Saturday, March 16, 2019

Marah Arwah Chek

Bercakap tentang marah, teringat aku akan arwah Chek. Orang yang menjaga, mendidik dan mengasuhku ketika zaman kanak-kanakku sebelum berpindah ke rumah mama dan ke sekolah asrama. Chek adalah satu-satunya insan yang mampu memujuk rajukku dalam sekelip mata. Dia juga satu-satunya insan yang mampu memadamkan api kemarahan dan keegoanku dalam masa yang sekejap. Dengan apa? Dengan kelembutannya. Bukan chek tak pernah marah. Pernah. Tapi marahnya dalam lembut bisa menusuk dasar hatiku untuk aku fikirkan semula perbuatanku. Seperti yang aku katakan dalam entri sebelum ini, aku cukup kalah dengan kelembutan. Malah, aku yang sedang marak dilanda api kemarahan bisa menangis kerana kelembutan itu. Ada beberapa situasi yang masihku ingat tentang cara chek memujukku. Antaranya, pernah angah mengambil permainanku dan mengaku itu adalah haknya. Aku marah dan merampasnya kembali daripada angah. Tapi, seperti biasa, aku sering kalah dengan angah sama ada dalam pergaduhan mahupun perebutan. Aku lantas menunjukkan rasa marahku. Berkali-kali aku cuba merampas semula permainan tersebut. Kalau difikirkan dengan logic, aku tak bersalah. Sebab itu hakku. Tapi angah pulak pantang dilawan. Kelak mengamuk dan membuatkan semua orang haru-biru. Maka berlakulah pergelutan. Tampar-menampar, tarik rambut, cubit-mencubit dan kalau dah geram sangat, angah akan gigit. Chek menghentikan pergelutan kami dengan menarik aku kepadanya. Aku marah kerana chek menghalang perbuatanku pada angah sedangkan angah sudah banyak kali menyakitiku. Dendamku belum terbalas. Aku marah lantas menangis. Chek memelukku erat lalu menciumku dan membawa aku duduk di pangkuannya. Dengan suara lembut chek memujuk. Katanya, aku sebagai kakak perlu mengalah dengan adik. Apalah yang adik tahu dengan usia sekecil itu? Kakak perlu menjaga adik bukan berebut dengan adik. Aku adukan kepada chek tentang perbuatan angah yang memulakan pergaduhan. Kenapa mesti aku yang mengalah? Chek tetap lembut dan berulang kali menciumku. Katanya, biarkan saja adik tu bermain dengan permainanku. Kelak nanti, dia bosan, dia akan tinggalkan. Lepas tu, aku boleh ambil dan simpan elok-elok. Aku memang takut kalau angah ambil mainanku kerana dia tidak seceremat aku dalam menjaga barang. Entah apa-apa lagi yang chek katakan padaku tentang kakak dan adik, tentang perlunya berbaik dan bertolak-ansur. Tak lupa chek selalu mengatakan yang aku baik dan entah apa-apa lagi pujiannya. Ada waktunya kemarahanku akan reda begitu saja dan berbual-bual dengan chek dan adakalanya, aku akan menangis mendengarkan nasihat-nasihat chek. Pernah jugak apabila aku degil, chek memarahiku. Tapi marahnya bukan lama. Marahnya sekadar meninggikan suara tapi menggunakan perkataan yang baik-baik. Marahnya selalu diselitkan dengan hukum dan cakap Allah marah. Sementara aku akan diam. Bila melihatkan kedegilanku kendur, chek akan mendapatkan aku dan kembali menasihatiku dengan baik. Begitu juga tatkala aku diserang marah akibat perbuatan mama yang menyinggung perasaanku. Chek tetap di sisi meredakan marahku, memujuk kiranya aku merajuk atau berjauh hati dengan mama sehingga aku sering terubat hati kerananya. Saat itu... Aku merasakan hidup ini kaya dengan kasih sayang walaupun aku hanya ada chek yang sentiasa memahami, menasihati dan memujukku. Aku pernah merasakan, hidup aku cukup bahagia bersama chek dan aku tak kisah jika tiada kasih sayang daripada orang lain. Cukuplah chek sorang yang mampu aku rasakan kasih sayangnya padaku. Tapi kini... Chek dah tak ada. Chek dah pergi meninggalkan aku. Saat aku perlukan kekuatan, tiada lagi chek di sisi untuk memberi dorongan serta nasihat. Aku rindukan chek. Semoga chek bahagia di alam sana sebagaimana dia pernah membahagiakan orang-orang di sekelilingnya terutamanya aku. Along sayang chek. Alfatihah buat chek.

No comments: