Saturday, June 1, 2019

Katanya Yang Menyentuh Hati

Suatu hari, aku dan Mr. Nice Guy ke Mid-Valley. Dalam perjalanan, kami bercerita tentang jam tangan. Dia pengumpul jam tangan rupanya. Lalu aku meminta untuk melihat jam tangannya. Ketika driving tu dia membuka jam tangannya lalu diserahkan kepadaku. 



Setelah melihat jam tangan tersebut, aku mengambil tangannya sebelah yang sedang memandu. Lalu, aku pakaikan jam tangan tersebut ke pergelangan tangannya. Rasa bersalah pun ada. Orang tengah memandu aku mengada-ngada minta tengok jam tangan. Kan mengganggu pemanduannya? 


“Rasa nak nangis.” Katanya tiba-tiba memecah kesunyian. 


Aku terkejut. Apakah perbuatan atau kata-kataku menyinggung hatinya? Kedengaran suaranya sebak. 


“Abang kenapa?” Aku kaget. 


“Tiba-tiba rasa sedih. Tak pernah ada orang buat macam ni kat abang.” Katanya dalam sebak. Tangannya ditarik daripadaku setelah aku selesai mengenakan jam tangan kepadanya. Mungkin dia mengesat air matanya. 


Aku terdiam. Besar sangatkah perbuatanku tadi? Aku membantunya memakaikan jam tangan kerana tidak mahu dia susah untuk mengenakan kembali jam tangannya. Semuanya kerana aku yang meminta dia membukakan jam tangan. Apa yang aku buat tadi tu, biasa je. Tak besar manapun. Tapi kenapa dia sensitif sangat? 


“Sayang, janji yang benda ni akan kekal macam ni.” Katanya kepadaku masih sebak. 


“Insya-Allah.” Aku jua terusik. 


“Walaupun kita dah ada anak-anak nanti. Abang nak selalu macam ni.”Sebaknya masih bersisa. 


“Insya-Allah. Sayang pun nak kita selalu berkasih sayang.” Jawabku. 


“Nanti setiap kali jumpa, sayang bukakan jam tangan abang tau.” Pintanya kepadaku manja. 


“OK. Kalau sayang lupa, abang ingatkan.” 


Dan, sejak hari itu, aku menanggalkan jam tangannya setiap kali bertemu. Dia akan meminta aku berbuat demikian sekiranya aku terlupa. Cuma ada ketikanya dia tak mahu ditanggalkan jam tangannya jika bersebab. Tapi jarang dia enggan membuka jam tangan. Mungkin rimas dengan jam di tangan setelah seharian bekerja. 

No comments: