Friday, March 29, 2019

Mungkin Ini Sebahagian Harga Yang Perlu Aku Bayar

Hari ini adalah hari yang aku nanti-nantikan. Sebab, aku akan bertemu dengannya. Sejak mengetahui yang dia akan bertemu denganku hari Jumaat, aku sering mengira hari. Entahlah. Kali ni, aku sering mengharapkan ada pertemuan pada hari-hari yang terlewati. Aku ingin sentiasa bersamanya. Dari semalam, kami bincangkan ke mana arah tuju kami petang nanti. Aku siap search internet mencari tempat yang sesuai untuk kami bersantai dan berbual. Bila tempat yang sesuai jauh atau tiada, kami berdua rasa bosan dan tention. Yelah, kami nakkan privasi tapi tak bolehlah kat tempat yang tak sesuai, karang lain pulak jadinya. Nak mati? Tak banyak pilihan sebab pertemuan berlangsung pada petang hari selepas waktu bekerja membawa ke malam. Banyak tempat yang ingin aku mengajaknya pergi semuanya available untuk siang hari. Pagi tadi, saat bercakap dengannya di talian telefon, kami masih lagi memikirkan tempat yang sesuai petang nanti untuk bertemu. Seperti biasa, aku riang pada pagi hari ingin bertemu dengannya. Semestinya aku mengharapkan waktu pantas berlalu. Tiba-tiba, dia terima text mengatakan pakciknya tidak jadi buat kenduri masuk rumah baru dan umrah lepas Jumaat. Majlis ditunda kepada lepas Isyak. Aku hampa. Lekas saja air mata yang sedikit ini berlari keluar dari mata. Namun aku cuba bertenang. Suaraku kawal agar tidak kedengaran canggung di telinganya. Aku tidak mahu dia serba-salah dalam membuat keputusan. Jelas kedengaran suaranya serba-salah. Aku pula sedaya mungkin mengawal emosi. Mungkin Allah sengaja ingin menduga kesabaranku. Enggan membiarkan lama dia dalam serba salah, Walaupun tanpa ditanya, aku terus mengatakan, "Kalau abang nak balik, tak apalah." Suara yang hampa tetap aku kawal sebaik mungkin. "Macam mana ek? Abang dah janji dengan sayang awal lagi," Katanya dalam serba salah. "Nak buat macam mana?" Lambat aku menjawab kerana sedang mengawal perasaan sendiri. Hati mula berbicara, "Sabar Teja. Dia milik ramai orang. Bukan milikmu seorang. Lagipun, kau belum berhak padanya. Antara semua yang ada di sekelilingnya, tingkat priority dia terhadapmu yang terakhir. Itu hakikat. Kau harus akui meskipun pahit. "Ya aku faham. Aku harus hidup dalam rialiti. Cuma aku harap, dia tak Persia-siakan aku. Aku harap, orang-orang di sekelilingnya juga tidak mengambil kesempatan terhadap keberalahanku suatu hari nanti. Aku harap dia juga tidak mengambil kesempatan atas mengalahnya aku. Aku harap, cinta kasihnya tulus terhadapku dari hati yang dalam. Aku harap, hatinya sentiasa untukku meskipun jasadnya tiada bersamaku kerana aku benar-benar serius dengan hubungan ini," "Kalau abang nak balik, tak apalah." Ulangku lagi. "Sayang tak apa ke? Abang kesiankan sayang. Kita kan dah janji awal lagi?" Terima kasih abang sebab fikirkan tentang sayang bisik hatiku. "Tak apalah. Lagipun mak kan? Cuma sayang harap, orang tak ambil kesempatan pada sayang lepas ni," Dalam mengalah, aku harus tegas dalam menyatakan pendirianku. Aku tidak mahu dipijak suatu hari nanti walaupun aku sekadar menumpang kasih orang kerana aku juga punya hak. Aku banyak diam. Bimbang didengari suara ini yang lain. Takut dia salah faham dan akhirnya kami yang bergaduh. Bagaimana harus aku tanggung pilu ini jika ditambah dengan pergaduhan? Hati ini sudah cukup pedih. "Kita ambil cuti satu hari," Katanya memujuk. "Bila?" Perlahan aku bertanya. Dia memberitahu tarikhnya. "Untuk apa?" Tanya aku tidak faham. "Kita pergi Bukit Tinggi. Tempat sayang nak pergi tu." Aku makin sebak. Tangis seakan mahu pecah. Tapi aku tidak mahu itu berlaku di saat ini. "Sayang ni tak ada apa-apa. Bila-bila je OK. Abang tu, takut ada hal lain mendatang," Aku lantas menyemak jadual kerjaku. Tarikh yang dicadangkan available. Dia juga terus mengisi borang cutinya dalam system online pejabatnya. "Pagi tu, kita pergi Genting Premium Outlet dulu. Tengahari kita pergi Bukit Tinggi," Suaranya lembut seakan memujuk. "Buat apa pergi Premium Outlet tu?" Tak sangka cadangannya semalam masuk dalam tentative hari yang dijanjikan tu. "Kita pusing-pusing kat sana," Cadangnya. Aku OK je. Tempat shopping ni memang kegemaran aku. Tak beli, window shopping pun jadilah. Balik rumah berangan. "Sayang nak pergi perkampungan English tu," Aku mengulangi kemahuanku yang tak tertunai akhir tahun lepas di Bukit Tinggi. "Boleh sayang," Jawabnya lembut. "Kalau sempat, nak pergi Jepanese Village jugak," Sambungku lagi. Sebenarnya sekadar nak ubat hati sendiri. "Sempat kot," Katanya. "Betul ke abang OK? Sayang tak nak abang pergi nanti dengan hati yang tak tenteram. Sekadar nak jaga hati sayang je," "Itu yang abang sedang buat. Sebab kita tak jadi petang ni. Abang nak ganti balik. Seharian dengan sayang sampai malam," Jawabnya bersungguh. "Abang terpaksa?" Tanyaku inginkan kepastian. "Tak. Abang nak habiskan masa dengan sayang," Ingin rasanya aku memeluknya erat berlindung dari kepedihan ini dan tanda terima kasih padanya. Sayang harap abang tak sia-siakan sayang. Sayang ikhlas mencintai abang. Saat-saat bersama dengan abang adalah sesuatu yang berharga kerana kita tak mungkin sentiasa bersama meskipun selepas ijab nanti. Bagaimana harusku hindarinya jika cinta yang dibawanya mampu membuatkan aku terubat meskipun dalam luka? Ya Allah, andai ini harga yang perlu aku bayar untuk cinta ini, Kau bantulah aku untuk menjadi kuat. Kau tunjukkan jalannya untuk aku terus dicintaiMu sebagai hamba dan untuk aku terus dicintainya tanpa lepas walau sesaat. Ya Allah, Andai takdir yang Kau lakarkan buatku untuk tidak sepanjang masa dengan orang yang aku cintai, maka Kau izinkanlah untuk dia sentiasa merinduiku dari dasar hati yang dalam tanpa henti walau sedetikpun.

No comments: