Monday, May 20, 2019

Aku Mohon Restu 2

Terjaga awal. Sementara tiba masa bersahur, inginku menulis di sini. Mana yang baik, korang jadikan teladan. Yang buruk, jadikan sempadan. Ambillah iktibar dan pengajaran daripadanya. Orang kata, dalam bab mendirikan rumahtangga ni, biarlah mendapat restu kedua ibu bapa. Dan itu yang aku harapkan dari orang tuaku. Cinta membuatkan aku memberanikan diri untuk memberitahu keluarga kedudukan sebenar. Hanya Allah yang tahu betapa aku tidak mahu kehilangannya dan betapa aku takut untuk berterus-terang. Poligami bukanlah sesuatu yang digemari. Tambah pulak aku akan menjadi yang kedua. Sekali lagi aku berserah dan bertawakal. Aku mohon kepada Allah, andainya dia jodoh yang Allah suratkan kepadaku, Kau permudahkanlah. Segan jugak nak bagi tahu ada lelaki nak datang jumpa mereka. Orang pertama yang ku pilih untuk diberitahu adalah nenek selaku orang paling rapat denganku. "Kalau yang macam tu tak payahlah, Teja." Kata nenek lembut tidak bersetuju. Hatiku hampa. Ya Allah, aku bukan nak buat perkara tak baik. Aku cuma perlu restu untuk lakukan sesuatu yang Allah suka. Kau bantulah aku Ya Allah. "Nek, nek kan selalu doakan Teja supaya dapat jodoh yang baik. Nek doakan Teja ya, kalau ini yang terbaik buat Teja, Allah permudahkan. Selama ni, nenek doa tak supaya Teja dijodohkan dengan lelaki yang bukan suami orang?" Kataku lembut dalam sedih kepada nenek. Nenek terdiam. "Nek, tak ada siapa nak benda ni. Teja pun tak nak. Dah ramai suami orang Teja tolak. Bukan Teja cari orang macam ni macam sesetengah orang sebab nak hidup senang dan sebagainya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Baik bagi kita, tak semestinya baik bagi Allah. Tak baik bagi kita, tak semestinya tak baik bagi Allah. Selama ni, Teja berkawan dengan orang bujang, dengan duda, tapi Allah tak izinkan. Allah ambil dia orang dari Teja. Teja sendiripun tak tahu apa yang baik untuk Teja. Yang ni pun, kami merancang, Allah jua yang menentukan. Cuma, Teja nak restu. Kami nak buat dengan cara yang betul. Kami tak nak kahwin lari di sempadan." Panjang lebar aku menerangkan kepada nenek. Beberapa hari kemudian, aku hubungi nenek. Dan nenek kata, "Betul kata Teja, nenek tak pernah doa jodoh yang baik untuk Teja itu yang bujang atau dua atau apa-apa ciri. Maka Allah mentafsirkan yang baik itu mengikut pandanganNya." Alhamdulillah, nenek faham. Tapi macam mana dengan kedua ibu bapaku? Aku resah memikirkannya. Seterusnya, aku memilih untuk beritahu angah dulu. Dengan harapan, angah mampu memahami dan menyokongku atau sekurang-kurangnya membantuku untuk berterus-terang dengan ibu bapaku. Aksara bisu ku taip di ruang layar whatsapp. Lebih kurang berbunyi begini. 'Ngah, 26 Januari nanti, aku nak balik. Ada orang nak jumpa dengan family.' 'Nak kahwin dah ke?' 'Insya-Allah. Tapi, nasib aku taklah sebaik nasib kau.' Ku pilih ayat ini untuk membuka cerita. 'Kita selalu tengok rumput hijau di kaki orang lain Pada hal, orang tu sebenarnya cemburukan kau.' Katanya membalas textku. Apa maksud dia? Dia cemburukan aku ke? 'Dia suami orang,' Aku menekan butang hantar dan berdebar menanti balasannya. Seperti yang aku jangka, angah marah. 'Kau kena fikir masak-masak. Banyak hati nak kena jaga. Wife dia dah tahu ke belum?' Perbualan mula panas. 'Belum. Kami nak settlekan urusan kami dulu. Lepas tu baru buat satu-satu.' Dalam sedih, aku membalas. 'Poligami ni, tak disukai oleh mana-mana adat dan budaya kat dunia ni. Kenapa cepat sangat nak bawa balik? Nanti kalau tak jadi, semua orang akan tanya kau. Aku dah rasa semua tu. Nanti lepas bagi tahu wife dia, kalau dia nak back off? Kau yang malu tau dengan keluarga,' Tulisnya lagi. 'Ngah, itukan takdir, buat apalah aku nak malu?' Balasku lagi. 'Aku dah agak dah. Itulah jawapan kau. Biasalah, orang sedang bercinta, pahitpun ku telan jua. Lampu isyarat merah pun nak langgar. Esok, kalau wife dia mengamuk, dia back off, kau sorang-sorang yang akan mengadap keluarga.' Aku sedih. Ya Allah, jauhkan yang buruk-buruk daripadaku Ya Allah. Kalau dia tergamak menganiayaku sedemikian, sedangkan aku ikhlas untuk bersamanya dan aku lakukan ini kerana keikhlasanku, Allah jualah yang akan membalasnya. 'Kau kena ingat, kalau dah kahwin esok pun, dia mesti lebihkan wife dia sebab nak pujuk hati wife dia yang dah remuk-redam tu. Lepas tu kalau dia orang ada nak, lagilah dia akan lebihkan yang sana. Kau kena bersedia untuk hidup sendiri, sorang-sorang macam sekarang. Kau tak boleh harap kahwin kau ni macam orang lain. Apapun, yang kat sana tu mesti jadi keutamaan dia.' Sekali lagi aku berdoa, Ya Allah, jika dia yang Kau takdirkan buatku, jadikan dia sebagai suami yang baik, yang adil untuk semua isterinya meskipun terhadap aku yang baru dan belum mempunyai anak. 'Dia tu, celik ke macam kau jugak?' Giliran angah menyoal. 'Normal,' Jawabku. 'Dia kerja apa?' Kerja apa? Aku nak jawab apa ek? Tak perlu aku terangkan siapa dia. 'MRT.' Jawabku ringkas. Aku mahu tamatkan perbualan ini segera. Ianya menyakitkan. 'Ke dia nak tumpang populariti dengan duit kau?' Ya Allah, kenapalah cakap macam ni? Siapa sangatlah aku ni? Duit? Lagi aku tak ada. Dia yang kena tanggung aku. Bukan aku. Siapa tumpang siapa ni? Tak perlulah nak ulas lanjut hal ni. 'Ngah, aku mana ada duit. Popular jauh sekali,' Balasku membetulkan persepsinya. 'Aku sebenarnya dah rasa macam mana ayah ada perempuan lain kat luar, mak pulak kat rumah stress pukul anak. Aku tak nak wife dia dengan anak-anak dia rasa macam apa yang pernah aku rasa.' Ya Allah, wife orang tu yang difikirnya. Habis aku ni siapa? Sebelum fikirkan orang lain, fikirkan darah daging sendiri dulu. Janganlah beralasan untuk mementingkan diri sendiri. Jangan ingat kita boleh control orang untuk buat apa yang kita suka. Tahukah dia, betapa aku memerlukan seseorang. Susah senang aku kat sini siapa yang tahu? Jahat sangatkah kakak dia ni sampai menyebabkan hal itu berlaku terhadap rumahtangga orang? Aku bukan mahu merampas. Aku cuma mahu menumpang kasih. Sebagai orang yang menumpang, aku tahu batasku. Aku harus tahu membawa diri dan menjaga diri. Jangan gunakan kisah abah dan mama sebagai alasan. Itu memang sikap mama bukan kerana abah ada orang lain. Sebab sikap mamalah mendorong abah ada perempuan lain dulu. 'Itu, aku tak setuju. Mama memang macam tu. Sebelum abah ada orang lain pun, mama dah macam tu. Cuma silap abah, bila ada orang lain, dia berubah menjadi pemarah. Itu pun belu tentu dia sendiri yang berubah. Banyak faktor,' Aku perlu tegas dalam hal ini. Aku tengok dia baik je dengan keluarganya. Even pukul 1.00 pagi pun, dia teman je wife dia pergi berbelanja walaupun dia ada aku. Dan aku pun tak nak rosakkan rumahtangga orang meskipun ada waktunya, cemburu menjengah. Sebab tulah aku tak suka nak tahu apa dia buat kat sana. Just bagi tahu nak keluar pergi beli barang dapur. Dahlah. Tak payah hurai panjang-panjang. Aku faham. Even suami yang tak ada orang lain pun belum tentu nak teman isteri waktu-waktu macam tu. Hampir setiap minggu, dia jenguk anak-anak dia kat Negeri Sembilan dan Melaka. Pantang anak sakit, cepat je dia balik. Dan aku harap, benda yang sama akan dipraktikkan bila dengan aku nanti. 'Bukan tak ada poligami ni bahagia. Macam kawan aku tu, boleh je bergambar dan berpeluk bertiga kat Facebook. Happy je hidup dia orang. Harapnya kau bolehlah hidup macam tu.' Ya Allah, setiap orang caranya lain-lain. Kalau rapat macam tu memang OK, tak apa. Tapi kalau mengeruhkan keadaan, baik tak payah. Aku ikut je ketentuan Allah. Kalau tak sampai tahap macam tu pun tak apa. Janji, masing-masing tahu had masing-masing. Janganlah ada yang nak ambil kesempatan nak control suami dan cuba porak-perandakan rumahtangga mana-mana pihak. Semoga aku mampu tidak menganiaya orang. Dan semoga yang belah sana pun, tidak menganiaya aku. 'Tapi, kau kenalah bersedia berkongsi suami kau. Tubuh badan suami kau pun, kau kena kongsi dengan orang,' Semua tu, aku tahu. Dan aku insya-Allah bersedia. 'Kalau kau jadi kahwin nanti, aku sponsor dewan. Tak payah buat kat rumah. Nanti gaduh lagi macam aku nak kahwin hari tu.' Apa-apalah. Biarlah perbualan ni tamat cepat. Ini bukan cinta pertamaku. Bukan juga cinta zaman remaja. Segala kemungkinan telah aku dan dia fikirkan. Semoga ada bahagia buatku walaupun dengan jalan ini. Mohon para pembaca doakan kami.

No comments: