Thursday, September 19, 2019
Kalau Aku Marah, salah ke?
Aku memang cepat menangis. Menangis yang ada pelbagai makna. Kadang-kadang aku menangis sebab aku marah. Kadang-kadang nangis sebab sedih. Ada waktunya nangis sebab terasa. Adakalanya pulak nangis sebab jauh hati.
Tapi hari ini, aku memang nangis. Sebab apa? Sebab marah! Ikutkan hati, memang aku nak je tulis kat blog satu lagi. Memandangkan ramai yang aku kenal baca blog aku tu dan ada jugak yang kenal orang tu, so better aku tulis kat sini jelah. I need someone to talk actually, need someone untuk dengar cerita aku. Bukan apa, aku nak luahkan apa yang aku rasa. Tapi tak apalah. Mungkin semua orang busy kot. Takkanlah dorang nak dengar cerita aku pulak?
Sebenarnya aku tahu, ada je orang yang nak dengar apa yang aku rasa dan apa yang nak aku luahkan. Tapi, kalau ianya akan membawa kepada sakit hati orang lain, better aku tak payah call dia walaupun aku tahu, call aku tu welcome je sepanjang masa. Biar aku pendam je. Tak ada pilihan, aku cerita je kat sini selagi keadaan tak mendesak.
Pendaftaran untuk program aku dah tutup. So, borang penyertaan dan beberapa borang lain patah balik kat aku. Dahlah ada peserta yang beria minta borang soft copy last-last yang datang balik borang yang lain rupa bentuknya. Dan korang rasa apa fungsi kerani? Semua benda dari yang besar sampai yang kecik pun aku nak kena buat ke? Aku memang rasa bengang. Banyak benda aku nak kena buat. Takkanlah benda simple pun tak boleh buat? Ni bukan kali pertama nak buat event ni. Takkanlah satu-satu aku nak kena bagi tahu apa nak kena buat???
Dahlah. Rasa macam makin tak ada mood pulak. Nantilah aku cerita kenapa aku stress sangat.
Tuesday, September 17, 2019
Bila Cinta Sudah Tiada
Bila cinta sudah tiada, maka segala-galanya tawar.
Bila cinta sudah tiada, maka tiada lagi debaran yang menyesak dada.
Bila cinta sudah tiada, maka hilanglah segala getaran jiwa tatkala berbual atau bertemu.
Bila cinta sudah tiada, maka hilanglah rasa ingin sentiasa bertemu atau bercakap.
Bila cinta sudah tiada, maka tiada lagi perasaan berbunga-bunga.
Cerita minggu lepas.
Aku keluar dari office dengan hajat ingin ke ATM bersama assistantku.
Kak Iza: Teja, kejap ek. Nak isikan borang gym jap.
Sebaik melangkah keluar dari pintu office ke lobi, Kak Iza yang telah siap sedia di lobi menegurku lembut.
Aku menghampirinya di kaunter penyambut tamu sambil tersenyum.
Aku: Isi borang siapa?
Kak Iza: Mr. F.
Aku: OK.
Aku tenang saat mendengarkan nama itu. Tiada lagi debaran atau resah menyerbu hati seperti dulu. Tiada jua hati dan jiwaku yang terusik. Semuanya biasa-biasa saja. Seperti orang lain berkunjung ingin menjadi keahlian gym. Alhamdulillah, aku tenang.
Mr. F, dia diam seribu bahasa.
Ilah yang kebetulan ada di situ yang sememangnya mengetahui hajat kami ingin keluar, menawarkan diri untuk mengisi borang Mr. F.
Kami berdua keluar ke ATM. Pulang dari bank, kami ke gym untuk melihat kerja pemasangan door closer. Sewaktu berdiri di hadapan pintu gym sambil menanti Raihan tiba:
Kak Iza: F ikut Raihan. Mungkin nak tengok gym kot.
Mr. F mengekori Raihan, technician yang bertanggungjawab ke gym.
Aku: Ooo.
Aku dan Kak Iza masuk ke gym setelah melihat Raihan menghampiri kami.
F: Boleh tengok gym?
Kak Iza: Boleh.
F: Teja, boleh saya masuk?
Laaa... Kan Kak Iza dah cakap boleh tadi. Bila Kak Iza kata boleh, bermakna Kak Iza mewakili aku. Tak apalah.
Aku: Masuklah. Azyzee, ni F, he is our new member, so minta tolong Azeezy tunjuk apa yang patut.
Pintaku kepada Azyzee, gym instructor yang ada di dalam gym.
Azeezy menghampiri F dan mempersilakan dia melihat peralatan gym yang ada.
Keesokan harinya:
Ikram: Teja, kau ada dapat apa-apa ke semalam?
Aku tertanya-tanya. Dapat apa? birthday aku bulan depan. Nak kata MNG bagi bunga, dah lama dah tak. Dapat apa ek?
Aku: Dapat apa?
Ikram: Mamat semalam tu tak bagi kau apa-apa ke?
Aku: Tak ada. Kenapa pulak kau Tanya macam tu?
Ikram: Kau tahu tak? Aku, Dhiya dengan Ilah duk perhati je dia petang semalam. Aku datang counter dah lewat. Ilah dan Dhiya cerita kat aku, Mamat tu, terus membisu seribu bahasa bila kau keluar. Aku pun Nampak, dia macam tak tentu arah je bila kau ada kat situ. Gelisah semacam. Aku pandang jugak kau. Aku tengok, kau relax je. Tak adalah resah-gelisah.
Aku: Eh, kenapa pulak aku nak resah-gelisah? Bukannya aku ada apa-apa dengan dia dah.
Ikram: Lepas kau keluar tu, lepas Ilah siap isi boring dia, dia still kat lobi kau tahu. Kejap-kejap dia keluar, kejap-kejap dia masuk. Kita orang tengok je. Macam tak tentu arah. Macam menunggu seseorang. Lepas tu Ilah Nampak, dia macam ada keluarkan something dari beg dia. Kita orang syak, dia nak bagi kau barang tu. Sebab tu aku Tanya kau dapat apa-apa tak? Dhiya kata dia kadang-kadang datang bagi kau cookies atau kek.
Aku: Tak adalah.
Ikram: Mungkin kau asyik dengan Kak Iza kot, tu yang tak ada peluang nak mencelah tu.
Aku: Entah-entah tunggu orang lain kot.
Ikram: Lepas kau masuk office yang dari gym tu, dia datang lobi tau. Macam cari seseorang. Tapi dah tak ada, dia belahlah kot.
Aku: Oh ye ke? Aku tengok jugak, coach dah habis terangkan kat dia pasal peralatan, tapi dia duduk je dalam gym tu. Tak keluar. Aku fikir dia just nak sembang-sembang dengan coach kot. Ah, biarlah dia.
Petangnya pulak:
Aku terima whatsapp dari F bertanyakan kad usernya. Dia bagi tahu nak ambil lewat sikit petang tu dalam 4.45-4.50 gitu. Aku balas whatsapp tu bagi tau, jangan lewat sangat sebab Iza yang uruskan pasal kad tu. Izah selalu balik on time. Aku pun pelik, kenapa whatsapp aku pulak? Kan yang uruskan pendaftaran tu assistant aku? Contact jelah assistant aku terus. Apa-apalah. Profesional Teja.
Bila dah sah jadi gym's member, aku add dia ke dalam group whatsapp gym user sama macam orang lain. Biasalah, dalam group tu ada je yang nak hentam aku. Malam tu, ada sorang yang mula nak Tanya soalan panas. F terus text dalam group, Dah malam, orang nak tidur. Lagipun ni group gym, jangan Tanya soalan lain. Budak tu terus minta maaf. Aku diam je. Malas nak menyampuk walaupun aku tahu, soalan tersebut ditujukan kepadaku.
Bila kita berkerja, kita kena professional. Lupakan hal peribadi. Layan semua sama je macam orang lain. Lagipun aku dah malas nak ulangi cerita lama. Malas nak gaduh panjang-panjang walhal salahnya sikit je. Malas nak hadap keegoan yang tak bertempat, malas nak dipermain-mainkan, malas nak tunggu kata putus orang, malas nak jadi pelabuhan, bila suka datang, bila tak, hilang entah ke mana, malas nak hadap kemarahan orang yang entah apa-apa. Aku dah tak larat. Tak larat untuk dipermainkan lagi. Jadi, lebih baik aku buat tak tahu je. Layan sekadarnya sebagai pemberi perkhidmatan terhadap penerima perkhidmatan.
Saturday, September 14, 2019
Bila ada relationship dengan someone kat Facebook, tertunggu-tunggu jugak, bila ya orang nak tag kita? Dan tertunggu-tunggu jugak status dia yang terbaru. Setiap kali tengok wall tak ada pun? Tak puas hati, tengok pulak wall dia, pun tak ada.
Monday, September 9, 2019
Hari Minggu Pertama
Assalammualaikum dan selamat malam semua.
Meh nak bercerita kejap sebelum tidur.
Sesiapa yang mengikuti blog aku ni, pasti tahu akan hubunganku bersama MNG. Dan pasti tahu keadaan MNG. Oleh sebab itu, hari minggu bukanlah hari yang aku nanti-nantikan seperti aku bersama Mr. X dan Mr. F dulu. Malah, hari minggu adalah hari yang suram, yang mahu aku hindari, yang malas aku lalui. Sebaliknya, hari berkerja itulah yang aku nanti-nantikan dan tak mahu ia berlalu. Nak buat macam mana, rezeki setiap manusia tu berbezakan? Aku yakin, pasti ada hikmah atas semua ini. Kalau weekend tu kami OK, tak gaduh atau tak terasa hati, kira OK lagilah. Tapi kalau weekend tu bergaduh, aku terasa hati, memang tak bermakna weekend aku. Hehehehe...
Sepanjang 11 bulan aku bersamanya, tidak ada satu weekend pun yang kami habiskan bersama kecuali 7 Julai, 2019 lalu. Siapa tak nakkan habiskan weekend bersama yang tersayang? Semua orang yang bercinta, weekend tulah untuk mereka habiskan waktu bersama. Bersiar-siar, tengok wayang atau buat apa-apa aktiviti bersama. Namun, sekali lagi, ketentuan Allah itu berbeza untuk setiap hambaNya. Apabila kita mencintai seseorang, kita harus terima apa adanya dia. Walaupun hati kecil sentiasa meronta-ronta untuk habiskan masa bersamanya pada hujung minggu, aku tak pernah suarakan hasrat tersebut. Orang kata, cinta itu pengorbanan. Maka ini adalah bahagian daripada pengorbananku buat cinta ini. Semoga pengorbanan yang sedikit ini membawa manis pada akhirnya. Semoga pengorbanan sebesar hama ini tidak dipandang sepi oleh dia. Sebab tu aku sensitif sangat kalau hujung minggu. Kalau aku rasa dia lain, memang aku sedih sangat. Tapi kalau dia OK, itulah pengubat hatiku yang sunyi, yang sentiasa mendambarkan dia di sisi.
Alhamdulillah, untuk weekend ni, aku rasa tenang dan damai. Sebab aku rasa dihargai dan disayangi. Itulah ubat paling mujarab atas segala keinginan yang ku pendam. Malah, rasa sayang ini bertambah buatnya. Alhamdulillah, tak ada fikiran yang bukan-bukan datang meskipun aku hanya duduk di rumah dan lantaran daripada sakitku, masaku banyak dihabiskan dengan berbaring di tilam bersama si gemuk kesayanganku. Si Gemuk la peneman dan penceria hidupku yang keseorangan di sini.
Berbalik kepada 7 Julai lalu, aku memberitahunya yang ada kawan buat open house. Bukan niatku ingin mengajaknya ke sana kerana aku sedia maklum akan keadaannya. Aku sekadar bercerita. Kebetulan masa tu, belah sanakan tengah ribut. Dia memberitahuku bahawa dia ingin menemaniku ke sana. Aku terkejut namun girang sekali. Tak pernah habiskan weekend bersama sepanjang perkenalan kami. Ya Allah, masa tu hanya Allah je tahu betapa gembiranya aku untuk menghabiskan weekend bersamanya. Kalau keadaan normal, entah bila dapat bersamanya di hujung minggu. Perasaan sebak, terharu, happy semuanya bersatu. Namun, aku simpan segala rasa kemas dalam hatiku. Tak tahulah dia perasan ke tidak yang aku happy sangat hari tu.
Paginya kami bersiar-siar di Paradigm Mall. Lepas Zuhur gerak ke rumah kawan. Walaupun MNG terima Whatsapp yang memaklumkan adiknya kemalangan, sekurang-kurangnya, habislah acara makan-makan dan beramah mesra bersama rakan-rakanku.
Insya-Allah, aku akan ingat tarikh tu sampai bila-bila. Itulah weekend pertama kami bersama.
Ajaibnya Panggilan Sayang
Panggilan sayang ni bagi aku panggilan keramat. Aku suka sangat bila dipanggil sayang.
Bila ada panggilan sayang ni, hati aku akan berbunga. Rasa happynya semacam. Tak perlu panjang-panjang. Contoh nya, bila aku dapat text dari MNG ringkas tapi ada perkataan sayang, huuuuu you make my day, dear. Contoh, 'OK syg'. Aku akan senyum baca text tu. Lepas tu boleh ulang baca berkali-kali. Berbeza kalau dia tulis 'OK'. Alaaa... OK je? Aku bertanya sendiri dengan hampa.
'Ye syg' tu pun hati aku dah kembang-kembang. Berbanding dia tulis 'ye'. Apatah lagi kalau text panjangnya ada perkataan sayang seperti 'Abg grk dlu syg'. Setiap kali dia cakap sayang, setiap kali tulah sayang aku pada dia naik satu anak tangga. Hahahaha...
Kalau dia sibuk, kurang berbalas text dengan aku, tapi kalau sekali text ada perkataan sayang tu, itulah yang akan jadi pengubat hati aku. Nak buat perangai atau nak berjauh hati pun tak jadi. Boleh ek gitu? Hehehehe... Simple je aku ni sebenarnya. Bukanlah kata aku nak sentiasa dia text aku. Aku pun faham kalau aku text dia, dia lambat balas. Mestilah dia ada benda nak buat. Takkanlah tunggu text aku je kerja dia?
Apapun, hari ni abang buat sayang rasa tenang dan rasa disayangi.
Lafazkanlah
Sayang. Indahkan panggilan tu?
Aku ni memang seorang yang sensitif dengan panggilan macam tu. Mungkin kerana jiwa aku ni lembut dan penuh dengan kasih sayang. Aku suka menzahirkan kasih sayangku terutamanya untuk orang yang aku cintai. Aku juga sangat suka bila orang yang aku cinta menzahirkan kasih sayangnya terhadapku.
Dalam keluargaku, tak ada sorang pun faham akan kesukaanku yang satu ini kecuali chek yang selalu membelaiku dengan kasih sayangnya. Melalui pelukan, ciuman dan kata-katanya. Yang lain-lain tu, memang tak adalah nak tunjukkan kasih sayang mereka. Mungkin mereka ni hatinya keras sikit. So, cara mereka menzahirkan kasih sayang tu dalam cara bukan lembut. Sedangkan aku, aku nak sangat berkasih sayang. Aku nak sentiasa zahirkan kasih sayangku. Nak selalu ucap apa yang aku rasa.
Dulu-dulu, aku sering membaca novel romantis. Selalu berangan nakkan pasangan yang romantis. Aku cuba untuk romantis pada cinta pertamaku. Tapi tahu sajalah. Dia tidak mencintai aku sepenuhnya. Macam mana nak romantis kan? So, aku malulah nak zahirkan perasaan aku. Takkanlah aku terhegeh-hegeh nak ucap itu ini sedangkan dia tidak.
Cinta kedua, aku hampa lagi. Dia seorang yang happy go lucky. Penat aku tunggu dia propose aku. Penat jugak tunggu dia ucapkan yang dia sayangkan aku. Kadang-kadang, aku tanya dia, "Awak, awak sayang saya tak?" Nak tahu apa jawapannya? "Awak rasa?" Aku tak suka berteka-teki. Aku inginkan kepastian. Tak pun dia jawab, "Entahlah awak. Saya dah buat macam-macam untuk awak. Awak fikirlah sendiri," Kadang-kadang aku tertanya sendiri. Perlukah ada rasa malu nak ucap pada pasangan yang kita cintakan dia atau sayangkan dia? Memang sikap orang Melayu macam tu ke? Kenapa mesti malu ek? Sampai matilah kot aku tak merasa orang cakap dia sayang kat aku. Memang lelaki Melayu romantis macam dalam novel tu tak ada kot sebenarnya. Bila tengok dia macam tu, aku simpan jelah ungkapan kasih sayangku dalam hati. Yang lelaki tak nak ucap, takkanlah aku yang perempuan ni terhegeh-hegeh nak lafazkan? Entah-entah, dia tak sayang pun kat aku sebenarnya.
Bila jumpa MNG, dia ni lain sikit. Bukan sikit. Banyak. Dia yang sering lafazkan rasa sayang, cinta dan rindunya pada aku. Hingga akhirnya, perasaan malu untuk ucapkan padanya apa yang aku rasa, hilang. Dan sampai ke malam ini, kami masih saling mengucapkan rasa sayang, cinta dan rindu kami. Kalau tak dalam Bahasa Melayu, dalam bahasa Inggeris. Bukan sekadar menerusi text malah, menerusi perbualan di telefon dan saat kami bertemu. Aku rasa tenang setiap kali melafazkannya. Dan aku rasa gembira setiap kali mendengar ucapan itu dari bibirnya.
Sunday, September 8, 2019
Cinta Itu Roller Coaster
Assalammualaikum semua.
Dah lama tak menulis. Rasa tak ada mood.
Jika difikirkan, cinta tu macam roller coaster kan? Sekejap elok, sekejap tunggang terbalik. Hehehe...
MNG cakap, kalau aku penat, aku mula buat perangai. Hehehe... Eleh, cakap orang. Dia sebenarnya yang macam tu.
Kenapa aku suka buat perangai? Bukan sebab penat. Kalau nak diikutkan, kalau aku duduk rumah saja-saja macam minggu ni sebenarnya aku lebih suka buat perangai. Sebab masa aku banyak yang terluang so mulalah aku fikir macam-macam. Bila aku imbas balik, kebanyakan yang gaduh tu masa aku duduk kat rumah.
Kenapa aku suka buat perangai sebenarnya? Bila aku rasa MNG tak hiraukan aku. Bila aku text, dia macam nak tak nak layan aku. Tak rasa kemesraan dan kasih sayangnya. Lepas tu, dia membisu seribu bahasa, tak text aku. mulalah aku fikir bukan-bukan. Kalau aku tak text dia, mungkinlah dia bengang. Tapi bila aku dah text dia, lepas tu dia diam dan tunggu aku text je, tu lagi mempercepatkan aku buat perangai. Hehehe... Yelah, kita dah buat apa yang dia nak, lepas tu dia buat tak tahu je, benganglah kan? Hehehehe... Mulalah perangai merapu aku datang.
Tapi untuk hari ni dan semalam, aku rasa MNG baik sangat. Walaupun aku duduk rumah, ditambah dengan sakit perut, aku dapat rasakan kehangatan kasih sayangnya. Aku ni bukannya nak ber'text' je dengan dia sepanjang masa tak henti-henti. Aku tahu dia ada banyak urusan. Almaklumlah, aku duduk sorang, so aku rasa sunyi. Bila rasa sunyi, mulalah hati cepat terasa dan otak fikir bukan-bukan.
Semalam dan hari ni, ada waktunya kami berbalas text. Cara dia melayani aku dalam text, membuatkan aku rasa tenang, rasa damai, rasa diperlukan, dihargai dan disayangi sehinggakan aku tak fikirpun yang aku berkongsi kasih.
Pagi tadi, adalah sikit hatiku terusik bila mengenangkan betapa untungnya orang yang dapat bersama dia hatta dia ke tempat kerjanya. Bukan salah MNG pun. Bukan niat dia buat aku terasa. Tapi hati ni yang tiba-tiba jadi tisu. Reduplah sekejap. Tapi, apabila dia text, dengan kata-kata yang lembut, bergurau dan panggil sayang, terus tak jadi nak buat perangai. Dan alhamdulillah, aku tenang hingga ke saat ini.
Aku harap, esok, bila dia ke Melaka dan Seremban, dia masih lagi MNG yang hari ini dan semalam. Yang sering membuatkan aku rindu padanya dan yang menambah kasih sayangku padanya walaupun kami jauh.
Cinta tu memang macam roller coaster. Boleh buat hidup kita tunggang terbalik.
Subscribe to:
Posts (Atom)