuruh kau pulang dan bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Apa yang kau katakan padaku? Kau kata aku menghalaumu. Aku tak faham. Sungguh tak faham.

MF,
Sesungguhnya, cinta kita telahpun bersemadi di pusara kasih. Janganlah dikejar lagi cintaku kerana mungkin cintaku bukan lagi buatmu. Tetapi... Seandainya Allah menyuratkan yang kita bersatu, maka saat aku sah menjadi milikmu, aku akan hidupkan kembali cintaku yang terpaksa aku matikan kerana kehendakNya. Detik itu... Akan aku hangatkan kembali kasih sehangat sinar sang suria yang kini terpaksa aku selindungkan dibalik mendung awan kesedihanku. Kala itu, akanku nyalakan kembali api sayangku biar marak membakar rimba sengsara yang kini terpaksa ku padamkan kerana hujan yang lebat menyiramnya. Hari itu, akanku merahkan kembali belai mesra semerah darah yang tiap saat mengalir ke segenap saraf nadiku yang kini terpaksaku jernihkan sejernih air di kali. Masa itu, akanku wangikan kembali bunga-bunga rindu semekar bebunga di musim bunga. Biar harumnya tertebar serata alam menjadi penawar rindu dendam yang terpendam sekian lama yang kini terpaksaku hapuskan harumnya kerana bah besar melanda taman hatiku.

Salam sayang dan rindu,
Daripadaku yang terlalu mencintaimu.

Friday, January 14, 2011

Benci Rasa Ini

Sungguh! Aku benci akan rasa ini. Rasa yang telah sekian lama tidak menjengah hatiku. Pergilah rasa! Pergilah! Biar Tuhan yang tentukan segalanya. Jangan dekat padaku. Aku takut! Takut kalau kau membuat aku luka lagi. Pergilah! Bila tiba masa yang pasti baru engkau datang. Datang bersama rahmat dan nikmat Allah.

Wednesday, January 12, 2011

Burung-burung Berterbangan

Ada satu keindahan yang saban hari aku kecapi ketika ke pejabat. Sekurang-kurangnya, ia mampu membuatkan aku tersenyum walaupun sejenak. Apa dia? Burung-burung berterbangan.

Setiap pagi, apabila aku tiba di hadapan bangunan pejabat, pastinya aku akan terlihat warna-warna putih tersusun panjang dan banyak. Tatkala aku hampir dengannya, pasti ia akan berterbangan tinggi di angkasa. Kerana penglihatanku tidak sebaik mana, jadi aku tak pasti apakah yang burung-burung tersebut buat di hadapan bangunan pejabatku. Tapi memang lazimnya begitu. Fenomena tersebut amat mendamaikan. Alangkah indahnya jika aku dapat melihat fenomena tersebut dengan jelas. Menyaksikan burung-burung tersebut mengibarkan sayapnya dan berterbangan dalam kelompoknya. Mendengar kibaran sayapnya saja sudah mampu membuatku rasa tenang, apatah lagi jika melihatnya. Tak apalah, inikan ketentuan Tuhan. Maka aku redha dengan suratanNya.

Tapi... Sejak kebelakangan ni, burung-burung tersebut tak sebanyak dulu. Mungkin kerana banyak pembinaan sedang dilakukan di sekitar kawasan ini membuatkan mereka mencari tempat lain untuk berkumpul. Atau... Mungkin sekarang bukan musimnya. Harap-harap, mereka akan datang lagi beramai-ramai seperti dulu ke sini, menghiasi hari-hariku yang suram.

Tuesday, January 11, 2011

Yang Mana Dulu?

Banyaknya kerja yang perlu diselesaikan. Yang mana nak mula dulu ya? Pening betullah.

Monday, January 10, 2011

Pasangan Romantik

Pagi tadi, sebelum ke pejabat, aku menelefon seorang teman. Aku mahu mengambil barang yang dikirim oleh teman lain kepadanya kerana teman tersebut tidak sempat bertemu denganku semalam. Aku berjanji dengan teman tersebut untuk bertemunya di hadapan sebuah bank, berdekatan dengan pejabatnya. Setibanya aku di tempat yang dijanjikan, seorang lelaki menyapaku, bertanyakan namaku. Mungkin mahukan kepastian. Ya, aku kenal lelaki itu. Suami temanku. Dia memberitahuku yang isterinya tidak sempat menungguku kerana bimbang lewat masuk pejabat. Aku faham.

Apa yang inginku ceritakan di sini bukanlah tentang barang kiriman teman itu mahupun tentang teman yang tidak menungguku. Tetapi, aku tersentuh dengan pasangan ini. Aku bertanya kepada suaminya:

"Awak hantar dia pergi kerja ke?"
"Ya," Jawabnya bersahaja.
"Hari-hari?" Tanyaku lagi.
"Ya, hari-hari," Balasnya selamba.

Dalam diam, rasa kekagumanku menyelinap ke lubuk hati. Bagi orang normal, hantar isteri ke pejabat itu biasa dengan menaiki kereta atau motor. Tapi... Pasangan ini dua-dua tak dapat melihat cuma si suami rabun dan isteri pula langsung tidak dapat melihat. Si suami bekerja di sebuah kedai dan akan masuk pukul 10.00. Tapi... Demi cintanya terhadap isteri, dia rela mengorbankan tidurnya bagi memastikan si isteri selamat tiba di pejabat. Dia menghantar isterinya dengan berjalan kaki. Meskipun jarak rumah dengan pejabat tidaklah sejauh mana (10-15 minit perjalanan) namun, kerana kasihnya pada isteri, hal itu telah menjadi rutin hariannya.

Begitulah saktinya kuasa cinta. Semoga mereka berdua terus bahagia selamanya. Entahlah, nanti... Pasanganku pula macam mana ya? Demikianlah ajaibnya cinta. Biar susah pada zahir, jika hidup dalam berkasih sayang, pasti segalanya akan indah. Tapi, andainya zahir kelihatan senang, jika tanpa kasih sayang, dunia akan kelam, suram. Tanpa sinar, tanpa seri.

MF, andai cintamu benar-benar utuh buatku, pasti kita telahpun bersatu. Pasti segala yang kita hadapi kini tak berlaku. Aku rela susah bersamamu kerana kita tidak dapat melihat asalkan kau sentiasa di sampingku. Tapi... Kau memilih untuk meninggalkanku meskipun tanpa rela. Maka terpisahlah kita. Dan aku pasrah, pasrah akan ketentuan Ilahi. Semoga ada kebahagiaan buatku di hari muka. Insya-Allah... Amin.

Tuesday, January 4, 2011

Bosan!

Bosan betullah. Cek komen tak ada satu komen pun. hehehe agaknya blog ni memang sepi tanpa pembaca. Ataupun... Kandungan blog ni yang tak menarik. Tak apalah, ini kan diari harianku. Kalau tak ada orang baca nak buat macam mana. Coretkan saja isi hatiku di sini. Tapi kadang-kadang tu nak juga baca komen. Ada pendapat, teguran dan nasihat daripada pembaca kan best? Tak apalah. Tulis jelah.

Pedih

Ternyata, hidup ini tak semudah yang diharapkan. Dalam hidup, perkara yang paling pedih adalah menerima sebuah hakikat yang pahit. Namun siapalah aku untuk melawan takdirNya. Sabarlah hati. Moga ada kebahagiaan di hari muka.

Amin...

Genap Setahun

Hari ini... Genap setahun perkenalan aku dan KF. Aku tidak berharap apa-apa padanya. Cukuplah sekali aku kecundang. Aku tidak mahu kecundang lagi. Meskipun KF mahu hubungan ini berjalan dalam ikatan yang lebih intim, tapi aku tidak mahu menjanjikan apa-apa dan aku tidak mahu berharap. Biarlah sekadar kawan seandainya dia benar tulus terhadapku, pastinya dia tahu cara terbaik untuk membuktikan rasa hatinya. Dan aku tetap sabar menanti detik itu. Detik seorang lelaki membuktikan ketulusan cintanya terhadap seorang perempuan yang akan mencintai seorang lelaki itu sebagai seorang suami, pemilik cinta yang mutlak.

Monday, January 3, 2011

Selamat Datang 2011

Selamat datang 2011.

Datanglah, datanglah dengan sinar yang baru. Balutlah segala kelukaan hati ini. Ubatlah segala kekecewaanku. Bebaskan aku daripada derita ini. Pergilah lara. Jangan datang lagi. Berilah aku peluang untuk mengecapi bahagia.

Selamat tinggal 2010. Bawalah bersama kelukaan ini. Lepaskanlah ia di laut lepas, belantara rima, pergunungan yang jauh, di langit biru atau di mana saja yang kau rasakan patut. Diamlah kedukaan di sana. Usahlah kau pulang. Cukuplah selama ini kau menghuni jiwaku. Diamlah kau di sana. Di sana... Ada ruang buatmu dan aku akan kenang kau dari jauh sebagai pengajaran dan pengalaman hidup yang tak ternilai.

Terima kasih 2010. Terima kasih atas segalanya.