Friday, May 31, 2019
Gunung Cinta Tangga Enam Belas
Perjalanan menuju distinasi cintaku ibarat aku mendaki ke Puncak Gunung Tahan. Hari-hari berlalu dilewati dengan pelbagai kejutan peristiwa. Alhamdulillah, setakat ini kami masih bertahan meskipun jalannya mencabar.
28 Mei, distinasi cinta ini tiba di Gunung Cinta Enam Belas di mana pendakian mula mencabar dengan jurang-jurang setegak dinding batu di kiri kanan. Semuanya menanti langkah kami yang salah untuk kami tersungkur ke dalamnya. Ya Allah, tiada siapa mampu membantu kami melainkan engkau. Dan cukuplah hanya Engkau penolong kami kerana Engkau sebaik-baik penolong lagi Maha Berkuasa. Tatkala aku lena diulit mimpi, pergolakan berlaku di sebelah sana.
29 Mei, seperti biasa aku menerima panggilan pagi daripadanya. Suaranya agak tegang. Pagi tadi, tiada balasan selamat bersahur daripadanya setelah ucapku kirimkan. Tapi text dibaca. Apakah dia marah kepadaku kerana sering tidur tanpa mengucap selamat malam kepadanya? Otakku mula berkerja keras memutar semua perbualan kami. Mungkin ada kata-kataku yang membuatnya marah. Tapi hampa. Otak tidak mampu mengimbas apa-apa kesilapan yang telahku lakukan. Enggan berteka-teki, aku bertanya kepadanya, "Abang OK?"
"Tak OK," Jawabnya cepat.
Hatiku berdebar. Apa lagikah salahku sampai membuatkan dia tak OK? Rasanya aku dah berhati-hati dalam setiap tutur kataku.
"Kenapa?" Aku gusar menantikan jawapannya.
"Kita orang gaduh," Aku dapat menebak, siapakah yang dimaksudkan sebagai kita orang tu.
"Sebab?" Tanyaku ingin tahu.
"Pasal kita."
Dam! Jawapannya bagaikan halilintar membelah bumi lalu memanah hati dan perasaanku. Aku gentar. Sejuk segera menjalar ke seluruh sendiri dan urat. Tangan jua mula sejuk dan menggeletar. Aku kelu. Diam seketika.
"Dia dah tahu?" Tanyaku perlahan. Enggan membangkitkan kemarahannya.
"Ya," Jawabnya tegas.
Terasa bahangnya. Aku menahan tangis dari pecah.
"Macam mana abang tahu dia tahu?" Aku berdebar menantikan jawapan seterusnya.
"Abang desak dia malam tadi."
Aku bertambah pelik. Tak faham.
"Desak? Macam mana?" Tanyaku lagi.
"Dia kata nak bakar baju abang. So, abang tanya kenapa. Baju tu dia letak dalam plastik." Jawabnya serius.
"Kenapa dengan baju tu?" Tanyaku lagi.
"Baju tu ada lipstik sayang. Baju yang kita pergi The Venue."
Aku terkejut. Lipstik? Kat mana? Rasanya tak pernah aku melesetkan lipstik pada bajunya.
"Lipstik tu kat mana?" Tanyaku bertambah pegun.
"Kat bahu belah kanan."
Sekali lagi aku arahkan otakku berputar untuk mengingati kembali apa yang berlaku sewaktu kami berbuka puasa bersama hari itu. Setakat ni, kami tak buat perkara terlarang. Penat otakku berkerja tapi tidakku temu jawapannya. Dan akhirnya, mungkin, ya, mungkin. Apabila berjalan bersamanya, aku akan memegang sikunya. Mengikut cara sebenar bagaimana blind berjalan bersama sighted person. Mungkin masa kami melihat menu ketika bersesak dengan orang ramai, sewaktu aku mengelak dari melanggar orang atau ketika dia tiba-tiba berhenti dan aku tak sempat nak berhenti, so aku terlajak dan terlanggar bahunya dan bahunya terkena bibirku yang berlipstik. Ya Allah, kenapa boleh jadi macam ni? Cuaikah aku?
Aku rasa bersalah. Rasa sedih segera bercampur-baur. Aku takut kalau dia berprasangka yang aku sengaja buat begitu untuk mempercepatkan proses hubungan kami. Demi Allah, itu bukan rancanganku atau kemahuanku. Aku bukan suka memaksa orang. Aku mahu segalanya berjalan lancar seperti yang dia rancang kerana dia yang akan berhadapan dengan pihak sana. Aku akan ikut segala perancangannya baik lambat mahupun cepat. Selagi Allah izinkan, aku akan tunggu. Aku tak mahu mendahuluinya dan aku tak mahu keadaan bergolak di saat dia belum bersedia. Nampak nya, perancangan Allah mendahului perancangan kami. Lantas hati berbisik. Ya Allah, jika dia belum bersedia sehingga dia serabut, atau membawa prasangka buruknya kepadaku dan akhirnya mengakhiri hubungan ini, maka aku berserah kerana aku telah berusaha sehabis baik untuk hubungan ini mengikut daya kemampuanku. Seandai itu yang Kau takdirkan, maka aku mohon, Kau tabahkan aku untuk menjalani sekali lagi cinta yang tidak kesampaian. Tapi jika Engkau berkehendak yang sebaliknya, maka Engkau berilah kami kekuatan untuk menghadapi semua bersama. Dan Kau teguhkan cinta itu sekukuh tembok besar China.
"Abang... Tak nak cakap dengan sayang ke?" Aku bertanya kepadanya kerana aku mendengar suaranya tegang.
"Habis, kalau ada masalah macam ni, tak payah bercakaplah?" Ayat itu menandakan dia mahukan aku bersamanya dikala ini.
"Sayang tanya je. Takut abang perlukan masa." Tuturku lembut.
"Kenapa? Dah tak sanggup nak hadapai dah? Baru sikit je cabaran." Tanyanya lagi seolah melepaskan perasaan yang terbuku.
"Sayang tak bermaksud macam tu. Sayang sentiasa ada untuk abang. Untuk tempuh semua ni. Cuma sayang takut abang perlukan masa untuk bersendiri." Bibit tangis mula pecah.
Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menghadapi semua ini dan untuk menyalurkan kekuatan kepadanya.
"Dia marah abang?" Tanyaku ingin tahu.
"Tak. Dia nangis. Perempuan mana nak marah, nangislah macam orang tu." Katanya menyindirku.
"Orang tu memang lembik. Sebab tu selalu nangis." Jawabku cuba bertenang.
"Hai, 17 tahun lalu boleh hadapi. Lembik ke?" Tanyanya lagi.
"Orang tu memang lembik. Tapi cuba untuk kuat," Jawabku pula.
"Tapi dia ada cakap, kalau nak kat sayang, betul-betul. Jangan main-mainkan sayang, kesian kat sayang. Sayang dahlah tak nampak." Jelasnya kepadaku.
Ya Allah, aku tahu gejolak perasaan isterinya. Dia tidak mahu berkongsi kasih. Dalam masa yang sama, dia masih lagi memikirkan tentang aku. Masih punya simpatinya terhadapku. Kakak, ketahuilah, aku bukan datang sebagai perampas. Aku juga tidak mahu terjebak dalam hal seumpama ini. Namun, perancangan Allah itu mengatasi kemahuanku. Dan percayalah, insya-Allah, saya tidak akan mengganggu kehidupan kakak sekeluarga. Cukuplah sebahagian kasih yang sudi diberikan kepada saya oleh dia, lelaki yang sama-sama kita cintai. Kakak, saya bukan datang untuk memporak-perandakan keluarga kakak. Sebagai perempuan, saya faham kalau kakak membenci saya. Dan kakak berhak untuk berperasaan begitu pada saya. Terima kasih kerana masih lagi punya belas di hati kakak buat saya meskipun dalam kelukaan hati sendiri. Sekurang-kurangnya saya tahu kakak bukan seorang yang zalim. Dan saya harap, kita tahu kedudukan kita masing-masing meskipun kita tak mampu menjadi seperti keluarga Ashraf Muslim.
Wednesday, May 29, 2019
Hati Yang Tersinggung
Sebelum ni, aku ada menulis tentang jangan judge. Tapi, belum pun sampai sebulan, ada yang nak judge tentang hubungan aku.
Baru-baru ni, ada sorang kawan memberitahuku, “Maaf aku cakap, antara dia (MNG) dengan Masri, aku lebih suka kau dengan Masri.”
Demi membacakan text tersebut, hatiku tersentap. Luluh. Ingin saja aku memarahinya. Tapi tak perlu marah, aku perlu bertenang.
“Kenapa?” Tanyaku ingin tahu.
“Aku tengok, Masri tu lebih menjaga kau. Nampak macam mana dia jaga kau, selalu dengan kau.” Katanya mempertahankan hujah.
Aku rasa sedih sangat. Kenapa? MNG tak jaga aku ke? Perlukah aku canang cerita satu dunia apa yang dia lakukan untukku? Perlukah aku bercerita kepada umum yang setakat hari ni, aku bahagia bersamanya? Kelak nanti dikata riak dan berlagak. Tahukah dia bagaimana MNG melayanku? Bagaimana dia menjagaku? Bagaimana aku merasai kasih sayangnya? Masri menjaga aku hanya seperti abang menjaga adiknya. Bukan selalu pun Masri ada bersamaku. Cuma mungkin secara kebetulan dia bertanyakan ke mana selepas office, aku mahu bertemu dengan Masri sebelum ni. Dalam sebulan pun belum tentu Masri bertanya khabar tentangku atau bertemuku. Jadi di mana yang dikatakan sangat menjagaku? Prihatin terhadapku?
Dia tak tahu apa yang aku inginkan dari seorang lelaki. Lelaki yang bagaimana yang dapat membuat aku rasa happy. Dia tak tahu macam mana aku bina hubungan ini. Bagaimana kami menjalani langkah demi langkah untuk bersama dengan izin Allah. Kalau Masri mencintai aku, masakan bertahun tak pernah diucapkannya biarpun peluang itu ada. Perlukah aku mengharap kepada lelaki seperti itu dan membuang masa mengharap pada yang tak pasti. Aku bukan orang yang begitu. Lagipun, tahukah dia, Masri juga punya kekurangan dan kelemahan di mana kekurangan itu tak sesuai denganku? Allah Maha Mengetahui apa yang aku perlukan maka ia memberi sesuatu yang aku perlukan. Takkanlah aku mahu bercerita kepada orang, kekurangan orang ni macam tu, orang ni macam ni. Tak perlu rasanya.
Lantas aku membalas, “Aku je mengenali kedua-duanya dan tahu akan kelebihan dan kekurangan kedua-duanya.” Malas aku nak pajangkan perbualan. Nanti aku marah kalau dia cakap lebih-lebih tentang apa yang dia tidak tahu. Lagipun hatiku dah terasa. Malas nak cakap banyak. Aku tak tahu kenapa, aku sensitif sangat bila orang bagi komen yang bukan-bukan pada MNG. Atau kalau aku dengar cerita orang buat sesuatu yang tidak patut padanya pun aku terasa atau sedih.
Sunday, May 26, 2019
Aku Mohon Restu 4
Assalammualaikum korang. Selamat malam.
Dah seminggu rasanya tak update blog ni. Bila malas datang, nak menulis pun malas. Mood malas masih ada tapi dah nak pergi kot untuk hari ni. Tu yang nak menulis tu. Ops, menguap pulak. Jangan tertidur masa menulis sudah.
OK la, jom kita sambung cerita.
Suatu malam, aku memberanikan diri untuk menghubungi mama. Muqadimah tu biasalah, tanya khabar, buat apa, so on and so on. Hati berdebar ni. Nak cakap macam mana? Tak pernah ada pengalaman.
“Ada orang nak datang rumah. Jumpa keluarga,” Kataku yakin.
“Jumpa keluarga? Kau nak kahwin ke long?” Tanya mama yang dapat mengagak maksud kedatangan bakal tetamunya.
“Insya-Allah kalau ada jodoh,” Jawabku perlahan.
Maka, bermulalah soal jawab mama.
“Siapa dia tu?” Mama ingin tahu.
“Mr. Nice Guy,” Jawabku. Aku pasti, akan panjang lagi list soalannya.
“Tapi dia dah kahwin.” Kataku perlahan.
“Duda ke?” Tanya mama lagi.
“Taklah,” Aku tak tahu cara terbaik untuk menjelaskannya.
“Taklah. Ada isterilah,” Jawabku ragu-ragu.
“Nak buat macam mana kalau dah jodoh?”
“Hah Biar betul telinga aku ni? Tak salah dengar ke?
Ya Allah, sungguh takku sangka penerimaan mama begini. Mohon agar mama ceritakan pada abah. Aku malu bercerita sendiri pada abah. Takut abah marahpun ada jugak.
Beberapa hari kemudian, menerusi nenekku, aku dapat tahu abah mengeluh tentang aku kata mama. Kata abah, “Kenapalah pilih orang macam tu? Cari penyakit namanya.” Entah ya, entah tidak abah yang cakap macam tu.
Aku nyatakan kebimbangan kepada dia. Dia tenang saja. Katanya, mungkin keluargaku risau sebab ianya melibatkan masa depanku. Aku bertanya kepadanya, sama ada ingin teruskan rancangan untuk ke rumah keluargaku atau tidak? Katanya, segala yang dirancang on macam yang dirancang. Aduh, tak keruan aku dibuatnya. Tapi memang ini jalan yang perlu dilalui sekiranya mahu hubungan ini pergi lebih jauh. Katanya lagi, mungkin keluargaku risau sebab tak lihat dengan pandangan sendiri siapakah gerangan yang ingin menjaga anak mereka. Katanya, kalau dia di tempat mereka pun, dia risau akan masa depan anaknya.
Bila abah mengeluh macam tu, mama tanya abah, “Habis tu, boleh tak orang nak datang rumah ni?
Jawab abah, “Nak datang, datanglah.”
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya abah izinkan dia datang. So, kebarangkalian tidak dilayan dengan baik tu, rendah.
Sampai kat sini dulu cerita ni. Nanti au sambung lagi.
Rimas Dipeluk Suami
Manusia ni pelik. Kadang-kadang macam tak rasional pun ada.
Beberapa bulan lepas, adalah sorang perempuan ni, isteri kepada seorang suami. Berlakulah pergaduhan. Cemburu kot. Entah apa yang nak dicemburukan dengan aku pun tak tahulah.
Menerusi whatsapp yang dipanjangkan kepadaku, dia isteri kesunyian. Terasa diabaikan. Entah ya entah tidak aku tak berani nak komen. Macam yang pernah aku tulis, kita tak boleh judge orang terutamanya dalam hal rumahtangga. Tapi itulah yang ditulis dalam text tu.
Tiba-tiba, dia bercerita kepada sorang kawan lagi. Katanya, masa dia orang bergaduh tu, suami dia pujuk dia. Beria-ia memujuk. Dekat satu jam jugak.katanya dia rimas bila suami dia peluk dia.
Hai, dalam text kata dia isteri kesunyian, rasa macam tak diberi perhatian. Bila suami bagi perhatian, peluk pun salah jugak? Tak fahamlah aku dengan masalah rumahtangga orang ni. Kalau aku, nak peluk, peluklah. Aku lentok je. Bertambahlah manja aku nanti. Macam kucing siam. Hahahahaha
Wednesday, May 22, 2019
Jangan Judge
Sehari dua ni aku mula rajin tengok Twitter. Aku terjumpa dengan satu akaun milik seorang perempuan. Twit-twitnya banyak berkisar kepada hubungan suami-isteri serta pasangan kekasih. Aku malas nak reply twit kat sana sebab malas nak bergaduh dengan perempuan-perempuan kat sana sebab isu ni sensitif bagi perempuan. Jadi, biarlah aku abadikan di sini untuk renungan sesiapa yang sudi membaca blog aku ni. Pandangan aku ni berbeza daripada orang lain berdasarkan pengalaman serta pemerhatianku.
Bila bercakap isu pasangan ni, kebanyakan perempuan cepat je menuding jari kepada kaum lelaki kononnya lelaki ni sejenis makhluk yang tidak tahu menghargai, tidak tahu bersyukur dengan pasangan yang dikurniakan, lelaki kena setia, kena buat perempuan happy dan bahagia, kena hargai perempuan dan macam-macamlah yang seumpama dengannya. Twit paling best dan menyentuh hati saya baca, lelaki, pimpinlah pasangan kamu hingga ke akhirnya. Sempurnakan dia sampai syurga. Masa aku kecil sehingga awal dewasa, ya, aku pun berpendapat yang sama. Mungkin pemikiran inilah yang ditanamkan dalam budaya kita sejak zaman-berzaman. Sehinggalah pada suatu hari, aku mendengar keluhan abah dan adakalanya, abah menangis pilu. Siksa bila melihat lelaki yang macho menahan tangis.
Jadi, hari ni, aku terpanggil untuk mengulas isu ini.
Kaumku Hawa, janganlah kita terlalu berpegang kepada tiori ini sampai kita menafikan hak seorang lelaki. Bukankah pentingkan diri sendiri namanya? Sebenarnya, aku juga baru belajar dan sedang belajar. Malah, aku percaya, banyak lagi yang perlu aku belajar dalam hubungan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan. Mungkin, tiori-tiori yang ditanamkan sejak kecil inilah salah satu punca aku kehilangan orang yang aku sayang sebelum ni.
Lelaki juga manusia seperti kita. Apa yang tiori kat atas tu cakap mereka perlu buat, itulah juga yang mereka mahu dari kita. Lelaki kena buat itu ini lebih kepada perempuan itu semua karut. Dalam hubungan kasih sayang, kedua-duanya perlu memainkan peranan penting. Perlu saling menzahirkan kasih sayang, saling menghargai dan memahami.
Aku tak nafikan ada ramai perempuan teraniaya kerana lelaki. Betul ada. Tapi bukan semua kes seperti yang kita lihat dan kita fikirkan. Kita tak boleh judge, bila seorang lelaki menceraikan isterinya, itu salah dia. Bila seorang lelaki berkahwin lagi, lelaki tu gatal, tak cukup satu, tak puas dengan apa yang ada. Kita tak tahu di sebaliknya, apa yang berlaku antara pasangan tersebut. Jika kita dengar cerita sebelah pihak, pasti pihak satu lagi je yang salah. Kadang-kadang kita rasa seorang lelaki tu beruntung memiliki seorang perempuan, baik, lembut, cantik dan macam-macam kesempurnaan kita lihat padanya tapi suaminya atau kekasihnya cari lain. Ya, ada lelaki yang memang tak puas dengan satu. Cari lain kerana nafsu. Tapi tak semua begitu.
Adakah dengan kelembutan, kebaikan dan pandai serba-serbi itu satu jaminan bagi seorang perempuan memuaskan hati suaminya? Ada je lelaki berkahwin kali kedua dengan perempuan yang tak secantik isteri sedia ada. Kenapa? Kita tertanya-tanya. Kalau kahwin dengan yang lebih cantik, lagi kita tanya.contoh. Hanya pasangan sahaja yang benar-benar mengetahui pasangan mereka, baik buruk pasangan, kelebihan dan kekurangan.
Kita selalu dengar, “isteri sikitlah punya baik, dia kahwin lain.”
Aku tak nafikan hal ini berlaku. Tapi tahukah kita sebabnya? Sifat lelaki yang enggan bercerita lagi membuatkan kita tak tahu apa yang kurang di pihak isteri. Yang kita nampak, dia jelah yang salah.
Dalam akaun tu ada cakap, kalau pasangan kita kurang atau salah di mana-mana, bincang, bagi tahu supaya pasangan tahu dan boleh berubah ikut apa yang kita nak. Masalahnya di sini, berapa orang yang sanggup berubah mengikut kemahuan pasangan walau sebaik manapun mereka? Mungkin mereka ni kelihatan baik pada kita. Tapi kita tak tahu layanan dia terhadap pasangannya. Orang lelaki kan suka dibelai dan dimanja. Tapi kadang-kadang kita tak boleh salahkan perempuan jugak. Kalau masanya banyak dihabiskan menguruskan anak-anak, tidak sengaja, terabai kemahuan suami. Kalau suami dah cakap banyak kali tak kiralah secara terus-terang atau penghantaran isyarat, lama-lama lelaki bernama makhluk yang lemah tu pun jadi bosan atau give up nak cakap benda yang sama, nak tunggu perubahan bertahun penantiannya. Kalau yang sabar bolehlah sampai bertahun. Kalau tidak, bulan pun tak boleh hitung dah.
Aku tak mahu bagi contoh pasangan yang aku tak tahu duduk bicara sebenar. Biar aku bercakap dari pemerhatianku iaitu pasangan yang ada depan mataku kedua-dua belah pihak. Contohnya mamaku. Dari kecil aku dengar abah cakap tentang itu dan ini, mengharapkan perubahan. Tapi sampai kini, tiada perubahan berlaku. Kadang-kadang aku terfikir, bagaimana ya rasa hati dan jiwa abah selama 37 tahun perkahwinannya? Berapa lama abah rasa happy? Berapa banyak abah bahagia? Berapa kerap abah dimanjakan? Janganlah cakap pasal isu dalam bilik dan atas katil. Rasanya yang itu, semua pasangan tahu beraksi apabila tiba masanya kerana masing-masing punyai kemahuan yang perlu dilunaskan. Tapi, hal itu dibuat kerana tanggungjawab, kewajiban melayan pasangan, nafkah batin serta memenuhi tuntutan nafsu masing-masing. Bagaimana dengan perasaan cinta yang mendalam? Adakah yang dilakukan tu bersulam dengan rasa cinta? Aku tak percaya lain di mulut lain di hati. Mulut je macam tu, tapi hati lain. Bohong! Hati tu raja segala anggota. Apa yang tersirat di hati, pasti tersurat di mulut mahupun perbuatan.
Aku tidak membenci mama. Tapi aku harus belajar dan mengambil iktibar apa yang berlaku di depan mataku, dalam kehidupanku. Agar aku bercakap perkara yang berasas, bukan sekadar tiori yang entah dari mana-mana. Yang perempuan asyik nak menangkan perempuan, yang lelaki asyik nak menangkan lelaki.
Abah bertahan kerana kami anak-anaknya. Mungkin abah tidak ditakdirkan untuk berjodoh kali kedua. Sebab itulah abah tak kahwin lagi meskipun ada percubaan berbuat demikian. Kalau ada jodoh, dah lama aku dapat mama baru. Ada dua mama la kan? Aku tak menghalang, dan aku jugak tidak menggalakkan. Biarlah mereka sendiri tentukan hidup mereka. Waktu abah mempunyai orang lain, ada je ahli dalam keluarga mama yang tenang menerima perkhabaran itu kerana mereka tahu apa yang berlaku.
Jadi, pesanku kepada semua yang membaca, janganlah kita judge sesuatu di luar pengetahuan kita walau sebaik manapun adik-beradik kita, saudara-mara kita, sahabat-handai kita. Andai perkara ini berlaku kepada mereka, hanya mereka yang tahu sebabnya. Cuma kepada kaum lelaki, jika kamu ditakdirkan untuk berkahwin lebih, jagalah kesemuanya. Janganlah menganiaya satu daripada mereka kerana mereka mempunyai hak yang perlu ditunaikan. Dan bagi lelaki yang baik, aku doakan agar kebahagian menjadi milik korang walau apapun cara yang korang pilih. Bagi perempuan yang baik pula, aku pun doakan korang bahagia dan dibela. Jauhlah kalian daripada dipersiakan tak kiralah korang monogami atau berpoligami. Semua perempuan, tak sukakan poligami termasuk aku. Tapi, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita belajar untuk redha dengan takdir Allah walaupun susah. Aku tahu itu.
Akhir sekali, aku mohon doa korang jua untuk kebahagiaan dan kebaikanku dunia dan akhirat.
Amin...
Aku Mohon Restu 3
Ku coretkan kisah ini di sini untuk dijadikan teladan mana yang baik dan dijadikan pengajaran mana yang kurang. Sebenarnya aku banyak kali mencari blog-blog wanita yang ditakdirkan sepertiku untuk aku belajar sesuatu. Namun hampa. Aku yang tak terjumpa atau mereka segang mencoretkan kisah mereka kerana wanita sepertiku sering dipandang serung.
Baiklah, kembali kepada sambungan ceritaku yang sebelum ini.
Setelah mengkhabarkan perkara tersebut kepada angah dan menanah telinga disebabkan kata-katanya, semangatku tidak luntur di situ. Misi utama adalah mendapat restu orang tuaku kerana syurgaku letaknya kepada mereka buat masa ini. Tapi hati gentar untuk menghubungi orang tuaku. Jadi, biarlah sorang demi sorang aku khabarkan berita ini. Sesungguhnya aku bertawakal. Sekiranya mendapat tentangan serta cacian, aku berserah kepada Allah perancang terbaik.
Kata angah, kenapa dia tak selesaikan urusannya terlebih dahulu dengan isterinya sebelum datang bertemu keluarga kami? Pandangan dan pemikiran setiap orang itu berbeza. Lagipun, angah melihat dari perspektif orang luar, bukan orang yang menanggung.
Ya, pada awalnya aku juga berfikiran begitu. Setelah dia membentangkan plannya terhadap hubungan ini, aku cuba mencari logiknya akan plan yang dibuat. Aku enggan bertanya kepadanya takut mengguris hatinya.
Bagi orang lain, bercakap dengan isteri dulu itu penting. Tapi setelah aku kaji dan fikir dalam-dalam, aku rasa aku faham kenapa dia merancang begini. Aku cuba letakkan diriku di tempatnya. Kalau berterus-terang dulu, hati dah remuk-redam, emosi masing-masing terganggu, hati mula sensitif dan terusik. Lepas tu datang jumpa family aku, tak direstui. Macam mana? Yang belah sana dah terguris, yang kat sini tak jadi. Masalah jugakkan? Seandainya dia bertemu dengan keluargaku terlebih dahulu, sekiranya berlaku apa-apa, yang kat sana belum terguris dan nauzubillahi minzalik, mohon dijauhkan Ya Allah, aku hanya perlu berhadapan dengan family. Tak ada isu hati remuk-redam. Paling tidak, dia orang akan tanya dan bising. Jadi, tak semua yang kita fikir baik itu, baik bagi orang lain. Kita tak boleh kata ini yang baik, itu yang baik melainkan kita sendiri menanggungnya.
Seterusnya, ku pilih acik untuk diberitahu. Kalau dia orang nak bercerita dengan orang tuaku pun lagi bagus. Tak adalah aku terfikir-fikir macam mana nak mula cerita kalau dia orang tanya. Jawab jelah soalan mereka.
Acik cool macam biasa. Memanglah dia ada kerisauan terhadapku. Tapi tak adalah cakap benda-benda yang pedih. Mungkin kerana sikapnya yang happy go lucky, dia relax je. Cuma, dia tanya, lelaki tu kerja apa? Macam biasa jugak, aku menjawab kerja MRT. Lantaklah kalau dia orang nak fikir kerja kat kaunter ke, guard ke. Takkan nak canang dia tu siapa? Jap lagi, orang mengata jugak. Mesti orang cakap riak, berlagak dan sebagainya. Lagipun, aku sukakan dia bukan sebab jawatan atau kerjaya dia. Kalau perangai tak semenggah, CEO company pun aku jauhkan diri dari awal lagi. Tapi bila dia orang menganggap kerja yang tak seberapanya pun jadi masalah jugak. Takut tak mampu tanggung aku. Yelah. Aku faham. Kebimbangan mereka berasas. Ekonomi antara faktor penting dalam hidup berkeluarga. Karang merempat pulak aku ni. Hehehehe...
Acik: Tak apalah, aku jadi polis dulu. Dia kerja apa? Sebelum dia mengadap abahanda beta, biar beta tanya dulu. Takut nanti abahanda tanya macam-macam, dia terasa pulak.
Tanya acik dalam gurauan.
Katanya lagi, terserahlah kepadaku siapa menjadi pilihanku kerana aku yang mahu hidup bersama orang itu. Janji, aku happy.
Alhamdulillah, penerimaan acik baik. Hakim tu biarlah dia tahu sendiri. Dia pun bukan ambil pusing sangat hal orang.
Paling berat, bagaimana untuk aku sampaikan berita ini kepada mama dan abah. Lebih-lebih lagi mama yang sememangnya sensitif terhadap isu ni. Abah pun tak kurangnya, diakan selalu protective.
Semoga Allah permudahkan urusan kami.
Berbuka Puasa Bersama Lagi Insya-Allah
Aku terima text dari dia meminta aku bertanyakan adikku untuk berbuka puasa bersama. Ada lagi berbuka puasa buffet dengannya? Rasa terharu dan sebak segera menjengah. Betapa dia cuba untuk membuatku bahagia. Ketahuilah, jika tidak di tempat sebegitu pun aku cukup bahagia andai masa dihabiskan bersama.
Sayang sayang abang.
Monday, May 20, 2019
Tuhan Menguji Takkan Berhenti
Allah menguji hambaNya walau dalam apa jua keadaan.
Dalam susah dan senang dugaanNya mendatang.
Hatta dalam percintaan sekalipun.
Apabila kita menjalinkan hubungan dengan seseorang, pasti ada yang Allah kirim untuk menguji seteguh mana cinta kita.
Dan, setelah tiga kali aku menjalinkan cinta dengan seseorang, setiap kali itulah cintaku diuji.
Cinta pertamaku diuji dengan seorang lelaki yang datang menghulurkan cintanya namun aku bukanlah seorang yang lemah pendirian. Sekali aku memilih seseorang, maka insya-Allah, hatiku miliknya walau siapapun mendatang. Dan sehingga hari ini, meskipun dia telah berumahtangga, rindunya padaku masih belum lenyap.
Begitu juga dengan cinta keduaku. Aku diuji dengan seorang lelaki yang menawarkan cintanya padaku. Biarpun kawan-kawan mengatakan dia lebih cocok denganku, dari segi usia dan penampilan, sekali lagi aku menolak dengan baik cinta itu. Dan sekali lagi aku dikecewakan serta ditinggalkan pergi. Setelah aku mempertaruhkan cinta ini hanya untuknya tanpa berbelah bagi.
Dan kali ini, sekali lagi Allah menguji. Aku dihamparkan dengan kata-kata rindu dan hasrat ingin memilikiku yang tidak kesampaian. Dan kali ketiga jua aku menolak kerana cinta ini telahku beri kepada seseorang. Dan aku harap, cinta yang aku pertaruhkan kali ini menyebelahiku. Aku mohon Ya Allah agar kasih sayang ini tidak lagi dipersiakan seperti dulu setelah aku menepikan cinta dari yang lain.
Sesungguhnya aku bertawakal kepadaMu Ya Rabbi.
Jatuh Cinta Lagi
Semalam, ada masalah dengan handset. So, tak dapat nak on. Handset satu lagi pulak, habis kredit.
Kalau abang text macam mana? Agak-agaknya abang marah tak?
Harap abang akan call handset lama. Sayang tak ada cara untuk bagi tahu abang yang handset whatsapp sayang ni problem.
Menginjak tengahari, abang tak call or mesej. Abang tak ingat sayang ke? Hati mula sayu. Abang tak cari sayang ke? Abang tak kisah ke bila sayang lama tak online? Abang lupakan sayang ke?
Jam 3.332 petang, aku membelek-belek handsetku yang elok. Kelihatan cahaya belakang handset berkelip-kelip. Ada mesej masuk kot. Mungkinkah abang? Tak lama kedengaran ring tone dan nama abang tertera di skrin. Aku pantas menjawabnya.
Abang: Sayang kat mana?
Lembut suara abang kedengaran, buat hati tak tentu arah. Aku memang selalu jatuh cinta padanya setiap kali dia berbicara lembut dan memanggilku sayang. Walaupun sekadar, 'selamat bersahur sayang,' kalau dia cakap 'selamat bersahur,' terasalah hampanya. Hehehe... Mengadakan?
Aku: Kat rumah.
Jawabku juga lembut.
Abang: Tak bangun lagi ke?
Nada suaranya tetap lembut.
Aku: Dah bangun awal dah.
Abang: Celcom mana? Lama tak online?
Aku: Update IOS, jadi macam hari tu. Tak boleh update.
Abang: Lagi satu?
Aku: Handset ni tak ada kredit.
Abang: Apa tu, Maxis?
Aku: Maxis.
Perbualan tamat di situ dengan bunga-bunga cinta merata di seluruh hati.
Ya Allah, indahnya perasaan ini. Terima kasih abang sebab selalu buat sayang rasa dihargai. Sayang sayang abang.
Abang top up kan line saya tapi rejected. Entah di mana silapnya.
Bila ingat perbualan semalam tu, pasti bangkit rasa cinta padanya.
Dulu Dan Sekarang
Belek-belek whatsapp lama dalam phone lama. terbaca pulak salinan status FB AF yang kawan kirimkan dulu. Kalau dulu, aku menangis setiap kali membaca status-status FB nya yang gedik-gedik melayan perempuan lain. Kot ya pun nak bercinta, cukuplah sekadar kau gedik-gedik dalam whatsapp kau dengan dia je. Tak perlulah nak tunjuk bagi tahu seluruh dunia yang kau sedang dilamun perasaan kat minah selfie kat Facebook. Belum tentu lagi minah tu shok kat kau walaupun melayan kau siang malam. Pantang kau update status, mesti muncul komen minah tu. Gila betul.
Dahlah tu, kau tak hormat langsung kat aku yang masa tu ada hubungan dengan kau. Dahlah setiap kali kau update status aku terima notification status tu. Of cause la semua status dan komen gedik-gedik kau dengan dia tu aku baca. Masa kau dengan aku, tak ada pulak kau gedik-gedik macam tu. Berubah mengikut pasangan ke? Masa dengan aku, bukan main lagi kau cover komen. Tak nak orang tahu hubungan kita. Kalau aku nak tag kau kat status FB, awal-awal lagi kau tak bagi. Masa tu aku tanya kenapa? Kau kata, biarlah. Rupa-rupanya, kau tak nak orang tahu kau ada hubungan dengan aku kot. Kau malu ke berhubungan dengan orang macam aku? Atau, memang kau jadikan aku persinggahan sebab nak cari yang lebih elok dari aku? So, bila aku tag kau kat FB, jatuhlah saham kau. Tak apalah. Allah tu Maha Adil. Aku ikhlas dengan semua orang yang aku angkat sebagai seseorang yang istimewa. Kalau kita ikhlas, insya-Allah, Dia akan gantikan dengan yang lebih baik. Dan aku merasakannya kini.
Tulis macam bagus. Ayat jiwang-jiwang, kadang-kadang nasihat orang macam kau tak bersalah. Kadang-kadang pulak tulis macam kau teraniaya. Pada hal, kau yang menganiaya orang. Aku ni, yang belum jadi milik kau yang sah kau buat gitu. Isteri-isteri kau sebelum ni, entah apalah yang kau buat kat dia orang sampai semuanya berantakan. Ke memang hobi kau kahwin cerai ni? OK la, takdir, jodoh ketentuan Allah. Tapi kalau ada je hal yang kau buat, macam mana?
Memanglah dulu aku rasa sakit bila kau tinggalkan aku. Tapi sekarang, aku bersyukur. Aku dah nampak hikmahnya. Memang kita tidak ditakdirkan ersama. Mungkin Allah nak temukan kita dengan orang yang lebih ikhlas, lebih tahu menghargai dan menyayangi kita. Dan aku dapat tahu, dengan minah selfie tu pun dia tak jadi. Cukup sampai di situ, dah tiga tahun aku block FB dia dan minah selfie tu. Dengan kawan dia yang gedik-gedik semuanya aku block. Malas nak tengok status orang gedik ni. Menyakitkan hati. Nombor telefon, dari awal lagi dia dah block aku masa dia putus dengan aku. Suka hatilah. Aku tak rugi apa-apapun. Terima kasih buat aku macam ni, so, masa tulah aku kenal siapa sahabat dan siapa musuh. Allah ambil semuanya dari aku tiga tahun lepas. Yang tinggal hanyalah kawan-kawan yang benar-benar ikhlas mendukung aku.
So, aku nak pesan kepada pasangan yang baru berantakan. Bila si dia buang korang macam korang ni tak berharga, janganlah lagi korang nak senyap-senyap tengok FB dia. Kelak lagi susah korang nak move on.
Bila orang dah buang kita, teruslah berjalan ke hadapan. Sampai di suatu jalan, pasti ada hero yang menanti untuk selamatkan korang. Sambutlah tangan dia, dan hargainya insya-Allah, bahagia milik korang.
Aku Mohon Restu 2
Terjaga awal. Sementara tiba masa bersahur, inginku menulis di sini. Mana yang baik, korang jadikan teladan. Yang buruk, jadikan sempadan. Ambillah iktibar dan pengajaran daripadanya.
Orang kata, dalam bab mendirikan rumahtangga ni, biarlah mendapat restu kedua ibu bapa. Dan itu yang aku harapkan dari orang tuaku. Cinta membuatkan aku memberanikan diri untuk memberitahu keluarga kedudukan sebenar. Hanya Allah yang tahu betapa aku tidak mahu kehilangannya dan betapa aku takut untuk berterus-terang. Poligami bukanlah sesuatu yang digemari. Tambah pulak aku akan menjadi yang kedua. Sekali lagi aku berserah dan bertawakal. Aku mohon kepada Allah, andainya dia jodoh yang Allah suratkan kepadaku, Kau permudahkanlah.
Segan jugak nak bagi tahu ada lelaki nak datang jumpa mereka.
Orang pertama yang ku pilih untuk diberitahu adalah nenek selaku orang paling rapat denganku.
"Kalau yang macam tu tak payahlah, Teja." Kata nenek lembut tidak bersetuju.
Hatiku hampa. Ya Allah, aku bukan nak buat perkara tak baik. Aku cuma perlu restu untuk lakukan sesuatu yang Allah suka. Kau bantulah aku Ya Allah.
"Nek, nek kan selalu doakan Teja supaya dapat jodoh yang baik. Nek doakan Teja ya, kalau ini yang terbaik buat Teja, Allah permudahkan. Selama ni, nenek doa tak supaya Teja dijodohkan dengan lelaki yang bukan suami orang?" Kataku lembut dalam sedih kepada nenek.
Nenek terdiam.
"Nek, tak ada siapa nak benda ni. Teja pun tak nak. Dah ramai suami orang Teja tolak. Bukan Teja cari orang macam ni macam sesetengah orang sebab nak hidup senang dan sebagainya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Baik bagi kita, tak semestinya baik bagi Allah. Tak baik bagi kita, tak semestinya tak baik bagi Allah. Selama ni, Teja berkawan dengan orang bujang, dengan duda, tapi Allah tak izinkan. Allah ambil dia orang dari Teja. Teja sendiripun tak tahu apa yang baik untuk Teja. Yang ni pun, kami merancang, Allah jua yang menentukan. Cuma, Teja nak restu. Kami nak buat dengan cara yang betul. Kami tak nak kahwin lari di sempadan." Panjang lebar aku menerangkan kepada nenek.
Beberapa hari kemudian, aku hubungi nenek. Dan nenek kata, "Betul kata Teja, nenek tak pernah doa jodoh yang baik untuk Teja itu yang bujang atau dua atau apa-apa ciri. Maka Allah mentafsirkan yang baik itu mengikut pandanganNya."
Alhamdulillah, nenek faham. Tapi macam mana dengan kedua ibu bapaku? Aku resah memikirkannya.
Seterusnya, aku memilih untuk beritahu angah dulu. Dengan harapan, angah mampu memahami dan menyokongku atau sekurang-kurangnya membantuku untuk berterus-terang dengan ibu bapaku.
Aksara bisu ku taip di ruang layar whatsapp. Lebih kurang berbunyi begini.
'Ngah, 26 Januari nanti, aku nak balik. Ada orang nak jumpa dengan family.'
'Nak kahwin dah ke?'
'Insya-Allah. Tapi, nasib aku taklah sebaik nasib kau.' Ku pilih ayat ini untuk membuka cerita.
'Kita selalu tengok rumput hijau di kaki orang lain Pada hal, orang tu sebenarnya cemburukan kau.' Katanya membalas textku.
Apa maksud dia? Dia cemburukan aku ke?
'Dia suami orang,' Aku menekan butang hantar dan berdebar menanti balasannya. Seperti yang aku jangka, angah marah.
'Kau kena fikir masak-masak. Banyak hati nak kena jaga. Wife dia dah tahu ke belum?' Perbualan mula panas.
'Belum. Kami nak settlekan urusan kami dulu. Lepas tu baru buat satu-satu.' Dalam sedih, aku membalas.
'Poligami ni, tak disukai oleh mana-mana adat dan budaya kat dunia ni. Kenapa cepat sangat nak bawa balik? Nanti kalau tak jadi, semua orang akan tanya kau. Aku dah rasa semua tu. Nanti lepas bagi tahu wife dia, kalau dia nak back off? Kau yang malu tau dengan keluarga,' Tulisnya lagi.
'Ngah, itukan takdir, buat apalah aku nak malu?' Balasku lagi.
'Aku dah agak dah. Itulah jawapan kau. Biasalah, orang sedang bercinta, pahitpun ku telan jua. Lampu isyarat merah pun nak langgar. Esok, kalau wife dia mengamuk, dia back off, kau sorang-sorang yang akan mengadap keluarga.'
Aku sedih. Ya Allah, jauhkan yang buruk-buruk daripadaku Ya Allah. Kalau dia tergamak menganiayaku sedemikian, sedangkan aku ikhlas untuk bersamanya dan aku lakukan ini kerana keikhlasanku, Allah jualah yang akan membalasnya.
'Kau kena ingat, kalau dah kahwin esok pun, dia mesti lebihkan wife dia sebab nak pujuk hati wife dia yang dah remuk-redam tu. Lepas tu kalau dia orang ada nak, lagilah dia akan lebihkan yang sana. Kau kena bersedia untuk hidup sendiri, sorang-sorang macam sekarang. Kau tak boleh harap kahwin kau ni macam orang lain. Apapun, yang kat sana tu mesti jadi keutamaan dia.'
Sekali lagi aku berdoa, Ya Allah, jika dia yang Kau takdirkan buatku, jadikan dia sebagai suami yang baik, yang adil untuk semua isterinya meskipun terhadap aku yang baru dan belum mempunyai anak.
'Dia tu, celik ke macam kau jugak?' Giliran angah menyoal.
'Normal,' Jawabku.
'Dia kerja apa?'
Kerja apa? Aku nak jawab apa ek? Tak perlu aku terangkan siapa dia.
'MRT.' Jawabku ringkas. Aku mahu tamatkan perbualan ini segera. Ianya menyakitkan.
'Ke dia nak tumpang populariti dengan duit kau?'
Ya Allah, kenapalah cakap macam ni? Siapa sangatlah aku ni? Duit? Lagi aku tak ada. Dia yang kena tanggung aku. Bukan aku. Siapa tumpang siapa ni? Tak perlulah nak ulas lanjut hal ni.
'Ngah, aku mana ada duit. Popular jauh sekali,' Balasku membetulkan persepsinya.
'Aku sebenarnya dah rasa macam mana ayah ada perempuan lain kat luar, mak pulak kat rumah stress pukul anak. Aku tak nak wife dia dengan anak-anak dia rasa macam apa yang pernah aku rasa.'
Ya Allah, wife orang tu yang difikirnya. Habis aku ni siapa? Sebelum fikirkan orang lain, fikirkan darah daging sendiri dulu. Janganlah beralasan untuk mementingkan diri sendiri. Jangan ingat kita boleh control orang untuk buat apa yang kita suka. Tahukah dia, betapa aku memerlukan seseorang. Susah senang aku kat sini siapa yang tahu? Jahat sangatkah kakak dia ni sampai menyebabkan hal itu berlaku terhadap rumahtangga orang? Aku bukan mahu merampas. Aku cuma mahu menumpang kasih. Sebagai orang yang menumpang, aku tahu batasku. Aku harus tahu membawa diri dan menjaga diri. Jangan gunakan kisah abah dan mama sebagai alasan. Itu memang sikap mama bukan kerana abah ada orang lain. Sebab sikap mamalah mendorong abah ada perempuan lain dulu.
'Itu, aku tak setuju. Mama memang macam tu. Sebelum abah ada orang lain pun, mama dah macam tu. Cuma silap abah, bila ada orang lain, dia berubah menjadi pemarah. Itu pun belu tentu dia sendiri yang berubah. Banyak faktor,' Aku perlu tegas dalam hal ini.
Aku tengok dia baik je dengan keluarganya. Even pukul 1.00 pagi pun, dia teman je wife dia pergi berbelanja walaupun dia ada aku. Dan aku pun tak nak rosakkan rumahtangga orang meskipun ada waktunya, cemburu menjengah. Sebab tulah aku tak suka nak tahu apa dia buat kat sana. Just bagi tahu nak keluar pergi beli barang dapur. Dahlah. Tak payah hurai panjang-panjang. Aku faham. Even suami yang tak ada orang lain pun belum tentu nak teman isteri waktu-waktu macam tu.
Hampir setiap minggu, dia jenguk anak-anak dia kat Negeri Sembilan dan Melaka. Pantang anak sakit, cepat je dia balik. Dan aku harap, benda yang sama akan dipraktikkan bila dengan aku nanti.
'Bukan tak ada poligami ni bahagia. Macam kawan aku tu, boleh je bergambar dan berpeluk bertiga kat Facebook. Happy je hidup dia orang. Harapnya kau bolehlah hidup macam tu.'
Ya Allah, setiap orang caranya lain-lain. Kalau rapat macam tu memang OK, tak apa. Tapi kalau mengeruhkan keadaan, baik tak payah. Aku ikut je ketentuan Allah. Kalau tak sampai tahap macam tu pun tak apa. Janji, masing-masing tahu had masing-masing. Janganlah ada yang nak ambil kesempatan nak control suami dan cuba porak-perandakan rumahtangga mana-mana pihak. Semoga aku mampu tidak menganiaya orang. Dan semoga yang belah sana pun, tidak menganiaya aku.
'Tapi, kau kenalah bersedia berkongsi suami kau. Tubuh badan suami kau pun, kau kena kongsi dengan orang,'
Semua tu, aku tahu. Dan aku insya-Allah bersedia.
'Kalau kau jadi kahwin nanti, aku sponsor dewan. Tak payah buat kat rumah. Nanti gaduh lagi macam aku nak kahwin hari tu.'
Apa-apalah. Biarlah perbualan ni tamat cepat. Ini bukan cinta pertamaku. Bukan juga cinta zaman remaja. Segala kemungkinan telah aku dan dia fikirkan. Semoga ada bahagia buatku walaupun dengan jalan ini.
Mohon para pembaca doakan kami.
Sunday, May 19, 2019
Nasihat Seorang Sahabat
Sekuat mana pun aku, ada ketika-ketikanya rasa rendah diri itu membuatkan hati rasa sedih.
Apatah lagi bila mengenangkan aku tidak seperti orang di sana. Aku tidak sesempurna dia. Siapalah aku jika dibandingkan dengannya. Serba kurang. Malah, dalam memenangi hati dia pun, pasti aku ketinggalan. Lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ni aku sering melakukan kesilapan tanpa sedarku. Orang kat sana dah lama hidup dengan dia. Mesti tak buat salah macam aku. Mesti dah arif benar akan kesukaan dia, kebencian dia, bagaimana mahu melayannya, memanjakannya, memberi perhatian padanya, menunjukkan kasih, sayang dan rindu padanya. Sedangkan aku? Banyak melakukan kesilapan. Banyak buat abang marah, banyak buat abang tersinggung. Tentunya kesilapan-kesilapanku membuatkan kasih sayang abang padaku tawar.
Cuma, setiap kali hati dilanda resah, aku akan putarkan rakaman percakapannya padaku untuk aku kuat semula dalam mempertahankan cinta ini.
Bila membaca isu ini di internet, rata-ratanya menyalahkan orang kedua. Orang kedua sering dipandang jahat.
Tapi, seorang sahabat berpesan, meskipun aku orang kedua, jangan sesekali biarkan rasa rendah diri membelenggu. Jangka masa seorang perempuan bersama seorang lelaki tidak menggambarkan apa-apa. Betulkah?
"Kalau awak sayangkan dia, berusahalah untuk memenangi hatinya. Tentu ada sebab kenapa dia pilih awak," Lembut sahabat memujuk.
"Tapi saya selalu buat salah." Aduku kepadanya dalam tangis.
"Tak apa. Awakkan sedang belajar. Lama-lama awak mesti OK." Lunak lagi kedengaran suara itu membelai." Katanya tetap lembut.
"Awak tahu tak, ramai je yang kedua tu sering disayang dan dirindu.
"Betul ke?" Tanyaku ingin kepastian.
"Norman Hakim pun pernah cakap yang kehadiran Meme Suhaiza tu sangat membahagiakan dia. Meme tu pelengkap kebahagiaan dia. Kalau dia jumpa Meme dulu, mesti Meme la satu-satunya isteri dia. Tapi Allah lambatkan pertemuan dia orang. Mungkin Allah dah sampaikan masa seorang lelaki tu untuk bertemu jodoh tapi masa tu perempuan tu kecik lagi. Jadi, Allah temukan dia dengan jodoh lain dulu. Kemudian, bila perempuan tu dah besar, baru Allah temukan dengan lelaki tu untuk membahagiakan dia. Bila sorang lelaki cakap, dia rasa happy dengan sorang perempuan tu, maknanya dia happy la. Bukan senang seorang lelaki yang kita tahu memang ego untuk cakap macam tu."
Segera kata-kata si dia terngiang di telingaku dan kata-kata itu juga sering aku putarkan dalam rakaman yang aku simpan. "Sayang penceria hati abang,"
"Abang, masihkah sayang menceriakan hati abang? Insya-Allah, sayang akan cuba untuk ceriakan hati abang walaupun ada waktunya, cara dan kata-kata sayang silap."
Sayang sayang abang.
Saturday, May 18, 2019
Aku Mohon Restu
Pertemuan aku dan dia bukan sesuatu yang dirancang melainkan ianya perancangan Allah.
Urusan kerja membuatkan kami perlu berhubung.
Namun, di sebalik text serta pertemuan, ada hati yang tercuri, ada jiwa yang bergetar dan ada rasa yang menyelinap.
Awalnya, ku nafikan rasa hati. Mana mungkin orang seperti dia ada hati terhadapku? Lebih-lebih lagi setelah membaca jawatannya di business card yang diberi.
Setiap kali aku ingin menjauhkan diri daripadanya, makin kerap textnya bertandang ke phone ku minta dibalas.
Makin aku ingin menghentikan segalanya setelah mengetahui statusnya. Tapi... makin sukar jemari ini berhenti menaip text balasan.
Lalu hati mula berprasangka, mungkin dia sekadar mahu mempermainkan hati dan perasaanku. Kenapalah ayat-ayatnya bisa membuatkan jantung berdegup tiap kali membacanya? Aku rasa terdera dek perasaan baru bertunas. Adakah dia mempunyai rasa yang sama?
Setelah beberapa lama berhubung, akhirnya, dia menyatakan hasratnya. Aku berniat untuk meninggalkannya seperti yang aku lakukan kepada semua suami orang sebelum ni walau seikhlas manapun mereka menyatakan cinta mereka terhadapku, walau bersungguh-sungguh mereka cuba menggambarkan keikhlasan hati mereka padaku. Semuanya dengan mudah ku tepis dan ku buang ke tepi. Pada aku, lelaki seumpama ini lelaki yang jahat, kejam dan zalim. Mengapa perlu dicari cinta lain sedangkan isteri di depan mata ikhlas mencintai mereka? Dan aku tidak mahu menjadi perempuan perampas yang menganiaya kaum sejenisku. Itulah ajaran yang diterapkan kepadaku sejak kecil.
Hati mula bergolak. Sengaja aku bermain tarik tali untuk menguji keikhlasannya dan menguji jua hatiku. Fikirku, perasaan yang membuai ini sebentar saja dan ianya akan hapus lenyap tidak lama lagi seperti sebelum ini.
Hati makin terdera apabila ia berterus-terang untuk mengambil aku sebagai miliknya yang sah.
Demi membacakan text tersebut, aku menangis, meratap memohon pertolongan Allah. Bagaimana ini Ya Allah? Jujurnya aku mula mencintai dia. Tapi... cinta ini salah tumbuhnya. Tak sepatutnya ia bertunas kepada orang sepertinya. Kerap aku cuba membunuhnya tapi semakin subur dan mekar. Dia mempesona. Segala yang ada padanya buat aku tertarik.
Dan, setelah ia melafazkan niat hatinya secara bersemuka, aku makin parah terdera. Perasaan bagai dilanda tsunami. Aku buntu. Bagaimana harus ku jalani semua ini? Dalam tidak pasti, aku memutuskan untuk hentikan semua ini. Tapi aku tak mampu melakukannya.
Lantas, aku kembali kepada penciptaku, pemilik hati dan cinta. Aku mengadu kepadanya tentang hati ini, tentang rasa, tentang cinta. Dan betapa aku tidak mahu menganiaya kaum sejenisku. Ya Allah, apakah ini dorongan syaitan atau nafsu untuk terus mencintainya? Atau ini datangnya dari kamu wahai pemilik cinta?
Aku mula melihat masa depan cinta ini. Apakah aku bisa mendapat restu orang tuaku tatkala memilih lelaki sepertinya? Aku tidak mahu rumahtanggaku kelak bergolak tanpa restu mereka. Aku tidak mahu kahwin di sempadan tanpa pengetahuan kaum keluarga. Aku juga mengimpikan sebuah majlis perkahwinan seperti orang lain meskipun tidak semeriah dan sebesar majlis perkahwinan orang lain.
Hati berdebar ketakutan dikala dia mengajakku bertemu orang tuaku. Katanya dia ingin meminta izin daripada orang tuaku untuk berkawan denganku. Dia juga ingin berterus-terang dengan orang tuaku akan hajat hatinya.
Kali pertama dia menyebut tentang itu, aku katakan, nantilah. Dengan harapan dia tidak mengulangi permintaannya. Namun hati menangis, jika dia tidak mengulangi permintaan itu, maknanya, hubungan ini takkan ke mana dan pastinya berakhir dengan kehampaan seperti cintaku yang lalu. Aku sudah penat mencari cinta. Aku mohon pada Allah, aku tidak mahu gagal lagi.
Beberapa hari selepas itu, dia mengulangi permintaannya. Aku bertanya kepadanya, adakah dia serius nak jumpa dengan orang tuaku? Dia kata ya, dia serius. Dia tak nak macam ni. Dia nak berkawan dengan anak orang, bukan anak kucing kat tepi jalan. Dia tegas menyatakan hasratnya. Dia merancang untuk bertemu keluargaku pada 26 Januari 2019. Aku terkejut. 26 Januari tu dua minggu je lagi.Bermakna, aku harus menyampaikan berita ini kepada keluargaku sesegera mungkin sebelum aku pulang bertemu mereka bersamanya.
Thursday, May 16, 2019
Sakit Kepala
Lepas nangis semahu-mahunya pagi tadi, rasa sakit di bahagian belakang kepala sampai malam ni. Taklah sesakit tiga tahun lalu. Cuma sakit tu ada masa menyengat.
Tak nangis, hati rasa sedih yang amat. Dengan apa lagi bisaku luahkan jika tidak dengan hamburan tangis yang semahu-mahunya? Sebenarnya aku jarang menangis yang semahu-mahunya ni. Jika ada sesuatu yang benar-benar menyentuh hati, barulah tangis seumpama ini terjadi. Kalau aku dah nangis semahu-mahunya ni, alamatnya, memang susah nak berhenti. Ianya panjang dan berlarutan.lebih-lebih lagi jika aku keseorangan. Lepas tu bahagian kepala yang belakang mata ni akan rasa sakit. Tak tahu macam mana nak gambarkan sakitnya. Aku rasa, keadaan ni berlaku disebabkan kilang air mata yang telah rosak dipaksa untuk memproses air mata. Namun, ia gagal berbuat demikian kerana ketiadaan air mata. Akibatnya, sakitlah.
Jadi kat ofis, hari ni, aku tak buat kerja-kerja yang banyak melibatkan pemikiran sebab tak nak stress. Just buat follow up dan jumpa orang bincang-bincang. Balik rumah pun still sakit. So, aku tidur sejam sebelum berbuka tadi.
Sakit kat belakang mata dan sakit mata belum hilang. Selain dari sakit belakang kepala, bila aku nangis semahu-mahunya, mata pun akan sakit dan pedih. Mungkin dia cuba memerah air mata supaya keluar tapi air mata kan tak ada. Hehehehe...
So, lepas berbuka, aku baring sekejap sebab dah Maghrib sebelum makan. Masuk Isyak, aku terus Isyak. Malam ni memang tak banyak yang aku buat. Sakit kepala dan mata masih bersisa. Harapnya menjelang esok semua sakit dah hilang.
Lepas Isyak aku sambung baring dengan harapan, sakit ini hilang.
First time kena sakit macam ni sembilan tahun lalu. Hehehe... yelah, orang kecewa, nangis sepanjang hari berhari-hari dan jangkau minggu. Oooo... masa tu, nak letak kepala kat bantal pun sakit. So aku tidur mengiring. Sejak daripada tu, kalau aku nangis semahu-mahunya kepala dan mata mesti sakit.
2016, sekali lagi sakit ni datang. Itu pun nak baring sakit. Almaklumlah, menangis setiap hari, sepanjang hari hingga berbulan-bulan. Bukan aku suka-suka nak nangis. Kalau badang merana, nak berhenti nangis tu susah.
Sekarang, nangis sikit pun mula rasa sakit kat kedua-dua bahagian tu. Tapi tak adalah seteruk yang dua peristiwa tu. Sakit ni macam bisa rasanya.
Ya Allah
Ya Allah,
Aku sendiri tak mampu untuk menjaga hatiku
Lalu... aku serahkan hati ini padaMu Ya Allah
Tuhan Yang Maha Menjaga dan Maha Pelindung
Kau tenangkan hatiku, sabarkan hatiku Ya Allah, ubatilah hati ini Ya Allah
Dalam tangis ini aku memohon
agar suara ini cepat tibanya di langit.
Dan aku juga memohon Ya Allah,
Janganlah lagi aku yang Kau bekalkan dengan segala sifat baru yang lemah ini
Menyakiti hati orang-orang yang aku sayangi
Kau jagalah segala tingkahku agar sejuk dipandang mata
Kau jagalah segala bicaraku agar lunak kedengaran di telinga
Andai diam itu lebih baik bagiku
Maka Kau ubahlah aku untuk menjadi pendiam
Agar lidah ini tidak bisa menikam hati orang-orang yang aku sayangi.
Berikan aku kekuatan Ya Allah untuk membahagiakan mereka
Dan hanya padaMu saja aku mohon bahagiaku.
Ya Allah,
Aku belum mampu untuk berhenti dari menghambur tangis ini
Maka Kau hantarlah kepadaku berita-berita gembira untuk menghibur hati ini
Kirimkanlah apa yang baik bagi merawat rasa ini.
Tuesday, May 14, 2019
Terseliuh Hati
Haa... Hati siapa yang terseliuh tu?
Malam tadi last text abang bunyinya tak sedap. Hadoi, apa lagilah yang aku buat sampai timbul bibit-bibit hangat ni?
Mungkin aku salah cakap.
Dan, pagi ni, aku tahu apa yang menjadi punca kemarahannya.
Ya Allah, bagaimana harusku siram api kemarahannya agar padam dan bertukar menjadi marak kasihnya padaku?
Aku tahu, aku harus bijak menanganinya. Takut nanti marahnya makin marak seperti api yang akan membakar seluruh cinta, hangus menjadi abu.
Aku harus tenang. Puncanya aku.
Aku terus ke surau setibanya di office. Mohon Allah tolong.
Kemudian, aku duduk termenung. Bagaimana harusku padam marahnya? Selalunya marah dia ni datang dengan pakej. Pakej rajuk.
Aku telusuri semula jalan pertemuan aku dengannya sedari awal. Dulu-dulu, kami selalu tertawa bahagia. Dan aku selalu senyum membaca textnya di telefon. Apakah momen itu hanya boleh dirasa untuk orang yang baru bercinta?
Tak. Cinta itu hidup. Jika ia mati, kitalah yang harus menghidupkannya kembali. Dan aku mencintainya kerana cintanya, sikapnya yang romantis dan selalu menjaga hatiku.
Baiklah, jika selalu aku mempertikaikan, kenapa begitu dan kenapa begini? Abang pernah cakap, jagalah hatinya, dan dia akan menjaga hatiku lebih dari yang aku harapkan. Betul ke cara tu berkesan? OK, mari kita cuba. Tapi jika berlaku sebaliknya, jika abang tak mampu menghargaiku setelah aku berusaha, maka aku serahkan segalanya kepada takdir.
Bukan mudah bagi aku seorang yang ego untuk menjadi diriku yang dulu. Yang sentiasa berlembut dan mengalah seperti 12 tahun lalu. Jika egonya aku disebabkan seorang lelaki yang selalu memijak dan mempermainkan aku, maka aku mohon Ya Allah, kembalikan hatiku yang lembut itu dengan asbab seorang lelaki yang aku cinta ini.
Satu demi satu artikal yang ku baca, nasihat-nasihat yang pernah ku dengar serta ceramah-ceramah yang pernah ku dengar terngiang di telinga.
"Isteri itu penyejuk mata suami, pendamai hati lelaki,"
"Lelaki mahukan seorang perempuan yang mampu mendamaikan hatinya nescaya, gugurlah semua keegoannya,"
"Mengalahlah untuknya, kelak engkau adalah ratu di hatinya,"
"Kalau dua-dua ego, pasti hubungan takkan ke mana,"
"Kalau dia lelaki yang baik, dia pasti akan menghargai kamu meskipun kamu sering mengalah,"
"Jika dia benar mencintai kamu, dia pasti sentiasa menjaga hati dan menghargai kamu bila kamu beri dia menang,"
Semalam, seorang kawan bercerita tentang rumahtangga abangnya yang semakin hambar kerana sikap isterinya yang tidak mahu memahami hati abangnya, tidak mahu membelai hati abangnya dan sering bertikam lidah.
Dan aku, aku tidak mahu semua itu berlaku. Aku mahu terus dicintai dan disayangi seperti baru-baru jatuh cinta dulu.
Di mana silapnya? Apa yang harus aku lakukan untuk mengembalikan suasana romantis dulu? Bagaimana harusku pujuknya?
Abang pernah cakap yang dia suka bila aku katakan yang aku rindukannya, sayangkannya, cintakannya. Tapi dah berapa kali cakap sayangpun, dia masih marah.
Orang kata, kena buat dengan cara yang lain.
Tapi macam mana?
Sekali lagi aku susuli kenangan-kenangan indah bersamanya.
Pick up line!
Semoga hatinya terubat. Perempuan kan penawar kepada hati lelaki? Dan aku mahu sentiasa menjadi penawarnya biarpun aku bukan sempurna macam orang lain yang ada bersamanya.
Biar dia rasa tidak mahu kehilanganku walau sesaatpun. Biar dia rasa betapa mahalnya cinta ini.
Cikgu Bakhtiar pernah cakap, orang yang mengalah itu adalah orang yang menang sebenarnya!
OK, kalau dia nak menang dengan cara tu, ambillah. Yang penting aku perlu memenangi hatinya.
Ideapun datang. Bismillahi rahmani Rahim.
Handsetku capai. Namanya ku buka.
'Abang, kaki sayang terseliuh. Sakit. Entah-entah tak boleh pergi buka puasa nanti'
Button send ku tekan. Text terus dihantar.
Aku menunggu balasannya dalam debaran. Kalau dia tak layan macam mana?
'Macam mana boleh terseliuh tu?'
Aku senyum.
Jangan panjangkan, nanti kantoi nak buat pick up line macam ada sekali tu pick up line tak menjadi.
'Sebab jatuh cinta kat abang,'
Aku menunggu balasannya.
'Gatal'
Aku ketawa sendiri. Dan lepas tu kami terus berbalas Whatsapp.
Ya Allah, kekalkan rasa cinta indah ini di hati kami walau apapun berlaku.
Saturday, May 11, 2019
Demi Cinta, Segalanya Buatmu 2
Suatu hari, Fazrin (bukan nama sebenar) menceritakan kepadaku tentang hubungan cintanya bersama Raihana (bukan nama sebenar) yang tidak kesampaian. Katanya, dia buat personal loan sebagai persiapan untuk berkahwin berjumlah RM15,000.00. Dan kesemua jumlah tu dimasukkan ke akaun Raihana.
Aku terkejut dan mengulangi kenyataannya. “Abang Fazrin pinjam RM15,000.00 dan letak dalam akaun dia?”
“Ya, Teja,”
Aku terdiam seketika. Kelu lidah untuk menyambung kata.aku belas kepadanya. Kerana cintakan Raihana, dia sanggup berbuat demikian.
“Kenapa Abang Fazrin berani bagi duit banyak tu kat dia? Kan kemungkinan untuk jadi macam ni tu ada?” Aku simpati padanya.
“Cik Teja, saya tak sangka dia boleh buat saya macam ni. Saya ingat dia betul-betul cintakan saya. Saya memang cintakan dia. Saya percayalah kat dia. Lagipun duit tu untuk belanja kahwin kami.”
“Kenapa orang lelaki sanggup buat macam tu?” Aku lontarkan soalan yang sekian lama bermain di benakku. Dia orang paling tepat untuk menjawabnya kerana dia melakukannya.
“Sebab sayang Cik Teja. Saya sayang kat dia betul-betul. Bukan niat nak main-main. Saya mestilah percaya pada orang yang saya sayang.” Jawabnya sedih. “Cik Teja kan pernah bercinta. Takkan Cik Teja tak tahu?”
“Saya bercinta, tapi tak adalah sampai tahap macam ni. Tak pernahlah pulak lelaki bagi saya duit banyak macam tu. Even seribu pun tak pernah.”
“Cik Teja, kalau satu hari nanti, sorang lelaki buat kat Cik Teja macam apa yang saya buat ni, Cik Teja tolong jangan main-mainkan dia. Itu maknanya dia dah sayang gila kat Cik Teja. Lelaki ni, kalau sekali dia dah jatuh cinta, apapun dia sanggup buat. Dan Cik Teja tolong jangan sia-siakan dia. Tak susah. Cik Teja layan je dengan baik. Tak perlu balas dengan duit jugak. Senangkan je hati dia. Itu je yang dia nak. Sayang dia betul-betul. Itu je yang kami nak. Yang lain-lain tu, kami yang akan buat.”
Sempat aku berfikir, bilalah ada lelaki nak buat semua ni untuk aku? Semuanya datang palsu belaka. Dah bagi aku macam-macam pun nak tinggalkan aku. Tapi tak pernahlah pulak bagi beribu kat aku sebab nak kahwin dengan aku. Alangkah bahagianya kalau ada lelaki yang buat aku macam ni? Macam apa yang Abang Fazrin buat kat Raihana ni. Kenapalah Raihana tergamak buat Abang Fazrin macam ni? Beruntunglah kalau lelaki sayang gila kat kau. Aku yang nak disayang macam tu tak dapat pulak. Hmmm... nasib badan.
“Habis tu macam mana duit tu sekarang?” Tanyaku kepadanya.
“Tinggal RM3,000.00 lebih je Cik Teja. Bila dia tak ada duit, dia kata nak guna. Saya bagilah. Asyik guna je. Saya pun tak tahu berapa yang tinggal. Dah putus baru saya tahu berapa yang masih berbaki. Sebab tu saya minta dengan dia duit tu. Lepas tu dia cerita kat kawan-kawan office kita, saya pinjam duit dia tak bayar. Sedangkan saya, saya kena bayar hutang bank bertahun lagi ni untuk duit yang saya tak guna.”
Ya Allah, kesiannya Abang Fazrin.
Dan baru-baru ni, abang ada cakap yang dia nak bank in kan duit untuk belanja kahwin ke akaunku. Aku terkejut dan takut. Kan lebih baik kalau dia simpan sendiri duit dia? Katanya, dia takut terguna. Aku katakan padanya, aku pun takut. Dia beritahuku tak apa, bagi dia pegang kad. OK la. Lagipun, aku ada akaun yang aku baru buka tahun lepas. Tujuan akaun tu dibuka adalah untuk persinggahan duit yang perlu dibayar kepada sesiapa atau pun duit office yang perlu aku belanja untuk program. Adalah sikit-sikit aku masukkan duit untuk menabung. Berapa puluh je ada. Pin nombor untuk pengeluaran ATM pun aku tak berapa ingat. Sengaja aku malas ingat.
Minggu lepas, dia minta nombor akaun. Aku cakap, nanti aku bagi. Aku tak ingat nombor akaun tu. Kalau Akaun Maybank, on the spot aku boleh bagi. Lagi pun, aku tak nak simpan duit orang. Takut. Harapnya, dia lupa dan tak minta lagi nombor akaun aku.
Masa jumpa dia, “Abang minta nombor akaun tak bagi pun kan? Kata nak text?”
Hayyyyoooo... dia ingat ke? Dia ni memang lain dari lelaki yang pernah aku jumpa. Dia selalu ingat apa yang dia cakap. Aku takut dia marah.
“OK, esok sayang bagi,” Hadoi.
Esoknya, masa berbual menerusi talian telefon, dia tanya tentang nombor akaun. Kebetulan aku di hadapan komputer, so aku terus bagi. Diapun kat depan komputer masa tu.
Seketika kemudian, voice phone ku membacakan SMS yang baru diterima dari bank, menyatakan RM.... telah dimasukkan ke dalam akaunku. Darah laju mengalir ke seluruh tubuh. Betul ke ni? Aku takut. Memanglah aku serius dengan dia tapi aku takut dengan duit.
“Abang nak pegang kad sayang?” Tanyaku kepadanya. Aku tak kisahpunkalau dia pegang kad tu. Duit aku ada berapa puluh je. Duit dia yang beribu dalam tu. Kalau dia keluarkan ke, apa ke, tu duit dia. Bukan duit aku.
“Tak payahlah. Kalau abang pegang, sama je nanti abang guna. Tu duit advance hantaran.” Dia tak tahu ke yang aku ni ketar lutut bila dia cakap tak nak pegang kad? Dah jangan tanya lagi Teja. Nanti dari bahagia jadi gaduh pulak. Aku tak nak gaduh. Kalau dah sampai tahap macam ni, janganlah nak macam-macam dah. Ingat pesan Abang Fazrin. Kataku kepada diri sendiri.
Abang, terima kasih sebab percayakan sayang. Insya-Allah, sayang akan jaga kepercayaan abang pada sayang. Sayang akan sentiasa cintakan abang selagi Allah izinkan dan selagi abang perlukan sayang. Sama-sama ya kita doa semoga Allah permudahkan jodoh kita untuk bersama dan Allah kekalkan cinta ini hingga ke Jannah.
Amin...
Demi Cinta, Segalanya Buatmu
Dulu-dulu, aku selalu dengar, lelaki kena tipu duit dek perempuan. Masa tu, aku selalu fikir, kenapalah lelaki ni bodoh sangat. Belum jadi isteri dah bagi duit beribu ringgit kat perempuan dan dah bagi macam-macam. Tu fikiran aku sebelum aku bercinta. Masa tu aku pelik, kenapa lelaki yang kena tipu dengan perempuan? Lelaki kan rasional. Kalau perempuan kena tipu tu, mungkinlah sebab perempuan tu emosional. Kalau dah cintakan seseorang, lautan api pun sanggupku renangi.
Masa mula mengenali alam percintaan, fikiranku dah berubah. Masa cinta pertamaku, dia sering memberi duit belanja dan macam-macam kepadaku.Mungkin kerana cinta, orang lelaki rasa dia bertanggungjawab kepada seorang perempuan termasuklah perbelanjaan.
Cinta kedua, aku dah tak pelik sangat. Dia pun selalu bagi aku macam-macam dan duit belanja menjelang hujung bulan sebelum aku gaji. Kedua-dua mereka memberi tanpa aku minta. Aku bukan jenis suka meminta. Susah pun, aku hadap je sendiri.
Setahun dua lepas, aku dikejutkan dengan berita pasangan kekasih di office ku yang putus cinta dan bising pasal duit. Aku ni malas masuk campur hal orang. Kalau orang nak bercerita, aku dengar. Isu duit dan cinta ni kan sensitif.
Surprise di Bulan Ramadan
Bulan puasa ni, kebanyakan pasangan menikmati juadah berbuka puasa bersama insan kesayangan. Masa nilah orang bawa pasangan masing-masing untuk berbuka di tempat-tempat istimewa. Sekali difikirkan membazir sebab bulan Ramadan ni kebanyakan tempat buat buffet. Banyak mana sangatlah kita boleh makan kan berbanding harga yang mahal? Tapi kalau berkemampuan, apa salahnya untuk menghabiskan masa dengan yang teristimewa?
Bagi diriku, serius, aku tak mengharapkan berbuka di tempat-tempat buffet macam tu. Jika dia sudi meluangkan masa berbuka bersamaku itu sudah cukup membahagiakan tak kiralah di mana pun hatta di tempat yang selalu kami kunjungi.
Dulu-dulu, adalah mengharap nak pergi berbuka puasa di tempat-tempat istimewa macam tu. Pernahlah dengan yang dulu dua kali aku berbuka puasa di tempat buffet. Pertama, rakanku, Ajib yang bekerja di salah sebuah hotel menjemput aku berbuka di hitelnya. Sekarang Ajib pun dah berhenti. Kali kedua, kawan yang membuat busking di Bukit Kiara Golf Club invite aku dan aku pergi bersama orang sebelum ni. Masa dengan orang yang dulu, selalulah berangan orang bawa pergi buka puasa kat tempat-tempat yang best. Tapi mungkin faktor harga, impian tu tak terlaksana melainkan dapat invitation free. Tak apalah. Kan aku kata, berbuka kat mana-mana pun sudah membahagiakan aku asalkan orang yang aku sayang tu berbuka bersama. Dulu-dulu hampir setiap hari kot berbuka bersama.
Untuk tahun dan kali ni, memang aku tak adalah berangan nak pergi tempat best-best bukan tak nak. Tapi aku faham status dia. Mungkin dia nak habiskan masa bersama familynya. Takkanlah aku nak mengharap yang bukan-bukan? Kelak aku yang kecewa. Aku tak suka bila aku kecewa. Nanti bergaduh pulak. Lagipun hari tu, dia dah datang jemput aku di office dan berbuka bersama. Aku tak tahu kenapa masa-masa bersamanya sangat berharga. Lagi pun... kalau dia nak berbuka kat tempat best-best, mestilah dia nak bawa family diakan? Tempat best-best tu mahal. Besar belanjanya. Kalau dia pergi, mestilah bawa anak-anak sekali. Banyak belanjakan? Jadi dari awal, aku dah set, tak payah berangan nak berbuka kat tempat best-best. Dapat berbuka bersama pun dah syukur alhamdulillah. Tambah pulak, aku belum siapa-siapa dengannya.
Selasa lepas, on the way hantar aku balik rumah lepas Maghrib dan berbuka, “Nanti abang bawa sayang makan kat tempat yang best sikit ek?”
“Kenapa?” Aku pelik dengan kenyataannya. Bagi aku, tempat yang kami makan tadi pun dah OK. Harga pun boleh tahan kalau set nasi lemak dia yang banyak tu. Set Ramadan tu kira murahlah tu RM28.00 untuk dua orang.
“Kenapa apa?” Tanyanya kembali.
Aku mengubah topik perbualan. Bimbang kalau soalan aku tu mengguris hatinya. Aku malas ambil serius kata-katanya takut dia tak serius nanti bila dia tak tunaikan, aku pulak yang terasa. Aku ni dahlah jenis ingat kata-kata atau janji orang. Dari dulu lagi, orang kata aku ni penagih janji. Hehehehe...
Kelmarin, menerusi perbualan telefon, “Apa yang sayang teringin nak makan yang best-best bulan puasa ni?”
Hadoi, macam mana nak jawab soalan ni? Kan dari awal aku dah set tak payah berangan nak makan kat tempat yang best, so tak adalah teringin nak makan apa-apa. Lagipun bulan Ramadan ni buffet. Buffet tu mahal-mahal. Dua orang dah RM100 lebih. Lainlah kalau dapat kupon macam beberapa tahun lalu Iran cari kat internet then kami pergi makan ramai-ramai sebab dapat RM30.00 je. Masa tu kat Royal Hotel apa entah, area Bukit Bintang sana.
Aku berfikir sejenak untuk menjawab soalannya. Bulan tak puasa, adalah aku teringin nak makan sea food macam kat Jeram tu. Tiba-tiba sejak akhir-akhir ni selalu teringat lawatan aku bersama office 5 tahun dulu ke Kuala Selangor. Naik bot tengok kelip-kelip. Tapi yang teringat tu makan sea food fresh kat Jeram. Sedap gila masakannya. Tu je yang aku cakap dengan dia. Tapi takkanlah nak buka puasa kat tempat macam tu? Jauh kot. Pergi lepas office hour mesti jam dan susah dapat meja. Tak mungkin boleh buat reservation.
Aku ni, memang lemah sikit bila orang tanya nak makan apa atau nak makan kat mana? Takut nanti bila aku sebut di luar budget orang. Nanti orang kata aku ni nak makan kat tempat best-best je, mahal-mahal je. Tambah pulak dia ada tanggungan. Lagilah susah aku nak cakap nak makan kat mana. Sebab tulah aku lebih suka orang yang nak keluar belanja tu yang decide nak makan apa dan kat mana. Aku tak tahu budget orang. Apa yang sesuai dengan budgetnya.
Petang semalam, aku terima text darinya, ‘Berbuka sekali’
‘Naik train macam biasa’
‘Abang tunggu di ...’
Tempat biasa kami bertemu.
Hai, pelik betul. Kali ni dia tak tanya aku pulak nak pergi mana? Selalunya dia akan tanya, kita nak ke mana hari ni? Bagus jugak tak tanya. Sebab dia yang nak memandu, karang, aku sebut tempat yang jam nak pergi. Hehehehe... kalau aku yang menyebut, main sebut je. Bukan tahu jam tak jam.
Dalam kereta, “Kita nak pergi mana ni?” Tanyaku kepadanya.
“Ikut jelah,”
La... tak nak bagi tahu? Ni nak buat surprise ke marah sebab aku tanya?
Jam jugak jalan nak ke sana tu.
Bila sampai, aku dah dengar orang menyanyi. Kat mana ni?
“Kita kat mana ni, abang?” Tanyaku hairan.
“Jom, nanti search kat google,”
Siap ada reception lagi. Takkan hotel kot? Ish, hotel mahal. Mahu RM100 lebih sorang.
Ni siap kena pakai tag gelang macam nak masuk theme park Time Square je. Tempat apa ni?
Melangkah kaki masuk ke dewan, menerusi lampu-lampunya, aku dapat rasakan tempat ni cantik. Dewan berkapet, kerusi pun berhias. Dan dia terus membawa aku ke bahagian makanan. Dia membacakan satu-satu juadah yang ada dari satu stesen ke satu stesen. Menunya aku suka! Pandai pulak dia bawa aku untuk bacakan menu. Memang itulah caranya. Kalau assistant kat office memang dah tahu, kalau buffet, aku mesti nak tahu semua menu dan dia akan bawa aku untuk bacakan menu.
Tapi... kalau buffet ni, kesianlah abang nanti. Abang kena ambilkan sayang every time sayang nak makan something. Aku tak boleh layan dan ambilkan dia. Kalau ikut adat Melayu, perempuan yang kena layan lelaki. Tapi kalau ikut Islam, lelaki yang kena layan perempuan. Tapi orang Melayu kan dah terbiasa dengan adat macam tu. Kata kawan kat office, kalau kahwin dengan international guy, tak ada masalah, memang dia yang akan layan perempuan sebab bagi dorang, perempuan itu istimewa tempatnya, macam queen. Tapi abang orang Melayu, boss-boss pulak tu. Mesti abang yang selalu dilayan dan dihormati. Takkanlah hari ni abang nak layan sayang pulak? Hati dah sebak. Tapi aku masih mengekalkan manis mukaku kerana happy dengan apa yang dia buat.
Dan dia bawa aku duduk di meja. Hampir waktu berbuka, dia beritahu yang dia mahu mengambil juadah berbuka. Siap tanya aku nak apa. Ya Allah, sebak, terharu, bersalah menjadi satu. Rasa nak peluk dia time tu jugak. Nak ucapkan terima kasih dan aku sayang sangat kat dia.
Satu-satu dia ambilkan makananku. Macam biasa, kami suka share makan. So, ambil satu juadah, satu pinggan dan makan bersama. Bab ni perubahan ketara aku bila bersamanya. Dulu-dulu mana aku nak share makan dengan orang walaupun dengan orang yang istimewa. Dan begitulah dia melayan aku sampai habis makan. Paling penting, setiap kali keluar, dia ingat waktu solat dan akan membawa aku solat. Tak perlu aku yang ingatkan.
Dan sebenarnya, kami berada di The Venue Shah Alam.
Terima kasih abang. Terima kasih sebab buat sayang happy walaupun tak sangka abang akan buat semua ni untuk sayang.
Sayang sayang abang sebanyak bintang di langit.
Ya Allah,
Aku mohon untuk bersamanya hingga ke JannahMu.
Amin...
Sunday, May 5, 2019
Rindu Yang Membadai
Ya Allah,
Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui, apa yang sedang aku rasakan ini.
Aku rindukannya Ya Allah. Rindu sangat.
Kenapa rindu ini menyakitkan lantas memaksa tangis ini terus-terusan berlagu.
Adakah dia jua merasakannya? Atau hanya aku? Hanya aku yang dilamun perasaan ini sedangkan dia...
Ya Allah,
Aku tak mampu berada bersamanya dan aku tak tahu sama ada aku ada di hatinya atau tidak.
Oleh itu Ya Allah, jagalah dia untukku, lelaki yang aku cintai.
Friday, May 3, 2019
Tak Apalah
Selasa lalu, dalam perjalanan pulang dari airport, aku singgah di gerai Karipap King Kong. Abang ada kat Putra Heights. Selalunya, kalau abang kat area KJ Line, abang mesti jumpa sayang walaupun sekejap.
Sayang sangat sukakan Karipap King Kong. So, sayang nak abang rasa karipap ni. Semua orang yang sayang bagi rasa, semua kata karipap ni sedap termasuk adik sayang. Sayang beli dua, satu untuk abang, satu untuk sayang. Mesti best kan kalau dapat makan sama-sama petang tu masa jumpa? Nanti tak payahlah susah-susah cari kedai makan sebab karipap tu besar. Kalau makan, tak payah lunch or dinner dah.
Tapi petang tu, abang cakap, abang naik LRT ramai-ramai, dengan kawan-kawan. Lepas tu abang call bagi tahu yang kawan abang nak tumpang balik. So, abang tak dapat jumpa sayang. Sayang makan karipap tu satu sorang-sorang. Satu lagi, sayang simpan untuk esok. Takkan nak buang? Membazir. Karipap tu besar, nak makan dua-dua kenyang.
Pagi tadi, sayang bagi tahu kawan, sayang teringin nak makan aiskrim Durian Mac D. Kawan ajak sayang makan petang ni. Balik kerja. Mula-mula sayang nak bersetuju dengan ajakan dia. Tapi bila teringatkan abang dan hari ni Hari Jumaat, sayang beritahu dia tak boleh. Hari Jumaat kan hari abang jumpa sayang. Lagipun, minggu ni, kita tak jumpa kecuali semalam. Itu pun tak sampai setengah jam sebab abang penat. Abang kan handle event.
Masa nak balik, hujan lebat bersama guruh. Sayang gelisah tengok jam. Takut kalau abang nak jumpa sayang dan tak nak abang tunggu lama. Sayang putuskan untuk redah hujan tu dengan payung. Apalah sangat setakat hujan berbandingkan rindu sayang pada abang. Redah pergi monorel je.
Alhamdulillah, monorel sampai cepat. Sayang rasa happy sangat.
Dalam LRT, sayang nak bagi tahu abang, yang sayang dah naik LRT. Tiba-tiba sayang baca, abang tak jumpa sayang petang ni sebab ada perbincangan keluarga dan kena balik awal. Sayang tahu, itu hanyalah alasan abang untuk menjaga hati sayang. Sayang tahu, pasti ada sesuatu yang istimewa sebab tu abang nak balik awal hari ni. Sayang kecewa. Tapi, tak perlulah tunjukkan kekecewaan sayang. Nanti abang marah. Abang mesti tak faham perasaan sayang dan takkan cuba faham apa yang sayang rasa. Abang mesti nak sayang yang faham abang. Abang mesti nak sayang ikut je apa yang abang buat.
Tak apalah. Ni harga yang perlu sayang bayar untuk sebuah cinta. Lagipun, siapalah sayang? Sayang hanya menumpang kasih orang. Jadi, apa yang orang buat kat sayang, sayang kena terima.
Betullah kata orang, dalam situasi apapun, yang kedua mesti mengalah dan yang pertama itu prioriti. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, sayang belum apa-apa lagi dengan abang. Hmmm... dan mungkin keadaan ni akan berlarutan sampai kita dah jadi suami-isteri nanti. Mungkin Allah nak sayang berlatih dari sekarang untuk berada dalam keadaan ni.
Lelaki Lemah-lembut Itu Menawan Hati
Hahahahaha... Lelaki lemah-lembut tau, bukan lelaki lembut.
Hari ni, aku rasa tenang dan rasa dihargai meskipun kami tak dapat bersembang sepanjang perjalanan ke tempat kerja pagi tadi.
Dia sibuk semalam sebab ada event pejabat. 6.15 pagi dah keluar dari rumah untuk ke tempat event sebab dia one of the committee. Kenalah sampai awal. Takkan peserta dah sampai komiti baru terhegeh-hegeh nak datang?
Hari sebelumnya, pada hari pekerja, dia seharian di tempat event buat set up apa yang patut.
Petang semalam dapat jumpa kejap je sebab dia penat. Lepas tu, dia balik dan seperti biasa, aku menemaninya menerusi talian telefon sepanjang perjalanan pulangnya.
Malam tadi dia tidur awal keletihan.
Pagi ni, dia bangun lewat. Letih belum habis kot.
Seperti kelazimannya, aku mengirimkan pesanan ringkas kepadanya mengucapkan selamat pagi. Then minta dia call aku on the way to office.
Jarum jam menghampiri jam 8.00, ketika aku hamper tiba di KL Sentral, dia call aku. Dia say sorry. Katanya, dia dah lambat. So, dia nak focus pada pemanduannya. OK, aku faham. At least dia beritahu dan paling penting dia call dan cakap baik-baik. So, I know that he is trying his best untuk jaga hati aku. Apa lagi yang perlu aku pertikaikan?
Sesampainya di officenya, dia text aku, sekali lagi cakap "sorry sayang. Tak dapat berbual dengan sayang pagi ni,"
Hati terus rasa lembut dan terbuai. Rasa terharu. Lantas ku balasnya, "OK. Tak apa," Dan adalah entah apa-apa lagi aku balas. Tapi hari ni pun dia busy, ada meeting pagi dan petang. Sempat singgah di satu tempat sebelum ke office.
Perkara-perkara macam ni sangat simple. Nampak remeh tapi bisa membangkitkan semangat cinta membara. Aku bukan mahu lelaki yang menjadi hamba kepadaku atau menganggapku boss atau tuan. Tapi kelembutan inilah yang mampu menakluk seluruh perasaanku. Malah, segala ketaatan dan kasih sayangku tertebar Wangi buatnya. Engkau raja di sanubariku.
Sayang sayang abang. Ingin selalu bersama abang.
Wednesday, May 1, 2019
Apa Lagi Yang Tak Cukup?
Dulu-dulu aku selalu berangan. Berangan ada seseorang yang benar-benar mencintai aku dan menginginkan aku selalu bersamanya. Aku selalu mengimpikan datang seorang lelaki yang benar-benar mengharapkan cintaku dan bersungguh-sungguh ingin bersamaku. Malah aku berangan agar suatu hari nanti aku ditanya seperti soalan di atas.
Aku juga sering berangan yang aku dimewahkan dengan kasih sayang.
Mungkin benar kata orang, berangan itu satu doa. Dan mungkin Allah mendengar doa-doaku setelah diujinya aku dengan pelbagai kejadian.
Sejak aku mengenalinya, aku dapat rasakan limpahan kasih sayangnya terhadapku meskipun sesekali aku tertanya sendiri, apa benar yang aku rasai atau itu sekadar perasaanku? Apa benar dia mencintai aku?
Masa mula-mula kenal dulu, aku sering bermain tarik tali dengannya. Yelah, orang yang berstatus macam dia, bukan boleh percaya sangat. Entah-entah saja nak bagi aku perasan dan nak jadikan aku sebagai hiburan mengisi kesunyian hati. So, tak bolehlah terus nak suka melulukan? Dah ada dua pengalaman kot. Sehingga dia perasan yang aku bermain tarik tali dengannya. Pernah beberapa kali dia mengajukan soalan di atas kepadaku. Kali pertama, kami membincangkan soal hati dan perasaan. Mungkin jawapan serta sikapku membuatnya tidak puas hati. Dia lantas bertanya kepadaku “cuba sayang cakap dengan abang, apa lagi yang tak cukup? Apa lagi yang membuatkan sayang tak yakin dengan abang?” Aku diam. Terkedu mendengarkan soalan itu. Aku terus diam. “Cakap sayang, apa lagi? Apa lagi yang perlu abang lakukan untuk yakinkan sayang yang abang betul-betul serius dengan sayang?”
“Tak ada apa,” Jawabku ringkas.
“Abang serius sayang. Abang tanya betul-betul. Kat mana kurangnya abang atau layanan abang pada sayang sampai sayang masih belum yakin dengan abang walaupun dah berapa lama kita berhubungan?”
Aku diam, diam dan diam.
Subscribe to:
Posts (Atom)