Wednesday, May 22, 2019

Jangan Judge

Sehari dua ni aku mula rajin tengok Twitter. Aku terjumpa dengan satu akaun milik seorang perempuan. Twit-twitnya banyak berkisar kepada hubungan suami-isteri serta pasangan kekasih. Aku malas nak reply twit kat sana sebab malas nak bergaduh dengan perempuan-perempuan kat sana sebab isu ni sensitif bagi perempuan. Jadi, biarlah aku abadikan di sini untuk renungan sesiapa yang sudi membaca blog aku ni. Pandangan aku ni berbeza daripada orang lain berdasarkan pengalaman serta pemerhatianku. 



Bila bercakap isu pasangan ni, kebanyakan perempuan cepat je menuding jari kepada kaum lelaki kononnya lelaki ni sejenis makhluk yang tidak tahu menghargai, tidak tahu bersyukur dengan pasangan yang dikurniakan, lelaki kena setia, kena buat perempuan happy dan bahagia, kena hargai perempuan dan macam-macamlah yang seumpama dengannya. Twit paling best dan menyentuh hati saya baca, lelaki, pimpinlah pasangan kamu hingga ke akhirnya. Sempurnakan dia sampai syurga. Masa aku kecil sehingga awal dewasa, ya, aku pun berpendapat yang sama. Mungkin pemikiran inilah yang ditanamkan dalam budaya kita sejak zaman-berzaman. Sehinggalah pada suatu hari, aku mendengar keluhan abah dan adakalanya, abah menangis pilu. Siksa bila melihat lelaki yang macho menahan tangis. 


Jadi, hari ni, aku terpanggil untuk mengulas isu ini. 


Kaumku Hawa, janganlah kita terlalu berpegang kepada tiori ini sampai kita menafikan hak seorang lelaki. Bukankah pentingkan diri sendiri namanya? Sebenarnya, aku juga baru belajar dan sedang belajar. Malah, aku percaya, banyak lagi yang perlu aku belajar dalam hubungan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan. Mungkin, tiori-tiori yang ditanamkan sejak kecil inilah salah satu punca aku kehilangan orang yang aku sayang sebelum ni. 


Lelaki juga manusia seperti kita. Apa yang tiori kat atas tu cakap mereka perlu buat, itulah juga yang mereka mahu dari kita. Lelaki kena buat itu ini lebih kepada perempuan itu semua karut. Dalam hubungan kasih sayang, kedua-duanya perlu memainkan peranan penting. Perlu saling menzahirkan kasih sayang, saling menghargai dan memahami. 


Aku tak nafikan ada ramai perempuan teraniaya kerana lelaki. Betul ada. Tapi bukan semua kes seperti yang kita lihat dan kita fikirkan. Kita tak boleh judge, bila seorang lelaki menceraikan isterinya, itu salah dia. Bila seorang lelaki berkahwin lagi, lelaki tu gatal, tak cukup satu, tak puas dengan apa yang ada. Kita tak tahu di sebaliknya, apa yang berlaku antara pasangan tersebut. Jika kita dengar cerita sebelah pihak, pasti pihak satu lagi je yang salah. Kadang-kadang kita rasa seorang lelaki tu beruntung memiliki seorang perempuan, baik, lembut, cantik dan macam-macam kesempurnaan kita lihat padanya tapi suaminya atau kekasihnya cari lain. Ya, ada lelaki yang memang tak puas dengan satu. Cari lain kerana nafsu. Tapi tak semua begitu. 


Adakah dengan kelembutan, kebaikan dan pandai serba-serbi itu satu jaminan bagi seorang perempuan memuaskan hati suaminya? Ada je lelaki berkahwin kali kedua dengan perempuan yang tak secantik isteri sedia ada. Kenapa? Kita tertanya-tanya. Kalau kahwin dengan yang lebih cantik, lagi kita tanya.contoh. Hanya pasangan sahaja yang benar-benar mengetahui pasangan mereka, baik buruk pasangan, kelebihan dan kekurangan. 


Kita selalu dengar, “isteri sikitlah punya baik, dia kahwin lain.” 

Aku tak nafikan hal ini berlaku. Tapi tahukah kita sebabnya? Sifat lelaki yang enggan bercerita lagi membuatkan kita tak tahu apa yang kurang di pihak isteri. Yang kita nampak, dia jelah yang salah.


Dalam akaun tu ada cakap, kalau pasangan kita kurang atau salah di mana-mana, bincang, bagi tahu supaya pasangan tahu dan boleh berubah ikut apa yang kita nak. Masalahnya di sini, berapa orang yang sanggup berubah mengikut kemahuan pasangan walau sebaik manapun mereka? Mungkin mereka ni kelihatan baik pada kita. Tapi kita tak tahu layanan dia terhadap pasangannya. Orang lelaki kan suka dibelai dan dimanja. Tapi kadang-kadang kita tak boleh salahkan perempuan jugak. Kalau masanya banyak dihabiskan menguruskan anak-anak, tidak sengaja, terabai kemahuan suami. Kalau suami dah cakap banyak kali tak kiralah secara terus-terang atau penghantaran isyarat, lama-lama lelaki bernama makhluk yang lemah tu pun jadi bosan atau give up nak cakap benda yang sama, nak tunggu perubahan bertahun penantiannya. Kalau yang sabar bolehlah sampai bertahun. Kalau tidak, bulan pun tak boleh hitung dah. 


Aku tak mahu bagi contoh pasangan yang aku tak tahu duduk bicara sebenar. Biar aku bercakap dari pemerhatianku iaitu pasangan yang ada depan mataku kedua-dua belah pihak. Contohnya mamaku. Dari kecil aku dengar abah cakap tentang itu dan ini, mengharapkan perubahan. Tapi sampai kini, tiada perubahan berlaku. Kadang-kadang aku terfikir, bagaimana ya rasa hati dan jiwa abah selama 37 tahun perkahwinannya? Berapa lama abah rasa happy? Berapa banyak abah bahagia? Berapa kerap abah dimanjakan? Janganlah cakap pasal isu dalam bilik dan atas katil. Rasanya yang itu, semua pasangan tahu beraksi apabila tiba masanya kerana masing-masing punyai kemahuan yang perlu dilunaskan. Tapi, hal itu dibuat kerana tanggungjawab, kewajiban melayan pasangan, nafkah batin serta memenuhi tuntutan nafsu masing-masing. Bagaimana dengan perasaan cinta yang mendalam? Adakah yang dilakukan tu bersulam dengan rasa cinta? Aku tak percaya lain di mulut lain di hati. Mulut je macam tu, tapi hati lain. Bohong! Hati tu raja segala anggota. Apa yang tersirat di hati, pasti tersurat di mulut mahupun perbuatan. 


Aku tidak membenci mama. Tapi aku harus belajar dan mengambil iktibar apa yang berlaku di depan mataku, dalam kehidupanku. Agar aku bercakap perkara yang berasas, bukan sekadar tiori yang entah dari mana-mana. Yang perempuan asyik nak menangkan perempuan, yang lelaki asyik nak menangkan lelaki. 


Abah bertahan kerana kami anak-anaknya. Mungkin abah tidak ditakdirkan untuk berjodoh kali kedua. Sebab itulah abah tak kahwin lagi meskipun ada percubaan berbuat demikian. Kalau ada jodoh, dah lama aku dapat mama baru. Ada dua mama la kan? Aku tak menghalang, dan aku jugak tidak menggalakkan. Biarlah mereka sendiri tentukan hidup mereka. Waktu abah mempunyai orang lain, ada je ahli dalam keluarga mama yang tenang menerima perkhabaran itu kerana mereka tahu apa yang berlaku. 


Jadi, pesanku kepada semua yang membaca, janganlah kita judge sesuatu di luar pengetahuan kita walau sebaik manapun adik-beradik kita, saudara-mara kita, sahabat-handai kita. Andai perkara ini berlaku kepada mereka, hanya mereka yang tahu sebabnya. Cuma kepada kaum lelaki, jika kamu ditakdirkan untuk berkahwin lebih, jagalah kesemuanya. Janganlah menganiaya satu daripada mereka kerana mereka mempunyai hak yang perlu ditunaikan. Dan bagi lelaki yang baik, aku doakan agar kebahagian menjadi milik korang walau apapun cara yang korang pilih. Bagi perempuan yang baik pula, aku pun doakan korang bahagia dan dibela. Jauhlah kalian daripada dipersiakan tak kiralah korang monogami atau berpoligami. Semua perempuan, tak sukakan poligami termasuk aku. Tapi, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita belajar untuk redha dengan takdir Allah walaupun susah. Aku tahu itu.


Akhir sekali, aku mohon doa korang jua untuk kebahagiaan dan kebaikanku dunia dan akhirat. 


Amin... 

No comments: