Urusan kerja membuatkan kami perlu berhubung.
Namun, di sebalik text serta pertemuan, ada hati yang tercuri, ada jiwa yang bergetar dan ada rasa yang menyelinap.
Awalnya, ku nafikan rasa hati. Mana mungkin orang seperti dia ada hati terhadapku? Lebih-lebih lagi setelah membaca jawatannya di business card yang diberi.
Setiap kali aku ingin menjauhkan diri daripadanya, makin kerap textnya bertandang ke phone ku minta dibalas.
Makin aku ingin menghentikan segalanya setelah mengetahui statusnya. Tapi... makin sukar jemari ini berhenti menaip text balasan.
Lalu hati mula berprasangka, mungkin dia sekadar mahu mempermainkan hati dan perasaanku. Kenapalah ayat-ayatnya bisa membuatkan jantung berdegup tiap kali membacanya? Aku rasa terdera dek perasaan baru bertunas. Adakah dia mempunyai rasa yang sama?
Setelah beberapa lama berhubung, akhirnya, dia menyatakan hasratnya. Aku berniat untuk meninggalkannya seperti yang aku lakukan kepada semua suami orang sebelum ni walau seikhlas manapun mereka menyatakan cinta mereka terhadapku, walau bersungguh-sungguh mereka cuba menggambarkan keikhlasan hati mereka padaku. Semuanya dengan mudah ku tepis dan ku buang ke tepi. Pada aku, lelaki seumpama ini lelaki yang jahat, kejam dan zalim. Mengapa perlu dicari cinta lain sedangkan isteri di depan mata ikhlas mencintai mereka? Dan aku tidak mahu menjadi perempuan perampas yang menganiaya kaum sejenisku. Itulah ajaran yang diterapkan kepadaku sejak kecil.
Hati mula bergolak. Sengaja aku bermain tarik tali untuk menguji keikhlasannya dan menguji jua hatiku. Fikirku, perasaan yang membuai ini sebentar saja dan ianya akan hapus lenyap tidak lama lagi seperti sebelum ini.
Hati makin terdera apabila ia berterus-terang untuk mengambil aku sebagai miliknya yang sah.
Demi membacakan text tersebut, aku menangis, meratap memohon pertolongan Allah. Bagaimana ini Ya Allah? Jujurnya aku mula mencintai dia. Tapi... cinta ini salah tumbuhnya. Tak sepatutnya ia bertunas kepada orang sepertinya. Kerap aku cuba membunuhnya tapi semakin subur dan mekar. Dia mempesona. Segala yang ada padanya buat aku tertarik.
Dan, setelah ia melafazkan niat hatinya secara bersemuka, aku makin parah terdera. Perasaan bagai dilanda tsunami. Aku buntu. Bagaimana harus ku jalani semua ini? Dalam tidak pasti, aku memutuskan untuk hentikan semua ini. Tapi aku tak mampu melakukannya.
Lantas, aku kembali kepada penciptaku, pemilik hati dan cinta. Aku mengadu kepadanya tentang hati ini, tentang rasa, tentang cinta. Dan betapa aku tidak mahu menganiaya kaum sejenisku. Ya Allah, apakah ini dorongan syaitan atau nafsu untuk terus mencintainya? Atau ini datangnya dari kamu wahai pemilik cinta?
Aku mula melihat masa depan cinta ini. Apakah aku bisa mendapat restu orang tuaku tatkala memilih lelaki sepertinya? Aku tidak mahu rumahtanggaku kelak bergolak tanpa restu mereka. Aku tidak mahu kahwin di sempadan tanpa pengetahuan kaum keluarga. Aku juga mengimpikan sebuah majlis perkahwinan seperti orang lain meskipun tidak semeriah dan sebesar majlis perkahwinan orang lain.
Hati berdebar ketakutan dikala dia mengajakku bertemu orang tuaku. Katanya dia ingin meminta izin daripada orang tuaku untuk berkawan denganku. Dia juga ingin berterus-terang dengan orang tuaku akan hajat hatinya.
Kali pertama dia menyebut tentang itu, aku katakan, nantilah. Dengan harapan dia tidak mengulangi permintaannya. Namun hati menangis, jika dia tidak mengulangi permintaan itu, maknanya, hubungan ini takkan ke mana dan pastinya berakhir dengan kehampaan seperti cintaku yang lalu. Aku sudah penat mencari cinta. Aku mohon pada Allah, aku tidak mahu gagal lagi.
Beberapa hari selepas itu, dia mengulangi permintaannya. Aku bertanya kepadanya, adakah dia serius nak jumpa dengan orang tuaku? Dia kata ya, dia serius. Dia tak nak macam ni. Dia nak berkawan dengan anak orang, bukan anak kucing kat tepi jalan. Dia tegas menyatakan hasratnya. Dia merancang untuk bertemu keluargaku pada 26 Januari 2019. Aku terkejut. 26 Januari tu dua minggu je lagi.Bermakna, aku harus menyampaikan berita ini kepada keluargaku sesegera mungkin sebelum aku pulang bertemu mereka bersamanya.
No comments:
Post a Comment